Hati kalau terlalu bersih,
pandangannya akan menembus hijab
hingga ternampaklah perkara yang ghaib.
Hati kalau sekadar bersih (pandangannya)
rasanya akan tepat sebagaimana kehendak Allah.
Tapi hati kalau tidak bersih (kotor),
bisikannya bukan lagi kebenaran.
Hati tempat jatuhnya pandangan Allah.
Jasad lahir tempat tumpuan pandangan manusia.
Utamakanlah tempat pandangan Allah,
daripada pandangan manusia.
Ibadah yang tidak dijiwai,
cepat mendatangkan rasa jemu dan terseksa.
Bila hati tenang, tempat yang sempit rasa luas
tapi bila hati gelisah, tempat yang lapang rasa menghimpit.
Berani, takut dan malu biar bertempat,
agar kita terhormat
Bila ulama cinta dunia, hilanglah kehebatannya,
tawarlah cakapnya dan manusia akan lari darinya.
Orang yang bertaqwa itu tetap dipandang hebat
oleh musuhnya (orang jahat)
sekalipun dia (musuh itu) membencinya.
Ramai orang mampu membuat
orang lain takut padanya
tapi tidak ramai yang berjaya
menjadikan orang lain hormatkannya.
Pemimpin yang bertentera, mungkin diikuti orang
kerana terpaksa dan berpura-pura.
Tapi pemimpin tanpa tentera,
kalau diikuti orang adalah kerana cinta.
Akhlak adalah bunga (hiasan) diri kita,
tanpanya, hilanglah perhatian manusia pada kita.
Melalui mimpi-mimpimu,
kamu dapat membaca nilai hatimu.
Bukanlah pemimpin itu kerana banyak pengikut
tapi kerana boleh mendidik terutama dirinya sendiri.