[Bahagian Akhir] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-catatan-di-gwangju-bandaraya-di-barat-daya-korea-selatan-dengan-keunikan-tersendiri/

Pada hujung minggu ketiga saya di Gwangju, saya mengambil keputusan untuk berkunjung ke Stadium Piala Dunia 2002 dan Culture and Art Center. Kedudukan stadium ini agak jauh dari pusat bandar dan saya menaiki bas henti-henti untuk ke sana. Stadium Piala Dunia Gwangju merupakan salah satu simbol utama bandaraya Gwangju. Apabila diterangi dengan lampu limpah, stadium itu kelihatan seperti kubah bercahaya. Siling dan tiang berbentuk ‘Y’ besar membentuk perkataan ‘Go’, iaitu alat yang digunakan dalam permainan tradisional dari Gwangju, Gossaumnori. Dari aspek binaannya, tempat duduk penonton direkabentuk berdasarkan permainan tradisional rakyat Korea yang dikenali sebagai “kossaum nori”, manakala bumbung melengkung menggambarkan Gunung Mudeung yang sangat terkenal di Gwangju. Stadium yang dibuka secara rasmi pada 13 November 2001 ini boleh memuatkan lebih kurang 40,000 penonton pada satu-satu masa. Stadium ini juga dikenali sebagai ‘Stadium Guus Hiddink’ dalam kalangan masyarakat setempat. Stadium itu dinamakan ‘Stadium Guus Hiddink’ sebagai menghormati jurulatih yang bernama Guus Hiddink yang merupakan jurulatih lagenda bagi pasukan bola sepak kebangsaan Korea selatan. Ini kerana pada Piala Dunia 2002, Guus Hiddink membantu pasukan Korea Selatan menewaskan Sepanyol pada peringkat suku akhir sekaligus mara ke peringkat separuh akhir untuk kali pertama dalam sejarah penglibatan Korea Selatan dalam Piala Dunia. Perlawanan tersebut diadakan di Stadium Piala Dunia Gwangju. Selain itu, semasa Piala Dunia 2002, stadium ini juga menjadi stadium untuk perlawanan-perlawanan yang melibatkan negara China, Costa Rica, Korea, Slovenia dan Sepanyol. Stadium ini juga merupakan stadium rasmi pasukan Gwangju FC dari Liga Bola Sepak Profesional Korea (Liga K). Destinasi terakhir saya pada hujung minggu ketiga ialah Gwangju Culture & Art Centre. Ia merupakan pusat di mana terletaknya bahan pameran dan persembahan yang mewakili dari zaman purba hingga era moden. Pusat ini merupakan kompleks persembahan seni, termasuklah opera, balet, tarian moden, teater dan opera tradisional Korea.

Pengalaman tiga hujung minggu berturut-turut di kota Gwangju menjadikan saya lebih memahami sedikit sebanyak tempat-tempat menarik di Gwangju di samping lebih mengenali masyarakat setempat di kota tersebut.

Tamat

Stadium Piala Dunia Gwangju
Saya di Stadium Piala Dunia Gwangju