[BAHAGIAN 2] Memupuk Perpaduan Kaum di Sekolah Vernakular Usaha Bersama

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-memupuk-perpaduan-kaum-di-sekolah-vernakular-usaha-bersama/

Sumber Gambar: Berita Harian

Baru-baru ini, terdapat permintaan untuk kajian menyeluruh mengenai ekosistem pendidikan di sekolah vernakular. Lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) membentuk persekitaran pendidikan vernakular yang memerlukan penilaian menyeluruh. Ia termasuk perkara seperti penyelarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan peluang untuk meningkatkan ekosistem pendidikan kebangsaan. Di Malaysia, sama ada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), kedua-dua jenis sekolah rendah menggunapakai kurikulum yang sama. Namun, bahasa pengantar yang digunakan oleh kedua-dua institusi pendidikan ini membezakan mereka. Di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar. Sekolah Jenis Kebangsaan menggunakan Tamil atau Mandarin sebagai bahasa pengantar. Selain itu, Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah wajib diajar di semua institusi pendidikan rendah dan menengah. Seperti yang kita sedia maklum, Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam menyatukan negara dalam semua perkara, terutamanya dalam urusan rasmi, dan bahasa ibunda kaum lain juga dibenarkan digunakan. Bahasa membentuk semangat perpaduan Malaysia sejak sekian lama. Bahasa Melayu telah menjadi mata pelajaran asas yang wajib dipelajari oleh semua murid di semua sekolah di negara ini. Malah semasa berada di tingkatan lima, lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah syarat utama untuk murid melangkah ke peringkat seterusnya. Namun, alternatif kepada peperiksaan UPSR yang dimansuhkan sejak tahun 2021 yang mewajibkan semua murid mengambil subjek Bahasa Melayu perlu difikirkan semula. Setakat 2019, murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) diuji dalam empat subjek utama termasuklah Bahasa Melayu, dan murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) diuji dalam satu subjek bahasa tambahan mengikut bahasa pengantar masing-masing. Namun, setelah UPSR dimansuhkan, KPM mewajibkan murid-murid tahun enam SJKT dan SJKC perlu mencapai TP4 hingga TP6 dalam Bahasa Melayu untuk memasuki tingkatan satu di semua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Mereka juga perlu lulus dalam Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM) untuk tidak ditempatkan di dalam kelas peralihan semasa memasuki peringkat sekolah menengah. Jadi isu yang ingin dikupas di sini ialah, (i) sukatan pelajaran yang digunakan di semua sekolah adalah sama iaitu sukatan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) namun menggunakan bahasa Mandarin di SJK(C), dan bahasa Tamil di SJK(T), dan Bahasa Melayu di SK, (ii) Bahasa Melayu merupakan subjek yang wajib dipelajari, namun pemansuhan peperiksaan UPSR menyebabkan pengenalan kepada pentaksiran baharu iaitu mewujudkan Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM). Namun setakat ini, masih belum diwujudkan kajian mengenai keberkesanan kaedah pentaksiran tersebut. Malah terdapat laporan oleh golongan guru mengajar subjek Bahasa Melayu yang menghadapi cabaran besar untuk menangkis tanggapan bahawa Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang sukar dikuasai dan tidak penting untuk dipelajari.

Bersambung…

Speak Your Mind

*