Hari ini aku ke pekan Bahau entah untuk kali yang ke berapa. Barangkali sudah beratus atau mungkin beribu kali aku ke sini. Sebuah pekan kecil tetapi menjadi tumpuan pengunjung dek kedudukannya dikelilingi oleh kawasan felda dan taman perumahan. Gugusan Felda Serting, Gugusan Felda Palong, Gugusan Felda Jelai, Gugusan Felda Lui, Gugusan Felda Pasoh, Gugusan Felda Kepis dan Gugusan Felda Bukit Rokan antara gugusan felda di sekitarnya. Bahau; unik bukan namanya. Sehingga hari ini aku masih tercari-cari bagaimana tempat ini mendapat nama. Ketika zaman kecilku, bilangan bangunan yang terdapat di pekan boleh dikira dengan jari. Bagaimanapun, pekan ini semakin hari semakin pesat membangun dan sehingga ke hari ini, banyak projek pembangunan sedang giat dijalankan. Di sini ingin dikongsikan mengapa pekan Bahau begitu istimewa buat diri ini.
- Bahau; tempat aku dan kawan-kawanku tuju setelah menanti bas henti-henti yang kami tunggu di simpang felda. Bas akan berhenti apabila kami tahan, kemudian kami duduk sehingga ada operator tiket datang untuk mengutip duit. Apabila sampai di destinasi, loceng akan ditekan. Kenangan sungguh.
- Bahau; tempat bermulanya bas yang dinaiki aku untuk ke KL semasa aku belajar di Sek. Men. Sains Selangor dahulu dan bas yang dinaiki aku untuk ke JB ketika menyambung pengajian di UTM. Tempat tumpahnya air mata aku ketika aku hendak menaiki bas ke KL semasa hendak berpisah dengan keluarga. Maklumlah kecil lagi masa tu. Kalau ke KL nama bas tersebut ialah SKB. Naik di pekan Bahau dan berhenti di Puduraya. Masa di Puduraya kena jalan cepat-cepat sebab takut kena ‘pau’. Pernah sekali aku kena ‘pau’ tapi dengan penuh keyakinan, aku cakap bapa aku inspektor polis. Terus penyamun tu blah.
- Bahau; Kentucky Fried Chicken (KFC). Kalau aku dapat nombor satu dalam kelas, inilah tempat yang mak dan ayah akan bawa. Tapi sekarang macam-macam ada di sini. Secret Recipe, Pizza Hut, Domino’s dan McDonald dalam pembinaan.
- Bahau; Bank Simpanan Nasional. Bank tempat aku selalu simpan duit terutama sekali selepas hari raya. Dahulu tiada sistem nombor giliran. Konsep siapa cepat dia dapat. Kerap juga, pelanggan beratur hingga ke luar bank. Nostalgia sungguh. Tapi kini macam-macam bank sudah wujud di sini.
- Bahau; Upwell. Satu-satunya pusat membeli belah yang ada di sini sewaktu zaman kecilku. Sebelum itu ada Parkson. Barangkali tidak mendapat sambutan, ianya ditutup. Upwell, mungkin tidak dikenali sebilangan anda tapi percayalah ianya amat terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Dahulu, kalau aku dapat nombor satu, di sinilah tempat dituju untuk mak dan ayah belikan set alat tulis dan Tora Datang Lagi (mainan dalam kotak tu). Selalunya kalau ada iklan Tora dalam tv, mata aku tak berkelip tengok sebab nak tahu apa permainan terkini dalam kotak tu. Oh lupa, ada satu lagi permainan dalam kotak. Ding Dang namanya. Dalamnya ada coklat berbentuk sfera dan ada biskut di dalamnya. Kini, Upwell masih terus bertahan walaupun ada Billion, Econsave dan Tesco (dalam pembinaan) di pekan ini.
- Bahau; Lotus Five Star. Percaya atau tidak, salah satu peristiwa yang tak dapat aku lupakan semasa zaman kecilku ialah semasa mak dan ayah membeli pemain VCD. Gembira tak terkata. CD pertama yang aku beli ialah…. kuch kuch hota hai. Dan itulah satu-satunya filem hindustan yang aku tengok dari awal sampai akhir. Selainnya, terkandas di tengah jalan. Tapi sekarang dah ada pawagam di Bahau; Lotus Five Star. Hingga ke hari ini, aku masih belum pernah menjejakkan kaki ke situ.
Sesungguhnya Bahau merupakan salah satu tempat signifikan yang memahatkan catatan memori dalam lembaran kehidupanku. Walaupun kini aku mungkin menghabiskan sebahagian besar hidupku di kota yang jauh lebih besar dari pekan ini, sesekali pulang ke kampung halaman, Bahau merupakan tempat yang wajib aku singgah. Bahau; sebuah pekan yang penuh kesederhanaan dan dikunjungi oleh penduduk tempatan yang juga penuh sederhana. Mengunjungi pekan ini membuatkan aku selalu sedar, walaupun di mana kita berada, jangan sesekali lupa di mana kita bermula.
Speak Your Mind