[Bahagian 2] Menikmati Keindahan Musim Bunga di Jinhae, Korea Selatan

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-menikmati-keindahan-musim-bunga-di-jinhae-korea-selatan/

Changwon pula merupakan ibu kota Gyeongsangnam-do, yang terletak di bahagian tenggara Korea Selatan. Changwon adalah bandar ke-9 terpadat di Korea Selatan dengan populasi 1.07 juta penduduk. Penulis tiba di Jinhae dalam pukul 11 pagi. Taklimat diberikan oleh pemandu pelancong mengenai tempat pertemuan serta kawasan yang boleh dilawati. Penulis serta peserta-peserta lawatan yang lain diberi masa selama dua jam untuk destinasi pertama iaitu Sungai Yeojwacheon yang kiri dan kanannya dipenuhi dengan rimbunan pohon ceri. Bunga ceri adalah bunga dari beberapa pokok genus Prunus, manakala ceri Jepun, dari pohon Prunus serrulata, dipanggil sakura di Jepun. Di bahagian tertentu sungai berkenaan yang airnya cetek disediakan jambatan khas untuk pelancong mengambil gambar. Ribuan manusia membanjiri kawasan tersebut kerana festival ini bukanlah berlangsung sepanjang musim. Pohon-pohon ceri hanya mekar pada penghujung bulan Mac sehingga awal April sahaja. Jadi, ribuan pelancong tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati keindahan musim bunga di Jinhae. Sungai Yeojwacheon adalah di mana terletaknya Romance Bridge iaitu jambatan yang terkenal dalam drama Korea yang bertajuk “Romance”. Di sinilah lokasi di mana adegan paling ikonik dari siri itu difilemkan. Jadi tidak hairanlah ramai orang terutamanya pasangan kekasih berpusu-pusu untuk mengambil gambar di jambatan tersebut. Penulis meluangkan masa hampir satu jam setengah menyelusuri laluan di sepanjang sungai yang panjangnya lebih kurang 800 meter tersebut.

Bersambung…

Sungai Yeojwacheon dipagari dengan pohon bunga ceri yang mekar

Pohon ceri yang mekar di kiri dan kanan Sungai Yeojwacheon

Pohon ceri yang mekar di kiri dan kanan Sungai Yeojwacheon


Speak Your Mind

*