PROGRAM PEMBUDAYAAN ILMU SEMPENA MENYAMBUT RAMADHAN

Pada 31 Mac 2021, (Rabu) jam 9.15 pagi, pihak Pengurusan UTMDigital dan Kelab BUDI telah mengadakan Program Pembudayaan Ilmu Sempena Menyambut Ramadhan.  Program tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat UTMDigital.

Program bermula dengan ucapan aluan daripada Pengerusi Majlis diikuti oleh Bacaan Doa oleh Encik Mohd Khairi bin Hassan.  Ceramah menyambut Ramadhan telah disampaikan oleh YBhg Shaykh Imran Angullia Al-Hafiz daripada Erth Al-Mustafa Organisation.

Majlis diteruskan dengan Upacara Sambutan Hari Jadi untuk staf UTMDigital yang lahir pada bulan Januari hingga April. Majlis Perpisahan untuk Prof Madya Ts. Dr Murtadha bin Mohamad juga telah diadakan dimana tempoh lantikan beliau tamat pada 31 Mac 2021.  Warga UTMDigital mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sumbangan beliau kepada UTMDigital dan semoga beliau terus maju jaya pada masa hadapan.

PERSARAAN TUAN HAJI ROSLAI BIN PAIMIN

3 Mac 2021 adalah hari terakhir Tuan Haji Roslai bin Paimin berkhidmat di UTM kerana akan mula bersara wajib pada 4 Mac 2021.  Beliau telah berkhidmat di UTM selama 32 tahun.   

Tuan Haji Roslai bin Paimin mula berkhidmat di UTM pada 16 Mac 1987 sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Gred F29 di Institut Sains Komputer (ISK) UTM Kuala Lumpur, dan di penghujung tahun 1989 beliau telah berpindah ke UTM Johor Bahru.  

Beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (F41) pada 8 Jun 1995 dan diakhir perkhidmatan beliau telah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknologi Maklumat Kanan (F54) dengan gelaran Timbalan Pengarah (Strategik) sejak 30 September 2019.

Sepanjang perkhidmatan, Tuan Haji Roslai bin Paimin telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1989, Anugerah Khidmat Kepujian Universiti dalam tahun 1997 dan Anugerah Jasa Bakti pada tahun 2007 serta Anugerah Jasa Setia bagi tahun 2017. Pihak UTMDigital mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji Roslai bin Paimin di atas jasa-jasa dan sumbangan beliau terutamanya UTMDigital khasnya dan UTM.  Semoga Tuan Haji Roslai bin Paimin sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan ceria setelah bersara.

This image has an empty alt attribute; its file name is 0c891154-f25e-463b-985b-a59b930d711e-1.jpg

STAF BARU MELAPOR DIRI

Pihak UTMDigital mengucapkan Tahniah dan Selamat Datang  kepada  seorang staf baru iaitu Encik Muhammed Syukry Bin Ismail, berjawatan sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (FA29) (Tetap).  Beliau telah melapor diri pada 21 Mac 2021 (Ahad) di Bahagian Sumber Manusia, UTMDigital dan di tempatkan di Bahagian Inovasi Digital (DDI).

Semoga semua staf dapat memberikan kerjasama yang baik kepada Encik Muhammed Syukry Bin Ismail untuk sama-sama meningkatkan prestasi dan dapat memberi sumbangan yang cemerlang kepada UTMDigital khususnya dan UTM.

PERSARAAN STAF UTMDIGITAL

Pada 31 Januari 2021, merupakan tarikh terakhir untuk Puan Zaiton binti Salimon dan Puan Anora binti Mat Emrin berkhidmat di UTM khususnya di UTMDigital kerana mereka bersara pilihan mulai 1 Februari 2021.   Sedikit latar belakang mengenai kedua-dua staf tersebut.

Puan Zaiton mula berkhidmat di UTM Kuala Lumpur pada 11 Disember 1989 sebagai Penolong Pegawai Sistem Maklumat (FA05) secara tetap selepas dilepaskan dengan izin perkhidmatan dari Universiti Pertanian Malaysia (Universiti Putra Malaysia). Beliau telah ditukar sementara ke jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (FA41) pada 3 Januari 2000 sebelum dilantik ke jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (FA41) pada 22 Disember 2000. Diakhir persaraan beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Teknologi Maklumat (FA48).

Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya, beliau mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang ICT dan telah berjaya membangun dan mengendalikan sistem-sistem. Beliau juga merupakan seorang staf yang amanah, berdedikasi dan bertanggungjawab. Beliau telah menerima Anugerah Staf Cemerlang 2016 – Anakku Shazali dan membentang kertas kerja SERVIS AWAN UTM PEMBUKA REVOLUSI INDUSTRI 4.0 – PERSPEKTIF UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA di Konvensyen Pentadbir UTM pada tahun 2017. 

Puan Anora binti Mat Emrin pula telah berkhidmat di UTM Johor Bahru selama 35 tahun bermula pada tahun 1986 sebagai Operator Komputer (F17). Beliau telah ditempatkan di Unit Mainframe dan tugas beliau pada masa tersebut adalah mengendalikan Sistem Operasi Mainframe untuk kegunaan semua warga kampus staf dan pelajar.

Pada tahun 2001, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan F29 (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat) secara KPSL memandangkan pihak JPA telah menjumudkan jawatan Operator Komputer.  Sejak itu, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai perkhidmatan helpdesk Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatan.

Sepanjang beliau bertugas, beliau telah menerima Anugerah Kepujian Universiti pada tahun 1997, Anugerah Cemerlang Universiti 2015 dan Anugerah Staf Cemerlang CICT 2018. Pihak UTMDigital mengucapkan Tahniah dan berbanyak terima kasih kepada Puan Zaiton binti Salimon dan Puan Anora binti Mat Emrin di atas segala jasa semasa dalam perkhidmatan di UTMDigital, dan semoga dapat mengecapi kehidupan baru dengan lebih ceria, sihat dan tenang.