Salah satu cabaran guru sepanjang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) atau di dalam bilik darjah ialah dalam aspek mentaksir pelajar. Terdapat pelbagai kaedah pentaksiran pelajar yang kebiasaannya dilaksanakan dalam bilik darjah. Kaedah yang biasa dilakukan ialah ujian yang berasaskan kertas dan pensil. Dalam keadaan sekarang, ujian pelbagai pilihan jawapan (multiple choice questions) tidak sesuai dilaksanakan lebih-lebih lagi pembelajaran dilaksanakan secara maya di mana teknologi menjadi medium perhubungan berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu, guru seharusnya kreatif untuk mentaksir pelajar dengan menggunakan pendekatan yang digunakan bukan sahaja mudah tapi berkesan untuk mengikuti perkembangan prestasi pelajar. Hal ini penting lebih-lebih lagi guru dan murid menghadapi cabaran dalam proses pembelajaran dan pengajaran di rumah. Salah satu alternatif pentaksiran atau barangkali guru telah pun biasa melaksanakannya ialah dengan menggunakan soalan subjektif berbanding soalan objektif atau lebih dikenali sebagai soalan pelbagai pilihan jawapan. Terdapat beberapa kelebihan soalan berbentuk subjektif terhadap perkembangan pencapaian pelajar. Memberikan soalan berbentuk subjektif barangkali tidaklah memerlukan peralatan teknologi yang canggih, rangkaian internet yang kuat dan sebagainya. Ianya hanya memerlukan guru mengutarakan soalan berbentuk subjektif melalui platform aplikasi whatsapp, media sosial seperti facebook dan sebagainya. Guru kemudiannya memberi masa kepada pelajar untuk menjawab soalan subjektif yang diberikan, sebelum pelajar diminta untuk menyerahkan jawapan mereka dengan bentuk imej dan sebagainya kepada guru mereka melalui sebarang platform digital yang mudah. Untuk soalan subjektif, guru boleh lihat bagaimana pelajar tersebut berfikir. Ini kerana mereka perlu menunjukkan jalan kerja penyelesaian soalan semasa hendak menjawab soalan subjektif tersebut. Sebaliknya, guru tidak dapat mengenalpasti cara pelajar berfikir untuk soalan berbentuk objektif. Hal ini selari dengan pendekatan teori pembelajaran kognitivisme yang mempertimbangkan ‘tingkah laku’ pemikiran yang berlaku dalam minda pelajar dan yang tidak dapat diperhatikan. Maklumat diproses dalam minda pelajar sebelum dikeluarkan dalam bentuk maklumbalas. Sehubungan itu, maklumat yang tidak dapat diperhatikan diterjemahkan dalam bentuk langkah-langkah penyelesaian masalah pelajar sebelum mereka menghasilkan jawapan iaitu maklumbalas. Manakala jawapan ‘betul-salah’ atau pelajar hanya memilih jawapan yang betul daripada pilihan jawapan yang ada hasil daripada prinsip pembelajaran teori behaviorisme yang hanya menekankan rangsangan dan maklumbalas sahaja tanpa mengambilkira apa yang berlaku dalam minda pelajar. Dengan melihat cara pelajar menjawab soalan, para guru boleh memikirkan pendekatan ataupun merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai pada masa hadapan.
Bersambung…
Speak Your Mind