BUKIT Golan dahulunya milik Syria. Namun, ia kini dijajah oleh Israel selepas memperoleh kemenangan dalam Perang Enam Hari yang berlaku pada tahun 1967.
Susulan kemenangan itu, rejim Zionis mewujudkan dan meluluskan Undang-Undang Bukit Golan pada 14 Disember 1981, sekali gus membolehkan Israel melakukan pembangunan di tanah yang dijajahnya.
Bagaimanapun, langkah tersebut tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Syria pula cuba merebut kembali Bukit Golan ketika berlakunya Perang Timur Tengah pada tahun 1973.
Perang itu menyebabkan kerugian besar kepada tentera Israel.
Namun, serangan mengejut tentera Syria itu tetap berjaya digagalkan.
Israel dan Syria kemudian menandatangani perjanjian gencatan senjata pada tahun 1974 menyebabkan pasukan pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah ditempatkan di garisan gencatan senjata di Bukit Golan.
Sungguhpun begitu, Israel tidak mempedulikan kritikan masyarakat antarabangsa.
Sebaliknya, ia mengambil keputusan untuk membuka penempatan haram Yahudi di Bukit Golan menerusi undang-undang diwujudkannya.
Bukit Golan merupakan kawasan yang strategik buat Israel.
Kawasan dataran tinggi dengan purata ketinggiannya iaitu kira-kira 1,000 meter sekali gus membolehkan rejim Zionis memantau pergerakan tentera Syria.
Ia juga merupakan sumber utama air untuk sebuah kawasan yang gersang.
Ini adalah kerana air hujan dari tadahan Bukit Golan mengalir ke Sungai Jordan.
Sungguhpun begitu, Syria tetap berusaha menuntut Bukit Golan yang seluas 1,200 kilometer persegi yang juga menghadap ke Lubnan dan bersempadan dengan Jordan.
Syria mahu mendapatkan kembali Bukit Golan melalui perjanjian damai dengan Israel.
Pada akhir 2003, Presiden Syria, Bashar Al-Assad pernah berkata, beliau bersedia untuk menghidupkan semula rundingan damai dengan Israel.
Bashar Al Assad
RUNDINGAN
Di Israel, prinsip memulangkan wilayah sebagai balasan kepada keamanan telah pun diwujudkan.
Semasa rundingan damai yang mana Amerika Syarikat (AS) menjadi pengantara pada tahun 1999 hingga 2000, Perdana Menteri Israel ketika itu, Ehud Barak telah membuat tawaran untuk mengembalikan sebahagian besar Bukit Golan kepada Syria.
Namun, isu itu masih lagi tidak dapat diselesaikan dan Syria masih mahukan pengunduran penuh Israel dari Bukit Golan.
Rundingan tidak langsung antara Israel dan Syria kemudian disambung semula pada tahun 2008 melalui perantara kerajaan Turki tetapi digantung berikutan peletakan jawatan Ehud Olmert sebagai Perdana Menteri Israel atas tuduhan rasuah.
Ketika AS ditadbir oleh Barack Obama, beliau mengumumkan akan memulakan semula rundingan antara Israel dan Syria sebagai salah satu matlamat dasar luarnya tetapi apabila meletusnya Perang Saudara di Syria pada tahun 2011, ia sekali gus menjejaskan rundingan tersebut.
Israel membangunkan penempatan haram di Katsrin, Bukit Golan sejak bertahun-tahun lalu. – Foto AFP
Bagaimanapun, keputusan untuk menambah penempatan haram Yahudi itu dibuat selepas AS ketika di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan pada tahun 2019.
Ketika itu, sebahagian masyarakat antarabangsa menganggap pendudukan rejim Zionis terhadap wilayah strategik itu sebagai haram.
Ia juga dibuat ketika Perdana Menteri, Naftali Bennett berkuasa di Israel.
Bennet mahu menambah bilangan penempatan haram melalui rancangan lima tahun yang melibatkan peruntukan sebanyak satu bilion shekel (RM1.3 bilion) manakala lebih 10,000 unit kediaman dengan satu pertiga daripadanya akan dibina di Katsrin, Bukit Golan.
PENDUDUK YAHUDI LEBIH RAMAI
Menurut Datuk Bandar Katsrin, Dimi Apartzev, dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, Katsrin akan berkembang daripada populasi 9,000 penduduk kepada 50,000 hingga 60,000 penduduk haram Yahudi.
Sekurang-kurangnya 25,000 peneroka haram Israel kini tinggal di Bukit Golan.
Terdapat sekurang-kurangnya 23,000 penganut agama Druze kekal berada di Bukit Golan ketika Israel menjajahnya.
Penganut-penganut agama itu masih menganggap diri mereka sebagai rakyat Syria.
Kebanyakan mereka tinggal di lima buah kampung di sempadan Syria iaitu kira-kira 40 kilometer di utara Katsrin.
Bagaimanapun, Nazih Brek iaitu seorang perancang bandar di sebuah pertubuhan hak-hak asasi manusia Arab di Bukit Golan yang mendokumentasikan pendudukan Israel berkata kepada AFP: “Buat pertama kalinya, bilangan peneroka (haram Yahudi) lebih besar daripada jumlah penduduk Syria (Druze) di situ.”
Sementara itu, seorang pelajar universiti, Hany Zahwah dari Bukit Golan dilaporkan berkata kepada AFP bahawa generasi baharu kini yang terdiri daripada penganut Druze sedang menghadapi krisis indentiti dan menjalani proses Israelisasi.