Episod semester pertama program bridging pun bermula.. Jika batch yang terdahulu, kelas mereka diadakan secara fizikal sepenuhnya di UTM JB, berlainan pula dengan batch kami.
Berikutan pandemik Covid-19 yang telah melanda negara sejak 2019 dan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularannya, pihak penganjur telah menetapkan kelas teori hanya dilakukan secara di atas talian.
Kelas telah diadakan selama sebulan bermula 26 Februari sehingga 26 Mac 2022 pada setiap hari jumaat dan sabtu bermula jam 8.30am sehingga 6.30pm. Secara keseluruhannya, terdapat 28 subjek yang perlu dipelajari bagi semester ini yang berkisarkan perihal universiti serta hal-hal perkhidmatan di universiti.
Pihak penganjur program telah menetapkan pembahagian markah adalah berdasarkan kepada pecahan berikut: kehadiran (40%), tugasan (30%) dan kuiz (30%). Kebiasaannya, kuiz akan diadakan selepas waktu kuliah secara atas talian menggunakan Google Form.
Manakala bagi tugasan akan diberikan tempoh masa secara puratanya dalam satu hingga dua minggu untuk disiapkan dan dihantar kepada tenaga pengajar melalui emel.
Alhamdulillah, selesai sudah sesi kelas bagi semester pertama dengan jayanya selepas berhempas pulas mengorbankan cuti hujung minggu selama sebulan. Terima kasih diucapkan kepada semua tenaga pengajar yang terlibat dalam mendidik dan mengajar kami semua. ?