Ketika di bangku sekolah rendah dan menengah, mata pelajaran kegemaran utama saya ialah Matematik. Saya cuba fikir mengapa. Banyak faktor sebenarnya. Pertamanya, emak banyak bagi kami adik-beradik latihan Matematik. Yang kedua, kami suka kumpul duit untuk dapatkan sesuatu. Cabut uban emak dan ayah, dapat duit. Tolong ayah di kebun pun dapat duit. Musim raya apatah lagi. Pergi beraya di pelusuk kampung semata-mata nak kumpul duit raya. How I miss that moment!
Masuk sekolah menengah, mata pelajaran kegemaran saya masih lagi Matematik. Seakan puas tatkala berjaya menyelesaikan soalan Matematik.
Namun begitu, andai ada yang bertanya, apa mata pelajaran kegemaran kedua selepas Matematik? Jawapan saya ialah bahasa Melayu. Sewaktu di sekolah rendah, saya pernah cuba buat karangan dan hantar melalui pos untuk satu sisipan akhbar. Minda Pelajar, kalau tak silap saya. Pada bulan berikutnya, gembira tidak terkata apabila nampak karangan saya disiarkan untuk tempat ketiga. Dapatlah RM50 kalau tak silap saya.
Semasa di bangku sekolah menengah, saya kerap juga menulis untuk majalah sekolah, serta menyertai pertandingan syarahan/pidato hingga berjaya memperolehi tempat ketiga di peringkat negeri. Pengalaman paling manis, sewaktu di tingkatan dua, karangan saya dibaca oleh guru bahasa Melayu di hadapan kelas. Terima kasih, cikgu!
Sewaktu saya melanjutkan pengajian PhD, saya sempat menyertai pertandingan mencipta slogan untuk sebuah rancangan dokumentari yang disiarkan di TV3. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah salah alamat. Saya memperolehi hadiah utama iaitu pakej penerbangan pergi dan balik ke Melbourne, Australia untuk dua orang. Saya juga pernah menyertai pertandingan mencipta slogan di salah sebuah akhbar dan memperolehi tempat ketiga (Alhamdulillah, dapat RM500 tunai).
Saya teruskan menulis apabila saya sudah bekerjaya. Banyak ilham dan idea sebenarnya untuk menulis. Namun, kerja-kerja hakiki perlu diutamakan.
Bulan ini, makalah saya mengenai AI dan bahasa Melayu disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa (DBP). Generasi hari ini mempunyai banyak kelebihan berbanding ketika zaman dahulu yang memiliki banyak keterbatasan. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa, walaupun AI boleh dimanfaatkan, kecerdasan manusia yang Allah kurniakan kepada kita masih jauh lebih baik. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan kecerdasan manusia yang kita semua miliki.
Terima kasih Dewan Bahasa atas penerbitan makalah yang saya kira sungguh istimewa.
