Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-galakkan-pelajar-menjawab-soalan-subjektif/
Soalan subjektif juga digunakan untuk menguji pengetahuan dan pemahaman yang dimiliki oleh pelajar. Ini seterusnya dapat meningkatkan kemampuan berfikir dan penyelesaian masalah pelajar. Soalan subjektif juga sesuai untuk mengukur tahap kognitif yang lebih tinggi, seperti mengukur penguasaan menganalisis, mensintesis, membuat pertimbangan, menilai dan membuat keputusan, yang memerlukan kemahiran berfikir. Hal ini seterusnya mendorong pelajar untuk belajar lebih banyak dan menjadi pemikir kritis yang lebih baik kerana untuk menjawab soalan subjektif pelajar perlu mempunyai pengetahuan dan kreatif dalam menyatakan jawapan mereka. Soalan subjektif, biasanya pelajar harus membina sendiri jawapan oleh pelajar dan memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pendapat atau cadangan mereka. Sebaliknya, soalan objektif mendorong pelajar untuk menghafal dan biasanya membataskan pemikiran kritis pelajar dalam menjawab soalan. Soalan subjektif juga memberi kebebasan kepada pelajar dari segi gaya persembahan dan penulisan jawapan. Soalan subjektif memberi peluang kepada pelajar bebas mengemukakan atau menyampaikan pendapat, hujah atau idea sendiri tentang sesuatu isu ataupun topik. Pelajar akan menerokai pelbagai cara atau pendekatan untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara sendiri dan mempamerkan sesuatu idea yang asli mereka. Soalan subjektif juga menilai kemampuan menulis dan berkomunikasi pelajar. Pelajar dapat mengorganisasikan idea dan membina hujah yang logik. Pelajar memilih isi atau idea daripada pengetahuan sedia ada, menyusun isi atau idea dan seterusnya, menulis dengan cara yang logik supaya dapat dipersembahkan dengan baik.
Untuk soalan objektif pula, kekurangannya ialah pelajar boleh memilih jawapan tanpa perlu menunjukkan jalan kerja. Pada masa yang sama, kaedah seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk membuat pilihan secara rawak tanpa perlu memahami soalan dan keperluan soalan itu dibuat. Walaupun kaedah ini memudahkan guru untuk menanda soalan tersebut, namun matlamat pengajaran tidak akan tercapai jika penilaian yang diberi tidak menyeluruh dan mengambilkira proses yang berlaku kepada pelajar untuk memahami sesuatu topik yang diberi. Selain itu, soalan objektif tidak dapat meningkatkan kemahiran penaakulan dalam kalangan pelajar dan mendorong mereka memilih jawapan secara rawak. Dengan penaakulan, pelajar dapat mengaplikasikan sesuatu konsep yang dipelajarinya dalam pelbagai situasi. Sebaliknya melalui penghafalan, pelajar tidak dapat menghubungkan pengetahuan hasil dari pembelajaran mereka ke dalam situasi yang berbeza seperti penyelesaian masalah dan sebagainya.
Tamat
Speak Your Mind