HANYA tinggal beberapa jam saja lagi sebelum 2018 melabuhkan tirainya. Apabila bercakap tentang tahun baharu, kita tidak dapat lari daripada bercakap tentang keinginan, semangat dan azam. Ya, azam memang tidak perlu tunggu tahun baharu. Tapi tahun baharu tetap tarikh bermakna yang tidak selalu tiba.
Di sini sedikit perkongsian perkara yang patut kita tinggalkan apabila memasuki tahun baharu:
1.Membandingkan diri dengan orang lain
Kita lihat kehidupan orang lain dan kita rasa kagum. Perlahan-lahan rasa kesal mula terbit di hati apabila melihat perkembangan diri sendiri.
Selalunya kita akan melihat yang baik-baik sahaja dalam kehidupan orang lain, dan memandang yang buruk dalam kehidupan sendiri. Membandingkan diri dengan orang lain tidak akan membawa kita ke mana jika kita tidak mula bertindak untuk melakukan perubahan. Perubahan yang dilakukan pula bukan untuk mengatasi orang lain tetapi untuk mengatasi diri kita yang semalam.
2.Takut mengambil peluang
“Ini sudah tahun 2019 kan”
Ayat ini selalunya viral di media sosial apabila ada yang masih dengan cara fikir negatif dan lama.
” Peluang tidak datang apabila kita telah bersedia. Ia datang pada waktu yang tak terjangka dan kita harus bijak dan cepat membuat pilihan. ” – Buya Hamka-
Peluang hanya akan menatijahkan dua perkara. Pertama, jika hasilnya menggembirakan, kita akan merasai satu lagi nikmat pemberian Tuhan dalam hidup. Kedua, jika hasilnya tidak seperti yang kita inginkan, kita akan memperoleh pengalaman dan kematangan.
3.Membiarkan diri terganggu dengan teknologi
Ada banyak perkara yang akan menggangu produktiviti kita dalam kehidupan seharian dan teknologi merupakan salah satunya. Kita terlalu leka dengan teknologi gajet yang kian memenuhi pasaran masa kini. Kesibukan mengejar pembangunan teknologi terkini mampu membuatkan diri berasa stres. Stres akan meningkat dan proses berfikir secara kreatif tidak berjalan dengan baik.
4.Berlengah-lengah
Usah berfikir terlalu lama, mulakan sahaja!
Tugas dan kerja yang perlu kita lakukan akan menjadi besar dan terasa berat apabila kita sentiasa memikirkan kepada halangan dan kesukaran yang ada. Pecahkan dan agihkan tugasan tersebut kepada bahagian yang lebih kecil.
5.Masih terkesan dengan kesilapan lampau
Ayuh move on !
Bergembiralah dengan kehidupan sekarang, usah lagi hidup di masa lampau. Tiada seorang manusia yang tidak lari melakukan kesilapan dalam hidup. Maafkan diri sendiri. Jika kita boleh memaafkan orang apabila mereka melakukan kesilapan yang sama, mengapa tidak kepada diri sendiri. Kita akan hidup dengan diri sendiri lebih lama daripada kita hidup dengan orang lain.
Jadikan 2019 sebagai tahun di mana kita lebih bijak menguruskan masa dengan media sosial.Semoga 2018 yang akan berlalu mengajar kita untuk jadi lebih matang dan bijaksana dalam menempuh 2019 yang akan tiba!
Recent Comments