Ambilkira Kepelbagaian Kecerdasan Murid Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Penulis baru sahaja pulang dari Indonesia untuk memenuhi jemputan sebagai pembentang keynote di dua persidangan antarabangsa di dua buah kota di sana. Usai penulis membentangkan kertas kerja, peserta persidangan yang kebanyakannya pendidik di negara tersebut bertanyakan soalan yang hampir sama kepada penulis iaitu berkaitan bagaimana untuk menarik minat murid terhadap matematik. Sebagaimana di Malaysia, matematik juga merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh murid di Indonesia. Jawapan penulis kepada mereka ialah, untuk menarik minat murid terhadap matematik, kita sebagai pendidik terlebih dahulu perlu memahami apakah kelebihan atau ciri dominan yang dimiliki oleh seseorang murid. Apabila kita sudah memahami apakah kelebihan yang dimiliki oleh mereka, maka kaedah pembelajaran boleh disesuaikan dengan kelebihan tersebut. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Khair bin Mohamad Yusof, guru perlu berani meneroka pelbagai cabang ilmu untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran berkesan. Menurutnya lagi, dalam arus pembelajaran yang serba maju, proses pengajaran yang berpusatkan murid perlu membabitkan penyertaan keseluruhan murid untuk pengisian aktiviti kolaboratif dan koperatif dalam kelas. Barangkali ada yang berpandangan bahawa agak keterlaluan untuk guru mengambil tahu perkara-perkara tersebut untuk setiap murid. Bagaimanapun, menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, guru yang berjiwa besar dan dinamik seharusnya bersedia untuk memberi ruang dan peluang kepada muridnya meningkatkan pencapaian secara berterusan. Daripada situ, potensi sebenar setiap murid dapat dikembangkan ke tahap yang optimum. Menurut beliau lagi yang dipetik sempena perutusan Hari Guru di laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru perlu sentiasa memastikan anak didiknya diberikan pendedahan yang betul menerusi proses pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai aktiviti sepanjang berada di sekolah. Terdapat banyak kerangka yang boleh digunakan untuk memahami kelebihan yang dimiliki oleh seseorang murid. Menurut Howard Gardner (1983), setiap murid itu sekurang-kurangnya mempunyai satu kecerdasan dari tujuh kecerdasan.

Tujuh kecerdasan tersebut adalah kecerdasan linguistik, kecerdasan logik-matematik, kecerdasan spatial/ visual ruang, kecerdasan muzik, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan interpersonal dan kecerdasan kinestik-jasmani. Oleh itu, bagi seseorang pendidik khususnya, mereka perlu menjangkakan bahawa tidak semua murid dapat mempelajari apa yang diajarkan kepada mereka kerana kecerdasan setiap dari mereka yang pelbagai. Kecerdasan linguistik merujuk kepada kebolehan murid menggunakan bahasa secara lisan dan bertulis, keupayaan dalam mempelajari bahasa dan keupayaan dalam menggunakan bahasa untuk mencapai matlamat tertentu. Murid yang memiliki kecerdasan ini lebih menonjol dalam melontarkan idea dan pandangan. Mereka juga memiliki kelebihan untuk berhujah dan menggemari subjek-subjek bahasa seperti bahasa melayu, bahasa inggeris dan sebagainya. Mereka menggunakan bahasa dari aspek menulis mahupun berhujah untuk memahami sesuatu konsep. Disebabkan matematik merupakan subjek teras dan murid tidak mempunyai pilihan, maka proses pembelajaran seharusnya disesuaikan dengan kelebihan yang dimiliki oleh murid tersebut. Contohnya murid belajar matematik melalui penulisan fiksyen seperti cerita grafik, membina masalah (problem posing) mewujudkan silang kata, masalah berayat, puisi matematik dan sebagainya. Kecerdasan logik-matematik pula terdiri daripada keupayaan untuk menganalisis masalah secara logik, berupaya menjalankan operasi matematik, dan mengkaji sesuatu isu secara saintifik. Murid yang memiliki kecerdasan ini berupaya untuk mengesan pola, berhujah secara deduktif dan berfikir secara logik. Kebiasaannya murid yang memiliki kecerdasan ini tidak mempunyai masalah dalam kelas matematik. Aktiviti pengukuhan perlu diberikan seperti menyelesaikan teka-teki logik matematik, sudoku, segi empat sama ajaib, peta minda, blok pemikiran dan sebagainya. Kecerdasan spatial/ visual-ruang merujuk kepada kebolehan seseorang untuk memanipulasi dan mewujudkan imej mental dalam menyelesaikan masalah. Mereka juga mampu melihat dunia visual dengan tepat, melaksanakan perubahan dan pengubahsuaian pada pandangan mereka, dan mampu untuk mencipta jika tiada apa-apa rangsangan fizikal. Murid yang memiliki kecerdasan ini menggemari lukisan, peta minda dan lakaran dalam memahami sesuatu konsep. Murid yang memiliki kecerdasan dominan ini dapat membaca gambar rajah dan peta dengan mudah, mahir dalam menggunakan perisian grafik komputer seperti SketchUp Make, Mathlab dan sebagainya. Kecerdasan kinestetik-jasmani melibatkan potensi penggunaan seluruh badan atau bahagian tubuh seseorang untuk menyelesaikan masalah. Murid dalam kategori ini sukakan pembelajaran berbentuk hands-on seperti bertukang, berlakon, menggunakan komputer dan bersukan. Aktiviti pembelajaran matematik seperti eksperimen matematik, memanipulasi bahan manipulatif dalam kelas matematik, aktiviti menggunakan perisian komputer merupakan antara aktiviti yang dapat menarik minat murid dalam kelompok ini. Manakala murid yang memiliki kecerdasan interpersonal berkemampuan untuk memahami tujuan, motivasi dan kehendak orang lain. Murid dalam kategori ini membolehkan mereka bekerja dengan berkesan dengan orang lain. Murid dapat bekerja dalam kumpulan, memberi kerjasama bersama ahli kumpulan lain, mampu memberi pandangan dan mendengar pendapat serta mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saranan KPM kepada guru untuk melaksanakan strategi pembelajaran koperatif dan kolaboratif memberi kesan positif kepada murid yang cenderung dalam kecerdasan ini. Natijahnya, setiap murid memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri. Adalah penting bagi seseorang guru untuk memahami perkara tersebut dan berkeupayaan untuk mempelbagaikan pendekatan yang berbeza untuk menarik minat murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan pengajaran secara holistik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ini selari dengan salah satu aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi memacu negara pada masa hadapan.

Speak Your Mind

*