Archives for April 2025

Di Teratak Itu…

Za’ba! Suatu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya cukup sinonim dalam bidang keilmuan. Tidak hairanlah mengapa wujudnya nama beliau di kolej kediaman kebanyakan universiti awam di Malaysia, wujudnya nama sekolah dan institusi pendidikan sempena nama beliau, malah kisah hidup beliau dipersembahkan ke dalam bentuk biografi dan teater.

Saya menitip coretan ini ketika berkunjung ke teratak Za’ba yang terletak tidak jauh dari kampung halaman. Meluangkan masa lebih dua jam seakan tidak puas. Insya-Allah, pasti kembali lagi andai ada rezeki.

Terima kasih Dewan Budaya (DBP) atas penerbitan makalah saya yang didedikasikan khas buat generasi kini dan akan datang, memerihalkan betapa tingginya kedudukan ilmuan di mata masyarakat.

Teratak Za’ba Menyimpan Seribu Khazanah Bangsa

Busy Book – Iskandar Puteri Kesayanganku

Alhamdulillah..

Selesai berkongsi pengalaman menjalankan kajian geran komuniti Iskandar Puteri yang ditaja oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Idea untuk menghasilkan busy book ini tercetus daripada puteri-puteri saya yang mana ibu mereka kerap belikan mereka busy book.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, busy book biasanya menggunakan konteks luar dengan watak luar negara. Hampir tiada busy book yang memaparkan konteks Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu.

Maka tercetuslah idea pembangunan busy book yang dinamakan Iskandar Puteri Kesayanganku. Sebanyak 17 buah kotak buku telah selamat sampai dihantar ke rumah pada hari Sabtu yang lalu.

It is not killing two birds with one stone, tapi killing many birds with one stone.

Daripada sebuah buku yang mana target penggunanya ialah kanak-kanak  prasekolah, selain dapat mewujudkan kesedaran awal terhadap penjagaan alam sekitar, buku ini dapat meningkatkan kemahiran motor halus mereka, dapat melatih ejaan mengikut suku kata, melihat animasi kartun menjaga alam sekitar serta melihat video kawasan-kawasan ikonik di sekitar Bandar Raya Iskandar Puteri yang dijadikan latarbelakang buku ini. Tempat ikonik tersebut termasuklah Kota Pentadbiran Iskandar, Masjid Kota Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampung Sungai Melayu dan Taman Tema Legoland.

Selepas ini, insya-Allah saya bersama ahli pasukan dalam perancangan untuk mengadakan sesi penyerahan busy book ini kepada pihak prasekolah di kawasan MBIP.

Alhamdulillah.

Bahasa Melayu dan Kecerdasan Buatan (AI)

Ketika di bangku sekolah rendah dan menengah, mata pelajaran kegemaran utama saya ialah Matematik. Saya cuba fikir mengapa. Banyak faktor sebenarnya. Pertamanya, emak banyak bagi kami adik-beradik latihan Matematik. Yang kedua, kami suka kumpul duit untuk dapatkan sesuatu. Cabut uban emak dan ayah, dapat duit. Tolong ayah di kebun pun dapat duit. Musim raya apatah lagi. Pergi beraya di pelusuk kampung semata-mata nak kumpul duit raya. How I miss that moment!

Masuk sekolah menengah, mata pelajaran kegemaran saya masih lagi Matematik. Seakan puas tatkala berjaya menyelesaikan soalan Matematik.

Namun begitu, andai ada yang bertanya, apa mata pelajaran kegemaran kedua selepas Matematik? Jawapan saya ialah bahasa Melayu. Sewaktu di sekolah rendah, saya pernah cuba buat karangan dan hantar melalui pos untuk satu sisipan akhbar. Minda Pelajar, kalau tak silap saya. Pada bulan berikutnya, gembira tidak terkata apabila nampak karangan saya disiarkan untuk tempat ketiga. Dapatlah RM50 kalau tak silap saya.

Semasa di bangku sekolah menengah, saya kerap juga menulis untuk majalah sekolah, serta menyertai pertandingan syarahan/pidato hingga berjaya memperolehi tempat ketiga di peringkat negeri. Pengalaman paling manis, sewaktu di tingkatan dua, karangan saya dibaca oleh guru bahasa Melayu di hadapan kelas. Terima kasih, cikgu!

Sewaktu saya melanjutkan pengajian PhD, saya sempat menyertai pertandingan mencipta slogan untuk sebuah rancangan dokumentari yang disiarkan di TV3. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah salah alamat. Saya memperolehi hadiah utama iaitu pakej penerbangan pergi dan balik ke Melbourne, Australia untuk dua orang. Saya juga pernah menyertai pertandingan mencipta slogan di salah sebuah akhbar dan memperolehi tempat ketiga (Alhamdulillah, dapat RM500 tunai).

Saya teruskan menulis apabila saya sudah bekerjaya. Banyak ilham dan idea sebenarnya untuk menulis. Namun, kerja-kerja hakiki perlu diutamakan.

Bulan ini, makalah saya mengenai AI dan bahasa Melayu disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa (DBP). Generasi hari ini mempunyai banyak kelebihan berbanding ketika zaman dahulu yang memiliki banyak keterbatasan. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa, walaupun AI boleh dimanfaatkan, kecerdasan manusia yang Allah kurniakan kepada kita masih jauh lebih baik. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan kecerdasan manusia yang kita semua miliki.

Terima kasih Dewan Bahasa atas penerbitan makalah yang saya kira sungguh istimewa.

Kisah Kuliah Semalam

Saya bertanyakan seorang pelajar saya dari China,

Me: Your spectacle is very unique. The lense is very thick. Does it have a high power?

Him: No Dr. It is a special spectacle

Me: Hmmm.. really?

Beliau membuka cermin matanya dan meminta saya memakainya.

Him: Try it!

Saya pun memakainya. Tak tahulah sama ada saya tertinggal kereta api mengenai kewujudan cermin mata sebegini.

Cermin mata yang dapat menterjemah nota kuliah yang dipaparkan dalam bahasa Inggeris ke bahasa Mandarin. Kita akan nampak tulisan Mandarin daripada tulisan bahasa Inggeris.

Wow, speechless. Suatu ketika dahulu, mereka guna apps di laptop mereka untuk translate real time suara saya ke bahasa ibunda mereka. Kini mereka ada cermin mata ajaib.

Tak tahu pada masa akan datang akan wujud apa pula. Tidak mustahil, satu hari nanti, akan ada AI kat cermin mata. Yang tak rabun pun pakai spek mata masuk dewan exam.. hehe

Salam Aidilfitri 2025/ 1446H

Halim dan Farha menelusuri pekan,
Sambil Alyssa, Aryssa tangannya dipimpin,
Salam Aidilfitri kami ucapkan,
Pohon maaf, zahir dan batin.