Archives for September 2020

Minyak Atau Santan Kelapa Dalam Masakan : Adakah Pilihan Sihat

 

 

Kelapa lazimnya digunakan dalam kebanyakan masakan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik. Kelapa bermanfaat untuk  pelbagai jenis kegunaan bukan sahaja dalam masakan, malah juga digunakan sebagai produk kesihatan, kecantikan diri dan juga barang keperluan harian. Baru-baru ini, pengunaan minyak atau santan kelapa juga telah menjadi trend dan kini merupakan bahan popular dalam masakan Barat serta seluruh dunia. Dalam kalangan rakyat Malaysia, minyak dan santan kelapa daripada kelapa tua merupakan bahan asas dalam penyediaan makanan harian, baik dalam makanan jenis berkuah, kuih-muih ataupun dalam hidangan pencuci mulut. Namun begitu, masyarakat Malaysia masih mempersoalkan keistimewaan dan juga manfaat penggunaan minyak atau santan kelapa dari segi kesihatan. Terdapat beberapa kajian yang telah menunjukkan bukti kelebihan minyak kelapa dan juga santan kelapa kepada kesihatan manusia.

 

Manfaat Minyak Kelapa Kepada Kesihatan

Minyak kelapa kaya dengan lemak tepu yang sangat bermanfaat untuk kesihatan. Dua pertiga minyak kelapa terdiri daripada asid lemak rantai sederhana (medium-chain fatty acids) (MCFA). Menurut beberapa kajian saintifik, minyak kelapa dapat meningkatkan paras kolesterol-HDL, yang merupakan kolesterol baik justeru dapat mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. Selain itu, paras trigliserida dalam darah juga dilaporkan dapat dikawal dengan pengambilan minyak kelapa dalam makanan kerana sifat minyak kelapa yang kardioprotektif, iaitu ia dapat mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. Terdapat kajian oleh Feranil et al. (2011) terhadap kalangan wanita dalam fasa menopaus di negara Filipina, membuktikan bahawa pengambilan minyak kelapa sebanyak 10g setiap hari dapat mengawal paras kolesterol darah dalam kalangan wanita yang telah mengalami menopaus (kitaran haid terakhir) disebabkan peningkatan paras kolesterol HDL dalam darah.

 

Diabetes pula berlaku apabila insulin yang dihasilkan tidak mencukupi atau tidak berfungsi akibat terlalu cepat makanan berkarbohidrat menjadi glukosa dalam darah dan paras glukosa terlalu tinggi selepas makan. Dengan pengambilan minyak kelapa secara berterusan, kajian menunjukkan bahawa sensitiviti sel kepada insulin dapat ditingkatkan dengan menyeimbangkan reaksi insulin justeru dapat mengawal paras glukosa dalam darah. Disebabkan minyak kelapa kaya dengan asid lemak rantai sederhana (MCFA) dan bahan antioksida, ia dilaporkan dapat meningkatkan tahap memori dan fungsi kognitif otak terutama dalam kalangan warga emas. Asid laurik atau juga dikenali sebagai monolaurin dalam minyak kelapa, bersifat anti kanser dan dapat meningkatkan sistem keimunan tubuh manusia. Menurut kajian ilmiah oleh Ramesh et al. (2019), pengambilan minyak kelapa setiap hari juga dikatakan dapat membantu dalam peningkatan kadar metabolisma tubuh dan dengan prinsip pemakanan yang seimbang, turut dapat membantu dalam penurunan berat badan. Walau bagaimanapun, minyak masak tinggi dengan kalori, di mana 1 sudu teh minyak kelapa adalah bersamaan dengan 1 sudu teh minyak masak yang lain. Oleh itu, pengambilan segala jenis minyak masak harus dikawal untuk mengurangkan risiko obesiti.

 

Khasiat dan Manfat Sebenar Santan Kelapa

Santan kelapa lazimnya digunakan sebagai pelengkap masakan dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, cecair berkrim ini sering dipersoalkan dari segi kesihatan dan menjadi stigma bahawa makanan yang berlemak dan dimasak menggunakan santan mengandungi kolesterol yang tinggi dan hanya memudaratkan kesihatan. Tahukah anda bahawa santan kelapa juga mengandungi asid lemak rantaian sederhana (MCFA) serta tahap asid laurik yang tinggi seperti dalam minyak kelapa? Santan kelapa juga mengandungi bahan antioksida yang tinggi dan dapat melindungi tubuh dari gangguan radikal bebas serta dapat mengjadi salah satu faktor melambatkan proses tanda penuaan menurut beberapa kajian.

Walau bagaimanapun, kandungan lemak tepu dalam santan kelapa adalah sangat tinggi. Oleh sebab itu, anda juga harus memahami fakta pemakanan serta kalori santan kelapa untuk mengetahui had pengambilannya. Kalori dan kandungan lemak dalam santan kelapa adalah tergantung kepada pelbagai jenama yang dijual di pasaran. Misalnya, jumlah kalori dalam santan kelapa yang disediakan sendiri di rumah dari parut kelapa adalah sebanyak 560 kalori dengan 58g lemak (51g daripadanya adalah lemak tepu). Oleh itu, anda harus peka dengan nilai kalori yang diambil dan dapat memilih alternatif lain di pasaran seperti jenama santan kelapa yang rendah kalori dan juga rendah lemak terutamanya lemak tepu. Kedua-dua minyak kelapa dan santan kelapa mempunyai nilai kalori yang tinggi dan harus diambil secara terkawal untuk mencegah obesiti.

Pemakanan & Pereputan Gigi

Semua orang mengimpikan untuk memiliki gigi yang, cantik, putih dan sihat. Memiliki gigi yang cantik dan tersusun rapi boleh menyerlahkan penampilan juga meningkatkan kenyakinan diri di hadapan orang ramai. Oleh itu, orang ramai sanggup berbelanja  ribuan ringgit hanya untuk memiliki gigi yang putih, cantik, tersusun rapi dan sihat. Tidak hairanlah jika ramai gemar membeli produk kecantikan gigi yang terdapat di pasaran atau yang dijual di media sosial tanpa memikirkan risiko yang bakal ditanggung.

Semua bayi dilahirkan sudah ada gigi, tetapi gigi mereka tersembunyi di dalam gusi sehinggalah bayi tersebut berusia 6–12 bulan selepas dilahirkan. Pembentukan gigi yang pertama bermula semasa perkembangan janin iaitu pada minggu ke-13 kehamilan (atau 3-4 bulan kehamilan). Oleh itu, pengambilan kalsium dan fosforus semasa hamil penting untuk pembentukan dan pengembangan gigi yang sihat. Jika pengambilan mineral ini tidak mencukupi daripada diet ibu, kalsium daripada gigi dan tulang ibu akan dipindahkan kepada bayi. Hal ini mengakibatkan kesihatan gigi dan tulang ibu boleh terjejas. Kesihatan gigi susu juga boleh mempengaruhi kesihatan gigi kekal, oleh itu kedua-dua set gigi penting dan perlu dijaga. Gigi susu akan tercabut bila tiba masanya, tidak semestinya ianya perlu reput terlebih dahulu.

Rongga mulut adalah pintu masuk makanan dan minuman ke dalam tubuh. Jika pintu masuk terjejas disebabkan oleh apa pun masalah, keseluruhan tubuh akan terjejas. Aspek pemakanan adalah salah satu komponen penting yang mempengaruhi kesihatan mulut. Terdapatnya interaksi dua hala antara aspek pemakanan dan kesihatan rongga mulut. Corak pengambilan makanan boleh mempengaruhi kesihatan rongga mulut termasuk gigi. Kekurangan zat makanan sewaktu tumbesaran akan menyebabkan gigi tidak kuat serta meningkatkan risiko untuk mendapat karies gigi. Jadual berikut menunjukkan peranan nutrien dalam pembentukan, perkembangan dan pemuliharaan gigi.

 

 

Corak pengambilan makanan seseorang amatlah penting kerana ia mempengaruhi kesihatan rongga mulut. Contohnya, individu yang mengalami sakit gigi susah untuk makan kerana sakit dan tidak boleh mengunyah. Manakala, tiada sebahagian gigi atau keseluruhan gigi akan menyebabkan masalah untuk mengunyah makanan keras. Akibatnya individu yang mengalami maslaah ini akan kurang makan sayur-sayuran, buah-buahan serta daging. Hal ini menyebabkan mereka mengalami kekurangan zat tertentu seperti serat, vitamin dan mineral.

Air liur memainkan peranan penting dalam mencegah demineralisasi iaitu kehilangan mineral seperti kalsium daripada struktur gigi. Kandungan air liur tinggi dengan kalsium dan fosfat membekalkan mineral ini ke permukaan gigi untuk proses remineralisasi (menambahkan kandungan kalsium ke dalam struktur gigi). Air liur juga berfungsi untuk membuang sisa makanan dari rongga mulut. Oleh itu, faktor yang mempengaruhi kadar rembesan / pengeluaran / komposisi air liur akan mempengaruhi pembentukan karies. Contohnya, kekurangan zat makanan serta kekurangan nutrien tertentu seperti protein, mineral dan vitamin akan menganggu fungsi kelenjar air liur. Terdapat banyak penyakit yang berkaitan dengan gigi tetapi fokus pada penulisan ini adalah berkenaan karies gigi atau pereputan gigi. Jadual berikut menyenaraikan faktor-faktor yang mempengaruhi pengurangan air liur.

 

 

 

Anatomi Gigi
Kredit: Nur Yasmin Nadhirah Adam

 

Karies Gigi (Pereputan Gigi)

 

Kredit: Wikipedia.org

 

Pereputan gigi atau dikenali sebagai karies gigi adalah kerosakan pada gigi yang disebabkan oleh bakteria di dalam mulut dan menjadi penyebab utama kehilangan gigi tetapi pereputan gigi masih boleh dicegah. Mekanisma pereputan gigi adalah disebabkan oleh bakteria menghasilkan asid yang menyerang permukaan gigi atau enamel. Serangan asid yang berulang akan menyebabkan enamel kehilangan mineral dan lama kelamaan, enamel akan menjadi lemah kemudian hancur membentuk lubang kecil pada gigi, disebut rongga yang boleh menyebabkan sakit, jangkitan, dan juga kehilangan gigi jika tidak dirawat.

Pereputan gigi berlaku kerana demineralisasi (kehilangan mineral seperti kalsium) di bahagian enamel dan dentin (tisu keras gigi) oleh asid organik yang dihasilkan oleh bakteria dalam plak gigi melalui metabolisma anaerob gula daripada diet. Apabila gula atau karbohidrat fermentasi yang lain dimakan, asid organik yang dihasilkan oleh bakteria akan mengurangkan pH plak gigi dan demineralisasi berlaku. Risiko-risiko yang boleh menyebabkan pereputan gigi dan cara mengatasi adalah seperti di bawah:

 

Punca berlakunya pereputan gigi 

  • Pengambilan makanan manis seperti gula, madu, jus buah dan air gula.
  • Kerap mengambil makanan/minuman yang melekat dan lama pada gigi seperti susu, ais krim, madu, gula, soda, buah kering, kek, biskut, bijirin kering dan kerepek (menyebabkan bakteria mulut menghasilkan asid dengan lebih banyak untuk menyerang gigi sehingga musnah).
  • Tidak menggosok gigi selepas makan dan minum manis.
  • Kurang pengambilan fluorida iaitu mineral yang membantu mencegah kerosakkan gigi.
  • Mulut kering disebabkan oleh kekurangan air liur.

 

Cara mengatasi pereputan gigi

  • Kurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi gula (tidak lebih dari 4 kali sehari).
  • Hadkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman pada waktu makan sahaja.
  • Elakkan makanan dan minuman yang mengandung gula pada waktu tidur kerana kurang pengeluaran air liur semasa tidur.
  • Mengambil susu dan produk tenusu di antara waktu makan kerana ia mempunyai kandungan kalsium dan fosfat yang tinggi (untuk mencegah dimeneralisasi dan menggalakkan remineralisasi).
  • Meningkatkan kekerapan memberus gigi dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida (2 kali sehari selepas makan).
  • Bersihkan celah gigi setiap hari dan bilas mulut selepas makan apabila tidak dapat mengosok gigi.
  • Berkunjung ke klinik gigi untuk pemeriksaan setiap 6 bulan sekali atau 2 kali setahun

 

Pereputan (karies) gigi awal kanak-kanak

Pereputan gigi awal kanak-kanak adalah kerosakkan gigi yang berlaku di kalangan kanak-kanak terutama pada kanak-kanak yang masih menggunakan botol susu dengan kerap selama berjam-jam ketika tidur.

Punca-punca pereputan gigi awal kanak-kanak

  • Kebersihan mulut yang kurang baik.
  • Penggunaan botol yang berisi susu dan minuman manis dengan kerap selama berjam-jam ketika tidur menggalakkan kerosakan gigi disebabkan oleh bakteria.
  • Kekurangan florida dalam diet dan minuman.

 

Cara mengatasi punca pereputan gigi awal kanak-kanak

  • Jangan menambahkan makanan atau minuman ke botol bayi selain susu formula, susu ibu, susu lembu atau air untuk mengelakkan berlakunya karies.
  • Sediakan semua minuman dalam cawan kepada bayi dari usia 6 bulan dan hentikan pemberian botol susu pada umur 1 tahun untuk mengelakkan karies.
  • Kurangkan penggunaan botol susu di kalangan bayi/kanak-kanak semasa tidur.
  • Ambil makanan bersifat kariostatik (makanan yang tidak menyumbang kepada dimeneralisasi) diantara waktu makan seperti susu dan produk tenusu dan telur.
  • Terus memberus gigi selepas ambil makanan bersifat kariogenik (makanan yang menyumbang kepada pereputan gigi seperti gula).
  • Kerap memberus gigi selepas makan bagi kanak-kanak. Manakala, bersihkan gigi dan gusi bayi menggunakan kain kasa atau kain yang dibersihkan selepas pemberian botol susu.

 

Kesimpulannya, walaupun kadar kematian yang rendah disebakan oleh penyakit karies gigi, ia mungkin memberi kesan pada keyakinan diri, kemampuan makan, pemakanan dan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak ataupun usia yang lebih tua. Penjagaan gigi amatlah penting sejak lahir sehingga tua, oleh itu jagalah gigi dengan baik kerana gigi memainkan peranan dalam pertuturan dan komunikasi serta meningkatkan penampilan. Penampilan gigi yang lemah kerana penyakit mulut boleh merosakkan fungsi sosial yang boleh menyebabkan kurang keyakinan diri. Selain itu, gigi juga penting dalam mengunyah makanan untuk pencernaan. Kehilangan gigi akan menyebabkan hilang keseronokan menikmati makanan dan juga mengurangkan keyakinan diri untuk bersosial. Oleh itu, penyakit gigi mempengaruhi kualiti hidup pada masa kanak-kanak dan usia yang lebih tua. Dengan pengambilan nutrien yang mencukupi memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko terhadap penyakit berkaitan dengan gigi.

Faktor Genetik Penyebab Alergi Makanan & Cara Pencegahan Alergi Makanan

Pengenalan

Makanan yang berkhasiat sememangnya membekalkan kandungan nutrisi terhadap tubuh badan seseorang. Alergi atau alahan makanan telah dikenal pasti oleh Hippocrates sejak tahun 460-377 sebelum masihi, kira-kira 2000 tahun dahulu (Cohen, 2008). Namun, tidak semua makanan dapat dimakan oleh seseorang jika mereka alergik. Istilah “alergi” telah diberikan oleh ahli pediatrik Clemens Von Pirquet dari Austria pada tahun 1909. Beliau telah merawat kes-kes penyakit pada kanak-kanak ketika itu.  Secara saintifik, alergi makanan merupakan tindak balas hipersensitiviti  yang melibatkan sistem imun badan (Immunoglobulin E atau IgE) termasuklah  yang bukan melibatkan imum sistem badan seperti tindakbalas  gastrointestinal terhadap protin yang disebabkan oleh enterocolitis (food protein induced entrocolitis syndrome atau FPIES) atau proctocolitis (Benedé, Blázquez, Chiang, Tordesillas  & Berin, 2016).  Alergi atau alahan makanan merupakan salah satu masalah kesihatan awam dan populasi pesakit alahan makanan ini semakin meningkat dari masa ke semasa sehingga melebihi 200 Juta dari populasi dunia (Pawankar, Canonica, Holgate, Lockey, & Blaiss, 2011) termasuklah di Malaysia. Namun, data sebenar di Malaysia masih lagi tidak diketahui secara tepat sehingga ke hari ini.

 

Klasifikasi Alahan Makanan

Panel pakar dari  Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (National Institute of Allergy and Infectious Diseases) memberi takrifan alahan makanan adalah tindak balas bahan makanan terhadap imun sistem yang tertentu. Terdapat beberapa klasifikasi alahan makanan seperti yang ditunjukkan dalam Gambar Rajah 1.

 

Gambar Rajah 1: Klasifikasi alahan makanan yang melibatkan imun dan bukan imun.
Sumber : Anvari, Miller, Yeh dan Davis (2019).

Bahan Alergen

Makanan yang telah dikenal pasti menimbulkan reaksi alahan ialah seperti kekacang, ikan, susu, gandum, soya, telur, dan produk tenusu  seperti keju dan yoghurt, manakala makanan laut contohnya udang, sotong, kepah, kerang, ketam (Kwon, Lee & Wen, 2020).  Ia juga termasuk produk berasaskan makanan laut seperti belacan, budu dan cincalok.  Malahan terdapat juga pesakit yang alah kepada buah-buahan seperti rambutan, tembikai (Din, Rashid & Ramli, 2019) pisang, epal, oren dan strawberi (Han, Kim, & Ahn, 2012). Makanan ini dipanggil sebagai bahan alergen. Ianya berbeza dari individu dengan individu yang lain. Hasil kajian yang dijalankan oleh Żukiewicz-Sobczak, Wróblewska, Adamczuk dan Kopczyński, (2013) mendapati bahawa berat molekul protein berbeza-beza dari 15 kDa hingga 40 kDa atau glikoprotein yang mempunyai berat molekul di antara 10 kDa hingga 70 kDa  yang boleh menyebabkan terjadinya tindak balas tidak normal terhadap tubuh badan seseorang penghidap alahan makanan.

Rata-rata pesakit di Malaysia alah kepada makanan laut seperti ketam, udang dan sotong (Zahedi, Gendeh & Husain, 2011) manakala di Amerika Syarikat ialah kekacang seperti kacang tanah, badam, walnut dan kacang hazel (Abrams & Greenhawt, 2020). Sehingga sekarang, para doktor dan saintis masih mencari penawar bagi penyakit ini.  Setakat ini, pesakit yang mempunyai alahan makanan yang kronik dinasihatkan untuk mengelakkan makanan yang dapat mencetus reaksi alahan makanan. Pesakit juga perlu mendapatkan rawatan segera jika berlakunya simptom-simptom tertentu.

 

Simptom-Simptom Alahan Makanan

Setiap individu mempunyai simptom yang berbeza -beza. Simptom-simptomnya bermula dari ringan hinggalah ke lebih parah sehingga boleh membawa maut atau dikenali sebagai Anapilaktik atau Anafilaksis. Reaksi alahan makanan ini telah dikenalpasti oleh pengamal perubatan pada zaman Babilon lagi (Cohen, 2008). Reaksi alahan makanan ini terjadi dalam beberapa saat atau beberapa jam selepas memakan bahan alergen seperti yang ditunjukkan dalam Gambar Rajah 2.  Bahagian badan yang terlibat semasa reaksi alahan makanan terjadi ialah pada:

  • sistem pernafasan seperti saluran pernafasan menjadi bengkak dan sukar bernafas jika parah akan membawa maut.
  • kawasan mulut seperti bengkak mulut, gatal dan merah
  • degupan jantung menjadi laju dan lebih parah akan meragut nyawa.
  • perut terasa seperti ada benda tajam menikam atau kolik, cirit birit, dan muntah.
  • kulit seperti gegatal atau utrikaria menjadi merah, bengkak, terasa gatal dan pedih seperti yang ditunjukkan pada Gambar Rajah 3.

 

Gambar Rajah 2: Menunjukkan tindakbalas bahan alergen dan sel badan.
Sumber: Costa et al. (2020)

 

Gambar Rajah 3 : Pesakit mengalami gegatal atau utrikaria di seluruh badan akibat daripada termakan makanan yang mengandungi sotong.

 

Faktor Genetik Penyebab Alahan Makanan

Kajian telah giat dijalankan oleh para saintis untuk mengkaji tentang alahan makanan dari dulu hinggalah sekarang. Antara faktor telah dikenal pasti penyebab berlakunya alahan makanan, salah satunya ialah genetik (Bartuzi, 2009; Hong, Tsai,  & Wang, 2009). Apabila salah seorang daripada ibu bapa mempunyai alahan makanan maka kanak-kanak tersebut berisiko di antara 40% dan akan meningkat hingga ke 60%  hingga 80% jika kedua ibu bapa mempunyai alahan makanan. Namun, jika ibu bapa tidak mempunyai sebarang alahan makanan, juga berisiko menghidap alahan makanan di antara 5% hingga ke 15% (Żukiewicz-Sobczak et al., 2013). Walaubagaimanapun, menurut Morafo et al. (2013), ianya amat sukar dibezakan untuk menentukkan fenotipe alahan kerana ianya berubah-ubah dan berbeza mengikut etnik kaum tertentu. Hasil kajian Hong, Tsai dan Wang (2009) mendapati bahawa genetik dan persekitaran juga merupakan faktor-faktor terjadinya alahan makanan. Kajian yang dijalankan oleh Asai et al. (2018) mendapati bahawa gen yang dinamakan sebagai c11orf30/EMSY (EMSY)  yang merupakan lokus risiko menyebabkan berlaku alahan makanan terutamanya untuk alahan kepada kekacang. Terkini, Kabesch dan Tost, (2020) mendapati bahawa pesakit asthma, rhinitis alergi dan dermatitis atopik berlaku pada pesakit yang sama seolah-olah sebagai satu pakej dengan alergi makanan. Gambar Rajah 3 menunjukkan gen yang terlibat dalam penyakit alahan dan ianya mempunyai hubung kait di antara satu sama lain.

 

Gambar Rajah 3 Menunjukkan gen-gen yang terlibat dalam penyakit alahan dan 10 gen di atas berkait rapat di antara satu sama lain. Sumber: Kabesch dan Tost, (2020).

 

Impak Kepada Pesakit Alahan Makanan

Reaksi alahan makanan memberikan impak kepada kehidupan para pesakit alahan makanan. Berkemungkinan besar, pesakit yang menghidap penyakit asthma dan eczema juga dikatakan akan menghidap penyakit alahan makanan (Kabesch & Tost, 2020; Perkin et al., 2020). Disebabkan itu, para pesakit dinasihatkan mendapatkan khidmat doktor untuk pengesahan dengan lebih lanjut untuk mengelakkan daripada berlakunya kekurangan nutrisi akibat daripada sekatan diet dengan tidak mengambil makanan yang sepatutnya diambil untuk proses tumbesaran seperti susu, ikan, buah-buahan serta sayur-sayuran terutamanya untuk kanak-kanak. Selain itu juga, bahan perisa tambahan seperti Monosodium Glutamate yang digunakan dalam masakan juga boleh menyebabkan reaksi alahan. Bahan-bahan alergen tersembunyi seperti contoh kek atau biskut yang mempunyai  serpihan kecil kekacang juga boleh mengundang maut kepada pesakit yang mempunyai alahan yang teruk.

Selain itu juga, bagi sesetengah kes telah dilaporkan bahawa penghidap alergi makanan dibuli dan mengalami diskriminasi di tempat kerja, sehingga meningkatkan tahap tekanan, selain menghadapi kesulitan dalam memakan makanan tertentu akibat alergi. Ini mempunyai kesan buruk terhadap kualiti hidup dalam kalangan pesakit alergi makanan mahupun keluarga mereka (Bingemann et al., 2020).

 

Cara Pencegahan Alahan Makanan dalam Sektor Industri Makanan

Dalam industri makanan, para pekerja perlu didedahkan tentang cara penyediaan makanan selamat untuk pesakit alahan makanan. Antara langkah yang perlu diambil adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

  1. Elakkan daripada memakan bahan alergen seperti udang, ketam, sotong dan kekacang serta bahan alergen yang lain.
  2. Pemantauan dan menyediakan garis panduan penyediaan makanan – asingkan penggunaan bahan alergen dan bukan alergen sebagai contoh elakkan penggunaan minyak yang telah digunakan untuk menggoreng udang dan kemudiannya minyak yang sama digunakan untuk menggoreng nasi atau bahan lain. Penghidap alahan makanan yang alah pada udang akan berisiko berlakunya reaksi alahan yang teruk. Begitunya juga dengan penggunaan alatan seperti kuali, pinggan dan mangkuk yang digunakan perlu diasingkan untuk mengelakkan daripada berlakunya sentuhan bersilang.
  3. Tingkatkan pengetahuan umum mengenai alahan makanan degan mengadakan kempen ataupun jelajah Kementerian Kesihatan untuk rakyat (Jerayawara, acara dan sebagainya).

Diet Ketogenik : Apa Yang Anda Perlu Tahu?

 

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 1 daripada 2 orang dewasa di Malaysia menghadapi masalah obesiti dan berlebihan berat badan. Bukan itu sahaja, Malaysia juga mencatatkan kadar tertinggi masalah berat badan di kalangan negara-negara Asia. Keadaan bertambah teruk apabila berat badan berlebihan sering berkait rapat dengan permasalahan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, diabetis dan juga penyakit tekanan darah tinggi. Hasil dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang terkini mendapati 1 daripada 6 rakyat Malaysia mempunyai salah satu daripada masalah kesihatan ini iaitu obesiti, tekanan darah tinggi dan kadar gula serta kolesterol yang tinggi.

Hasil perkembangan teknologi dan penularan isu-isu kesihatan berkaitan berat badan di internet pada hari ini, sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun begitu, rata-rata rakyat yang menghadapi masalah berat badan berlebihan cenderung untuk memilih jalan pantas untuk mengurangkan berat badan seperti mengurangkan pengambilan makanan secara melampau. Pelbagai diet ekstrim telah diperkenalkan dan ditularkan melalui media sosial dengan pelbagai testimoni yang menarik minat pengguna yang menginginkan jalan mudah dan singkat. Salah satu daripadanya adalah diet ketogenik atau lebih dikenali sebagai diet keto.

 

Bagaimana Diet Ketogenik Diamalkan ?

Diet ketogenik memerlukan pengamalnya mengurangkan pengambilan karbohidrat secara ekstrim kepada kurang daripada 50g dalam sehari. Pada masa yang sama, pengamal diet ini juga perlu meningkatkan pengambilan protein dan lemak bagi menampung kekurangan karbohidrat. Lemak sering digunakan sebagai bahan utama dan penambah perisa dalam kebanyakan masakan disamping padat dengan kalori dan ianya dibolehkan untuk diambil dengan kuantiti yang banyak dalam diet ketogenik. Hal ini menjadikan ramai pengamal teruja untuk cuba mengamalkan diet ini walaupun terpaksa mengurangkan pengambilan sumber karbohidrat seperti nasi, pasta dan roti serta makanan manis. Isu ini akan diulas dengan lebih lanjut di dalam artikel ini.

 

Apa Yang Terjadi Kepada Tubuh Badan Ketika Diet Keto Dijalankan ?

Jadi bagaimana sebenarnya mekanisma diet ketogenik berlaku sehingga boleh mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat ? Seperti yang diketahui umum, karbohidrat membekalkan glukosa sebagai sumber tenaga untuk fungsi penuh tubuh badan manusia. Badan manusia pula akan menghasilkan insulin untuk membawa dan menukarkan glukosa kepada glikogen untuk disimpan sebagai sumber tenaga apabila diperlukan.

Apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan, kadar glukosa dalam badan juga akan berkurangan sehingga semua simpanan glikogen habis digunakan. Situasi ini akan memaksa tubuh badan untuk mencari sumber tenaga alternatif seperti lemak dan protein. Bagaimanapun, sifat protein yang memerlukan tenaga yang tinggi untuk dibakar berbanding lemak menjadikannya sumber tenaga alternatif yang kurang sesuai. Lantas, sistem tubuh akan memilih untuk menggunakan lemak sebagai sumber tenaga alternatif dan inilah yang menyebabkan berat badan turun dengan pantas. Hal ini kerana pada ketika ini akan berlaku satu keadaan yang dipanggil ketosis, yang mana bahan keton dihasilkan daripada proses penguraian lemak bagi menggantikan glukosa sebagai sumber tenaga alternatif. Bahan keton memiliki kelebihan yang sama dengan glukosa iaitu dapat membantu membekalkan tenaga untuk otak bagi memastikan segala sistem tubuh dapat berfungsi seperti biasa.

 

Benarkah diet ini berkesan ?

Pada awalnya, diet ketogenik digunakan untuk merawat penyakit sawan dalam kalangan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, diet ini kemudiannya mula terkenal sebagai diet berkesan untuk menurunkan berat badan apabila telah mencatatkan penurunan berat badan yang signifikan oleh pengamalnya. Oleh itu, pelbagai kajian telah dijalankan bagi membuktikan keberkesanan diet ini dalam menurunkan berat badan. Hasil dapatan beberapa kajian antaranya telah mencadangkan bahawa sebab utama penurunan berat badan pengamal diet ini adalah disebabkan pengurangan kadar pengambilan kalori yang berlaku secara tidak langsung apabila pengamal terpaksa menghadkan pilihan makanan mereka. Hal ini kerana pengamal diet keto akan mengurangkan kadar pengambilan kalori sekurang-kurangnya 600 kilokalori kurang daripada kebiasaan apabila mereka mengurangkan pengambilan karbohidrat. Oleh itu, kesan pengurangan berat badan oleh diet ini hakikatnya dihasilkan oleh pengurangan kadar kalori sehari. Selain itu, kajian juga menunjukkan kondisi tubuh ketika mengamalkan diet ketogenik akan menyebabkan pengurangan selera makan sekaligus menyumbang kepada penurunan berat badan. Kajian mendapati bahawa peningkatan bahan keton dalam badan akan menyebabkan berkurangnya penghasilan hormon ghrelin, iaitu hormon yang mengaktifkan rasa lapar apabila kadar glukosa dalam darah berkurangan. Fenomena ini akhirnya membawa kepada pengurangan selera makan dalam kalangan pengamal diet keto dan akhirnya turut menyumbang kepada pengurangan berat badan.

 

Adakah diet ini selamat diamalkan ?

Pelbagai manfaat diet ketogenik telah dikenalpasti sejak bertahun yang lalu dalam penurunan berat badan. Bagaimanapun, beberapa kajian telah menjumpai beberapa kesan negatif diet ini apabila diamalkan untuk tempoh tertentu. Pertama, dalam tempoh beberapa minggu awal diet, pengamal berisiko mengalami beberapa simptom seperti keletihan, sakit kepala, loya dan muntah. Ini merupakan gejala normal apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan secara ekstrim kerana ini bermakna aras glukosa dalam darah juga turut berkurangan. Gejala ini juga menandakan bahawa tubuh badan sudah mula menggunakan sumber tenaga alternatif iaitu lemak.

Selain daripada itu, terdapat kajian yang melaporkan pengamalan diet ketogenik dalam tempoh setahun dan ke atas telah merekodkan beberapa kesan terhadap kesihatan pengamal seperti tahap kolesterol tinggi dan penyakit batu karang. Fakta ini disokong oleh beberapa kajian yang mencatatkan insiden yang sama yang dialami beberapa pengamal masa panjang diet ketogenik. Hal ini kerana ramai pengamal diet ini menyangka bahawa memandangkan mereka perlu meningkatkan pengambilan lemak, mereka boleh memilih makanan tinggi lemak dengan sesuka hati tanpa mengira lemak tidak tepu, lemak tepu dan lemak trans. Adalah penting untuk diingatkan bahawa makanan yang mengandungi lemak tepu dan lemak trans akan mengundang kepada kenaikan kadar kolesterol dan seterusnya membawa kepada pelbagai penyakit kardiovaskular jika tidak dikawal.

 

Di samping itu, diet ini juga sebenarnya sukar diamalkan atas beberapa faktor seperti pilihan makanan yang terhad, bahan makanan yang lebih mahal berbanding diet biasa dan juga kurang menepati citarasa sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya. Hal ini kerana makanan ruji rakyat Malaysia adalah nasi dan ini menyukarkan pengamal untuk berdisiplin dalam mengikuti diet ketogenik. Malah, diet ini dikatakan tidak akan berkesan selagi sumber karbohidrat tidak berjaya dikurangkan menepati syarat 10% daripada jumlah kalori sehari. Bukan itu sahaja, berat badan pengamal juga akan meningkat secara mendadak apabila pengamal menghentikan diet ketogenik dan mula mengambil karbohidrat seperti biasa tanpa mengurangkan jumlah pengambilan kalori harian.

 

Bukan itu sahaja, walaupun diet ini kadangkala dicadangkan kepada pesakit diabetis, adalah penting untuk mereka mengamalkan diet ini di bawah pengawasan ketat pakar dietetik dan doktor. Ini kerana pada kebiasaannya tubuh pesakit diabetis akan melalui proses ketosis walaupun tidak mengamalkan diet keto. Hal ini berlaku apabila tubuh mereka gagal menghasilkan hormon insulin yang cukup untuk mengagihkan glukosa dalam darah ke sel-sel tubuh untuk digunakan sebagai tenaga. Oleh itu, sistem tubuh terpaksa mencari jalan alternatif untuk mendapatkan tenaga dan mula membakar lemak dan melalui proses ketosis. Ini akan menyebabkan kadar bahan keton dalam darah meningkat dan gabungan diet keto pada ketika ini akan menambahkan bebanan bahan keton dalam darah.

 

Adalah penting untuk diketahui bahawa bahan keton bersifat asidik dan apabila arasnya menjadi terlalu tinggi dalam darah, seseorang itu akan menghadapi satu keadaan yang dipanggil ketoasidosis, yang mana pH darah menjadi terlalu berasid. Ini akan mengganggu kesimbangan dan kawal atur elektrolit dalam darah seperti natrium dan kalium dan akhirnya jika dibiarkan, akan memberi kesan buruk kepada fungsi organ dalaman seperti hati dan buah pinggang serta mampu membawa kepada kematian.

 

Apakah langkah yang perlu diambil jika hendak mengamalkan diet ini ?

Berdasarkan beberapa risiko kesan berbahaya diet ketogenik ini, adalah amat digalakkan untuk merujuk dan berbincang dengan pakar dietetik atau pakar pemakanan diiktiraf sebelum memulakan diet ini. Kebiasaannya, diet ketogenik digalakkan untuk diamalkan oleh mereka yang mempunyai tahap obesiti yang tinggi kerana mereka perlu mengurangkan berat badan dengan cepat untuk mengurangkan risiko kesihatan lain.

Bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan tetapi belum mencapai tahap obesiti yang tinggi, pengamalan diet rendah kalori dan seimbang, disamping meningkatkan tahap aktiviti fizikal adalah pilihan yang lebih baik dan disyorkan. Hal ini kerana, diet yang berjaya adalah diet yang mampu mengubah corak pemakanan kepada yang lebih baik dan mampu mengekalkan berat badan yang sihat yang berpanjangan. Diet ekstrim boleh menghasilkan penurunan berat badan dalam tempoh singkat tetapi tidak menjamin pengekalan berat badan yang sihat kerana punca utama masalah berat badan iaitu corak pemakanan yang tidak sihat masih belum berjaya diubah.

Kesimpulannya, walaupun diet ketogenik sinonim dengan penurunan berat badan yang pantas, diet ekstrim adalah berbahaya jika pengamalannya tidak dipantau oleh pakar dietetik atau pakar pemakanan serta doktor perubatan bertauliah. Oleh itu, adalah amat disyorkan untuk bertemu dan berbincang bersama ahli profesional kesihatan ini dan memilih diet yang sesuai dengan kondisi dan status kesihatan tubuh sebelum memulakan diet.

Kelumpuhan Sewaktu Tidur: Adakah Saya ‘Ditindih’ Hantu?

Pernahkah anda mengalami satu keadaan yang mana anda merasa ‘dihempap’ atau ‘ditindih’ oleh sesuatu yang berat sewaktu anda terjaga dari tidur pada waktu malam ?. Adakah anda dapat menjerit atau menggerakkan anggota badan seperti tangan pada ketika itu? Masihkah anda ingat apakah perasaan anda pada waktu itu? Apakah anda berasa takut yang teramat atau menjadi panik? Keadaan yang dinyatakan di atas adalah satu manifestasi yang disebut sebagai kelumpuhan sewaktu tidur atau ‘sleep paralysis’ dalam istilah Bahasa Inggeris.

Kelumpuhan sewaktu tidur ini umumnya dikaitkan dengan gangguan syaitan atau jin dalam masyarakat kita. Tahukah anda bahawa keadaan ini merupakan satu fenomena global yang telah berabad lama dibahaskan? Terdapat lebih daripada seratus budaya di dunia yang menggunakan istilah tersendiri bagi menggambarkan kelumpuhan sewaktu tidur. “Phi um” merupakan istilah Siam yang menggambarkan keadaan yang mana seseorang diselubungi hantu sewaktu kelumpuhan tidur terjadi. Masyarakat Mesir pula beranggapan keadaan ini adalah satu serangan daripada jin. Dalam masyarakat Itali di daerah Abruzzo, keadaan ini dikenali dengan istilah serangan “Pandafeche” yang mana seseorang merasakan kehadiran entiti ghaib yang menghalang pergerakan dengan menghempap dada. Berbeza dengan budaya lain, sebahagian masyarakat Inggeris pula beranggapan keadaan ini adalah akibat daripada roh yang keluar daripada badan sewaktu tidur yang gagal masuk semula ke dalam tubuh sewaktu seseorang terjaga dari tidur. Pada abad pertengahan di Parsi, keadaan ini dikenali dengan istilah “kabus” yang bermaksud mimpi ngeri. Seorang ilmuan Islam yang bernama Akhawayni dalam bukunya yang bertajuk “Hidayat”, telah memberikan penjelasan saintifik berkaitan dengan kelumpuhan sewaktu tidur pada zaman puncak kepercayaan mistik dalam menjelaskan keadaan ini.

Dari sudut perubatan, kelumpuhan sewaktu tidur terjadi pada fasa yang dikenali sebagai ‘rapid eye movement’(REM) atau fasa pergerakan mata yang cepat. Pada fasa ini, kelumpuhan otot sementara terjadi pada sebahagian besar bahagian tubuh. Mimpi merupakan salah satu manifestasi yang terjadi pada fasa ini. Kelumpuhan sementara ini adalah satu bentuk pencegahan daripada seseorang bertindak balas terhadap mimpi ngeri yang dialaminya. Sekiranya seseorang tersedar sewaktu memasuki atau keluar dari fasa REM, individu tersebut akan merasakan kelumpuhan ini. Pada ketika ini, deria seseorang adalah utuh yang menyebabkan seseorang dapat mendengar, merasa atau melihat. Hal ini dapat terjadi selama beberapa saat sehingga beberapa minit. Tempoh yang lama dikaitkan dengan tekanan yang lebih tinggi. Pada waktu ini, bahagian otak tertentu diaktifkan yang menyebabkan seseorang mempunyai persepsi bahawa terdapat sesuatu entiti yang berada berhampiran dengannya. Penampakan entiti tersebut juga dapat terjadi akibat daripada aktiviti bahagian otak tertentu.

Terdapat pelbagai penyebab yang mungkin dikaitkan dengan kelumpuhan sewaktu tidur. Kekurangan tidur atau pola waktu tidur yang terganggu seperti bekerja syif yang tidak menentu mungkin menyebabkan kelumpuhan sewaktu tidur. Trauma atau pengalaman hidup yang mengancam juga dikaitkan dengan keadaan ini. Pengalaman berkaitan penderaan seksual pada zaman kanak-kanak adalah faktor lain yang dikaitkan dengan kejadian kelumpuhan sewaktu tidur. Seseorang yang mempunyai masalah kegelisahan (anxiety disorder) atau gangguan pasca trauma mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding individu yang tidak mengalami masalah yang sama. Kajian yang dijalankan untuk mengetahui hubungan antara kelumpuhan sewaktu tidur dan faktor genetik menemukan keadaan ini dapat diturunkan atau diwarisi.

Jadi, apakah yang boleh saya lakukan bagi mengatasi masalah kelumpuhan sewaktu tidur? Tidur yang cukup adalah penting bagi mendapatkan rehat secukupnya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pada keesokan hari. Anda disarankan untuk tidur selama 6 – 8 jam sehari. Tidur dan bangun pada waktu yang sama juga digalakkan agar dapat mengekalkan pola tidur yang sihat. Kerap bersenam adalah satu rutin yang dapat meningkatkan kualiti tidur tetapi harus diingatkan, senaman yang dilakukan seboleh-bolehnya lebih daripada 4 jam sebelum anda tidur. Elakkan daripada mengambil makanan yang berat sebelum tidur. Minuman yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi juga harus dielakkan. Selain itu, elakkan daripada tidur pada posisi terlentang bagi mengurangkan risiko kelumpuhan sewaktu tidur. Jika anda merasa keadaan ini berlanjutan dan mengganggu aktiviti harian anda, dapatkan rawatan lanjut. Antara contoh gejala-gejala yang memerlukan anda mendapatkan rawatan segera adalah serangan tidur yang mendadak yang dapat terjadi beberapa kali sewaktu anda melakukan aktiviti dan rasa mengantuk yang berlebihan pada siang hari. Anda boleh berjumpa doktor untuk membincangkan masalah ini. Ini adalah kerana kelumpuhan tidur boleh disebabkan oleh masalah lain seperti narkolepsi, kebimbangan melampau atau gangguan pasca trauma. Doktor mungkin menjalankan beberapa ujian bagi mengenal pasti masalah yang anda alami dan memberikan ubat tertentu bagi mengatasi masalah tersebut.

Kesimpulannya, masalah kelumpuhan sewaktu tidur merupakan satu masalah umum yang dapat menimbulkan kerisauan atau ketakutan kepada sebahagian individu yang mengalaminya. Pelbagai faktor dikaitkan dengan masalah ini dan anda wajar mendapatkan nasihat atau rawatan sekiranya ianya menganggu. Artikel ini menyentuh masalah ini dari aspek perubatan dan berharap dapat memberikan pencerahan dan maklumat kepada pembaca mengenai masalah kelumpuhan sewaktu tidur.

Menyuburkan Amalan Kelestarian Islam melalui Wakaf Air

Wakaf merupakan suatu platform yang menjadi tulang belakang bagi ketamadunan dan peradaban dunia Islam. Semenjak berkurun lamanya, sistem wakaf telah membangunkan pelbagai prasarana untuk kesejahteraan masyarakat dari sudut kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian. Namun dewasa ini, amalan berwakaf dilihat kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam di MalaysiaLebih malang lagi apabila wujudnya persepsi yang salah berkenaan wakaf apabila ia dihadkan untuk beberapa aspek sahaja seperti pembinaan masjid, surau, sekolah agama dan tapak perkuburan, walhal sistem wakaf seharusnya bersifat dinamik dan progresif sejajar dengan perubahan zaman.

 

Menurut sejarah, sistem wakaf yang diperkenalkan Islam telah mewujudkan satu kerangka komprehensif dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal filantropi di peringkat universal. Wakaf mencapai kemuncaknya pada era Empayar Uthmaniyyah apabila lebih 35,000 yayasan wakaf telah ditubuhkan yang memayungi pembangunan pelbagai infrastruktur awam seperti masjid, pusat pendidikan, perpustakaan, hospital, pasar awam dan kompleks komuniti (kulliyye). Wakaf juga dianggap sebagai amalan mulia yang menjadi kebanggaan di kalangan bangsawan dan hartawan pada masa itu.

 

Pada era tersebut, umat Islam amat kreatif dalam amalan berwakaf dan mengembangkannya sehingga turut merangkumi pembangunan rumah penginapan musafir (karavansarai), dapur rakyat (imaret), pusat rawatan spiritual dan psikologi, rumah perlindungan anak yatim, rumah penjagaan warga tua, bantuan untuk pasangan baru berkahwin, wakaf untuk haiwan, serta sistem pengangkutan dan pembinaan jalan raya. Selain daripada itu, wakaf turut digunakan untuk membangunkan infrastruktur air seperti jambatan, kolam mandi awam (hammam), sistem pancuran air serta sistem saliran air untuk keperluan harian, kebersihan dan pengairan taman dan ladang.

 

Ia selari dengan kemajuan dan teknologi dalam bidang hidrologi yang telah dicapai oleh umat Islam pada waktu itu. Banyak infrastruktur air telah dibangunkan oleh tamadun Islam seperti ‘Ain Zubaidah – terusan dan pusat pengumpulan air untuk kemudahan jemaah haji yang dibina pada era Khalifah Harun Al-Rasyid, aljibes atau tempat takungan air berkapasiti besar yang dilengkapi sistem perpaipan dan saliran, noria – mesin berkuasa hidro yang membekalkan air untuk kawasan bandar dan kampung, nilometer – alat untuk mengukur ketinggian air dan memberikan amaran awal banjir, serta sistem hidrologi yang kompleks tinggalan tamadun Moorish di Alhambra. Bahkan antara wakaf terawal di kalangan sahabat adalah wakaf perigi dan kebun kurma oleh Saidina Uthman bin Affan yang menjadi model wakaf lestari.

 

Mata Air Padang Pasir

 

Noria

 

Nilometer

 

Cendekiawan Islam seperti Ismail Al-Jazari pula telah mencipta pelbagai teknologi berkaitan air seperti saqiya (alat mengangkut air mekanikal), mesin menyedut air dengan piston dan injap, sistem bekalan air dengan kuasa hidro, jam hidraulik, mesin membasuh tangan dan mesin mengepam tandas.

 

Diagram Saqiya

 

Oleh kerana itu, langkah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memperkenalkan Wakaf Air (Tabung Wakaf Air Nasional) adalah satu usaha yang baik bagi menghidupkan amalan kelestarian di kalangan masyarakat, terutamanya apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air daripada bukit akibat pembalakan yang tidak terkawal.

 

Melalui inisiatif ini, sumbangan wakaf daripada orang ramai atau badan swasta akan diuruskan bagi membiayai projek pembangunan infrastruktur air berskala kecil seperti menggali perigi, membina empangan mini serta membeli peralatan untuk pengepaman, pemasangan paip, saliran, tapisan dan tangki takungan air. Infrastruktur air ini juga bakal memastikan bekalan air kepada masyarakat akan sentiasa berterusan. Ia juga boleh membantu menyelesaikan isu bekalan air, terutamanya di pedalaman dan luar bandar, yang lokasinya jauh daripada paip utama. Melihatkan kepada krisis pencemaran air yang melanda negara baru-baru ini, ia mungkin boleh merangkumi fasiliti untuk pemantauan kualiti dan tahap pencemaran air berasaskan teknologi terkini seperti sistem pintar dan Internet pelbagai benda (IoT).

 

Inisiatif ini bakal diperkemaskan dengan penubuhan sebuah task-force yang bakal dianggotai badan berkepentingan seperti Yayasan Wakaf Malaysia dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam mewujudkan urus tadbir yang efisien dan sinergi yang efektif antara pelbagai organisasi. Ia selari dengan hasrat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 64/292 yang memberikan pengiktirafan terhadap kepentingan mendapatkan bekalan air bersih untuk sumber minuman dan sanitasi sebagai hak asasi sejagat, yang turut menyeru kepada semua negara untuk membangunkan infrastruktur dan teknologi untuk membekalkan air bersih, selamat dan mampu-milik untuk semua.

 

Usaha murni ini juga perlu disokong oleh badan dan organisasi berkaitan pengairan, saliran, bekalan, rawatan dan pemeliharaan sumber air di seluruh negara. Inisiatif ini juga akan lebih berkesan dengan dokongan majlis agama Islam di setiap negeri. Bagi meningkatkan lagi impaknya, usaha ini boleh dijalinkan dengan instrumen dan platform kewangan Islam yang lain, termasuklah mengaplikasikan platform digital seperti crowdfunding yang sedia ada di Malaysia demi mengoptimumkan sumbangan dan pendanaan awam. Wakaf Air akan dilancarkan pada bulan September 2020 dengan projek pertamanya dijangka bermula pada bulan Disember 2020.

Ini Yang Korang Tak Tahu Sejarah Basikal!

Basikal merupakan sumber transportasi yang sangat mudah. Tanpa mengunakan sumber tenaga minyak atau elektrik. Hampir semua daripada kita yang hidup ini mampu menunggang basikal walau kecik besar mahupun dua atau empat roda sekali pun. Tak lupa juga, basikal juga boleh dikatakan “kenderaan” pertama yang kita belajar dulu kan? Jadi harini Thelaki nak sembang sikit info tentang kewujudan dan sejarah basikal.

SEJARAH BASIKAL

Sebenarnya kalau kita nak bercerita tentang sejarah disebalik kewujudan basikal ni memang sampai esok pun kita tak akan habis. Tapi untuk dibincangkan secara ringkasnya, sebelum terciptanya basikal versi moden seperti zaman sekarang ni. Mengikut sejarah, basikal mula ditemui pada abad ke-16 dimana terdapat sebuah lakaran oleh pelukis terkenal Leanardo da Vinci, didalam lakaran tersebut terlihat beberapa reka bentuk sebuah basikal. Namun beberapa pakar sejarah percaya lakaran tersebut adalah hasil daripada anak murid Leonardo, Gian Giacomo Caprotti atau lakaran tersebut adalah fake. Pada zaman itu, tiada lagi kewujudan hasil ciptaan sebuah basikal dan kuda masih lagi kekal sebagai sumber transpotasi.

Pada abad ke-19 pula, rekaan basikal pertama dipercaya dicipta di Eropah oleh seorang warga negara Jerman bernama Baron Karl von Drais. Basikal pertama ciptaan Baron Karl von Drais ini dikenali sebagai “Laufmaschine”, ianya mempunyai 2 roda tetapi ianya tiada pedal mahupun, maka penunggang “Laufmaschine” harus berjalan atau berlari untuk mendapatkan momentum kelajuan dengan pergerakan “Laufmaschine”. Rekaan basikal “Laufmaschine” Baron Karl ini akhirnya diubahsuai di England dan berjaya dikomersialkan sebagai “Dandy Horse”.

Kewujudan basikal yang didatangkan dengan pedal dan rantai mulai tercetus pada tahun 1885 oleh John Kemp Starley yang mula mencipta rekaan basikal ini yang dinamakan “safety bicycle”. Hasil ciptaan John Kemp Starley merupakan ciptaan yang amat penting dalam sejarah basikal kerana ianya didatangkan dengan rantai yang disambungkan pada pedal dan roda. Dengan hasil ciptaan John Kemp Starley ini juga, ternama era pada sejarah basikal yang dikenali sebagai “Golden Age of Bicycles”, pada era ini kita dapat lihat dimana rekaan dan peralatan basikal di standardizedkan di seluruh dunia.

FAKTA VELOCIPEDE!

Velocipede adalah terma yang mengambarkan kenderaan darat berkuasa manusia dengan dua atau lebih roda yang kini sinonim dengan perkataan basikal. Pada abad ke-19, perkataan Velocipede ini sangat popular kerana ianya mengambarkan sebuah kederaan yang mempunyai roda dan pedal, tetapi ianya juga tetap dikaitkan dengan Dandy Horses, Draisienne ataupun Hobby Horses yang diciptakan oleh Baron Karl Drais. Kalau di England, mereka tidak memanggil ciptaan ini sebagai Velocipede, tetapi ianya dikenali sebagai Boneshaker kerana ianya memberikan penunggang “pengalaman gemetar tulang”.   

FOBIA BASIKAL?

Tahukah korang jika korang ataupun orang yang korang kenali mempunyai perasaan takut untuk membawa atau menaiki basikal, ianya merupakan sebuah fobia yang dikenali sebagai Cyclophobia atau Bicyclophobia. Cyclophobia biasanya dicetuskan daripada pengalaman negatif yang melibatkan menunggang basikal seperti terjatuh ataupun kepenatan yang berpanjangan.

Dari Mana Asal Usul Lion Dance?

Salah satu perayaan yang selalu dinantikan pada setiap tahun baru di negara kita ini sudah tentunya sambutan perayaan hari raya cina. Pada setiap tahun, sambutan hari raya cina adalah salah satu sambutan yang paling meriah. Kemeriahan sambutan hari raya cina ini dapat kita rasakan walaupun ianya 2-3 bulan menjelang perayaan ini. Kita dapat dengar lagu-lagu hari raya cina berkumandang di shopping mall dan tempat-tempat tarikkan pelancong, bukan hanya lagu malah, lampu-lampu serta dekorasi untuk tahun baru cina ini sudah kelihatan meriah. Tak lupa juga bila tiba musim hari raya cina ini, kita juga dapat menikmati limau-limau Mandarin yang boleh kita dapatkan di merata tempat.

Seperti yang kita sedia maklum, tarian singa atau lion dance adalah sebahagian daripada budaya cina dan setiap perayaan tahun baru kita sering dapat lihat tarian singa menjadi sebahagian daripada upacara untuk memeriahkan lagi sambutan tahun baru cina. Jadi kali ini Thelaki nak bagi info tentang sejarah yang menarik tentang lion dance!

SEJARAH LION DANCE

Mengikut sejarah bagaimana terciptanya tarian singa ini terjadi. Menurut sumber Locco.com.my, sejak dari zaman Dinasti China purba, tarian tradisional yang mengunakan penari memakai topeng atau kostum haiwan telah lama diamalkan. Namun deskripsi penuh penjelasan tentang tarian singa hanya muncul pada zaman Dinasti Tang di dalam kesusasteraan Cina.

Tarian singa ini terdapat dua jenis utama yang berbeza mengikut spesifik tempat asal tarian singa tersebut iaitu tarian Singa Utara dan tarian Singa Selatan. Kalau di Malaysia, tarian singa yang dikenali adalah tarian Singa Selatan, ianya berasal dari Guangdong dan ianya mempunyai kaitan dengan kisah raksasa mitos kuno bernama “Nian”.

Kisah dan sejarah singa Utara pula berbeza dengan tarian singa Selatan. Tarian singa Utara sebaliknya menyerupai anjing Peking dan tarian singa Utara ini kebiasaannya dikenali di mainland China.

TARIAN SINGA ADA KUNG FU?

Walaupun tarian singa dikenali ramai sebagai sejenis tarian tradisional Cina namun ianya tidak terlalu dikategorikan sebagai tarian kerana ianya berkait rapat dengan pergerakkan Kung Fu. Keunikkan tentang tarian singa ini adalah ia sebenarnya merupakan tarian atau pergerakkan yang mengabungkan style pergerakkan Kung Fu terutama sekali style pergerakkan Kung Fu Fo Shan dan He Shan. Salah satu sebab kenapa pergerakkan Kung Fu digabungkan didalam tarian singa adalah untuk menyerlahkan ekspresi dan menunjukkan kekuatan yang diterapkan dalam tarian singa.

 

POPULARITI BUDAYA LION DANCE

Pada zaman 60an dan 70an, ketika era filem filem klasik seni mempertahankan diri di Hong Kong sangat popular. Filem-filem Kung Fu seperti antaranya filem Wong Fei Hung lakonan Jet Li menunjukkan babak bagaimana tarian singa menerapkan pergerakkan Kung Fu. Pada zaman tersebut, tarian singa dilatih dan dipersembahkan mengunakan skills Kung Fu atau Wushu.

Filem-filem pada tahun 90an juga banyak memaparkan tarian singa. Antaranya filem Once Upon a Time in China yang melibatkan plot tentang tarian singa. Malah, Jet Li juga pernah melakukan melakonkan watak sebagai penari tarian singa dalam beberapa filem beliau.

Nak Wajah Berseri Dan Bersinar? Cuba Amalkan Tiga Air Ni

nak wajah berseri dan bersinar? cuba amalkan tiga air ni

Banyak je cara cara untuk menjaga kulit wajah agar sentiasa tampak sihat dan berseri. Salah satu cara atau tips yang paling mudah  adalah hanya minum 3 jenis air minuman ini.

 

Teh Hijau

Semua orang tahu kehebatan teh hijau.Banyak faeadahnya dan baik untuk kesihatan. Ia mengandungi antioksidan yang dapat menyeimbangkan hormone.

Susu Kunyit

Korang pernah tak dengar susu kunyit? Sememangnya Ia diperbuat daripada kunyit, dan susu. Minuman ini mengandungi antibakteria yang bantu mengurangkan kemerahan dan iritasi.

Air Suam

Tidak dinafikan air suam memang sangat digalakkan untuk diminum setiap masa. Pengamalan minum air suam pada awal pagi selepas tidur  melancarkan dan membuang segala toksin dalam badan dan sekali gus menaikkan seri wajah melalui dalaman anda.

Kesimpulannya, ketiga tiga air minuman itu perlu diamalkan setiap hari kalau nak wajah anda glowing glowing gitew! Mudah je kan? Kita just kena kekal hydrasi, minum air secukupnya, untuk menaikkan seri wajah.

Apa Itu Blackheads?

Cuba korang ambik masa untuk sentuh kejap kulit muka korang, rasa kulit muka korang macam mana? Berminyak tak? tak rata sebab rasa macam ada something kat dalam kulit muka korang kan? Kadang-kadang rasa macam gatal-gatal sikit dan ada kalanya korang macam nak picit je kan, tak kiralah blackheadswhiteheads atau pun jerawat yang memang membesar.

APA ITU BLACKHEADS?

Sebelum kita bercerita lebih tentang macam mana nak hilangkan blackheads. Mari kita rungkai dulu blackheads ini sebenarnya apa? OKAY! Bila pori-pori di muka korang tersumbat dengan minyak, serpihan micro dan sel-sel kulit mati. Ada 2 perkara yang boleh terjadi di permukaan kulit muka korang, iaitu blackheads atau whiteheads. Jadi punca yang berlakunya blackheads di muka adalah akibat pori-pori muka yang tersumbat dengan minyak serta sel-sel kulit yang mati.

BLACKHEAD VS WHITEHEAD

Tadi kita ada katakan terdapat dua perkara yang boleh terjadi di kulit korang (muka terutama sekali). Iaitu blackheads dan whiteheads. Tapi apa perbezaan antara blackheads dan whiteheads sebenarnya? Mungkin blackheads dan whiteheads kelihatan agak berbeza tapi kedua-duanya mempunyai sebab punca yang sama dan korang boleh merawat kedua-duanya dalam pada masa yang sama. Jerawat masih lagi jerawat, sama ada warnanya merah, putih atau hitam sekalipun. Blackheads dan whiteheads juga kita ketahui berpunca daripada sebab yang sama. Tetapi kedua-duanya jenis jerawat ini menghasilkan reaksi yang berbeza pada kulit.

Walaupun blackheads dan whiteheads berpunca daripada minyak, kulit mati serta bakteria yang terperangkap didalam pori-pori kulit. Perbezaan blackheads dan whiteheads adalah pori-pori blackheads yang tersumbat dan terperangkap kekal terbuka kepada udara, ini menyebabkan pertukaran warna tersebut kepada lebih gelap. Nama ilmiah untuk blackheads adalah open comedone.

Whiteheads pula terjadi apabila serpihan-serpihan micro seperti minyak, kulit mati dan bakteria terperangkap didalam pori-pori dan tidak meregangkan pori-pori dan pori-pori menutup sumbatan tersebut yang menjadikan benjolan berwarna putih atau kuning. Nama ilmiah untuk pula adalah closed comedones.

CUCI MUKA, SELALU!

Kita dah tahu dah apa dan bagaimana punca kepada blackheads dan whiteheads ni kan? Jadi sekarang kita nak kena tahu juga macam mana cara untuk mengatasi masalah kulit muka ni. Cara yang paling mudah dan simple tetapi perlukakan rutin yang konsisten adalah dengan mencuci muka korang setiap kali korang mandi. Mandi pagi pastikan korang cuci muka dan sebelum tidur juga pastikan korang cuci muka. Gunakan produk-produk pencuci muka seperti cleanser yang boleh didapati di kedai-kedai seperti farmasi atau kedai-kedai yang menjual produk penjagaan. Jangan korang guna sabun cuci badan untuk cuci muka sekali pulak, tak boleh tau!

Selain mencuci muka dengan sabun pencuci muka yang betul. Pastikan korang gunakan juga moisturiser untuk kulit muka korangmoisturiser membantu untuk mengekalkan kulit daripada kering dan kusam. Lebih elok kalau korang letak moisturiser sebaik selepas mencuci muka sebab ketika itulah pori-pori korang masih lagi segar terbuka.

JANGAN PICIT LAH

Ya kawan-kawan bila kulit atau kulit muka kita gatal, memang kita ada nafsu untuk garu ataupun lagi drastik, kita akan cuba untuk picit blackheadswhiteheads atau jerawat-jerawat yang makin membesar tu kan? Cara paling efektif sekali adalah untuk jangan picit, rawat dengan betul dengan mencuci muka dan mengunakan cream yang sesuai untuk muka korang.

Kalau korang degil dan picit jugak, ianya akan membuatkan permukaan kulit korang berdarah dan menyebabkan kesan parut pada kawasan jerawat tersebut. Bila perkara ini terjadi, maka korang perlukan pula masa untuk merawat kesan parut tersebut kerana ianya bukan sahaja parut tetapi akan meninggalkan kesan gelap dipermukaan kawasan tersebut. Terus hilang kehandsomeman korang nanti huhuhu