11 perkara yang saya pelajari tentang Istana Budaya dan Teater Bawang Putih Bawang Merah

Ini bukan sahaja kali pertama saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya (IB), malah kali pertama juga dalam hidup saya menonton teater. Apabila mengetahui satu teater melayu yang bakal dipentaskan di IB, saya lantas melayari laman web IB bagi mengetahui proses pembelian tiket. Tambahan pula saya bakal ke Kuala Lumpur bagi menyertai satu pameran di Kuala Lumpur Convention Centre. Kata orang sambil menyelam minum air, jadi sesekali turun ke KL, impian yang sudah lama terpendam di dalam diri ini kali ini pasti akan direalisasikan. Jadi ingin saya kongsikan 11 perkara yang saya pelajari tentang #IstanaBudaya dan #TeaterBawangPutihBawangMerah. Lain orang lain pandangan. Ini hanyalah pandangan dan pemerhatian berdasarkan perspektif saya sebagai seorang yang gemarkan naskhah visual berbahasa melayu.

12341302_707010939434144_4411507417407169018_n

  1. Saya tiba di Istana Budaya sebelum maghrib. Awal-awal lagi saya bercadang untuk menunaikan solat maghrib di surau IB. Saya menjangkakan tiada masalah untuk mendapatkan parkir kereta berikutan sampai awal di sana. Bagaimanapun, jangkaan saya meleset sama sekali apabila mendapati tempat letak kereta yang penuh. Barangkali pengunjung lain turut mempunyai tanggapan yang sama tentang kesesakan jalan raya, apatah lagi di petang jumaat yang dikhabarkan Kuala Lumpur akan lebih sesak berbanding hari-hari biasa. Saya agak pelik, mengapa satu tempat yang gah, yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, tetapi kekurangan kawasan parkir. Bagi saya, salah satu aspek yang perlu diberi perhatian untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sana adalah keselesaan termasuklah kemudahan parkir kenderaan.
  2. Usai solat maghrib, saya menukar resit yang telah dibeli secara atas talian kepada tiket masuk. Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama saya menonton teater di Istana Budaya, saya ajukan beberapa soalan kepada petugas kaunter untuk mendapatkan kepastian. Bagaimanapun, layanan yang diberikan agak dingin. Saya tidak kisah, barangkali mereka kepenatan bekerja seharian suntuk. Bagaimanapun, sebagai pekerja di tempat yang berprestij, layanan perlulah diberikan sebaik mungkin lebih-lebih lagi kepada pengunjung yang datang bukan percuma, bahkan ada yang datang dari jauh seperti saya.
  3. Sebelum memasuki panggung teater, saya sempat menjamu selera di kafeteria yang terdapat di situ. Bertepatan dengan nama “Istana Budaya”, saya lihat selain menu utama yang disajikan, terdapat juga pelbagai kuih tradisional yang dijual. Harga? Not bad, tidak terlalu mahal, dan tidak terlalu murah.
  4. Pengumuman bahawa panggung telah dibuka, dibuat sepuluh minit sebelum jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Sepertimana keadaan kita memasuki panggung wayang, seperti itu lah senario sebelum masuk panggung teater. Tempat duduk saya di hadapan. Saya pada mulanya agak gusar kerana kebiasaannya saya tidak gemar duduk di hadapan dalam panggung wayang kerana terpaksa mendongak untuk melihat skrin. Tetapi jangan sesekali samakan panggung teater dengan panggung wayang. Kita menyaksikan pelakon secara live di atas pentas dalam teater dan bukannya melihat skrin.
  5. Iklan mengenai teater-teater yang bakal ditayangkan, disajikan kepada penonton berulang-ulang. Pada awalnya, teruja juga saya saksikan. Bagaimanapun lama-kelamaan ianya membosankan. Barangkali mungkin boleh saya cadangkan, selain disiarkan iklan tentang teater-teater yang bakal ditayangkan, pihak Istana Budaya mungkin boleh menayangkan sejarah penubuhan IB selain kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh IB. Dan teater hanya bermula lima minit sebelum pukul 9 malam. Bayangkan hampir setengah jam saya menonton iklan yang sama.
  6. Saya belum pernah menonton teater. Jadi saya tidak tahu sama ada teater #BawangPutihBawangMerah ini best ataupun tidak. Oleh kerana teater ini berjaya membuatkan saya tidak terlelap walaupun pada mulanya saya terlena seketika semasa menonton iklan yang membosankan, jadi boleh saya katakan teater ini menarik dan berbaloi dengan harga tiket yang dibeli.
  7. Saya sememangnya peminat drama dan filem melayu. Kalau orang lain kata membazir sekiranya membeli tiket wayang filem melayu tetapi tidak bagi saya. Bagaimanapun ianya bergantung kepada jalan cerita filem tersebut. Kalau jalan ceritanya berkenaan cinta yang berputik selepas berkahwin, pasangan yang bergaduh dan jatuh cinta selepas itu, keluarga korporat yang menurunkan legasinya kepada anaknya dan seangkatan dengannya, minta maaf banyak-banyak. Cerita sebegitu tidak termasuk dalam senarai saya.
  8. Teater ini dimulakan dengan kemunculan hero dan heroin teater ini. Saya rasa faktor utama pengunjung menonton teater ini adalah dua orang pelakon ini, Nur Fathia dan Syarul Ridzwan yang memegang watak Bawang Merah dan Putera Raja. Barangkali kedua-dua sedang hangat seperti pisang goreng panas di kaca televisyen mahupun di media massa. Buktinya, apabila muncul sahaja mereka sebaik tirai panggung dinaikkan, penonton sudah mula menjerit-jerit. Tetapi seperti yang saya jangka, lakonan mereka berjaya ditenggelamkan oleh lakonan Fauziah Dato’ Ahmad Daud. Ya, lakonan Ogy sebagai Mak Kundur yang jahat sememangnya berada di kelas yang tersendiri. Begitu juga lakonan adiknya iaitu Fazlina Dato’ Ahmad Daud sebagai Mak Labu juga terbaik.
  9. Lakonan Beto Kusyairi sebagai Si Bongkok juga terbaik. Bagaimanapun saya tertanya-tanya sama ada dalam drama melayu klasik Bawang Putih Bawang Merah yang asal sememangnya wujud watak Bongkok atau sengaja diwujudkan watak tersebut versi arahan Pengarah Erma Fatima. Begitu juga dengan watak Nenek Kebayan lakonan Nabila Huda (anak Amy Search) yang sangat mantap. Seingat saya, dalam cerita asal tidak wujud watak tersebut. Bagaimanapun lakonan Beto dan Nabila berjaya mengkagumkan saya.
  10. Lakonan pelakon generasi muda Nur Fathia (Bawang Merah), Syarul Ridzwan (Putera Raja), Juliana Evan (Bawang Putih) tidaklah terlalu mengecewakan. Pujian seharusnya diberikan kepada mereka kerana bukan mudah untuk berlakon teater yang sangat mencabar. Kalau drama mahupun filem, lakonan boleh diulang sekiranya gagal disempurnakan. Sebaliknya, dalam teater, sekiranya gagal mengingat skrip atau tergagap, silap hari bulan boleh ditertawakan oleh penonton. Begitu juga dengan stamina lakonan yang perlu dikekalkan sepanjang berlangsungnya teater yang berdurasi lebih dua jam. Bagaimanapun, kehadiran pelakon tambahan seperti seorang pelakon kerdil (maaf saya tidak tahu namanya) amat mencuit penonton dengan lakonannya yang bersahaja.
  11. 11. Penggunaan prop seperti rumah pondok, perigi, hutan dan buaian disertai dengan lighting berjaya menarik perhatian penonton. Tambahan pula, alunan lagu-lagu zapin serta gerak tarian zapin membuatkan penonton tidak berkelip mata. Saya duduk di kerusi yang berada dalam kawasan tiket berharga sederhana. Kawasan yang ‘mahal’ terletak di tengah-tengah panggung. Jadi tidak hairanlah mengapa banyak aksi tertumpu di bahagian itu.

Sebelum ini, banyak teater yang telah dipentaskan di Istana Budaya. Teater Puteri Gunung Ledang, P Ramlee The Musical, Di Bawah Lindungan Kaabah dan banyak lagi. Tetapi saya tidak pernah ambil pusing kerana saya di JB sedangkan Istana Budaya di KL. Selepas ini, sekiranya outstation ke Kuala Lumpur, saya sudah tahu ke mana hendak pergi sekiranya berkelapangan. Barangkali selepas ini banyak lagi karya klasik melayu seperti Lancang Kuning, Pendekar Bujang Lapok, Batu Belah Batu Bertangkup, dan khabarnya teater muzikal Siti Nurhaliza bakal dipentaskan di Istana Budaya tahun hadapan. Saya mesti pergi!!