[Bahagian 1] Menikmati Keindahan Musim Bunga di Jinhae, Korea Selatan

Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk mandi, solat subuh dan mempersiapkan diri untuk menunggu bas yang bakal mengambil peserta untuk dibawa ke Jinhae Gunhangje Festival pada jam 6 pagi di stesen subway Myeongdong di Seoul, Korea Selatan. Perjalanan bakal mengambil masa selama lima jam menaiki bas dari ibu kota Korea Selatan, Seoul ke Jinhae. Terdapat dua cara untuk sampai ke Jinhae dari Seoul iaitu pertama dengan menaiki kereta api KTX yang mengambil masa lebih kurang tiga jam setengah. Walau bagaimanapun, tiada keretapi dari Seoul terus ke Jinhae. Sebaliknya, pengunjung perlu menaiki kereta api Mugungwha di stesen Masan untuk sampai di Jinhae. Disebabkan kesulitan tersebut, saya mengambil keputusan untuk menggunakan agen pelancongan yang diperolehi melalui laman web. Saya membuat tempahan untuk menyertai festival tersebut sejak dari Malaysia lagi. Saya dimaklumkan bahawa festival ini merupakan antara festival yang menarik untuk dikunjungi semasa musim bunga di Korea Selatan. Festival Jinhae Gunhangje adalah perayaan musim bunga terbesar Korea, yang menarik sekurang-kurangnya dua juta pengunjung setiap tahun. Jadi alang-alang saya sedang mengikuti fellowship selama enam bulan di Korea Selatan, pasti peluang keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Bukan setakat saya dari Malaysia sahaja yang menyertai rombongan ini, malah ramai juga peserta dari Indonesia, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Poland, malah rakyat Korea Selatan sendiri. Bayaran yang dikenakan merangkumi tambang bas pergi dan balik serta minum pagi. Perjalanan menggunakan Expressway di Korea Selatan sangat lancar dan sepanjang perjalanan, para peserta diberikan kesempatan untuk ke tandas di kawasan rehat dan rawat sebanyak dua kali. Disebabkan perjalanan bermula pada awal pagi, saya meluangkan sebahagian masa untuk melelapkan mata memandangkan saya sampai di Seoul dari Gwangju sehari sebelum itu.  Jinhae adalah sebuah daerah di Changwon City, Korea Selatan. Daerah ini dihubungkan oleh Keretapi Korea, dan terkenal dengan perayaan bunga ceri tahunannya setiap kali musim bunga.

Para pengunjung mengerumuni kawasan Sungai Yeojwacheon

Bersambung…

 

Speak Your Mind

*