Archives for August 1, 2024

[BAHAGIAN 3] Memupuk Perpaduan Kaum di Sekolah Vernakular Usaha Bersama

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-memupuk-perpaduan-kaum-di-sekolah-vernakular-usaha-bersama/

Sumber Gambar: https://ecentral.my/cara-memupuk-perpaduan-kaum/

Semakan kurikulum sedia ada yang bakal membawa perubahan besar terhadap persekolahan pada tahun 2027 perlu melaksanakan program pendidikan yang menekankan betapa pentingnya menghormati dan memahami budaya, adat resam, dan kepercayaan agama setiap kaum. Tambahan pula, aspek pembentukan karakter turut diperkenalkan untuk kurikulum 2027 untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan warganegara Malaysia yang sejahtera. Ini boleh termasuk aktiviti yang lebih mendalam tentang sejarah, adat resam, dan prinsip masyarakat pelbagai kaum Malaysia. Selain kurikulum yang memainkan peranan penting dalam ekosistem pembelajaran murid di sekolah, kepelbagaian pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelbagai budaya dan tradisi perlu digalakkan. Hal ini bermaksud, walaupun di SJK, aktiviti berasaskan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum perlu digalakkan. Misalnya, aktiviti membuat wau di SJK dan aktiviti membuat tanglung di SK. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara boleh duduk berbincang mengenai perkara ini dan modul khas boleh dibangunkan bagi memperkasakan lagi aktiviti kebudayaan, acara sukan dan persembahan seni yang menggalakkan perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian kaum di negara ini. Di sekolah kebangsaan, aktiviti yang melibatkan murid pelbagai kaum lebih mudah dilaksanakan dengan menggalakkan murid daripada pelbagai kumpulan untuk berinteraksi, bekerjasama dan bekerjasama dalam projek sekolah. Ini dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang persefahaman bersama dan mengurangkan stereotaip antara murid. Selain itu, untuk menyokong perpaduan kaum, ibu bapa, guru, dan masyarakat setempat perlu turut terlibat. Ini boleh dicapai melalui bengkel, forum, atau program yang melibatkan pelbagai pihak untuk bercakap tentang kepentingan perpaduan. Kepentingan toleransi dan penghargaan terhadap perbezaan kaum diajar kepada semua murid sama ada secara formal mahupun tidak formal. Mereka perlu ditekankan akan kepentingan hidup harmoni dan saling toleransi antara satu sama lain. Selain itu, sekolah perlu memastikan bahawa sumber dan kemudahan tersedia untuk membantu murid dari pelbagai latar belakang bahasa dan budaya untuk lebih mengenali kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini. Buku-buku cerita mengenai kepentingan hidup dalam suasana harmoni perlu diperbanyakkan.

Bersambung…