Hari yang sangat panjang
Malam semalam saya langsung tidak terlelap walaupun sesaat,
Ayah nak pegang erat jari saya, saya turuti
Ayah minta saya lap mukanya, saya turuti
Ayah hendak minum air, saya turuti
Namun, ayah hendak mandi, saya terpaksa akur, mustahil untuk dibawa ke tandas dengan wayar yang berselirat.
Malam tadi, saya sengaja ingin berdua bersama ayah,
Ketika di rumah, ayah lebih selesa dengan anaknya,
Kalau saya nak tolong, ayah kata biar Farha yang buat,
Tapi apabila saya keluar bekerja, ayah kerap bertanya kepada isteri, di mana Halim.
Terkadang sedikit terasa, tidak sudikah ayah kalau saya bantu,
Namun, akhirnya isteri bersuara, katanya ayah segan,
Dia hanya pesara kerajaan gred bawahan di Jabatan Pengairan dan Saliran,
Sedangkan menantunya kononnya memegang jawatan di agensi awam,
Allahu, ayah..saya ini hanya anak, darjat seorang ayah itu tetap berada di tahap tertinggi sampai bila-bila, di dunia mahupun di akhirat..
Malam tadi, saya rasa puas bersama ayah,
Sengaja saya minta isteri menjaga anak-anak di rumah,
Namun, siangnya saya bertukar giliran dengan isteri untuk menjaga ayah,
Hinggalah jam 1 tengahari isteri maklumkan ayah sudah pergi buat selama-lamanya.
Menjadi satu-satunya menantu tunggal untuk ayah banyak mengajar saya bahawa perkahwinan itu bukan hanya hubungan anak dengan anak,
Namun lebih dari itu,
Perkahwinan mengajar erti pengorbanan, tanggungjawab sebagai anak dan menantu, malah pengetahuan lain yang lebih dari itu.
Terima kasih ayah atas pengajaran itu.
Hari ini ayah menghembuskan nafas terakhir,
Muka ayah tenang,
Urusan yang sangat lancar, sangat dipermudahkan,
Dari dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akhirnya disemadikan,
Tenanglah ayah di alam sana,
Sebagai menantu, sebagaimana almarhumah ibu mentua, nama ayah akan saya titipkan dalam doa-doa saya selepas ini.
Selamat jalan ayah ke negeri abadi.
Al-Fatihah buat ayah mentuaku,
Bachok bin Khakjai
1950 – 2023
Buat rakan-rakan yang menitipkan ucapan dan doa, terima kasih saya ucapkan. Tidak terbalas satu per satu mesej yang dihantar. Allah jua yang membalas niat ikhlas kalian.