[Bahagian 3] Isu Pengangguran Dalam Kalangan Graduan dan Langkah Penyelesaian

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-isu-pengangguran-dalam-kalangan-graduan-dan-langkah-penyelesaian/

Sehubungan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) telah dibangunkan berdasarkan lima aspirasi iaitu; akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Aspirasi kualiti mempunyai tiga aspek; kualiti graduan, kualiti institusi, dan kualiti keseluruhan sistem. Kualiti graduan merujuk kepada aspirasi kementerian untuk meningkatkan kadar penggajian siswazah daripada kadar semasa 75 peratus kepada lebih daripada 80 peratus pada tahun 2025. Oleh itu, enam aspirasi pelajar telah dibangunkan; etika dan rohaniah, kemahiran kepimpinan, identiti negara, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan. Aspirasi-aspirasi ini menekankan keseimbangan antara Akhlak (etika dan moral) dan Ilmu (kemahiran dan pengetahuan). Aspirasi ini dicapai melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan melalui tiga fasa. Fasa pertama bermula pada tahun 2015 yang bertujuan untuk memulakan momentum dan menyediakan asas transformasi manakala Fasa dua yang bermula pada 2016 hingga 2020 melibatkan proses memperbaiki sistem. Fasa terakhir akan bermula pada tahun 2021 hingga 2025 yang memfokuskan pada usaha-usaha ke arah kecemerlangan dengan peningkatan operasi yang fleksibel. Dalam aspirasi kemahiran berfikir, ia bermatlamat untuk menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kritikal, inovatif serta mempunyai kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran keusahawanan. Kemahiran berfikir secara kritikal amat penting dalam kerjaya dan amat ditekankan oleh para majikan yang ingin mengambil graduan bekerja. Hal ini kerana kemahiran berfikir secara kritikal membolehkan pekerja mengambil pendekatan tertentu apabila berhadapan dengan sesuatu situasi atau masalah yang memerlukan keputusan dibuat. Pekerja dengan kemahiran kritikal yang tinggi akan menimbang segala kemungkinan berdasarkan maklumat diperolehi daripada pelbagai sumber dan mencari idea-idea baru yang dapat membantu menyelesaikan masalah dengan cekap. Kemahiran penyelesaian masalah pekerja juga secara tidak langsung dapat ditingkatkan kerana graduan yang diambil bekerja dapat menimbang semua penyelesaian yang mungkin sebelum membuat keputusan akhir. Kemahiran kritikal juga mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi untuk memberi justifikasi terhadap keputusan yang dipilih. Walau bagaimanapun, menurut World Economic Forum pada tahun 2015, salah satu jurang kemahiran di Malaysia ialah kemahiran berfikir secara kritikal sedangkan menurut laporan Future of Jobs, World Economic Forum, pemikiran kritikal merupakan kemahiran kedua terpenting untuk pekerjaan menjelang tahun 2020.

Source: http://ekimkee.blogspot.com/2016/11/jobless.html

Bersambung…