[Bahagian 2] Kenangan Terindah di Dua Buah Kota Terkenal Pulau Sumatera: Banda Aceh dan Padang

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-kenangan-terindah-di-dua-buah-kota-terkenal-pulau-sumatera-banda-aceh-dan-padang/

Gelombang tsunami yang menghancurkan Aceh turut meninggalkan pelbagai tempat yang merekodkan kedasyatan gelombang bencana alam tersebut. Antara tempat yang sempat saya singgahi termasuklah ke sebuah kawasan yang mana sebuah bot nelayan sepanjang 30 meter masih terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di kampung Lampulo, di daerah KutaAlam di Banda Aceh, yang terletak hampir dua kilometer dari pantai. Saya sempat membaca plak di bawah bot yang menyatakan bahawa 59 orang yang mencari perlindungan di atas kapal itu yang terselamat dalam bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004. Antara yang terselamat ialah bayi berusia 3 bulan, beberapa kanak-kanak dan perempuan tua berusia 85 tahun. Terdapat beberapa gambar keganasan bencana tsunami yang dipamerkan di dalam rumah yang kini dijadikan sebagai salah satu daripada warisan tsunami. Selain itu, terdapat sebuah kapal yang bernama Kapal PLTD Apung seberat 2,600 tan yang dihempas badai tsunami ke tengah Banda Aceh. Hampir tidak masuk akal saya membayangkan betapa kuatnya ombak tsunami sehingga boleh menghanyutkan kapal seberat itu. Ketika tragedi tsunami berlaku kira-kira 14 tahun yang lalu, kapal itu berada di Pantai Ulee Lhee, Banda Aceh. Akibat bencana tersebut, kapal itu diseret dan terkandas sejauh 5 km ke perkampungan Gampong Punge, Blangcut, Banda Aceh. Daripada maklumat yang disediakan di bahan pameran, saya difahamkan bahawa daripada 11 orang anak kapal dan beberapa pekerja lain yang berada di atas kapal ketika kejadian, hanya seorang sahaja yang terselamat. Kapal PLTD Apung kini merupakan salah sebuah monumen yang diabadikan sebagai monumen peringatan tsunami Aceh dan bukti kedasyatan bencana tersebut. Walau bagaimanapun, kawasan ini hanya dipagarkan pada tahun 2012 di samping beberapa kemudahan lain seperti jambatan dan bahan pameran informasi turut disediakan. Kerajaan wilayah Aceh telah mengambil inisiatif dan langkah keselamatan awal sekiranya mendepani bencana ini pada masa akan datang. Salah satu usaha tersebut ialah dengan menubuhkan Tsunami Disaster Mitigation Research Center (TDMRC) di bawah pengurusan Universitas Syiah Kuala. Saya telah dibawa ke pusat penyelidikan tersebut yang terletak di Ulee Lheu. Saya juga difahamkan ramai pensyarah universiti tersebut yang terkorban ketika tragedi tsunami berlaku. Pembinaan TDMRC di Ulee Lhuee juga berfungsi sebagai tempat menyelamat dari tsunami dan bencana lain untuk masyarakat setempat.

Tsunami Disaster Mitigation Research Center (TDMRC)

Kapal PLTD Apung

Masjid Raya Baiturrahman

Destinasi terakhir saya di Banda Aceh ialah Masjid Raya Baiturrahman yang terletak betul-betul di tengah kota Aceh. Masjid yang memiliki tujuh kubah, empat menara, dan satu menara induk ini merupakan mercu tanda Banda Aceh dan sesuatu yang menakjubkan saya apabila dimaklumkan bahawa masjid ini terselamat walaupun dihentam badai tsunami pada tahun 2014. Semasa bencana tsunami, masjid ini berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan hanya dibuka semula untuk solat selepas dua minggu. Masjid yang menyerupai Masjid Al-Nabawi di kota suci Madinah dan dikatakan juga mirip Taj Mahal di India, direkabentuk oleh arkitek Belanda. Ketika saya tiba di masjid tersebut, hari melewati senja dan hal ini menambahkan lagi keindahan masjid tersebut. Saya berkesempatan menunaikan solat mahgrib dan isyak di masjid tersebut sebelum singgah di kedai-kedai cenderahati yang terletak di luar kawasan masjid. Seperti yang kita maklum, wilayah Aceh melaksanakan undang-undang Islam dan saya turut difahamkan bahawa pihak berkuasa Aceh melaksanakan hukuman sebat terhadap pesalah yang melanggar undang-undang syariah di wilayah itu di masjid ini dan disaksikan oleh penduduk setempat.

Bersambung…