Archives for December 2017

Happy Ending Tirai Tahun 2017

Sepanjang bergelar ahli akademik sejak tahun 2006, tahun 2017 ini boleh saya katakan tahun yang paling produktif dalam kerjaya saya. Perasaannya, penat tapi saya puas. Alhamdulillah, tahun 2017 sangat meriah dengan penerbitan artikel dalam jurnal dan prosiding berindeks scopus yang berjumlah 25 artikel. Artikel-artikel ini merupakan hasil tulisan saya, pelajar-pelajar saya serta rakan-rakan seangkatan di UTM mahupun universiti awam yang lain. Alhamdulillah, jumlah artikel dalam jurnal/prosiding berindeks scopus saya sehingga penghujung tahun 2017 ialah sebanyak 46 artikel. Tahun 2017 juga mencatatkan hasil tulisan saya yang ke-62 di suratkhabar sejak saya menulis di mana-mana ruangan akhbar seperti Forum dan Komentar pada tahun 2011. Sepanjang hidup di muka bumi Allah s.w.t ini juga, tahun 2017 menyaksikan saya paling kerap ke luar negara. Opss.. bukan untuk bercuti, tetapi untuk bekerja. Pada awal tahun 2017, saya ke Dubai dan Abu Dhabi di UAE untuk membentangkan satu kertas kerja persidangan di sana dan Alhamdulillah, kertas kerja saya dipilih sebagai kertas persidangan terbaik. Pada bulan Mac saya ke Bangkok Thailand untuk menyertai satu lawatan Akademik ke Rajamangala University of Technology Thanyaburi (RMUTT) Thailand dan bulan April ke Vietnam bagi menguruskan Surat Kerjasama antara Fakulti Pendidikan UTM dengan Phu Yen University, bulan Mei ke Banjarmasin dan Makassar di Indonesia bagi memenuhi jemputan sebagai keynote speaker di dua buah universiti di sana sebelum terbang ke Astana Kazakhstan pada bulan Ogos sebagai invited speaker di sana. Pembentangan di persidangan sentiasa menjadi platform kepada saya untuk berkongsi hasil kajian di samping menimba sebanyak mungkin ilmu dari ahli-ahli akademik yang lain. Sehubungan itu, saya telah menghadiri satu persidangan di Singapura pada bulan Julai dan satu lagi persidangan di Hong Kong baru-baru ini. Secara keseluruhannya, sebanyak tujuh negara telah saya kunjungi. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Hasil lawatan ke negara-negara tersebut, sempat jua saya tulis dan terbitkan empat buah travelog dalam tahun 2017 ini yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa dan majalah Backpackerz. Alhamdulillah, hari ini di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, saya diberikan Awards for Publication Excellence untuk kategori Young Scientist (25-34 tahun) dalam bidang Social Sciences & Humanity. Ya, ini merupakan satu kisah gembira sempena berlabuhnya tirai jendela 2017, tetapi apa yang lebih penting, semoga ini akan menjadi pemangkin untuk menjelmakan kisah-kisah kejayaan di tahun-tahun mendatang, insha Allah.

Pencapaian Matematik TIMSS 1999, 2003, 2007, 2011 dan 2015: Di Mana Kedudukan Malaysia Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Salah satu pentaksiran antarabangsa khususnya dalam subjek Matematik yang disertai Malaysia ialah Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Walau bagaimanapun, pencapaian Malaysia dilihat tidak konsisten sejak penglibatannya pada tahun 1999. Bagaimana pencapaian subjek Matematik dalam kalangan pelajar di Malaysia? Bagaimana pula pencapaian Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara lain yang turut mengambil bahagian?

Jangan lupa baca artikel saya di pautan berikut

https://www.researchgate.net/publication/321937275_Pencapaian_Matematik_TIMSS_1999_2003_2007_2011_dan_2015_Di_Mana_Kedudukan_Malaysia_Dalam_Kalangan_Negara_Asia_Tenggara

Artikel ini  membincangkan pencapaian subjek Matematik dalam pentaksiran TIMSS pada tahun 1999 sehinggalah yang terkini iaitu pada tahun 2015. Pencapaian ini turut dibandingkan dengan pencapaian negara-negara Asia Tenggara lain yang turut menyertai pentaksiran TIMSS. Perbincangan ini meliputi perbandingan dari setiap domain iaitu Domain Kandungan (Nombor, Pecahan, Ukuran, Data, Geometri dan Algebra) dan Domain Kognitif (Pengetahuan, Penggunaan & Penaakulan). Selain itu, pencapaian pelajar Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain untuk beberapa soalan Matematik TIMSS terpilih turut dibincangkan.

Ranking Subjek Pendidikan Merentas Universiti di Malaysia Sejak 2014

Berikut merupakan kedudukan subjek pendidikan merentas universiti-universiti di Malaysia sejak tahun 2014 menurut QS World Ranking. Tiga buah universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia merupakan tiga buah universiti yang kekal berada dalam senarai sejak tahun 2014 sehinggalah tahun 2017. Manakala Universiti Teknologi Malaysia mula berada dalam ranking pada tahun 2016 iaitu di kedudukan 201-300, dan mencatatkan peningkatan pada tahun 2017 di kedudukan 151-200. Semoga UTM terus mengorak langkah untuk tahun-tahun terkehadapan, inshaAllah.

Sumber gambar: Website QS World Ranking

Kedudukan Universiti-Universiti Malaysia dalam Bidang Pendidikan

Jangan Leka Dengan Kejayaan Kepada Yang Berjaya Dan Tanamkan Semangat Untuk Berubah Kepada Yang Kurang Berjaya

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada murid yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini. Kepada yang kurang berjaya, diharapkan tidak berputus asa dan gandakan lagi usaha anda pada masa akan datang. Perjalanan anda masih jauh dan banyak lagi peringkat pengajian yang bakal anda tempuh sebelum dapat menggapai impian dan cita-cita kalian. UPSR hanyalah satu bentuk penilaian sumatif yang menguji pencapaian kognitif terhadap segala yang telah dipelajari sepanjang berada di peringkat sekolah rendah. Kognitif di sini merujuk kepada empat kemahiran yang digariskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan mulai tahun 2011 iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kejayaan dalam peperiksaan tersebut dapat menentukan di mana murid dapat menyambung pengajian menengah mereka sama ada di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah harian biasa atau sebagainya. Walau bagaimanapun, tidak kira di mana dan jenis sekolah yang bakal menjadi tempat anda belajar, apa yang paling penting ialah kesinambungan kecemerlangan yang telah diperolehi di peringkat sekolah rendah diteruskan di peringkat menengah yang perjalanannya pasti lebih mencabar. Momentum kecemerlangan semasa di sekolah rendah perlu dikekalkan dan dipertingkatkan semasa berada di sekolah menengah. Jangan terlalu berpuas hati dengan kejayaan yang baru sahaja bermula sedangkan perjuangan yang lebih mencabar bakal ditempuhi.

Sumber gambar: https://www.mysumber.com/keputusan-upsr.html

Cabaran yang mungkin akan dihadapi ialah apabila murid menyambung pelajaran di sekolah menengah harian biasa yang mana kehidupan mereka sebagai murid lebih bebas. Berbanding dengan murid yang menyambung pendidikan menengah mereka di sekolah berasrama yang aktiviti mereka lebih terkawal, murid sekolah menengah harian biasa harus bijak memilih rakan. Kebiasaannya sesebuah sekolah menengah menempatkan murid yang datangnya dari pelbagai sekolah rendah sewaktu mereka menamatkan pendidikan rendah mereka. Mereka akan bertemu dan bergaul dengan rakan-rakan baru dari kawasan berdekatan. Justeru di sini murid perlu bijak memilih rakan sebaya. Banyak kajian menunjukkan pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama terlibatnya pelajar dalam kancah gejala sosial. Tambah-tambah lagi dalam umur yang sedang meningkat, mereka mudah dipengaruhi untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh yang demikian, murid yang bakal memulakan pendidikan peringkat menengah, semuanya terletak di tangan anda kerana andalah yang bakal menentukan masa depan anda. Keputusan cemerlang dalam UPSR bukanlah segala-galanya. Malah kalau diperhatikan, mahupun berdasarkan pengalaman dan amalan untuk mendapatkan pekerjaan, ataupun mendapatkan tempat di institusi pendidikan tinggi, pencapaian dalam UPSR tidak diperlukan. Bukan untuk menidakkan kepentingan peperiksaan UPSR, keputusan cemerlang dalam UPSR seharusnya memberikan tambahan motivasi kepada murid untuk terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan-peperiksaan lain yang jauh lebih penting. Satu lagi perkara yang perlu kita ketahui ialah masyarakat kita yang mendefinisikan kejayaan hanya dari keputusan peperiksaan yang berasaskan kertas dan pen semata-mata. Sebagaimana yang kita ketahui, sistem pendidikan di Malaysia telah melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PBS bertujuan untuk mentaksir murid secara holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Disebabkan itu, setiap murid tahun enam menerima empat pelaporan serentak iaitu keputusan UPSR dan tiga komponen PBS; Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Tidak dapat dinafikan kemahiran kognitif yang diukur melalui peperiksaan UPSR itu penting, tetapi harus kita ingat bahawa kebolehan murid adalah pelbagai dan seseorang yang kurang atau tidak berjaya dalam peperiksaan UPSR tidak semestinya tidak mempunyai masa hadapan yang cerah. Malah negara kita kini telah menumpukan perhatian kepada penawaran bidang Pendidikan Vokasional dan Teknik (TVET) untuk mereka yang lebih cenderung untuk memiliki kemahiran dan latihan yang diperlukan oleh negara pada masa kini dan akan datang. Oleh yang demikian, kepada murid yang kurang berjaya, jangan melihat ke belakang kerana anda tidak dapat mengubahnya. Jadi tanamkan azam untuk berubah dan gandakan usaha untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Sumber gambar:https://maria-hence14.deviantart.com/art/Failure-is-a-Part-of-Success-527771731

Tidak dapat dinafikan bahawa peperiksaan adalah penting, dan anda layak mendapat usaha terbaik anda, tetapi kehidupan akan berterusan walau apa pun di penghujungnya. Anda juga harus ingat bahawa kegagalan itu sendiri adalah penting. Orang tidak berjaya pada semua yang mereka lakukan sepanjang masa. Apabila anda gagal dan belajar untuk menangani kegagalan tersebut dengan sewajarnya boleh membantu anda melakukan lebih baik pada masa akan datang. Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan anak-anak mereka di peringkat selanjutnya. Sokongan, kata-kata semangat dan galakan harus dipertingkatkan dan usah kecewa sekiranya anak-anak anda gagal atau kurang berjaya dalam UPSR kerana UPSR bukanlah penentu masa depan anak anda. Kata-kata dorongan perlu berterusan agar anak-anak tidak putus asa. Penting juga bagi ibu bapa untuk lebih rasional tentang pencapaian anak mereka. Kecerdasan anak-anak adalah pelbagai. Seseorang murid itu mungkin sangat lemah dalam matematik tetapi cemerlang dalam bahasa. Selain itu, selaras dengan konsep pentaksiran berasaskan sekolah yang diaplikasikan dalam sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini, maksud pentaksiran itu sendiri membawa kepada proses mengumpul maklumat tentang pencapaian murid secara berterusan bagi tujuan penambahbaikan terhadap aspek pengajaran, pembelajaran dan kurikulum pada masa hadapan. Dalam konteks UPSR, analisis pasca peperiksaan tersebut jarang dapat meningkatkan hasil dari kumpulan murid pada tahun semasa kerana mereka akan melangkah masuk alam persekolahan menengah, tetapi dapat membantu guru memperbaiki cara pengajaran mereka, dan menambahbaik kaedah pembelajaran murid dalam meningkatkan pencapaian murid yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun-tahun seterusnya.

 

UTM Open Day