Archives for January 2025

Selamat Tahun Baharu Cina 2025

Tahun Baharu Cina di Malaysia merupakan salah satu sambutan perayaan penting bagi masyarakat Cina. Ia melambangkan permulaan tahun baharu mengikut kalendar lunar. Sambutan ini biasanya berlangsung dengan meriah dan penuh tradisi, termasuk acara yang memang sinonim sempena sambutan tersebut iaitu makan besar bersama keluarga pada malam sebelum Tahun Baharu. Begitu juga dengan tradisi pemberian angpau kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin, serta pertunjukan tarian singa dan naga yang berwarna-warni. Rumah-rumah juga dihiasi dengan lampu tanglung merah. Masyarakat Cina juga akan membersihkan kediaman mereka sebagai simbol menyambut tuah baharu. Di Malaysia yang berbilang kaum, perayaan ini turut dirayakan bersama oleh masyarakat pelbagai etnik, mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.

Namun begitu, barangkali sesetengah mungkin keliru dengan penggunaan istilah “Tahun Baharu Cina” ataupun “Tahun Baru Cina”?

Hal demikian boleh dilihat di mana-mana sama ada di poster yang dipasangkan pada papan iklan, sepanduk, ucapan di dada akhbar mahupun iklan di kaca televisyen. Menggunakan frasa “Tahun Baru Cina” dalam penulisan atau percakapan tidak dianggap salah sepenuhnya, namun ia kurang tepat dari segi tatabahasa rasmi bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Kamus Dewan Edisi Keempat menetapkan penggunaan “Tahun Baharu Cina” kerana perkataan “baharu” lebih sesuai digunakan sebagai kata adjektif dalam konteks ini.

Namun, dalam penggunaan sehari-hari, “Tahun Baru Cina” masih diterima luas oleh masyarakat dan sering digunakan oleh media, perniagaan, dan individu, terutama dalam konteks yang tidak rasmi.

Sekiranya ingin mematuhi standard bahasa yang lebih formal, pilihlah “Tahun Baharu Cina”.

Selamat Tahun Baharu Cina 2025

Hari Pendidikan Antarabangsa 2025

Salam Jumaat,

Hari ini (24/1/2025), sama ada kita sedar atau tidak, merupakan Hari Pendidikan Antarabangsa. Tidak mengapalah, hari-hari pun adalah hari kita ‘dididik’, ‘mendidik’ mahupun ‘terdidik’, secara formal mahupun tidak formal, sama ada di rumah, sekolah hatta di jalanan sekalipun.

Setiap tahun, ia mengenengahkan tema yang berbeza mengikut isu semasa. Tahun lalu (2024), temanya berkisar keamanan, manakala tahun ini (2025), ia membawa isu Kecerdasan Buatan (AI).

Tema tahun ini saya kira sungguh relevan. AI bukan pengganti kepada kecerdasan manusia, kerana kecerdasan manusia lah yang mencipta AI. Sehubungan itu, penggunaannya belum mampu mengambil alih kapasiti manusia.

Terima kasih Dewan Masyarakat (DBP) atas penerbitan makalah ini, hari ini sempena Hari Pendidikan Antarabangsa!

Hari Pendidikan Antarabangsa 2025: AI dan Pendidikan dalam Dunia Automasi

Rencana Akhbar Pertama Tahun 2025

Alhamdulillah. Terima kasih BH atas penerbitan pertama rencana akhbar saya pada tahun 2025 yang bertajuk “Pupuk minat belajar sebagai dorongan ke sekolah tuntut ilmu”

Rencana di atas juga boleh dibaca melalui pautan berikut https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2025/01/1350806/pupuk-minat-belajar-sebagai-dorongan-ke-sekolah-tuntut-ilmu

Makalah Pertama Saya Dalam Dewan Ekonomi

Saya selalu cabar diri saya untuk mewarnai laluan kerjaya saya. Or else, perjalanan kerjaya bersifat stagnant dan rutin. Jadi saya cuba menulis dalam pelbagai platform, dan Alhamdulillah, terbaharu, hari ini, buat pertama kali, makalah saya diterbitkan dalam Dewan Ekonomi (Dewan Bahasa dan Pustaka).

Terima kasih sidang editor Dewan Ekonomi atas penerbitan makalah yang saya kira amat istimewa.

Sudikanlah membaca

Pengaruh Sosioekonomi Keluarga terhadap Pencapaian Murid dalam TIMSS Tahun 2023

Senarai Jurnal MyCite Terkini (Sehingga 31-12-2024)

MyCite (Malaysian Citation Index) ialah pangkalan data sitasi kebangsaan Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan agensi berkaitan. Ia dibangunkan untuk mengindeks penerbitan ilmiah tempatan. Disertakan senarai terkini jurnal tempatan yang disenarai oleh MyCite sehingga 31-12-2024.

Semoga membantu!

Resolusi Tahun 2025

Seperti biasa, setiap kali masuk tahun baharu, azam saya adalah untuk menjadi lebih baik dari sebelum ini.

Kedengaran klise, namun itulah azam saya saban kali berubah tahun.

Saya nak aplikasi konsep kumulatif. Macam mana kita kumpul duit, macam itulah saya akan berusaha untuk kumpul pahala. Saya bukan insan sempurna. Macam konsep debit dan kredit. Debit itu dianalogikan sebagai pahala, manakala kredit saya analogikan sebagai dosa. Analogi sahaja ya! Kita berusaha untuk kumulatifkan debit, tapi sebagai insan yang serba kekurangan, pasti akan ada kredit. Akhirnya, kita akan hitung sama ada kita surplas atau defisit.

Banyak betul konsep matematik

Saya berazam untuk lebih mengasihani diri sendiri. Tidak perlu mengemis simpati manusia. Tiada siapa yang akan kasihan pada kita kecuali diri kita sendiri.

Saya juga akan cuba yang terbaik berusaha berbuat kebaikan kepada manusia. Tapi usah sesekali mengharap balasan dari manusia hatta dari mereka yang pernah kita bantu dan berikan pertolongan. Biar Allah S.W.T sahaja yang memberi ganjaran.

Saya cukup suka dengan motto universiti tempat saya mencari rezeki, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”. Andai panjang umur, sebahagian besar hidup kita diabadikan untuk kerjaya. Jadi ini adalah peluang untuk saya kumulatifkan pahala.

Biarlah kumulatif pahala seiring dengan meningkatnya usia, sebagai pelaburan di alam sana, insya-Allah.

Akhir kata, saya juga berazam untuk turunkan berat badan!