Archives for January 9, 2016

Peringkat 4: Bilik Siswazah

pi5aepMi9

Tidak keterlaluan kalau aku katakan bahawa sebahagian besar masa pengajianku di UKM dihabiskan di Bilik Siswazah. Bilik ini boleh dikatakan sebagai rumah keduaku sepanjang aku berada dalam pengajian. Aku masih ingat, ketika berada di minggu-minggu awal pengajian, aku duduk bersendirian dikelilingi oleh pelajar-pelajar PhD lain yang rata-ratanya nampak sudah berpengalaman dalam bidang pendidikan. Mula-mula aku agak kekok berada di sini. Maklumlah tempat baru dan kawan-kawan baru yang kelihatan sudah lama makan garam daripada aku. Lama kelamaan, Alhamdulillah aku dapat ramai kawan di sini. Betullah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Kebanyakan mereka merupakan pensyarah-pensyarah Institut Pengajian Guru (IPG, dahulunya dikenali sebagai maktab perguruan), guru-guru dan tidak kurang juga pelajar-pelajar yang baru sahaja graduate dan terus sambung belajar sementara menunggu penempatan untuk mengajar. Bilik siswazah di sini amat selesa. Pada pendapat aku, bilik siswazah merupakan satu tempat yang penting untuk pelajar-pelajar pasca siswazah. Sekurang-kurangnya mereka tahu tempat yang perlu dituju apabila mereka berada di fakulti. Tidak semestinya sepanjang masa mereka akan berada di perpustakaan dan pusat sumber. Jadi bilik siswazahlah tempat yang paling sesuai untuk mereka membaca artikel jurnal, menaip, berbincang dan sebagainya. Bilik siswazah ini juga merupakan tempat Persatuan Siswazah Fakulti Pendidikan berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan untuk kebaikan pelajar-pelajar siswazah di sini. Salah satu kelebihan fakulti pendidikan di sini ialah persatuan yang mewakili pelajar siswazah amat aktif menganjurkan kursus, perkongsian kepakaran, bengkel dan sebagainya. Kebanyakan program yang dianjurkan oleh persatuan siswazah mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar. Kebiasaannya siswazah dari universiti lain turut menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. Masakan tidak, program-program yang dijalankan amat berguna untuk pengajian PhD mereka. Antaranya, bengkel penulisan artikel jurnal, bengkel perisian NVIVO (amat berguna kepada mereka yang menjalankan kajian kualitatif), bengkel SPSS (amat berguna kepada mereka yang menjalankan kajian kuantitatif), bengkel perkongsian pengalaman, bengkel pembangunan laman web dan macam-macam lagi. Penceramah yang dijemput juga bukan calang-calang orangnya. Mereka merupakan pakar dalam bidang masing-masing. Aku juga berbangga kerana sempat menjadi ahli jawatankuasa persatuan ini ketika aku berada di semester lima dan merasai sendiri pengalaman menganjurkan program-program tersebut. Walaupun tidak dibayar dengan wang ringgit, aku percaya sekiranya kita memudahkan urusan orang lain mengenai perkara-perkara yang baik, Allah s.w.t akan memudahkan urusan kita kelak.

Bilik siswazah ini mengandungi deretan meja dan kerusi yang dipisahkan oleh pengadang. Setiap satu partition yang mengandungi meja dan kerusi turut disediakan plug untuk kemudahan pelajar. Konsep ‘siapa cepat dia dapat’ diaplikasikan dalam bilik siswazah ini. Dengan lain perkataan, meja dan kerusi ini bukannya menjadi hak milik kekal seseorang pelajar. Bagaimanapun, sepanjang aku berkelana di bilik siswazah ini, masalah meja dan kerusi yang tidak mencukupi tidak pernah timbul. Dalam bilik siswazah ini juga terdapat bilik mesyuarat yang disediakan untuk pelajar berbincang, mengadakan kelas tambahan dan sebagainya. LCD dan projektor turut dibekalkan. Pelajar yang akan membentangkan usulan, kemajuan, pemantapan dan viva biasanya akan melakukan mock presentation di dalam bilik tersebut dengan dihadiri oleh rakan-rakan lain. Maklum balas serta pandangan dari teman-teman seperjuangan dilihat mampu membantu mereka bersedia dengan soalan-soalan jangkaan yang akan ditanya semasa pembentangan sebenar nanti. Selain itu, bilik siswazah ini turut dilengkapi dengan komputer dan mesin pencetak. Bagaimanapun, pelajar perlu memiliki kad pencetak yang dibeli dari pembantu makmal untuk menggunakan mesin pencetak tersebut. Perkara ini amat memudahkan pelajar kerana mereka tidak perlu bergerak jauh ataupun menaiki kenderaan untuk ke pusat-pusat fotokopi. Bilik siswazah ini turut dilengkapi dengan surau yang cukup selesa. Begitu juga dengan pantri. Kemudahan air panas yang disediakan memudahkan aku menyediakan minuman panas ketika mengantuk dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga makanan yang dijual oleh persatuan siswazah dan juga pelajar sendiri. Contohnya roti, biskut dan kerepek yang amat laris dijual bagaikan pisang goreng panas lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar yang mempunyai kelas malam. Mereka akan berehat ketika waktu maghrib dan ketika itulah mereka memerlukan makanan-makanan sedemikian untuk mengalas perut.
Dalam bilik siswazah inilah aku kenal dengan ramai kawan seangkatan. Salsela; unik bukan namanya? katanya, emaknya merupakan peminat drama Mexico. Jadi nama yang diberikan kepadanya juga seakan-akan nama heroin drama Mexico. Beliau masih muda tapi sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang alam sekitar. Yang menariknya, beliau sering ke Langkawi untuk mengutip data untuk kajian PhDnya kerana kajiannya berkaitan dengan pembangunan di pulau lagenda tersebut. Kak Tuan Salwani; seorang pensyarah bidang Matematik di UniKL Bangi. Sepanjang aku berkawan dengan kak Wani, bagiku beliau merupakan seorang yang tegas dengan pendirian. Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini sangat komited dengan kerjanya. Aku sangat kagum dengan penulisan bahasa inggeris beliau. Malah aku juga pernah menggunakan khidmatnya untuk menyemak penulisan bahasa inggerisku. Kami berada dalam bidang yang sama dan diselia oleh supervisor yang sama. Jadi kami sering membentangkan kertas-kertas kerja persidangan di seminar yang sama. Irwan; aku amat kagum dengan jejaka melayu terakhir ini. Seorang ahli akademik di UTHM. Seorang yang aktif dalam berpersatuan dan tegas. Beliau amat petah berhujah dan aku sering merujuk kepada beliau sekiranya aku inginkan pendapat tentang sesuatu perkara. Beliau juga merupakan pakar End Note. Kak Yati dan Abang Bani; pasangan suami isteri yang serasi bersama. Kak Yati merupakan pensyarah politeknik yang tidak lokek dengan ilmu terutamanya yang berkaitan dengan statistik. Abang Bani yang juga merupakan seorang ustaz dan sangat tenang orangnya. Mereka berdua dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata dan amat gemar melancong ke luar negara. Kak Hanani; seorang ustazah yang sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang pendidikan islam. Seorang ibu kepada dua orang cahaya mata dan seorang pelajar yang aktif membentangkan kertas-kertas kerja persidangan. Kak Nani; seorang ibu yang kuat semangat. Beliau pada mulanya telah pun ke New Zealand untuk melanjutkan pengajian Phd nya. Namun, atas masalah-masalah tertentu, beliau kembali ke Malaysia untuk meneruskan pengajiannya di sini. Kepakaran beliau ialah dalam bidang pendidikan khas dan lebih menjurus kepada murid-murid austisme. Azween Arif; ketika cerita ini ditulis, beliau merupakan presiden Persatuan Siswazah Fakulti Pendidikan, UKM. Berkelulusan sarjana muda dan sarjana dalam TESL dan sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang yang sama. Kak Mah; seorang yang aku anggap sebagai kakak aku sendiri. Beliau merupakan seorang yang tidak kenal erti penat dan putus asa walaupun menghadapi berbagai-bagai dugaan sepanjang melanjutkan pengajiannya dalam bidang keusahawanan. Sebenarnya ramai lagi kawan yang aku kenali sepanjang aku berada dalam bilik siswazah ini. Wani, Sabrina, Tamil Selvan (tutor UTHM), Lee Tien Tien (pensyarah UPSI), kak Azwani, kak Yati, Kema (kini pensyarah MSU), Fida, Firdaus, Faiz, Ridzwan, abang Hamizul, kak Yus (pensyarah IPIS), Kak Faridah (bekas cikgu Matematik adik aku semasa di MRSM Jasin dahulu), Sya, Shitah, kak Zarina, kak Nini, kak Hanani, kak Haliza, kak Yun, abang Kashfi, ustazah Sarimah, kak Barakah, Faizal, abang Nasa, kak Tarzemah, kak Zi, kak Mazlini, Hutkemri (teman dari Indonesia), Rian (teman dari Indonesia), kak Azieda, Tuan Mastura, kak Nabiroh, kak Saroya, Fariba (teman dari Iran), kak Putri (teman dari Indonesia), abang Tajul (pensyarah UPSI), kak Siti Aieda, ustazah Noraini, kak Mar, kak Safura, kak Faizah, kak Zana dan ramai lagi. Masing-masing dalam bidang kepakaran yang berbeza; pendidikan matematik, pendidikan sains, pendidikan Islam, pendidikan khas, pendidikan teknologi, pendidikan teknikal; pendidikan keusahawanan, sains sukan dan lain-lain. Mereka juga terdiri daripada pensyarah universiti, pensyarah institut pendidikan guru, pensyarah politeknik, pegawai pendidikan, guru sekolah dan lain-lain. Sungguhpun demikian, bilik siswazah inilah yang menjadi saksi betapa gigihnya pelajar-pelajar sarjana dan doktor falsafah bekerja keras untuk menggapai impian bergelar seorang sarjana dan doktor falsafah. Buat rakan-rakan seperjuangan sekalian;

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar akal semakin berusia,
Jangan tergadai silaturrahim kita.

Peringkat 3: Takutnya Nak Jumpa Penyelia

Untitled

Ketika cerita ini ditulis, aku sedang mempersiapkan diri untuk berjumpa dengan penyeliaku. Esok merupakan pertemuan kali kedua aku dengan beliau. Perjumpaan pertama dijalankan serentak dengan hari pendaftaran pelajar PhD yang mana pelajar-pelajar diberi ruang dan peluang untuk bertemu dengan penyelia masing-masing. Ketika itu, aku mengambil kesempatan untuk menerangkan secara umum mengenai cadangan kajian PhDku. Alhamdulillah pertemuan pertama aku mendapat respon yang positif daripadanya. Sekarang aku sedang menambahbaik pernyataan masalah dan kerangka konsep dan aku memberi tempoh kepada diriku selama sebulan untuk menyiapkannya. Sebenarnya sebelum menyambung pengajian PhD lagi, aku sudah mula menjalankan ‘homework’ dengan mencari tesis-tesis dan artikel-atikel jurnal dalam dan luar negara yang kajiannya hampir sama dengan kajian yang bakal dijalankan untuk dianalisis. Tujuannya adalah untuk mencari persamaan, perbezaan kajian-kajian dan seterusnya jurang kajian dapat diperolehi. Pada pandanganku, pernyataan masalah merupakan nadi terpenting dalam Bab 1 kerana ia merupakan faktor mengapa kita menjalankan kajian tersebut. Berdasarkan dan pemerhatian dan pengalamanku, perkara pertama yang akan ditanya sewaktu pelajar PhD membentangkan proposal ialah permasalahan kajian. Jelas permasalahan kajian, maka mudahlah perjalanan kajian yang bakal dilaksanakan.

Sejara jujurnya, hubungan dengan penyelia merupakan salah satu aspek terpenting dalam pengajian PhD. Masakan tidak, kita bakal bekerja dengan seorang ataupun dua orang penyelia untuk tiga, empat atau lima tahun mendatang. Sebelum bertemu dengan penyelia, jumpa dengan graduan yang pernah diselia oleh beliau untuk mendapatkan maklumat bagaimana beliau bekerja. Kemudian, bersikap jujur dan rendah diri dengan penyelia. Tunjukkan kepada mereka bahawa kita sudah bersedia dan bukannya datang berjumpa dengan minda yang kosong. Sebab itu, ramai yang beranggapan bahawa bagi diri kita sedikit masa untuk ‘berehat’ sebelum melanjutkan pengajian PhD. Masa tersebut boleh digunakan untuk kita meneroka bidang kajian yang bakal dijalankan termasuklah permasalahan yang membawa kita kepada kajian tersebut. Kemudian, bincang dengan penyelia kekuatan dan kelemahan kita. Pada pandangan aku, dalam pertemuan bersama penyelia, jangan sesekali menunjuk-nunjuk untuk membuktikan kononnya kita hebat dalam menjalankan kajian. Bagi masa kepada diri kita untuk mendengar nasihat daripada penyelia. Beliau pastinya sudah banyak pengalaman menyelia pelajar PhD. Ingat, impresi pertama sangat penting kerana ia mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap kita. Seingatku, pada awal pertemuan kami, aku banyak mendengar pelbagai kisah beliau yang bukan sahaja pernah menyelia pelajar PhD, malah pernah menjadi pemeriksa dalam dan luar pelajar-pelajar PhD. Banyak kenangan manis dan pahit yang beliau kongsikan. Yang mana baik, aku jadikan tauladan, yang mana kurang baik, aku jadikan sempadan. Selain itu, sebagai pelajar yang baru memulakan pengajian PhD, kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kritik yang diberikan penyelia. Kritikan yang diberikan bukan untuk menjatuhkan kita, sebaliknya ia berguna sebagai panduan kepada kita untuk mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar yang lalu. Malah, penulisan artikelku juga pernah dikritik beliau gara-gara penggunaan bahasa inggeris yang kurang memuaskan. Namun segala kritikan kuterima dengan hati yang terbuka. Azamku, selain aku amat mengharapkan penyelia dapat memberi bantuan, panduan dan bimbingan sebaik mungkin sepanjang pengajin PhDku, aku turut ingin mempelajari sebanyak mungkin ilmu daripada beliau dari aspek penyeliaan kerana aku tahu aku juga bakal menjadi seorang penyelia pada masa hadapan. Ketika berada di awal pengajian, aku kerap bertemu dengan penyelia. Dalam seminggu aku pastikan sekurang-kurangnya sekali aku akan bertemu dengannya. Bukannya datang dengan tangan dan minda yang kosong, tetapi datang dengan input dan cadangan mengenai sub bahagian-sub bahagian tertentu dalam tesisku. Namun, kita perlu ingat bahawa bukan kita seorang sahaja yang diselia oleh penyelia. Jadi jangan pentingkan diri sendiri. Bagi penyelia masa untuk membaca segala bahan yang telah kita sediakan. Jangan sesekali mendesak mereka atau memperuntukkan sekian masa kepada mereka untuk membaca dan memberi komen mengenai penulisan kita. Sebagai pelajar, kita juga perlu memastikan momentum hubungan baik ini berterusan. Tidak semestinya hubungan perlu dijalin melalui pertemuan bersemuka. Banyak lagi cara atau medium lain untuk mengekalkan hubungan sedia ada termasuklah selepas tamat pengajian.

Peringkat 2: Rutin Harian di Awal Pengajian

daily-routines-2

Semasa di awal pengajian, selepas menunaikan solat subuh, rutin harianku dimulakan dengan memasak apa jua makanan yang ringkas. Tidak kisahlah, sardin, telur goreng, ikan bilis goreng, bihun goreng, dan sebagainya untuk dibawa sebagai bekalan makan tengahari di kampus. Di awal pengajian sebegini, aku belum lagi berjumpa dengan rakan-rakan sebaya di bilik siswazah yang mungkin boleh diajak untuk makan tengahari di cafeteria. Kebanyakan kenalan ketika ini merupakan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berkeluarga. Kebiasaannya, pada waktu tengahari mereka akan mengambil anak-anak dari sekolah dan makan tengahari di rumah. Jadi terpaksalah aku makan sendiri dengan bekalan yang dibawa. Sebelum ke kampus, aku meluangkan sedikit masa untuk bersenam dan mengeluarkan peluh di gymnasium berhampiran. Bagiku, untuk mendapatkan idea dan buah fikiran yang baik, ia lahir dari otak yang cerdas. Otak yang cerdas pula lahir dari fizikal yang cergas. Disebabkan itu, aku tidak berkira untuk memperuntukkan sedikit wang untuk melanggan gymnasium berhampiran universiti. Kemudian, aku akan mengabdikan diri sama ada di perpustakaan universiti ataupun di pusat sumber fakulti untuk menyiapkan bab satu, dua dan tiga iaitu bab-bab yang diperlukan untuk pembentangan proposal. Aku akan ‘lepak’ di situ sehinggalah solat zuhur. Selepas solat zuhur, aku akan menyambung kerja-kerja aku di situ melainkan ada kelas yang perlu dihadiri. Sebenarnya pelajar PhD di UKM (ketika itu) tidak perlu mengambil sebarang kelas sebagai syarat untuk lulus PhD. Tetapi memandangkan sudah agak lama aku meninggalkan dunia pelajar, aku mengambil inisiatif untuk menumpang di kelas-kelas tertentu untuk mengimbas semula pengetahuan aku dalam dunia penyelidikan pendidikan ini.

Sepanjang tahun pertama pengajianku juga, aku kerap kali menela’ah bahan bacaan di perpustakaan Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) Kementerian Pendidikan Malaysia yang menempatkan banyak bahan rujukan dalam bidang pendidikan. Di situ, banyak tesis, artikel jurnal dan keratan suratkhabar berkaitan pendidikan di dalam dan luar negara ditempatkan. Tambahan pula, perpustakaan tersebut amat selesa untuk menjadi tempat pertapaanku. Pada waktu petang aku akan pastikan akan balik ke rumah sewa sebelum pukul 4.30 petang. Selalunya, 5.00 petang merupakan waktu kemuncak kesesakan jalan raya di kawasan-kawasan di Lembah Klang ini. Lebih-lebih lagi, setiap hari aku akan melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), kemudian masuk pula lebuh raya South Klang Valley Expressway (SKVE) dan akhirnya lebuhraya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari rumah sewa ke kampus universiti dan menggunakan laluan balik yang sama. Jadi perancangan perjalanan pergi dan balik amat penting supaya aku tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang pastinya akan membuang banyak masaku. Sekiranya aku ke perpustakaan KPM dan malas pulang awal ke rumah, aku akan berehat sebentar ke pusat membeli belah terkenal, Alamanda Putrajaya. Kebetulan kedudukan bangunan KPM yang tidak jauh dengan pusat membeli belah tersebut. Kadang-kala sempat juga aku merehatkan minda dengan menonton wayang di situ sementara menunggu jalan tidak sesak. Dan sekiranya tidak berkesempatan mengunjung gymnasium pada waktu pagi, aku akan ke sana di sebelah petang.

Di sebelah malam pula, semasa berada dalam tahun pertama pengajian, aku menyewa rumah dengan seorang sahabat yang juga merupakan ahli akademik di salah sebuah universiti tempatan. Jadi pada masa itu, kalau rajin, kami akan masak untuk makan malam. Tetapi selalunya, kami ke pasar malam atau ke kedai makan berhampiran rumah untuk makan malam. Selepas itu, aku akan menyambung kerja-kerjaku seperti membaca artikel jurnal, menaip dan sebagainya. Kalau berkelapangan, aku akan menonton rancangan televisyen yang menarik. Aku lebih suka menonton rancangan bercorak dokumentari. Pernah sekali, salah satu stesen televisyen menayangkan dokumentari jenayah tegar yang berlaku di Malaysia pada masa lampau bertajuk “KES: Kronologi Ekslusif Siasatan”. Rancangan tersebut memaparkan kronologi dan siasatan mengenai penjenayah-penjenayah tegar di Malaysia pada masa lalu seperti pembunuhan ngeri oleh Mona Fandey, rampasan senjata oleh kumpulan Al-Maunah dan banyak lagi. Rancangan tersebut disiarkan sekali seminggu dan aku merupakan peminat setianya. Yang menariknya, aku turut menyertai peraduan kuiz terkumpul yang dianjurkan untuk rancangan tersebut. Dan dengan berbesar hati, aku ingin menyatakan bahawa aku merupakan pemenang utama peraduan tersebut. Dan hadiahnya ialah tiket pergi balik ke Melbourne Australia untuk dua orang. Yahooooo!!!! masa yang tepat untuk aku bertemu rakanku, Hilmi di sana. Selain memenangi peraduan tersebut, aku turut pernah memenangi hadiah saguhati bernilai RM500 dalam Peraduan Sembang Santai Bersama Alam Flora & suratkhabar Kosmo!. Peraduan berkenaan meminta pembaca mengisi dialog dalam ruangan yang disediakan. Bagiku, otak juga perlu berehat setelah saban hari memerah idea. Justeru, dengan menjalankan aktiviti-aktiviti santai sebegini, ianya sedikit sebanyak dapat merehatkan otak dan dapat melupakan sebentar tekanan menyiapkan proposal. Betullah kata orang, kita sendiri yang mewarnai perjalanan PhD kita. Kita yang menentukan sama ada PhD terus menekan kita, atau kita yang mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan tekanan tersebut.

Rutin harianku diakhiri dengan tidur awal. Ya, tidur yang cukup penting untuk pelajar PhD kerana tubuh badan kita perlu rehat secukupnya. Tubuh badan yang sihat memberi kesan positif terhadap otak untuk ia bekerja dengan baik untuk hari esok dan hari-hari berikutnya sebagai seorang pelajar PhD.

UTM Open Day