Archives for October 3, 2023

[Bahagian 1] Keindahan Bahasa Melayu di Sebalik Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri

Salam semua

Disebabkan pembentangan Bajet 2024 oleh YAB Perdana Menteri akan diadakan tidak lama lagi, saya ingin berkongsi penulisan saya sebagai pencinta bahasa Melayu. Saya tertarik dengan istilah-istilah menarik yang diperkatakan oleh YAB PMX semasa pembentangan Bajet 2023 pada awal tahun ini.

Selamat membaca!

Pertama sekali, penulis bukanlah berlatar belakangkan kesusasteraan mahupun pengajian Bahasa Melayu. Hendak dikatakan pakar dalam bidang pendidikan, bukan juga. Pakar bahasa, jauh sekali. Penulis hanyalah ahli akademik dan penyelidik dalam bidang pendidikan matematik yang sangat menyanjung tinggi bahasa kebangsaan Malaysia iaitu Bahasa Melayu. Walaupun berada dalam bidang pendidikan matematik di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penulis banyak menulis artikel, kertas kerja, usulan penyelidikan, dan seterusnya melaksanakan penyelidikan dalam Bahasa Melayu. Dalam aspek pengajaran, walaupun terdapat mahasiswa yang memberikan aduan mengenai penggunaan Bahasa Inggeris penulis yang terhad dalam kuliah peringkat pra-siswazah, ianya tidak sesekali mematahkan semangat penulis untuk terus memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat pendidikan tinggi. Tambahan pula, sudah terang lagikan bersuluh bahawa bahasa pengantar rasmi untuk amalan pengajaran dan pembelajaran di UTM ialah Bahasa Melayu. Kalau peringkat pasca-siswazah, lain cerita. Hatta terdapat seorang mahasiswa antarabangsa selain berasal dari Indonesia ataupun Brunei, penggunaan Bahasa Inggeris wajib digunakan di dalam dewan kuliah. Meskipun begitu, penulis tetap menggalakkan mahasiswa antarabangsa untuk mempelajari bahasa kebangsaan yang indah ini. Dalam aspek penyeliaan mahasiswa, penulis menggalakkan pelajar tempatan menghasilkan tesis dalam Bahasa Melayu, namun tiada paksaan. Beberapa buah buku penulis diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Penerbit Universiti yang berdaftar dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Buah fikiran penulis khususnya dalam bidang pendidikan turut diterjemahkan dalam bentuk penulisan artikel dalam Bahasa Melayu yang diterbitkan dalam akhbar arus perdana dan majalah akademik. Pada penghujung tahun 2022, penulis berbesar hati menerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) tahun 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Suatu anugerah yang tidak pernah terjangkau fikiran penulis untuk menerimanya. Setinggi kesyukuran penulis rakamkan dan ia pastinya memberi semangat dan motivasi kepada penulis untuk terus menyumbang kepakaran dalam bidang menggunakan bahasa kebangsaan.

Penulis menulis artikel ini bukan untuk mengupas pembentangan Belanjawan 2023 yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Bahkan penulis bukanlah orang yang layak untuk mengulas intipati pembentangan tersebut. Penulis mengikuti pembentangan Perdana Menteri dari awal hinggalah akhir. Mungkin kebanyakan orang tertunggu-tunggu berita gembira yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri. Penulis akui yang penulis juga tertunggu-tunggu ‘durian runtuh’ yang mungkin penulis dan kakitangan sektor awam yang lain terima. Namun, apa yang lebih menarik perhatian penulis ialah keindahan dan keunikan istilah-istilah dan ungkapan-ungkapan yang digunakan oleh Perdana Menteri sepanjang pembentangan tersebut. Jika diselusuri perjalanan hidup insan bernama Anwar Ibrahim ini, tidak hairanlah bagaimana beliau boleh menyusun ungkapan dengan indah, menggunakan istilah Bahasa Melayu dengan berseni dan tepat pada tempatnya. Penulis suka berkongsi serba sedikit kisah hidup Perdana Menteri Malaysia yang digelar sebagai Bapa Reformasi Malaysia dalam konteks memperjuangkan Bahasa Melayu.

Bakat figura hebat ini terserlah seawal dari peringkat sekolah menengah lagi iaitu di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih sinonim dengan panggilan MCKK. Siapa yang tak kenal dengan MCKK. Sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) yang banyak melahirkan pemimpin dan tokoh hebat dan terkemuka di Malaysia. Semasa di MCKK, beliau aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi wakil pemidato. Perjuangannya memartabatkan Bahasa Melayu diteruskan di peringkat pendidikan tinggi di Universiti Malaya (UM) yang mana beliau menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera). Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya semasa pengajiannya di universiti tertua di Malaysia itu. Semasa menjadi Menteri Pendidikan, salah satu polisi yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Anwar dalam kurikulum sekolah kebangsaan ialah menukar nama bahasa kebangsaan daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu walaupun langkah ini dikritik hebat oleh orang bukan Melayu. Insan yang bernama Anwar Ibrahim ini juga mencetuskan istilah seperti masyarakat Madani, generasi rabbani, waima dan nawaitu. Coretan kisah sosok hebat ini mungkin hanya cebisan daripada perjalanan hidupnya yang penuh dengan kisah suka dan suka yang mana ketika itu penulis hanyalah budak hingusan yang masih menuntut ilmu di peringkat sekolah menengah. Ketika itu, politik tiada dalam kamus hidup penulis apatah lagi tinggal di kawasan luar bandar yang masih janggal dengan dunia luar dan tertinggal dalam pelbagai aspek dan kemudahan.

Penulis juga diuar-uarkan bahawa figura bernama Anwar Ibrahim ini sangat petah apabila berkata-kata. Sahabat-sahabat penulis di negara seberang kerap memuji dan menyatakan bahawa betapa rakyat Indonesia kagum dengan insan ini. Pada tahun 2018, Dato’ Seri Anwar dianugerahkan Doktor Kehormatan (Dr.Hc) dalam bidang Pendidikan Politik oleh Universitas Negeri Padang (UNP), Sumatera Barat, Indonesia. Beliau turut menyampaikan ucapan sempena penganugerahan ini dalam Bahasa Melayu. UNP ini sangat dekat di hati penulis. Sudah beberapa kali penulis dijemput sebagai penyampai kuliah tamu di sana dan pastinya penulis turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahkan dosen (pensyarah) di sana berkolaborasi dengan penulis dalam penyelidikan dan penulisan.

Bersambung…