[Bahagian 1] Meneroka Kota Istimewa Jogjakarta, Indonesia

Penulis di Jalan Malioboro

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjungi kota Jogjakarta yang merupakan ibukota Daerah Istimewa Jogjakarta di Indonesia. Disebabkan penulis tiba di kota Jogja di sebelah petang, maka hari pertama hanya diisi dengan mengunjungi pusat membeli belah Plaza Ambarrukmo yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal penulis. Pada hari kedua, penulis mengunjungi salah satu tarikan utama di Jogjakarta iaitu Jalan Malioboro yang menjadi ikon kota Jogjakarta. Malioboro yang terletak di pusat bandar merupakan kawasan perniagaan tersibuk di kawasan itu. Perkataan Malioboro juga berasal dari kata ‘Marlborough’, nama Duke Inggeris yang tinggal di sana pada tahun 1811-1816. Dalam bahasa Sanskrit, perkataan ‘Malioboro’ bermaksud sejambak bunga. Ini berkaitan dengan masa lalu ketika Karaton mempunyai acara besar, Malioboro akan dipenuhi dengan bunga. Pada zaman kolonial, Malioboro menjadi pusat pemerintahan Belanda sebagai strategi untuk mengekalkan dominasi mereka dengan membangunkan Vredeburg Fort (1790) di hujung selatan Jalan Malioboro iaitu berdekatan dengan pasar tradisional yang ada, diikuti oleh Dutch Club (1822), Kediaman gabenor Belanda (1830), bank dan pejabat pos. Jalan Malioboro juga merupakan kawasan penting dalam era kemerdekaan, ketika rakyat Indonesia berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan mereka dalam pertempuran yang terjadi di utara-selatan di sepanjang jalan tersebut. Jalan sepanjang satu kilometer dari utara ke selatan dihiasi dengan seni bina era kolonial Belanda dan struktur bangunan moden yang baru digabungkan dengan kawasan pengkomersialan cina dan kontemporari. Bagi penulis, cara terbaik untuk meneroka jalan-jalan di Jalan Malioboro adalah dengan berjalan kaki, iaitu dari Stesen Kereta Api Tugu hingga persimpangan selatan yang dikenali sebagai Nol Kilometer (Zero Kilometer). Pilihan lain yang ada untuk meneroka kawasan berkenaan ialah dengan menaiki becak atau kereta kuda beroda empat roda yang dipanggil “andong”. Malioboro mempunyai banyak pusat membeli-belah sama ada pusat membeli belah moden mahupun tradisional. Kedai-kedai tersebut ada di antaranya menjual barangan dengan harga tetap mahupun boleh ditawar. Barangan yang dijual termasuklah beg, baju, kasut dan barang cenderahati. Penulis berkesempatan membeli sedikit cenderahati seperti keychain, fridge magnet, kain batik dan kain pelikat untuk dibawa pulang ke Malaysia. Penulis turut dimaklumkan bahawa jalan Malioboro akan mulai sibuk sekitar bulan Jun hingga Ogos berikutan musim cuti ketika itu dan akan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Jalan Malioboro juga terletaknya banyak restoran dan tempat untuk makan dan minum. Deretan kedai makanan jalanan juga boleh didapati di sepanjang jalan tersebut. Makanan tempatan yang dijual di tepi jalan termasuklah gudeg, stik, sos bawang, teh, kopi dan jus. Penulis berkesempatan mencuba kopi tempatan di salah sebuah kedai yang terdapat di situ usai membeli belah di kawasan berkenaan.

Bersambung…

Speak Your Mind

*