Dokumen Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU kini telah diterbitkan secara rasmi dan boleh diakses oleh orang awam melalui portal rasmi BHEUU.
🔗 Pautan Portal Rasmi BHEUU: Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU

Saya dan Pasukan Pendigitalan UTM bersyukur dan menghargai kepercayaan yang diberikan untuk terlibat dalam pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
Terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan tertinggi serta seluruh warga BHEUU atas kerjasama, komitmen dan keterbukaan sepanjang proses pembangunan PSP ini. Tahniah sekali lagi kepada seluruh pasukan BHEUU atas usaha yang telah diterjemahkan sehingga terhasilnya dokumen rasmi Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU. Disertakan sedutan pelancaran pelan oleh YBhg. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Sri Azalina binti Othman Said.
Memahami RPSA dan Pendekatan Whole-of-Government (WoG)
Sepanjang sesi bimbingan dan handholding yang dilaksanakan, antara cabaran utama bukan hanya berkaitan pemilihan teknologi atau penyelesaian digital, tetapi bagaimana memastikan transformasi pendigitalan benar-benar selari dengan hala tuju strategik agensi melalui pemahaman yang mendalam terhadap Rancangan Pembangunan Strategik Agensi (RPSA) serta pendekatan Whole-of-Government (WoG).
Berdasarkan pengalaman sepanjang proses ini, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam merangka pelan pendigitalan agensi:
1. Memahami Ekosistem dan Fungsi Teras Agensi
Pendigitalan perlu bermula dengan pemahaman menyeluruh terhadap peranan agensi, kumpulan sasar serta rantaian penyampaian perkhidmatan. Teknologi hanyalah pemudah cara; perkara yang lebih penting adalah memastikan inisiatif digital mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuhkan kerjasama antara bahagian serta menyokong integrasi dengan agensi berkaitan.
2. Pengurusan Data dan Tadbir Urus ke Arah Single Source of Truth
Data merupakan asas kepada keputusan yang berkualiti. Oleh itu, pengurusan dan tadbir urus data yang baik amat penting bagi memastikan data yang digunakan adalah tepat, konsisten dan boleh dipercayai. Usaha ke arah Single Source of Truth (Golden Data) perlu diberi perhatian bagi mengurangkan isu pertindihan data serta memastikan keputusan strategik dibuat berdasarkan maklumat yang sahih.
3. Kesediaan Data bagi Pemanfaatan Teknologi AI
Dalam era Kecerdasan Buatan (AI), kejayaan pelaksanaan AI sangat bergantung kepada kualiti dan kesiapsiagaan data. Data yang ditadbir urus dengan baik akan membolehkan teknologi AI dimanfaatkan secara lebih berkesan, selamat dan bersesuaian dengan keperluan khusus sesebuah agensi.
4. Pemerkasaan Bakat Digital dan Tatakelola Teknologi
Perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas memerlukan warga organisasi sentiasa meningkatkan kemahiran digital serta memahami aspek tata kelola yang berkaitan. Pengukuhan bakat, garis panduan serta mekanisme kawalan yang sesuai penting bagi memastikan transformasi digital dapat dilaksanakan secara mampan.