Archives for April 2018

Semoga Terus Cemerlang Mahasiswa UTM

Baru-baru ini saya menonton satu rancangan temu ramah di Astro Awani bersama pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah membangunkan kabel pintar yang dikenali sebagai Charby Sense. Inovasi ini dikatakan dapat mengatasi masalah jangka hayat bateri dengan cara memutuskan arus elektrik apabila peranti sudah dicas penuh. Rasa bangga dengan kualiti yang dimiliki oleh mahasiswa UTM.

Sumber: Koleksi peribadi

Pencapaian mahasiswa UTM juga konsisten dalam Pertandingan Robot ABU Asia-Pasifik (ROBOCON). ABU ROBOCON yang ditubuhkan pada tahun 2002 merupakan sebuah pertandingan robot secara tahunan yang bertujuan menjadi platform untuk membangunkan robot automatik untuk membantu manusia dalam kehidupan seharian mereka. Pada tahun 2017, UTM yang mewakili Malaysia, muncul naib johan dalam Pertandingan Robot ABU Asia-Pasifik (ROBOCON) 2017 yang diadakan di Tokyo, Jepun. Baru-baru ini pula, bertempat di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), mahasiswa UTM sekali lagi mengharumkan nama UTM dengan memenangi tempat pertama dan kedua dalam ROBOCON 2018 dan bakal mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Vietnam pada bulan Ogos ini.

Sumber gambar: Facebook rasmi UTM

Pada bulan Mac 2018 yang lalu pula, pasukan debat UTM menjuarai Anugerah Debat Perdana 2018. Kejayaan dalam pertandingan debat ini sememangnya sesuatu membanggakan apatah lagi secara tradisinya sebelum ini, acara debat selalunya dimonopoli dan dikuasai oleh universiti lain. Hal ini selari dengan pandangan sebuah majalah business terkemuka dunia iaitu Forbes dalam artikelnya yang bertajuk “What makes a university great” iaitu antara faktor utama yang membezakan antara universiti-universiti ternama dunia dengan pesaing-pesaing mereka ialah penumpuan tinggi terhadap pemilihan staf akademik, penyelidik dan mahasiswa yang berpotensi dan berbakat. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai mahasiswa UTM juga dilihat hasil daripada kejayaan pelaksanaan Pelan Global UTM 2012-2020 dibentuk untuk menjadikan UTM sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat kebangsaan dan global atas sumbangannya dalam aspek reputasi akademik dan penjanaan modal insan berkualiti tinggi. Di samping itu, konsep Akademia Baru yang memberi fokus kepada inovasi pembelajaran dan pengajaran turut dilihat memberi sumbangan terhadap pemupukan kemahiran insaniah mahasiswa yang penting untuk kebolehpasaran graduan. Semoga terus cemerlang mahasiswa UTM.

[Bahagian 3] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

Sambungan dari [Bahagian 1] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

dan [Bahagian 2] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan

Expo 2017 Astana

Pada hari-hari berikutnya, saya meluangkan sebahagian besar masa di tapak Expo 2017 Astana sama ada sebagai pengunjung pavilion mahupun sebagai peserta Minggu Pendidikan Malaysia yang berlangsung selama seminggu di Pavilion Malaysia. Sebagai peserta di Pavilion Malaysia, saya dijemput sebagai salah seorang penceramah di salah satu slot yang dijadualkan serta bertanggungjawab mempromosikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu tempat penulis berkhidmat. Selain perkongsian ilmu yang saya sampaikan serta ahli-ahli akademik dari institusi yang lain, banyak aktiviti lain yang dirancang oleh penganjur seperti forum, lawatan ke universiti-universiti tempatan seperti Nazarbayev University dan Eurasian National University, dan business matching. Saya juga berkesempatan mengunjungi pavilion Malaysia dan negara-negara lain. Banyak pengetahuan baru khususnya dalam bidang tenaga alternatif yang saya perolehi hasil dari lawatan ke pavilion-pavilion tersebut. Antaranya, semasa mengunjungi pavilion India, saya mendapat tahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Cochin menjadi lapangan terbang berkuasa solar pertama di dunia dan bergantung sepenuhnya dengan tenaga tersebut. Di pavilion Finland saya mendapat tahu bahawa Finland memiliki udara paling bersih di Eropah dan ia juga merupakan negara yang paling stabil di dunia. Manakala di pavilion Pakistan, saya mengetahui bahawa Dewan Nasional Pakistan merupakan satu-satunya parlimen di dunia yang menggunakan tenaga solar. Manakala stesen janakuasa haba solar pertama di dunia terletak di Mesir. Selain mempamerkan bahan pameran sama ada dalam bentuk maujud ataupun digital, terdapat sebilangan pavilion negara yang turut mengadakan persembahan kebudayaan negara masing-masing untuk menarik perhatian pengunjung untuk melawat pavilion mereka.

Persembahan Tarian Tradisional di Pavilion Malaysia

Salah satunya adalah pavilion Malaysia yang meriah dengan persembahan tarian tradisional melayu, cina, melayu serta bumiputra Sabah dan Sarawak. Tema Pavilion Malaysia adalah “Powering Green Growth”. Sebagai salah satu daripada negara yang mempunyai kawasan berhutan paling banyak di dunia, pengunjung mengalami pengalaman secara maya mengenai tenaga “hijau”pada masa hadapan di pavilion Malaysia. Selain Malaysia, pavilion-pavilion negara lain yang turut menjadi kegemaran penulis termasuklah pavilion Kazakhstan, Jerman, Finland dan Korea Selatan.

Saya di EXPO 2017 Astana

Penghargaan

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA), GreenTech Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UTM atas tajaan dan sokongan yang diberikan sebelum dan sepanjang saya berada di bumi Kazakhstan.

Terpilih Mengikuti International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019

Korea Selatan merupakan salah sebuah negara kegemaran saya. Saya pernah berkunjung ke Seoul dan Busan pada penghujung tahun 2016 sebelum ini, dan masih lagi ingin ke sana sekiranya diberi peluang dan ruang. Pada awal tahun ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ada mengemukakan tawaran kepada staf akademik yang ingin menjalankan kajian selama 6 bulan hingga setahun di Korea Selatan untuk program International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019. ISEF merupakan sebuah program yang ditawarkan oleh Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS). KFAS merupakan sebuah organisasi bebas yang bersifat non-profit yang ditubuhkan pada tahun 1974. KFAS telah mempelawa kira-kira 50 ahli akademik dari Asia setiap setahun selama enam bulan atau satu tahun untuk menjalankan projek-projek penyelidikan secara kerjasama dengan profesor dan penyelidik di universiti terkemuka dan institusi akademik di Korea.

http://www.kfas.or.kr/Main.aspx

Sehingga tahun 2016, seramai 838 ahli akademik dari 17 buah negara di Asia dan Timur Tengah telah terpilih menyertai program ini. Jumlah ini termasuklah tiga orang penyelidik dari Malaysia sehingga kini.

Sumber: http://www.kfas.or.kr/download/board/isef_2018_2019.pdf

Apabila mengetahui peluang tersebut, tanpa berfikir panjang, saya cuba memohon. Saya turut membuat sedikit homework mengenai program ini. Rejection rate permohonan yang agak tinggi sebelum ini tidak mematahkan semangat saya langsung. Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang proses memohon ialah untuk mencari host institution di Korea Selatan yang merupakan salah satu syarat utama permohonan. Proposal kajian yang memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara juga perlu disediakan dalam masa yang singkat. (Thanks Dr. Mahani Mokhtar atas kesudian proofread proposal berkenaan). Terima kasih juga buat Prof. Dr. Mohd Salleh Abu (UTM) dan bekas penyelia PhD saya di UKM, Prof. Madya Dr. Effandi Zakaria atas kesediaan menjadi recommender. Proses penilaian melibatkan empat peringkat termasuklah subjek evaluation di peringkat ketiga dan comprehensive evaluation di peringkat terakhir. Alhamdulillah, setelah hampir dua bulan menanti, hari ini keputusan permohonan diumumkan. Tiada apa yang mampu saya katakan selain hanya mampu bersyukur kehadrat Allah S.W.T. So Korea, see you next year!

UTM Open Day