Tiga Pentas, Seribu Makna

Ada ketikanya, perjalanan sebagai seorang pendidik membawa kita ke pentas untuk menerima penghargaan. Ada ketikanya pula, kita berdiri di pentas yang sama dengan penuh harapan, namun pulang tanpa membawa kemenangan yang diimpikan. Kedua-duanya mempunyai makna tersendiri. Kedua-duanya mengajar saya tentang erti kesyukuran, kesabaran dan keikhlasan

Penghujung Oktober hingga awal November 2026 memberikan saya pengalaman yang cukup bermakna. Dalam tempoh yang singkat, saya melalui tiga peristiwa penting, iaitu New Academia Learning Innovation (NALI) 2026, Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026 dan Global Educator Award (GEA) 2026. Ketiga-tiganya meninggalkan kenangan yang berbeza, namun berkongsi satu pengajaran yang sama tentang makna sebenar kejayaan dalam dunia pendidikan. Perjalanan ini bermula dengan NALI 2026. Alhamdulillah, saya menerima Anugerah NALI 2026 menerusi projek bertajuk “Menulis dengan Integriti dan Teliti: AI Minimum, Data Sebenar Maksimum”. Penghargaan ini amat bermakna kerana projek tersebut lahir daripada amalan pentaksiran yang saya laksanakan dalam pengajaran, khususnya usaha membimbing pelajar menggunakan kecerdasan buatan secara beretika, berfikir secara kritis dan mengutamakan penggunaan data sebenar dalam penulisan akademik.

Namun, perkara yang lebih menggembirakan saya sepanjang NALI 2026 ialah peluang menyaksikan pelajar sarjana dan PhD di bawah seliaan saya turut mengetengahkan hasil penyelidikan masing-masing. Saya berkesempatan mengunjungi reruai pameran mereka, melihat hasil kerja yang dipersembahkan dan berkongsi kegembiraan atas pencapaian yang diraih.

Nurain Nadhirah Mohamad menerima Anugerah Perak menerusi projek “Awang-Matik: Empowering Orang Asli Jakun Learners Through Culturally Responsive Ethnomathematics”. Ahmad Adib Rosdi bersama Angela Ee Si Jie dan Afiq Naqiuddin Kamaruddin turut menerima Anugerah Perak melalui projek yang mengintegrasikan etnomatematik berasaskan batik Terengganu, tanglung tradisional Cina dan rumah limas dalam pembelajaran geometri sekolah menengah rendah. Begitu juga dengan Bahiah Baharudin yang turut memenangi Anugerah Perak.

Nurul Syahidah Shamsuddin pula menerima Anugerah Gangsa menerusi projek “Smart Grid”, manakala Bahiah binti Baharudin turut memperoleh Anugerah Perak bagi inovasi pembelajaran matematik yang dipersembahkan. Melihat mereka berdiri dengan penuh keyakinan di hadapan hasil penyelidikan sendiri memberikan kepuasan yang sukar diungkapkan. Saya mengetahui bahawa di sebalik setiap poster, bahan inovasi dan pembentangan tersebut, terdapat masa, usaha, kesabaran dan pelbagai cabaran yang telah mereka lalui. Kepada semua pelajar saya yang menyertai NALI 2026, tahniah! Anda semua sudah menjadi pemenang di hati saya. Saya berharap pengalaman ini akan terus memberikan keyakinan kepada kalian untuk melangkah lebih jauh dalam dunia penyelidikan dan pendidikan.

Keesokan harinya, pada 30 Oktober 2026, saya sekali lagi diberikan sebab untuk bersyukur apabila menerima Anugerah Pengajaran (Kategori Sains Sosial) sempena Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026. Penghargaan ini cukup dekat dengan hati saya kerana mengajar merupakan sebahagian besar daripada kehidupan saya sebagai ahli akademik. Di sebalik kesibukan menyelia penyelidikan, menyemak tesis, menyelaras program ODL, menulis dan menjalankan pelbagai tanggungjawab lain, saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam pengajaran. Saya percaya bahawa seorang pendidik juga perlu sentiasa belajar, menilai kelemahan diri dan memperbaiki amalan pengajarannya. Apa yang dilaksanakan pada hari ini mungkin perlu ditambah baik pada masa hadapan, terutamanya apabila perkembangan teknologi dan keperluan pelajar sentiasa berubah. Justeru, menerima penghargaan dalam bidang pengajaran memberikan saya dorongan untuk terus memperbaiki diri. Insya-Allah, wang hadiah yang diterima juga ingin saya manfaatkan semula untuk para pelajar yang selama ini telah banyak mewarnai perjalanan saya sebagai seorang pendidik.

Sesungguhnya, setiap penghargaan yang diterima mengingatkan saya bahawa nilai sebenar sebuah kejayaan tidak terletak pada banyaknya anugerah yang diraih, tetapi pada berapa ramai pelajar yang telah kita bimbing, berapa ramai insan yang telah kita bantu, berapa banyak kehidupan yang telah kita hargai dan sejauh mana kehadiran kita membawa manfaat kepada masyarakat.

Beberapa hari kemudian, perjalanan saya diteruskan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai salah seorang finalis bagi kategori Esteemed Teacher Educator Award dalam Global Educator Award 2026 anjuran UPSI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kali ini, pengalamannya sedikit berbeza. Saya berpeluang berkongsi pengalaman dan amalan saya sebagai pendidik guru di hadapan barisan juri, di samping bertemu dengan finalis dari pelbagai negara. Peluang untuk berada dalam kelompok tersebut sahaja sudah memberikan satu pengalaman yang cukup berharga. Namun, tipulah kalau saya kata saya tidak sedih apabila tidak terpilih sebagai pemenang utama. Sebagai manusia biasa, tentu ada harapan apabila kita telah berusaha dan memberikan yang terbaik. Saya juga tidak terkecuali daripada perasaan tersebut. Namun, apabila Allah SWT menetapkan bahawa belum ada rezeki, saya menerimanya dengan penuh reda. Saya tetap bersyukur kerana diberikan peluang untuk sampai ke peringkat finalis. Saya berpegang pada nasihat keluarga dan rakan-rakan agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT serta memohon kesabaran dalam apa jua keadaan, sama ada susah mahupun senang. Sebenarnya, memohon sesuatu anugerah ialah satu pilihan. It is okay not to apply, but there is no harm in trying.

Saya memilih untuk mencuba kerana tidak mahu kehidupan akademik saya terlalu terikat dengan rutin yang sama. Setiap semester, ada kuliah yang perlu dikendalikan, tugasan yang perlu disemak, tesis yang perlu dibaca, program yang perlu diselaraskan, penyelidikan yang perlu diteruskan dan penulisan yang perlu disiapkan. Sesekali, saya ingin keluar daripada kepompong rutin tersebut dan mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baharu. Proses menyediakan permohonan, menilai semula pencapaian sendiri dan berkongsi pengalaman dengan orang lain turut memberikan ruang untuk saya bermuhasabah tentang perjalanan kerjaya selama ini.

Saya tidak mengejar anugerah. Namun, saya percaya bahawa mencuba sesuatu yang baharu mampu memberikan kegembiraan dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Apabila mengenangkan semula ketiga-tiga peristiwa ini, saya menyedari betapa menariknya aturan Allah SWT. Dalam tempoh beberapa hari, saya diberikan kegembiraan menerima penghargaan, kepuasan melihat kejayaan pelajar dan pengalaman menerima keputusan yang tidak seperti diharapkan.

Semuanya mempunyai pengajaran tersendiri.

NALI 2026 mengingatkan saya tentang kegembiraan berkongsi kejayaan dengan pelajar. Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026 memberikan dorongan untuk terus memperbaiki amalan pengajaran. GEA 2026 pula mengajar saya tentang keberanian mencuba, kesabaran dan keredaan menerima sesuatu keputusan. Mungkin, inilah antara perkara yang menjadikan perjalanan sebagai seorang pendidik begitu bermakna. Kita tidak sentiasa berada di puncak kejayaan. Ada masanya kita diraikan, ada masanya kita perlu meraikan kejayaan orang lain, dan ada masanya kita belajar menerima bahawa sesuatu yang diharapkan belum menjadi milik kita.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat dan kurniaan ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya titipkan buat isteri, anak-anak, emak, ayah, seluruh keluarga UTM dan fakulti, serta yang paling istimewa, para pelajar yang saya kasihi. Tanpa kalian, siapalah saya hari ini. Terima kasih juga kepada setiap insan yang pernah hadir, membantu, menyokong dan mendoakan perjalanan akademik saya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya anugerah paling bernilai ialah kepuasan dan kegembiraan yang diperoleh apabila kita dapat mengekalkan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan.

Suatu hari nanti, mungkin orang tidak lagi mengingati anugerah yang pernah kita terima. Namun, mudah-mudahan masih ada insan yang mengingati ilmu yang pernah kita kongsikan, bantuan yang pernah kita hulurkan dan kebaikan yang pernah kita tinggalkan. Itulah kejayaan yang saya harapkan akan terus hidup, jauh melangkaui segala penghargaan dan pengiktirafan.

Terima kasih, UTM. Terima kasih, UPSI. Terima kasih, KPT.

Alhamdulillah atas segala yang telah dikurniakan, dan atas segala yang belum menjadi rezeki.

Perjalanan sebagai seorang pendidik masih panjang. Insya-Allah, selagi diberikan kesihatan, kesempatan, dan kemampuan, saya akan terus belajar, mengajar, membimbing, dan berkongsi. Sesungguhnya, kejayaan seorang pendidik turut terukir dalam kehidupan insan yang pernah dibantunya, walaupun hanya sedikit.

Thanks, BERNAMA, for this publication!

https://www.bernama.com/en/thoughts/news.php?id=2611565#abc

Rest in Peace, Tea Jia Xian

No words can describe how sad I was a few weeks ago, driving to my hometown, when I received this news. My former undergraduate and master’s student, Tea Jia Xian, has passed away. He was in the first cohort of the Bachelor of Science with Education (Mathematics) with Honours when the programme reopened in 2021 after being frozen for more than 10 years.

He was the only non-Malay student in a cohort of 30. I served as his teaching practicum supervisor, academic advisor, and final-year project supervisor. He received a first-class degree. Although he was qualified to pursue PhD study, he chose to continue with his master’s degree, also under my supervision.

I witnessed his hard work, commitment, and kindness. Sometimes I felt he was more Malay than other Malay students because of his fluency. He wrote his bachelor’s and master’s theses in Bahasa. He also showed excellent adab.

During his master’s, many Chinese students from China approached him for translation or to collaborate on assignments. He received a 4-flat for his master’s and attended the convocation last year. We also published a book together through UTM Press. This book will remind me of you, Tea.

He decided not to pursue his PhD because of financial constraints. He worked at a tuition centre while waiting for his SPP interview this year.

I still remember his last words when we met at his convocation last year. Dr., wait for me! I will find you when I am ready to do my PhD.

Rest in Peace, Tea. You will be missed.

A Meaningful Milestone in My Academic Journey

Alhamdulillah, grateful for this recognition.

I am truly honoured to be ranked #1 in Malaysia and #51 in the world for Mathematics Education and Pedagogy in the Top1000 Scholar 2026, placing within the Top 0.28% based on the lifetime impact window.

This recognition is another meaningful milestone in my academic journey. Every research project, publication, collaboration, and challenge has been part of a continuous process of learning and contributing.

My sincere appreciation goes to my mentors, colleagues, collaborators, students, family, and everyone who has been part of this journey.

Alhamdulillah for another milestone. May the knowledge we pursue continue to benefit others.

Banyaknya Konsep Matematik di Sebalik Sebuah Gelanggang Sukan Serbaguna

“Hujan lebat pula,” detik hati. “Aku pergi ke gimnasium stadiumlah,” sambungku lagi, apatah lagi ketika cuti semester ini tidak perlu ‘bersaing’ dengan mahasiswa. Namun, nasib tidak menyebelahi aku petang itu apabila gimnasium turut ditutup.

Ketika memandang ke bahagian bawah, kelihatan dua buah gelanggang futsal. Maka, aku pun berjoging mengelilingi gelanggang itu sambil memerhati beberapa orang bermain bola tampar di dalamnya.

Dari situlah tercetus inspirasi untuk aku menulis makalah ini, dengan harapan pembaca, khususnya murid-murid sekolah, dapat memperoleh manfaat daripadanya.

Anugerah Webometrik Citra Karisma 2026

Alhamdulillah. Terima kasih UTM atas pengiktirafan ini.

Pastinya, anugerah ini saya dedikasikan buat isteri, anak-anak, emak dan ayah tersayang yang sentiasa menjadi kekuatan di sebalik kejayaan ini.

Saya menulis di blog ini sebagai salah satu cara untuk berkongsi ilmu dan memberi manfaat kepada para pembaca, selari dengan moto UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia.” Semoga setiap perkongsian yang ditulis turut menjadi saham akhirat yang terus mengalir di alam sana.

Teruskan memberi sokongan kepada people.utm.my/halim. Terima kasih kerana terus membaca dan berkongsi manfaat.

E-Majalah Jejak Matematik di Pulau Mutiara

E-Majalah Matematik: Jejak Matematik di Pulau Mutiara membawa pembaca meneroka bagaimana konsep Matematik dapat ditemukan dalam warisan, seni bina, mercu tanda serta kehidupan seharian masyarakat Pulau Pinang. Melalui konteks tempatan Pulau Pinang, pembaca diperkenalkan kepada pelbagai konsep Matematik seperti nisbah, kadar dan perkadaran, transformasi isometri, pelan dan dongakan serta nisbah trigonometri. Konsep-konsep ini dikaitkan dengan tempat dan warisan yang dekat dengan identiti Pulau Pinang seperti George Town, Jambatan Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling, Menara Jam Queen Victoria, rumah kedai warisan, Bukit Bendera dan Fort Cornwallis.

E-majalah ini bukan sekadar memperkenalkan keistimewaan Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara, tetapi menunjukkan bahawa Matematik tidak hanya dipelajari melalui formula dan pengiraan di dalam bilik darjah. Matematik boleh ditemukan pada bentuk dan struktur bangunan warisan, corak jubin dan ukiran, pergerakan dan pantulan motif, pelan sesebuah bangunan, pengiraan jarak dan kadar, serta pengukuran ketinggian sesuatu objek. Pendekatan ini diharapkan dapat membantu murid melihat Matematik daripada perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar. Apabila konsep Matematik dikaitkan dengan lokasi, objek dan warisan yang dikenali, pembelajaran boleh menjadi lebih kontekstual, visual dan bermakna, di samping memperkenalkan serta memupuk penghargaan terhadap keunikan warisan dan budaya Pulau Pinang.

E-majalah ini turut dilengkapi dengan nota ringkas, contoh mudah, pengetahuan am, aplikasi Matematik dalam kehidupan seharian, tip pembelajaran dan aktiviti interaktif, sekali gus menjadikannya bukan sahaja bahan bacaan, tetapi juga sumber sokongan untuk membantu murid memahami dan mengaplikasikan konsep Matematik.

E-majalah ini merupakan salah satu hasil Projek Sarjana Muda (PSM) yang dibangunkan oleh Nur Nadzliyatul Dania binti Khirul Annuar di bawah penyeliaan saya.

Sila layari: https://anyflip.com/tntch/lyvp/

Selamat Hari Lahir ke-39 Buat Isteri

Puisi hasil gubahan sendiri buat isteri tersayang sempena hari kelahirannya yang ke-39

Sang aplikasi itu,
kau belek saban hari tanpa jemu,
“add to cart” nya penuh selalu,
yang berkurang,
hanyalah duit gajiku,
tapi tak apa,
demi senyumanmu.

Sang azam itu,
kau sebut saban isnin minggu baharu,
timbangan kau sorok bawah almari baju,
yang tak pernah susut,
hanyalah sayangku padamu,
Walau berapa pun beratmu.

Selamat Hari Lahir
Duhai isteri
Sweet thirty-nine
Babah, kakak dan adik doakan semoga ibu diberkati dan dipanjangkan usia, dilapangkan rezeki yang barakah, dan beroleh kebahagiaan berpanjangan di dunia dan akhirat.
أمين يا رب العالمين

Anugerah PERSAMA 2026

Alhamdulillah, tanggal 14 September 2026, saya menerima Anugerah Sanjungan bagi kategori Rencana Popular dalam Majlis Anugerah Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) 2026.

Tahun ini, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi tuan rumah majlis, dan majlis dirasmikan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Anugerah ini saya dedikasikan buat isteri, anak-anak, emak dan ayah tersayang; juga keluarga besar FEST dan UTM, tempat saya mencari rezeki serta berkongsi ilmu.

E-Majalah Terengganu dalam Lensa Matematik

E-Majalah Matematik: Terengganu dalam Lensa Matematik membawa pembaca meneroka bagaimana konsep Matematik sebenarnya wujud dan digunakan dalam warisan, budaya serta kehidupan masyarakat Terengganu.

Melalui elemen tempatan seperti Rumah Limas Belanda, songket Terengganu, batik, wau tradisional, perikanan dan makanan tradisional seperti keropok lekor, pembaca diperkenalkan kepada pelbagai konsep Matematik termasuk geometri, simetri, transformasi, pola, pengukuran, nisbah, pecahan, jisim, isipadu dan pengendalian data.

E-majalah ini bukan sekadar memperkenalkan keunikan negeri Terengganu, tetapi menunjukkan bahawa Matematik tidak hanya terdapat dalam buku teks dan bilik darjah. Matematik boleh ditemukan pada bentuk dan struktur rumah tradisional, susunan motif songket dan batik, keseimbangan wau, ukuran bot dan hasil tangkapan nelayan, malah dalam sukatan bahan ketika menyediakan makanan tradisional.

Pendekatan ini diharapkan dapat membantu murid melihat Matematik daripada perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar. Apabila konsep Matematik dikaitkan dengan objek, amalan dan warisan yang dikenali, pembelajaran Matematik boleh menjadi lebih kontekstual, visual dan bermakna, di samping memupuk penghargaan terhadap warisan budaya tempatan.

E-majalah ini turut dilengkapi dengan aktiviti, soalan “Jom Fikir”, situasi kehidupan sebenar dan perkaitan dengan topik KSSM, sekali gus menjadikannya bukan sahaja bahan bacaan, tetapi juga sumber sokongan untuk pembelajaran Matematik.

E-majalah ini merupakan salah satu hasil Projek Sarjana Muda (PSM) yang dibangunkan oleh Nadhiratul Hidayah binti Abu Bakardi bawah penyeliaan saya.

Sila layari: https://anyflip.com/ayydv/hzkm/