AUGMENTASI REALITI (AR)
APA ITU AUGMENTASI REALITI?
- Augmentasi Realiti (AR) adalah pengalaman interaktif dalam persekitaran dunia sebenar dimana objek yang berada di dunia nyata “ditambah” oleh maklumat persepsi genetik komputer (Leow & Lam, 2019).
- AR menggabungkan kandungan digital ke alam realiti dengan cara unjuran (projection) objek maya dua dimensi (2D), video atau animasi 3D, dan kemudiannya dipaparkan dan diperlihatkan seperti benar-benar wujud di dunia nyata.
- Lapisan digital ini ditindihkan pada dunia fizikal sebenar dan ia mencampurkan dunia sebenar dengan dunia maya untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
CONTOH APLIKASI AUGMENTASI REALITI
Dalam industri pemasaran, IKEA telah mengaplikasikan AR dalam penjualan produk dan penyediaan perkhidmatan layanan kepada pelanggan untuk menghiaskan ruang rumah mereka. Melalui aplikasi IKEA Place, pengguna hanya perlu mengacukan kamera telefon pada satu ruang sudut ruang di rumah dan meletakkan objek maya, misalnya sofa idaman ke sudut ruang tersebut. Produk sofa dipilih daripada senarai katalog IKEA dalam aplikasi berkenaan. Apabila gambar sudut atau ruang rumah difokuskan, maka sofa idaman akan dipaparkan secara maya pada skrin telefon.
PERBEZAAN AR DAN VR
Dua trend teknologi terkini AR dan VR ini sebenarnya telah muncul kira-kira sedekad yang lalu. Ramai yang menyangka kedua-dua teknologi ini serupa tapi sebenarnya mereka tidaklah sama. Berikut merupakan perbezaan yang boleh dilihat pada AR dan VR
AUGMENTASI REALITI (AR) | REALITI MAYA (VR) |
---|---|
Memerlukan peranti pintar yang serasi seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dll | Memerlukan peranti pelekap kepala (HMD) atau peralatan tambahan |
Lapisan digital ditumpangkan pada dunia fizikal sebenar | Teknologi komputer digunakan untuk mencipta simulasi dunia maya |
Campuran dunia nyata dan dunia maya | Mencipta seluruh dunia maya |
Pengguna dapat membezakan dengan jelas antara dunia nyata dan dunia maya | Pengguna sukar untuk membezakan apa yang nyata dan apa yang maya |
Pengguna tidak terputus dari dunia nyata | Pengguna benar-benar tenggelam dalam dunia buatan, terputus dari dunia nyata |
APLIKASI TEKNOLOGI AUGMENTASI REALITI DALAM URUSAN KERJA DI UTM
Teknologi telah memainkan peranan penting dalam pendidikan di seluruh dunia. Dalam era digital ini, teknologi telah mengubah cara kita belajar dan mengajar. Tiada siapa yang menyangka teknologi AR dan VR bakal merubah landskap pembelajaran masa depan. Berikut merupakan beberapa elemen yang sesuai untuk mengintegrasikan AR.
- Ujikaji Makmal – Teknologi AR membolehkan pelajar untuk melihat, merasai dan mengalami konsep dan topik pembelajaran secara langsung. Sebagai contoh, pelajar yang menjalankan ujikaji makmal menggunakan bahan kimia tidak perlu risau untuk membersihkan atau menyedut gas berbahaya.
- Pengajaran dan Pembelajaran – Isi kandungan pembelajaran yang dipaparkan melalui aplikasi Video AR dapat membantu menarik minat pelajar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.
- SOP Peralatan – SOP peralatan yang dilabel dengan marker AR membolehkan pengguna sama ada penyelidik atau pelajar pascasiswazah untuk melihat video cara mengendalikan alat dengan bantuan minima daripada pegawai yang bertanggungjawab.
- Pelabelan Bahan-Bahan Kimia – maklumat bahan kimia seperti SDS dan tarikh tamat tempoh boleh terus diperolehi dalam masa yang singkat. Menjimatkan masa menguruskan sisa bahan buangan terjadual.
- Jadual Penggunaan Makmal – Pensyarah dan pelajar boleh mendapatkan maklumat jadual penggunaan makmal dan alatan makmal sekaligus memudahkan proses permohonan penggunaan makmal dan alatan makmal.
Sesungguhnya teknologi AR sangat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita. Dengan konsep dunia dihujung jari, perkembangan industri gadjet dari hari ke hari dan penggunaan telefon pintar yang menjadi sebati dalam kehidupan harian kita maka teknologi AR sangat membantu memudahkan segala urusan. AR dan VR ini dijangka akan berintegrasi dengan kehidupan harian tidak lama lagi malah mungkin akan digunapakai dalam latihan bagi sesetengah industri di muka bumi ini.