10 perkara yang saya pelajari ketika mengikuti International Service Learning

10 perkara yang saya pelajari ketika mengikuti International Service Learning yang melibatkan mahasiswa dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Korea yang berlangsung di Kampung Punggai, Kota Tinggi Johor, 16-24 Ogos 2015. (Berdasarkan perspektif saya sebagai manager kumpulan)

11951294_669365269865378_4681088001754236030_n

  1. Mahasiswa Korea lebih menjadi tumpuan kanak-kanak di kampung berikutan pengaruh k-pop yang sangat kuat ketika ini. Apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang seakan-akan seperti ahli kumpulan bing-bang (wujud ke kumpulan k-pop ni?)
  2. Mahasiswa Malaysia lebih menonjol dari aspek kepimpinan. Barangkali program dijalankan di tanahair sendiri. Maka, banyak perkara yang perlu diterangkan kepada mahasiswa dari negara lain.
  3. Dari aspek komunikasi dalam bahasa inggeris, mahasiswa Malaysia dan Indonesia dilihat agak seimbang. Manakala mahasiswa Korea agak kurang berkomunikasi dalam bahasa inggeris
  4. Ramai mahasiswa Korea menggunakan google translate apabila melibatkan aktiviti berbentuk penulisan.
  5. Mahasiswa Korea tidak peduli tentang hadiah pendrive yang boleh di’redeem’ oleh setiap peserta. Kata mereka pendrive merupakan sesuatu yang terlalu biasa di negara mereka. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup menghadiahkan ‘points’ mereka kepada rakan-rakan Malaysia dan Indonesia bagi membantu rakan mereka mendapatkan pendrive.
  6. Terdapat kelainan apabila mahasiswa Korea mempelajari bahasa malaysia dari mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Contohnya, ada yang mengucapkan “selamat sore” (yang dipelajari dari mahasiswa Indonesia) dan “selamat petang” (yang dipelajari dari mahasiswa Malaysia). Contoh lain; selamat siang (Indonesia) & selamat pagi (Malaysia), delapan (Indonesia) & lapan (Malaysia)
  7. Penganjur utama program ini ialah pihak Korea. Apa yang dapat saya perhatikan ialah mereka amat pentingkan ketepatan masa. Bayangkan pukul 6 pagi dah kena morning walk. Pukul 5.45 pagi kena beratur dan warming up.
  8. Dari aspek stamina bersukan, mahasiswa Korea lebih terkehadapan. Majoriti (atau semua) mahasiswa lelaki Korea telah pun mengikuti program ketenteraan selama 2 tahun. Di Korea, rakyat lelaki yang berumur 21-27 tahun wajib mengikuti latihan ketenteraan. Menurut mahasiswa Korea (ahli kumpulan saya), mereka amat benci Korea Utara kerana disebabkan negara komunis itu, mereka terpaksa mengikuti latihan ketenteraan yang ‘meragut’ kebebasan waktu remaja mereka.
  9. Dari aspek persembahan, mahasiswa Indonesia lebih menonjol dengan persembahan kebudayaan negara mereka yang pelbagai. Saya pasti penduduk kampung juga turut terhibur.
  10. Program international service learning yang diterajui oleh pihak Korea ini dilihat sangat sistematik dan berada dalam kelas yang tersendiri. Daripada aktiviti mencari masalah penduduk tempatan, perbincangan untuk mengatasinya, perancangan pembangunan produk, pembelian material, penyediaan bajet, penghasilan produk dan banyak lagi semua dilaksanakan secara bersistematik. Antara yang menarik perhatian saya ialah penggunaan internet untuk mengemaskini maklumat, penggunaan mesin ‘topup dan redeem’ points untuk peserta dan banyak lagi.

Sesungguhnya program ini memberikan pengalaman baru kepada saya dan memberikan pemahaman mendalam kepada saya tentang konsep service learning. Saya agak kagum melihat mahasiswa menggunakan ilmu yang mereka pelajari (contohnya prinsip tekanan air, dll) ke dalam proses penghasilan produk untuk mengatasi masalah penduduk kampung. Sesungguhnya langkah UTM untuk memasukkan service learning sebagai salah satu ‘new academia learning innovations’ merupakan langkah tepat.