[Bahagian 2] Keindahan Bahasa Melayu di Sebalik Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/keindahan-bahasa-melayu-di-sebalik-bahagian-1-pembentangan-belanjawan-2023-oleh-perdana-menteri/

Pada tahun 2018, Dato’ Seri Anwar telah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan telah dibebaskan daripada penjara. Beliau kembali ke parlimen dalam pilihan raya kecil Port Dickson 2018. Sebelum menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10, usaha beliau memperjuangkan Bahasa Melayu tidak pernah terhenti. Sentiasa tegas dengan pendiriannya dalam usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam ucaptama yang disampaikan oleh Dato’ Seri Anwar semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara Sempena Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2019, beliau menegaskan bahawa majlis rasmi kerajaan wajib menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu. Beliau menambah bahawa Bahasa Melayu dihormati di negara ini sebagai bahasa sastera dan budaya dan beliau turut mempertikaikan terdapatnya sidang media oleh pemimpin dan dianjurkan kerajaan yang mana bahasa digunakan bercampur aduk dalam Bahasa Melayu serta Inggeris. Semasa penganjuran Seminar Negara Bangsa: Bahasa Melayu Identiti Negara di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun 2019, Dato’ Seri Anwar turut memuji usaha kerajaan negeri Johor dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, bagi mendaulatkan Bahasa Melayu supaya dapat diguna pakai di semua tempat dan peringkat lapisan masyarakat. Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia perlu mempunyai dasar jelas bagi memartabatkan Bahasa Melayu dalam usaha mencapai objektif menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN. Tanggal 24 November 2022, Dato’ Seri Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan bawah pimpinannya akan meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di Malaysia dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah. Kemudian istilah ‘cerakin’ yang diungkapkan oleh Perdana Menteri dalam satu sidang media menjadi fenomena. Lantas rakyat tercari-cari maksud istilah berkenaan daripada pelbagai sumber.

Semasa mengikut pembentangan Ucapan Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani, penulis sangat tertarik dengan kepelbagaian istilah dan lenggok ayat yang indah diselitkan dalam perbahasan Perdana Menteri. Sekali lagi penulis tekankan bahawa penulis bukanlah pakar bahasa ataupun invididu yang layak membicarakan tentang bahasa. Namun dek minat mendalam dalam penggunaan Bahasa Melayu, penulis sangat kagum dengan kepetahan bicara insan bernama Anwar Ibrahim ini. Antara bait indah yang menangkap perhatian penulis ialah bagaimana Perdana Menteri memulakan mukadimah dengan mengaitkan kisah Nabi Yusuf ketika Raja Al-Aziz, yang merupakan Raja Mesir ketika itu  resah akan jangkaan tujuh tahun kegersangan ekonomi. Kemudian Perdana Menteri terus-menerus menggunakan ungkapan indah yang ada antaranya membuatkan penulis tercari-cari makna. Berseni sungguh bait-bait yang diluahkan. Antaranya, “dalam kegalauan kini, persoalan yang harus dibangkit ialah jumlah yang hidup merempat dan melarat”, jangan kotori “minda rakyat dengan angka-angka yang memukau”, “membobrok tadbir urus kerajaan” dan ”pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk”. Perdana Menteri turut membuka minda rakyat dengan mengutarakan persoalan “apakah  masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara?” dan terus meyakinkan rakyat dengan ungkapan-ungkapan seperti “berteraskan semangat islah dengan maksud mempaculkan pengarahan baharu lagi segar, lantas membenam purbasangka”, “menyederhana kesenjangan” dan “menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan”. Barangkali terdapat segelintir warga Malaysia yang mempertikaikan untuk apa istilah bombastik yang kurang atau tidak difahami digunakan sekiranya rakyat tidak memahaminya. Bukan untuk mempertahankan tindakan Perdana Menteri, namun setelah penulis membaca, mengamati dan meneliti teks pembentangan Belanjawan 2023, ayat-ayat tersebut hanyalah digunakan sebagai mukadimah, sebaliknya, hampir keseluruhan teks yang diucapkan menggunakan ayat Bahasa Melayu yang mudah difahami oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Penggunaan istilah dan susunan ayat yang indah ini membangkitkan rasa bangga penulis akan keindahan Bahasa Melayu apatah lagi ianya disampaikan oleh pemimpin nombor satu negara.

Ketokohan Perdana Menteri membuktikan bahawa apa yang diperjuangkan bukanlah omong-omong kosong belaka, sebaliknya dijelmakan dalam tindakan dan perbuatan beliau sendiri sebagai pejuang Bahasa Melayu. Semoga ianya dapat dijadikan tauladan dan contoh ikutan oleh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda yang perlu sentiasa diingatkan bahawa “hilang bahasa lenyaplah bangsa”.

Tamat