Archives for August 2024

Minggu Yang Tidak Akan Dilupakan

Simpan sini buat kenangan!

Alhamdulillah. Selamat tiba di Johor Bahru.

Percutian empat hari tiga malam di Putrajaya, Ipoh dan Cameron Highlands.

Mengapa minggu ini?

Sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-41 pada selasa lalu.

Sengaja memilih hari bekerja dan bukan cuti sekolah/ hujung minggu untuk elak kesesakan terutamanya di Cameron Highlands.

26 Ogos 2024

Kami bergerak ke Putrajaya. Sedikit tersasar dari tentatif asal iaitu bergerak pada pagi 27hb dari JB terus ke Ipoh. Namun, disebabkan saya kurang sihat, maka kami decide untuk transit di Putrajaya terlebih dahulu.

Sebelum check-in di Dorsett Hotel, sempat singgah makan malam di IOI Mall Putrajaya. Rezeki terserempak dengan dua orang  sahabat Sekolah Menengah Sains yang lebih 20 tahun tidak bersua.

Dorsett Hotel memang selesa. Kebetulan di hadapannya terdapat Putrajaya Royal Floria 2024. Namun kesihatan kurang mengizinkan. Maka kami tidur awal untuk rehat secukupnya.

27 Ogos 2024

Happy birthday to me!. Usai sarapan, kami bergerak ke Ipoh. Hendak keluar dari Lembah Klang pun ambil masa. Kenapa Ipoh?. Sejujurnya saya tak pernah menjejakkan kaki di Ipoh dan Ipoh adalah satu-satunya ibu negeri yang belum pernah saya kunjungi.  Terima kasih orang rumah yang belanja lunch di Canning Dim Sum Ipoh yang viral katanya. Sedap memang sedap, tapi harganya boleh tahan. Cukuplah sekali buat ghaso-ghaso kata netizen. Siap pakej kena saman dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebab tak letak kupon parkir. Bukan salah kami. Kami cuba install app MBI tapi ketika itu, app asyik loading tak boleh nak register. Kakak dan adik pula dah lapar. Jadi kami tawakkal sahaja.

Usai lunch, kami ke Concubine Lane. Menarik lane tersebut, namun tidak sepanjang yang kami jangkakan. Sempat juga menikmati kedai cendol yang katanya ramai retis yang pernah ke situ. Disebabkan kakak dan adik dah penat, kami check-in hotel Kinta Riverfront Ipoh untuk berehat seketika dan bagi kakak adik nap. Petangnya, kami ke Night Market berhampiran Aeon Mall untuk menikmati makan malam. Macam-macam makanan ada.

28 Ogos 2024

Hotel Kinta Riverfront ini nampak biasa-biasa. Namun breakfast buffet dia SUPERB. Orang rumah tak habis-habis memuji. Banyak pilihan makanan dan semuanya sedap. Konsepnya ala-ala kampung dan terasa seperti buffet Ramadan.

Usai sarapan, kami bergerak ke Cameron Highlands (CH). Secara peribadi, ini entah kali keberapa kali saya ke situ. Namun orang rumah kata CH ini happy place dia dan siap bercadang nak settle down di situ. Kita layankan aja.

Ini pertama kali saya melalui Simpang Pulai untuk ke CH. Sejujurnya saya lebih suka jalan Simpang Pulai berbanding Tapah. Barangkali jalannya lebih luas dengan pemandangan yang indah. Patutlah adik bongsu saya yang pernah belajar di UiTM Seri Iskandar suatu masa dahulu kerap ke CH. Boleh tahan dekat jaraknya.

Destinasi pertama kami ialah KEA Farm. Walaupun bukan weekend dan cuti sekolah, tetaplah ramai manusia. Kami bawa kakak dan adik menyantuni kambing biri-biri yang comel dan gebu. Kemudian orang rumah borong jagung, keledek dan strawberi. Dia dah buat homework. Jadi dia dah tahu uncle itu ini ada dalam TikTok. Maka dengan gigihnya saya mengangkat hasil borongan ke kereta. Saya juga baru tahu kewujudan jagung susu yang boleh dimakan terus. Boleh tahan rasanya, namun saya lebih suka jagung kuning yang direbus. Oh ya! Kami pergi ke CH pada waktu yang tepat yang mana suhu sejuk siap pakej berkabus dan harga strawberi tengah murah.

Disebabkan masa untuk check-in lama lagi, kami singgah di Cameron Centrum untuk lunch. Kami tak lunch pun sebab nak simpan perut untuk makan malam. Jadi kami biarkan anak-anak sahaja yang makan. Kemudian kami check-in di Zenith Hotel.

Saya sangat recommended hotel ini. Walaupun kadar harganya untuk satu malam agak tinggi, namun kami sangat berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatannya. Lokasinya juga strategik iaitu di Tanah Rata. Ruang bilik sangat spacious untuk kakak dan adik berlari-lari. Mereka juga taknak keluar dari bathtub.

Usai kami semua nap, kami mencari makan malam. Ini tempat favourite orang rumah iaitu Highland Steamboat Cheese & Grill. Bagi saya sangat berbaloi. Banyak sangat pilihan yang ada dan aim kami pastinya lamb dan seafood. Harganya sangat berpatutan dan rasanya sangat sedap. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, ia lebih berbaloi dari Seoul Garden. Barangkali dengan suasana yang sejuk, menghirup kuah tomyam yang panas adalah suatu nikmat yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Gittew. Usai kekenyangan, apa lagi balik bilik untuk tidur.

29 Ogos 2024

Hari untuk kembali ke realiti. Sebelum pulang, kami breakfast di hotel. Not bad, namun orang rumah still kata breakfast di Ipoh jauh lebih berbaloi. Saya okay sahaja sebab kalau saya travel solo, selalunya saya tak ambil breakfast. Usai sarapan, kami pun memulakan perjalanan pulang melalui jalan Tapah.  Kami hanya singgah di beberapa kawasan R&R untuk membuang air kecil. Tambahan pula, kami masih kekenyangan sehinggalah kami singgah di Sultan Salai di Simpang Ampat, Melaka. Sedap-sedap makanan di situ. Surau juga disediakan. Usai menunaikan solat Jamak dan Qasar, kami meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

Selepas hampir lapan jam, akhirnya kami sampai di bumi JDT. Alhamdulillah.

Percutian kali ini saya kira amat bermakna. Saya tidak membawa laptop seperti kebiasaan, dan saya juga mohon bantuan rakan sekerja sekiranya ada perkara penting yang perlu ditangani segera.

Kerja tidak akan pernah habis. Hatta kalau kita tiada kelak, ekosistemnya juga akan berjalan seperti biasa. Sebaliknya, andai kita sakit dan kelak sudah tiada, doa dari keluarga lah yang sentiasa mengiringi kita. Justeru masa berkualiti bersama keluarga juga perlu diutamakan.

Majlis Apresiasi 2024 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

(1) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kategori Terbilang

(2) Anugerah Penghargaan Penyelaras Program Akademik

(3) Pemenang Anugerah Penyelidikan

(4) Pemenang Anugerah Penulisan Jurnal Berindeks

(5) Pemenang Anugerah Penerbitan Buku. Kategori Khas: Buku Suntingan

(6) Finalis Tokoh Penerbitan (Anugerah Khas)

Terima kasih FSSH atas penghargaan.

Semoga penghargaan di dunia ini menjelmakan pahala berterusan untuk bekalan berkekalan di alam sana, insya-Allah.

UTM’s Education Subject Ranked #1 in Malaysia by ARWU!

I recently came across the Academic Ranking of World Universities (ARWU) by Shanghai Jiao Tong University, China. Thanks to a friend’s share of the latest rankings. Although this ranking is not as well-known as THE or QS, which are conducted by Western institutions, it is interesting to see an Asian university running this ranking. After reviewing their methodology, it is clear that they employ extensive Big Data procedures.

I completely agree that we should not chase after rankings. Instead, let the rankings chase after us.

I visited the ARWU website to explore the rankings, and while we are not driven by these numbers, rankings can be useful indicators of whether our ecosystem is on the right track. I specifically looked at the rankings by subject and was pleased to see that UTM’s education subject is ranked number #1 in Malaysia for 2023. This is particularly notable since we haven’t appeared on this list since it was first introduced in 2017.

As I mentioned, our work is not driven by rankings but by our commitment to serve humanity in the name of God. Nonetheless, this ranking is a testament to the fact that our education subject (in the context of this post) is on the right track. We strive to do our best sincerely, and leave the rest to God.

On a related note, enrolment is now open for Cohort 4 of the Master of Education (Mathematics) Open and Distance Learning (ODL) program for the next semester. If you are interested, please send me a message at p-halim@utm.my, and I will get back to you as soon as possible.

[BAHAGIAN AKHIR] Memupuk Perpaduan Kaum di Sekolah Vernakular Usaha Bersama

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-3-memupuk-perpaduan-kaum-di-sekolah-vernakular-usaha-bersama/

Sumber Gambar: https://www.ideas.org.my/

Tuntasnya, usaha untuk memupuk perpaduan kaum sejak kanak-kanak berada di sekolah rendah adalah sangat penting dalam konteks masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Ini menjadi lebih mencabar dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang memisahkan murid mengikut kaum. Walaupun cabaran ini wujud, namun tiada yang mustahil jika kita mampu melihat semula ekosistem pendidikan yang mungkin menghalang perpaduan di negara ini dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menanganinya. Ini termasuklah menerapkan perkara-perkara tertentu dalam semakan kurikulum, melaksanakan program pendidikan yang menggalakkan pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, menganjurkan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang merangkumi pelbagai kaum, dan melibatkan komuniti dalam usaha-usaha untuk mempromosikan perpaduan. Semua pihak, termasuk sekolah, masyarakat, dan kerajaan, perlu bekerjasama secara berterusan untuk mencipta persekitaran pendidikan yang inklusif dan harmoni di Malaysia. Dengan usaha bersama dan kesungguhan, kita boleh mencapai matlamat untuk mencipta masyarakat yang bersatu padu dan saling menghormati antara kaum.

Artikel Saya di BH Pada 20 Julai 2024

[BAHAGIAN 3] Memupuk Perpaduan Kaum di Sekolah Vernakular Usaha Bersama

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-memupuk-perpaduan-kaum-di-sekolah-vernakular-usaha-bersama/

Sumber Gambar: https://ecentral.my/cara-memupuk-perpaduan-kaum/

Semakan kurikulum sedia ada yang bakal membawa perubahan besar terhadap persekolahan pada tahun 2027 perlu melaksanakan program pendidikan yang menekankan betapa pentingnya menghormati dan memahami budaya, adat resam, dan kepercayaan agama setiap kaum. Tambahan pula, aspek pembentukan karakter turut diperkenalkan untuk kurikulum 2027 untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan warganegara Malaysia yang sejahtera. Ini boleh termasuk aktiviti yang lebih mendalam tentang sejarah, adat resam, dan prinsip masyarakat pelbagai kaum Malaysia. Selain kurikulum yang memainkan peranan penting dalam ekosistem pembelajaran murid di sekolah, kepelbagaian pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelbagai budaya dan tradisi perlu digalakkan. Hal ini bermaksud, walaupun di SJK, aktiviti berasaskan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum perlu digalakkan. Misalnya, aktiviti membuat wau di SJK dan aktiviti membuat tanglung di SK. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara boleh duduk berbincang mengenai perkara ini dan modul khas boleh dibangunkan bagi memperkasakan lagi aktiviti kebudayaan, acara sukan dan persembahan seni yang menggalakkan perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian kaum di negara ini. Di sekolah kebangsaan, aktiviti yang melibatkan murid pelbagai kaum lebih mudah dilaksanakan dengan menggalakkan murid daripada pelbagai kumpulan untuk berinteraksi, bekerjasama dan bekerjasama dalam projek sekolah. Ini dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang persefahaman bersama dan mengurangkan stereotaip antara murid. Selain itu, untuk menyokong perpaduan kaum, ibu bapa, guru, dan masyarakat setempat perlu turut terlibat. Ini boleh dicapai melalui bengkel, forum, atau program yang melibatkan pelbagai pihak untuk bercakap tentang kepentingan perpaduan. Kepentingan toleransi dan penghargaan terhadap perbezaan kaum diajar kepada semua murid sama ada secara formal mahupun tidak formal. Mereka perlu ditekankan akan kepentingan hidup harmoni dan saling toleransi antara satu sama lain. Selain itu, sekolah perlu memastikan bahawa sumber dan kemudahan tersedia untuk membantu murid dari pelbagai latar belakang bahasa dan budaya untuk lebih mengenali kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini. Buku-buku cerita mengenai kepentingan hidup dalam suasana harmoni perlu diperbanyakkan.

Bersambung…