Archives for January 15, 2016

Tips 2: Bagaimana Nak Bermula?

Bagaimana kita nak bermula?

Start straight for business

  1. Apakah bidang anda? Sekiranya anda dalam bidang Pendidikan, anda boleh ke laman web ini https://people.utm.my/penyelidikaninovasi/muatturun  dan muat turun senarai scopus indexed journal dalam bidang pendidikan
  2. Anda ragu-ragu tentang di mana hendak terbitkan artikel anda? Scopus? Q1, Q2, Q3, Q4 (ISI)? Jurnal tidak berindeks?
  3. Mulakan dengan jurnal tidak berindeks atau kertas persidangan
  4. Lihat skop jurnal tersebut, lihat arkib (senarai artikel yang telah diterbitkan) – dapatkan pola dan skop supaya artikel kita tidak tersasar. Jangan bazir masa menunggu keputusan sama ada diterima atau tidak – akhirnya tidak diterima kerana lari dari skop jurnal tersebut. Contoh maklumbalas “I regret to inform you that our editors have considered your paper but unfortunately feel it does not fit well in the XXXXXXX. We have thus decided to reject it without sending it out for review.”
  5. Lihat frekuensi – 2x setahun? 4x setahun? 6x setahun? Pastinya kita mahukan kekerapan penerbitan jurnal yang tinggi- bayangkan kalau frekuensi sekali setahun, akhirnya tidak diterima- Bazir masa!!

Bahau: Segalanya Bermula Di Sini

11817135_658588830943022_4358459294203190903_n

Hari ini aku ke pekan Bahau entah untuk kali yang ke berapa. Barangkali sudah beratus atau mungkin beribu kali aku ke sini. Sebuah pekan kecil tetapi menjadi tumpuan pengunjung dek kedudukannya dikelilingi oleh kawasan felda dan taman perumahan. Gugusan Felda Serting, Gugusan Felda Palong, Gugusan Felda Jelai, Gugusan Felda Lui, Gugusan Felda Pasoh, Gugusan Felda Kepis dan Gugusan Felda Bukit Rokan antara gugusan felda di sekitarnya. Bahau; unik bukan namanya. Sehingga hari ini aku masih tercari-cari bagaimana tempat ini mendapat nama. Ketika zaman kecilku, bilangan bangunan yang terdapat di pekan boleh dikira dengan jari. Bagaimanapun, pekan ini semakin hari semakin pesat membangun dan sehingga ke hari ini, banyak projek pembangunan sedang giat dijalankan. Di sini ingin dikongsikan mengapa pekan Bahau begitu istimewa buat diri ini.

  1. Bahau; tempat aku dan kawan-kawanku tuju setelah menanti bas henti-henti yang kami tunggu di simpang felda. Bas akan berhenti apabila kami tahan, kemudian kami duduk sehingga ada operator tiket datang untuk mengutip duit. Apabila sampai di destinasi, loceng akan ditekan. Kenangan sungguh.
  2. Bahau; tempat bermulanya bas yang dinaiki aku untuk ke KL semasa aku belajar di Sek. Men. Sains Selangor dahulu dan bas yang dinaiki aku untuk ke JB ketika menyambung pengajian di UTM. Tempat tumpahnya air mata aku ketika aku hendak menaiki bas ke KL semasa hendak berpisah dengan keluarga. Maklumlah kecil lagi masa tu. Kalau ke KL nama bas tersebut ialah SKB. Naik di pekan Bahau dan berhenti di Puduraya. Masa di Puduraya kena jalan cepat-cepat sebab takut kena ‘pau’. Pernah sekali aku kena ‘pau’ tapi dengan penuh keyakinan, aku cakap bapa aku inspektor polis. Terus penyamun tu blah.
  3. Bahau; Kentucky Fried Chicken (KFC). Kalau aku dapat nombor satu dalam kelas, inilah tempat yang mak dan ayah akan bawa. Tapi sekarang macam-macam ada di sini. Secret Recipe, Pizza Hut, Domino’s dan McDonald dalam pembinaan.
  4. Bahau; Bank Simpanan Nasional. Bank tempat aku selalu simpan duit terutama sekali selepas hari raya. Dahulu tiada sistem nombor giliran. Konsep siapa cepat dia dapat. Kerap juga, pelanggan beratur hingga ke luar bank. Nostalgia sungguh. Tapi kini macam-macam bank sudah wujud di sini.
  5. Bahau; Upwell. Satu-satunya pusat membeli belah yang ada di sini sewaktu zaman kecilku. Sebelum itu ada Parkson. Barangkali tidak mendapat sambutan, ianya ditutup. Upwell, mungkin tidak dikenali sebilangan anda tapi percayalah ianya amat terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Dahulu, kalau aku dapat nombor satu, di sinilah tempat dituju untuk mak dan ayah belikan set alat tulis dan Tora Datang Lagi (mainan dalam kotak tu). Selalunya kalau ada iklan Tora dalam tv, mata aku tak berkelip tengok sebab nak tahu apa permainan terkini dalam kotak tu. Oh lupa, ada satu lagi permainan dalam kotak. Ding Dang namanya. Dalamnya ada coklat berbentuk sfera dan ada biskut di dalamnya. Kini, Upwell masih terus bertahan walaupun ada Billion, Econsave dan Tesco (dalam pembinaan) di pekan ini.
  6. Bahau; Lotus Five Star. Percaya atau tidak, salah satu peristiwa yang tak dapat aku lupakan semasa zaman kecilku ialah semasa mak dan ayah membeli pemain VCD. Gembira tak terkata. CD pertama yang aku beli ialah…. kuch kuch hota hai. Dan itulah satu-satunya filem hindustan yang aku tengok dari awal sampai akhir. Selainnya, terkandas di tengah jalan. Tapi sekarang dah ada pawagam di Bahau; Lotus Five Star. Hingga ke hari ini, aku masih belum pernah menjejakkan kaki ke situ.

Sesungguhnya Bahau merupakan salah satu tempat signifikan yang memahatkan catatan memori dalam lembaran kehidupanku. Walaupun kini aku mungkin menghabiskan sebahagian besar hidupku di kota yang jauh lebih besar dari pekan ini, sesekali pulang ke kampung halaman, Bahau merupakan tempat yang wajib aku singgah. Bahau; sebuah pekan yang penuh kesederhanaan dan dikunjungi oleh penduduk tempatan yang juga penuh sederhana. Mengunjungi pekan ini membuatkan aku selalu sedar, walaupun di mana kita berada, jangan sesekali lupa di mana kita bermula.

Mengutip Ilmu di Guangzhou, Shenzen

581115_123485031120074_1450689637_n

*Artikel ini disiarkan di bahagian “KEMBARA” Berita Minggu pada 14 Mac 2010 (Ahad)

Buat kali pertama dalam hidup, penulis berpeluang melawat China apabila menyertai rombongan 40 pensyarah dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke negara itu. Lawatan itu sempena Program Global Outreach UTM untuk menggalakkan pembabitan mahasiswa dalam bidang akademik dan aktiviti pembelajaran secara global, sekali gus memberi pengalaman dan pengetahuan baru kepada mereka. Kembara seminggu ke Guangzhou dan Shenzen padat dengan lawatan sambil belajar ke tempat menarik di dua kota berkenaan, termasuk ke sebuah universiti tersohor di Guangzhou yang juga ibu negeri Guangdong. Hairan juga kerana tiada langsung kelihatan motosikal di sekitar bandar itu sebelum dimaklumkan penduduk Guangzhou tidak dibenarkan menggunakan kenderaan itu di kawasan bandar untuk mengurangkan pencemaran serta mengelak jenayah ragut. Bandar ini juga dikenali sebagai kota kambing sempena legenda lima dewa yang menunggang haiwan itu datang membantu rakyat yang dilanda bencana satu masa dulu dan kononnya haiwan itu terus ditinggalkan di situ untuk melindungi rakyat dalam kesusahan. Tidak hairanlah setiap kali menikmati juadah tengahari atau malam di restoran Islam sekitar Guangzhou, kami pasti dihidangkan daging kambing. Untuk makluman, Guangzhou juga bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Asia 2010 dan sudah pasti maskot yang dipilih adalah jelas- tidak lain tidak bukan kambing!

Hari pertama di kota ini, kami dibawa melawat Tugu Peringatan Dr Sun Yat Sen, dulunya tapak pemerintahan Dinasti Ching yang menempatkan pejabat presiden, Dr Sun Yat Sen yang memerintah China pada 1921 dan meninggal dunia pada 1925. Bangunan itu pernah musnah dalam rampasan kuasa pada 1922, tetapi penduduk mengutip sumbangan membaik pulihnya sehingga siap pada 1931, tetapi sekali lagi musnah angkara tentera Jepun pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Dewan Peringatan Dr. Sun Yat Sen juga ada di sini, berbentuk oktagon atau segi lapan dengan patung pemimpin itu didirikan di hadapan tugu peringatan. Kami kemudian ke taman terbesar di Guangzhou, Taman Yue Xiu yang merangkumi Gunung Yue Xiu dan beberapa gunung lebih kecil selain turut dikelilingi lima tasik buatan manusia. Tangga disediakan untuk ke puncak bukit yang menempatkan beberapa patung kambing sebagai mercu tanda taman. Disebabkan musim sejuk ketika itu, penulis tidak penat ketika mendaki. Pada sebelah petang, kami ke Masjid Huaisheng atau dikenali juga Masjid Pagoda yang dibina pada awal zaman Dinasti Tang dan antara empat masjid paling awal dibina di China selepas Islam disebar ke negara ini.

Aktiviti waktu malam pula diisi dengan kunjungan ke pusat beli-belah di Beijing Road. Baju sejuk dijual di setiap kedai dan bagi golongan hawa pasti tidak ketinggalan membeli beg tangan. Penulis sempat membeli permainan kanak-kanak kerana bakal menimang anak buah sulung tidak lama lagi. Mulanya ingin membeli baju buat si kecil, tetapi tidak menemui kedai menjualnya, mungkin ada kaitan dengan dasar China yang tidak membenarkan rakyatnya memiliki lebih seorang anak.

Hari kedua di Guangzhou, kami melawat antara universiti tersohor di kota ini, South China Normal University dan mengunjungi Kolej Kebudayaan Antarabangsanya, Fakulti Pendidikan dan Pusat Pendidikan Berterusan. Kunjungan diisi pelbagai aktiviti, antaranya perbincangan antara pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti mengenai peluang melanjutkan pelajaran dan program yang ditawarkan. Pada sebelah malam, kami ke Wanling Shopping Mall sebelum bertolak ke Shenzen keesokannya tetapi sempat juga melawat Muzium Xiguan yang mempamerkan reka bentuk rumah dan pakaian bangsawan China dulu kala.

Perjalanan ke Shenzen mengambil masa lebih kurang dua jam. Penulis kagum dengan kepesatan bandar ini yang sememangnya antara paling pesat membangun di dunia, dipenuhi bangunan pencakar langit moden dan sistem jalan raya terancang. Hari pertama di kota ini, kami dibawa ke kilang jed dan sutera. Penulis sempat membeli loket jed untuk emak dan adik perempuan, manakala pada sebelah petang, Taman Splendid China menjadi destinasi kami. Kereta api digunakan mengelilingi taman ini bagi menyaksikan replika bangunan dan monumen bersejarah di China, termasuk Tembok Besar China serta Kota Larangan atau The Forbidden City, menyaksikan pertunjukan kuda dan tarian. Kami juga ke pusat beli-belah Dongmen Walking Street yang terkenal di sini dan esoknya ke Lotus Mountain Park yang menempatkan patung Deng Xiao Ping, pemimpin terkenal China serta ke Coastal Ecological Park untuk melihat Hong Kong dari jauh sebelum pulang ke tanah air.

UTM Open Day