[Bahagian Akhir] Isu Pengangguran Dalam Kalangan Graduan dan Langkah Penyelesaian

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-3-isu-pengangguran-dalam-kalangan-graduan-dan-langkah-penyelesaian/

Dalam konteks Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pelan Global UTM 2012-2020 dibangunkan dan dilaksanakan bertujuan untuk menjadikan UTM sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat kebangsaan dan global atas sumbangannya dalam pelbagai aspek termasuklah penjanaan modal insan. Pelan ini dilaksanakan melalui tiga fasa iaitu Pelan Global UTM Fasa I (PGU Fasa I) 2012-2014, Pelan Global UTM Fasa II (PGU Fasa II) 2015-2017 dan Pelan Global UTM Fasa III (PGU Fasa III) 2018-2020. Penghayatan dan pelaksanaan Pelan Global UTM 2012-2020 kini sedang memasuki Fasa III (PGU 2018-2020). Salah satu bidang tumpuan yang diberikan penekanan dalam PGU 2018-2020 ini ialah kecemerlangan dalam pembelajaran dan pengajaran, dan transformasi pengalaman kampus. Objektif strategik pertama iaitu meningkatkan peratus graduan yang diambil bekerja dalam masa setahun selepas menamatkan pengajian yang mana antara inisiatif untuk mencapainya termasuklah menganjurkan program berkaitan laluan kerjaya dan persediaan alam pekerjaan serta mengemaskini dan menyemak kurikulum supaya ianya selari dengan kurikulum abad ke-21. Objektif kedua pula untuk meningkatkan peratus mahasiswa pra-siswazah yang terlibat dalam program pembangunan mahasiswa secara holistik yang dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka. Antara inisiatif yang dilaksanakan ketika ini termasuklah menganjurkan program keusahawanan sosial bersama non-governmental organization (NGO), program kesukarelawan, program kepimpinan berimpak tinggi, program pengantarabangsaan, program penguasaan bahasa inggeris, program kerohanian dan keagamaaan, program penglibatan bersama komuniti serta program kesukanan dan rekreasi. Inisiatif-inisiatif ini selari dengan kandungan artikel terbitan The Telegraph, sebuah akhbar harian kebangsaan British yang berpengkalan di London dan diedarkan di seluruh United Kingdom dan di peringkat antarabangsa, yang bertajuk “What makes a good university in the 21st century”. Artikel tersebut telah menggariskan lima faktor untuk memastikan sesebuah universiti itu hebat di abad ke-21 ini khususnya untuk melahirkan graduan yang berkualiti iaitu 1) Pengalaman kerja dan peluang kesukarelawan, 2) Peluang untuk pengalaman antarabangsa, 3) Hubungan universiti dan rakan kongsi industri dan badan professional, 4) Kemudahan inkubator dan penglibatan dengan start-up communities, dan 5) Kepelbagaian aktiviti kurikulum tambahan.

Secara kesimpulannya, kelayakan akademik tidak menjamin seseorang graduan mendapat pekerjaan. Tidak dinafikan bahawa pencapaian akademik yang cemerlang penting, namun ia perlu diseimbangkan dengan pelbagai kemahiran insaniah yang diperolehi bukan sahaja dalam dewan kuliah, tetapi juga penglibatan dalam pelbagai aktiviti di luar dewan kuliah. Pelaksanaan inisiatif yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dilihat mula memberi impak positif khususnya dalam aspek kualiti graduan yang dilahirkan oleh institusi pendidikan di Malaysia apabila QS World University Rankings 2019 telah diumumkan pada bulan Jun yang lalu. QS World University Rankings merupakan satu penilaian tahunan yang memberi pengiktirafan pada universiti-universiti terbaik di seluruh dunia. Ranking 2019 ini dilihat terbaik buat institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Berdasarkan laporan ranking 2019 tersebut, sebanyak 13 buah universiti Malaysia berjaya disenaraikan antara 1000 universiti terbaik di dunia berbanding hanya lapan universiti tersenarai dalam ranking 2016, dan sembilan universiti dalam ranking 2017 dan 2018. Berdasarkan kepada ranking terkini ini, kualiti kebolehpasaran graduan yang dihasilkan oleh institusi pendidikan tinggi dilihat semakin meningkat kerana salah satu kriteria yang diambilkira oleh QS dalam menentukan kedudukan sesebuah universiti dalam QS World Ranking adalah reputasi majikan. Kriteria reputasi majikan melibatkan pandangan majikan yang mengenalpasti institusi-institusi yang mereka fikirkan menghasilkan graduan yang cekap, inovatif dan efektif.

Source: https://academiamag.com/hec-solutions-jobless-phd-holders/