[Bahagian 1] COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar

Sumber gambar: Berita Harian

Penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita pada hari ini memberi impak besar kepada pelbagai sektor. Wabak yang berasal dari daerah Wuhan, China yang dikesan pada bulan Disember 2019 telah diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Hal ini telah membuka mata banyak pihak dari seluruh dunia mengenai betapa bahayanya pandemik ini. Sehingga artikel ini ditulis, bilangan kes Covid-19 yang dicatatkan di seluruh Malaysia sudah melepasi angka 1300. Bidang pendidikan sama ada pendidikan sekolah rendah, menengah mahupun pengajian tinggi turut tidak terlepas menerima impak daripada penularan wabak merbahaya ini. Menurut ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam 16 Mac 2020 telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Antara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut ialah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara. Perintah kawalan pergerakan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Walau bagaimanapun, setiap kejadian yang berlaku pasti terdapat hikmah di sebaliknya. Artikel ini akan membincangkan bagaimana isu penularan wabak Covid-19 ini memberi implikasi dalam konteks pendidikan. Jikalau sebelum ini, pelajar kurang mengambil berat tentang isu kebersihan, kini mereka mula sedar akan kepentingan menjaga kebersihan. Pelajar lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan masing-masing. Antaranya mereka memakai topeng muka dan menjaga kebersihan bukan sahaja di sekolah dan di universiti, malah di rumah. Pelajar terutamanya mengekalkan jarak 1 meter dari semua orang yang berinteraksi dengan mereka sama ada di tempat-tempat umum seperti pasar raya dan sebagainya. Daripada berjabat tangan, atau pelukan, pelajar mempelajari cara alternatif untuk saling menyapa. Cara membalas salam dengan mengelakkan persentuhan anggota badan juga dipraktikkan dalam keadaan sekarang. Penggunaan hand sanitizer juga digunakan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19. Pelajar diajar tentang cara yang betul penggunaan hand sanitizer dan juga cara membasuh tangan yang betul dengan menggunakan air. Walau bagaimanapun, penggunaan hand sanitizer perlu dibasuh dengan air sebelum menghidupkan api kerana ianya mengandungi alkohol dan mudah terbakar. Amalan ini membuahkan hasil apabila laporan akhbar Berita Harian bertarikh 6 Mac 2020 menyatakan rakyat Malaysia menduduki tempat pertama berbanding negara-negara lain, yang mengubah sikap ke arah positif dalam aspek penjagaan kebersihan diri dalam situasi penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.  Diharapkan momentum dan sikap ini akan berkekalan walaupun pandemik Covid-19 ini akan berakhir kelak.

Bersambung…

Speak Your Mind

*