Tag Archives: Pembukaan Kota Mekah

“Lemah, Nabi puasa-puasa pun berperang”. Sebenarnya war tactical itu menyanggahi fiqh al-aulawiyyat, keutamaan menyelamatkan pemerintahan dan umat Islam lebih besar dari berpuasa bagi tujuan ibadah peribadi. Adakah berbaloi berpuasa jika berisiko kalah perang hingga jatuh kerajaan Islam dan umat Islam dijajah? Rasulullah saw pemimpin yang hebat. Rasulullah dan banyak sahabat tidak berpuasa ketika perang. Itulah fekah keutamaan atas keutamaan.

  Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW ke Mekah (untuk melakukan pembukaan Mekah). Kami sampai di satu tempat lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Kamu semua sedang menghampiri musuh kamu sedangkan berbuka puasa itu lebih kuat untuk kamu”.

(Kata Abu Said al-Khudri): Maka itu satu kelonggaran (untuk terus berpuasa), maka dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. 

Kemudian kami sampai ke satu tempat yang lain lantas Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sedang berhadapan dengan musuh kamu, berbuka puasa itu lebih kuat untuk kamu maka berbukalah.”

(Kata Abu Said al-Khudri): Maka itu satu kewajipan maka kami pun berbuka.
Riwayat Muslim (1895) dan Abu Daud (2058)


Imam al-Munawi menyebut: Dapat disimpulkan bahawa alasan disyariatkan berbuka bukan kerana musafir akan tetapi disebabkan musuh telah dekat dan mereka memerlukan kekuatan tubuh badan yang optimum untuk berjihad. Walaupun mereka menetap di sebuah negeri (tidak bermusafir), mereka tetap boleh berbuka untuk menjaga stamina tubuh yang kuat dalam menghadapi musuh. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/555-556)


Dalam riwayat lain, Saidina ‘Umar bin al-Khattab turut menceritakan perkara yang sama. Beliau berkata:


غَزَوْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ غَزْوَتَيْنِ يَوْمَ بَدْرٍ وَالْفَتْحِ فَأَفْطَرْنَا فِيهِمَا


Maksudnya: Kami berperang dalam dua buah peperangan (Badar dan Pembukaan Kota Mekah) bersama Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan, lalu kami berbuka puasa pada kedua perang tersebut.


Riwayat al-Tirmizi (714) dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan al-Kubra (8520)


Diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat Nabi SAW berkata:


رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ النَّاسَ فِي سَفَرِهِ عَامَ الْفَتْحِ بِالْفِطْرِ ، وَقَالَ : تَقَوَّوْا لِعَدُوِّكُم


Maksudnya: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya yang bermusafir pada peristiwa Fath Makkah untuk berbuka. Baginda bersabda: “Kuatkan tubuh kamu untuk menghadapi musuh kamu.”


Riwayat Abu Daud (2365)


Kata al-Hafiz dalam al-Talkhis al-Habir (2/449), hadis ini disahihkan oleh al-Hakim dan Ibn Abd al-Bar. Hadis ini juga menunjukkan perintah berbuka bukan kerana musafir tetapi kerana untuk menambahkan kekuatan ketika berperang.

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya;

al-Anfaal (8:60)