Archives for December 4, 2025

Momen Istimewa di Penghujung 2025

Antara momen yang dinanti-nanti,


Alhamdulillah, sebuah lagi karya ilmiah sempat terbit sebelum tahun 2025 menutup lembarnya. Pengakhiran yang manis untuk perjalanan panjang yang penuh liku dan harapan.

Buku bagiku ialah raja segala penerbitan. Ia khazanah yang tumbuh melalui proses penuh sabar, ibarat menanti kucing bertanduk. Andai manuskrip dihantar saat seorang bayi baru menjengah dunia, mungkin naskhah itu hanya sempat lahir ketika si kecil sudah mula menapak ke taska. Walau perjalanannya perlahan, aku tetap menghargai setiap jiwa yang menyumbang, kerana dalam sebuah buku terselit usaha berlapis insan, dan buahnya akan jadi rujukan yang merentas generasi.


Seperti harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, demikian juga buku. Warisan ilmu yang tidak lapuk ditimpa hujan, tidak lekang disapa panas.


Terima kasih kepada penulis bersama, Nurain Nadhirah, pelajar doktor falsafah yang berada dalam pengajiannya di bawah seliaanku, yang kini sedang memerah keringat mengutip data dan menyiapkan tesisnya.


Juga buat Tea, mantan pelajar sarjana yang kini mengumpul rezeki dengan mengajar tusyen, katanya demi menyambung pengajian doktor falsafah suatu hari nanti. Aku akan tetap menunggu saat itu, wahai Tea.


Karya ini bukan ditinta demi kemegahan atau sanjungan manusia, tetapi sebagai usaha kecil mencari redha Tuhan yang Maha Esa. Aku percaya bahawa pena hanyalah satu amanah, satu titipan, dan setiap aksara yang mengalir daripadanya wajib membawa makna dan manfaat kepada diri serta orang sekeliling. Maka aku terus berdoa agar dikurniakan kekuatan, agar pena ini tidak pernah kering dan semangat ini tidak pernah padam, selagi nadi masih berlagu dalam tubuhku

UTM Open Day