[Bahagian Akhir] Menikmati Keindahan Musim Bunga di Jinhae, Korea Selatan

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-menikmati-keindahan-musim-bunga-di-jinhae-korea-selatan/

Street food (makanan jalanan) juga boleh didapati di sepanjang laluan tersebut. Malah penulis berkesempatan mengisi perut dengan membeli kebab dan aiskrim yang turut dijual di situ. Tandas juga disediakan sebagai salah satu kemudahan dan memberi keselesaan kepada para pengunjung. Destinasi kedua lawatan ini ialah Stesen Gyeonghwa. Stesen Gyeonghwa, tempat yang terkenal untuk pemandangan rimbunan bunga ceri, adalah sebuah stesen keretapi kecil di Gyeonghwa-dong, Jinhae-gu. Perkhidmatan kereta api masuk dan keluar dari stesen ini telah dihentikan pada tahun 2006. Penulis berjalan melalui trek yang dikelilingi oleh deretan pokok bunga ceri yang menakjubkan. Stesen Gyeonghwa adalah salah satu daripada tempat tumpuan di Jinhae untuk mengambil gambar bunga ceri. Penulis difahamkan kawasan ini sering dipaparkan dalam filem dan drama Korea seperti filem “Boy Goes to Heaven” pada tahun 2005  dan drama “Spring Waltz” pada tahun 2006. Terdapat sebuah gerabak keretapi yang tidak beroperasi lagi di landasan keretapi menambahkan lagi keunikan dan keindahan stesen keretapi yang dipagari oleh pohon bunga ceri. Penulis turut difahamkan bahawa Stesen Gyeonghwa telah disenaraikan oleh Cable News Network (CNN) sebagai salah satu daripada 50 tempat yang indah untuk dilawati di Korea. Hampir satu jam menikmati keindahan kawasan berkenaan, penulis bersama peserta-peserta kemudian menaiki bas untuk pulang semula ke Seoul dengan membawa kenangan terindah musim bunga di Jinhae.

Saya di kawasan Sungai Yeojwacheon

 

Ribuan pengunjung membanjiri Stesen Gyeonghwa

 

Gerabak keretapi yang tidak beroperasi menambahkan lagi keindahan pemandangan di Ribuan pengunjung membanjiri Stesen Gyeonghwa

Tamat