Terdapat pelbagai simbol dan isyarat yang dapat difahami secara global di dunia ini. Salah satunya, mengenai simbol atau isyarat mengibarkan bendera putih diertikan sebagai tanda menyerah kalah.
Asal-usul penggunaan bendera putih
Berdasarkan catatan sejarah, penggunaan bendera putih sebagai lambang serah diri telah berlaku sejak era Dinasti Han Timur (25-220 Masihi). Namun, dipercayai penggunaan bendera putih ini mungkin lebih lama dari itu.
Sejarawan Cornelius Tacitus mencatat penggunaan bendera putih pada bukunya yang berjudul Histories pada tahun 109 M. Munculnya isyarat tersebut merujuk kepada Pertempuran Cremona Kedua yang terjadi antara bangsa Vitellia dan Vespasia pada tahun 69 M. Warna putih digunakan sebagai lambang para tentera untuk menyerah.
Bendera putih digunakan secara meluas pada Zaman Pertengahan di Eropah Barat sebagai lambang serah diri.
Warna putih digunakan secara umum untuk menunjukkan seseorang dibebaskan daripada pertempuran; bentara membawa tongkat istiadat putih, tahanan atau tebusan yang ditangkap dalam pertempuran akan melekatkan sehelai kertas putih di topi mereka, dan pasukan pengawal yang telah menyerah dan dijanjikan jalan selamat akan membawa tongkat putih.
Sejarawan berpendapat bahawa warna putih adalah warna yang mudah dikenali ditengah suasana peperangan. Di samping itu, kain putih merupakan kain yang mudah didapati dan menjadi kegunaan harian pada era kuno.
Pengarang ‘Worth Dying For: The Power and Politics of Flags’, Tim Marshall mengatakan bendera putih digunakan sebagai simbol penyerahan di seluruh dunia kerana ia simbol yang dikenali serta-merta.
“Anda tidak perlu membaca dan menulis. Anda tidak perlu banyak mengetahui sejarah. Anda melihat bendera itu, anda tahu apa itu.”
Setelah berabad-abad penggunaannya, bendera putih disepakati umum sebagai suatu cara untuk menunjukkan perdamaian atau pengecualian seseorang daripada suatu peperangan.
Bendera putih juga menandakan salah satu pihak yang berperang menyerah diri atau menginginkan gencatan senjata.
Ia juga dianggap simbol bersih yang dapat melindungi pengguna dari pelbagai serangan tetapi tidak boleh digunakan sebagai bentuk penyamaran untuk menyerang.
Berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia pada ketika ini yang mana kempen #BenderaPutih yang digerakkan rakyat adalah tanda solidariti dan keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pandemik COVID-19.
Sumber: Merdeka, Business Insider