Legasi Hj Janudin bin Jam

 

 

 

 

 

IMG_6989

 

Sejarah/Latarbelakang Allahyarham Hj Janudin Bin Jam

 

image   

image

 

Haji janudin Bin Jam dikatakan berasal dari keturunan anak Datuk Senara (pembuka Pekan Jasin, Melaka) yang yang ke 5, Tok Kedek (perempuan). Tok Kedek berkahwin dengan Meraja Lebeh yang dipercayai orang Rawa, Sumatera dan mungkin nama melayunya Saleh. Pasangan ini dikurniakan beberapa orang anak iaitu Tok Rentang, Kulub Peching (Ibrahim), Jam @Jamudin dan Kipas. Hj Janudin adalah anak hasil perkahwinan Jam @ Jamudin dengan anak Pendekar Dohar bernama Banun. Kubur arwah Jam dikatakan terdapat di Kampung Kelubi, Jasin.

Hj Janudin dipercayai lahir sekitar tahun 1886, mendirikan rumahtangga pertama dengan Hjh. Minah Binti Buntal. Hasil perkahwinan ini, beliau dikurniakan dengan 7 orang anak iaitu Saba@Baba, Nyonya@Nyanya, Mohd Taib, Mohd Amin, Mohd Dom, Mohd Tan dan Saniah. Pasangan ini  bercerai tapi masih bersahabat baik hingga hujung usia. Selepas bercerai degan Hjh. Minah, Hj. Janudin dikatakan berkahwin dengan Som dari Kampung Kelubi dan dikurniakan seorang anak lelaki. Bagaimanapun tidak ramai dalam kalangan keluarga kini yang  tahu dengan sejarah  perkahwinan beliau dengan Som ini. Dikhabarkan, anak lelaki tunggal beliau bersama Som meninggal muda pada usia awal 20an dan tidak berkahwin.

Perkahwinan kali ke-3 Hj. Janudin adalah dengan Hjh. Endul Binti Jani dari Batu 19 ¼, Jalan Chinchin (Jasin Hilir). Pasangan ini dikurniakan dengan 4 orang anak Ebrahim, Ismail, Zaiteh dan Iza. Zaiteh berumur sekitar 12 tahun ketika itu dan Iza berumur 6 tahun apabila Hjh. Endul kembali ke rahmatullah pada tahun 1964. Hj Janudin berkahwin kali ke-4, dengan orang Serkam Darat, Merlimau iaitu Hjh. Arpah sekitar pertengahan tahun 60an. Perkahwinan ini dijalankan oleh Cikgu Ahmad, suami Esah bt Baba iaitu bapa kepada Zamariah. Pasangan ini tidak ada zuriat. Hj. Janudin merupakan seorang yang kuat agamanya. Pernah menunaikan haji beberapa kali termasuk dengan Hjh. Endul pada tahun 1957 atau 1958. Di rumah, beliau seorang yang tegas terutama kepada anak-anaknya. Walaupun berkemampuan, tiada sebarang peralatan hiburan seperti radio di rumah. Anak-anak yang tinggal bersamanya, tidak boleh mendengar radio atau pergi menonton wayang gambar. Hal ini berbeza pula dengan cucu-cucunya yang lebih mesra dan manja.

image

Hj. Janudin sangat tegas dalam mendidik anak-anak terutama dalam perihal perlakuan dan pendidikan. Ketika muda, beliau berniaga menjual kayu kayan. Haji Janudin seorang yang tidak suka berboros. Walau berharta, beliau amat bersederhana. Pakaian resminya, sarban, T-shirt pagoda, bush jacket, seluar cotton, kain sarung, tali pinggang hijau (haji) dan berkasut getah. Setiap hari, beliau akan ke kedai kopi kesukaannya dengan berjalan kaki ke Pekan Jasin yang sekitar 2 km jaraknya.

Sepanjang perjalanan pulang, beliau akan singgah ke rumah bekas isteri dan anak bagi melihat anak cucunya dan menghantar bekalan. Duit yang dikumpulnya sejak muda digunakan untuk membeli hartanah, ladang dan rumah kedai di Jasin dan Merlimau. Hasil dari ladang getah dan sewa kedai ini digunakannya untuk menampung kehidupan di hari tuanya. Disebabkan itu, ramai datang meminjam wang dengan beliau. Namun, ramai juga yang gagal membayar seperti dijanjikan. Lama-kelamaan beliau agak berhati-hati untuk meminjamkan wang. Mungkin disebabkan itu, digelar Haji Tekek. Hj. Janudin telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad, 10 Ogos 1969 bersamaan 26 Jamadilawal 1389H pada usia 83 tahun. Beliau terjatuh di bilik air rumah Batu 19 ¼, ketika ambil wudhu. Ketika itu isterinya Arpah dan Iza ada bersama. Jenazah Hj. Janudin dikebumikan bersebelahan arwah isterinya Hjh. Endul di Tanah Perkuburan Islam Batu 19, Jalan Chinchin.

image

Selepas pemergian Hj. Janudin, isteri ke-4 beliau iaitu Hjh. Arpah kembali semula di Serkam dan meneruskan kehidupan bersama ibu dan ahli keluarganya. Hjh. Arpah meninggal dunia sekitar tahun 1980an ketika menunaikan haji di Baitullah.