Embon Binti Saji. Ya, itu nama atokku (baca: nenek). Aku dahulu cucu yang sangat nakal. Sering aku bertanya, kenapa nama atok Embon? Kenapa nama ayah atok Saji? Tudung Saji ke? Kerana kenakalanku sewaktu kecil, atok kata aku pernah kena ikat dekat pokok kelapa sebab suka menyakat adik di kampung sehingga menangis. Dahulu ketika aku di bangku tadika dan sekolah rendah, emak dan ayah kerap menghantar aku dan adik-adikku ke kampung sekiranya emak berkursus dan sebagainya. Boleh tahan lama, ada kalanya sehingga tiga bulan. Kampung atok terletak di kawasan Sagil, Sengkang, Bukit Gambir dan Tangkak. Senang kata, di kawasan lembah Gunung Ledang.
Sewaktu aku bujang dahulu, boleh dikatakan aku satu-satunya cucu yang kerap bermalam di rumah atok. Kalau aku balik rumah emak dan ayah di Negeri Sembilan, aku akan singgah bermalam terlebih dahulu di rumah atok. Aku suka sambal nasi lemak atok. Biasanya aku akan menetap satu atau dua malam. Atok tinggal bersama emak saudaraku (baca: mak itam) dan keluarganya. Disebabkan ketika itu mak itam tiada kenderaan, setiap kali aku bermalam di rumah atok, aku akan bawa atok dan mak itam keluar makan malam sama ada di Tangkak ataupun Bukit Gambir. Kegemaran atok? Tiada preference. Apabila dapat dibawa keluar, atok sudah cukup gembira.
Pada tahun 2014, aku mengerjakan umrah bersama atok, emak, ayah dan maklong. Bukan aku hendak meninggi diri, tetapi niat aku pada masa itu nak tolong atok dan hendak mudahkan atok yang berkerusi roda mengerjakan umrah. Itulah pengalaman pertama atok menaiki kapal terbang seumur hidupnya. Setibanya di Madinah, atok demam. Kami semua panik sebab atok sangat lemah. Berkejaran aku ke farmasi berdekatan dengan Masjid Nabawi untuk membeli ubat yang sesuai. Lemahnya atok ketika itu sehingga kami beranggapan, adakah sudah sampai masa atok. Namun, Alhamdulillah, atok beransur pulih dan dapat mengerjakan ibadah di Madinah.
Setibanya di Mekah, aku tanamkan niat di hati, umrah wajib, aku akan tolong atok sebaik mungkin. Apatah lagi, dengan jemaah umrah yang ramai, kerja-kerja pembinaan hotel dan pembesaran Masjidil Haram ketika itu, dan kami tiba di Mekah pada waktu tengah malam. Atok mungkin penat dan aku khuatir perkara yang sama seperti di Madinah bakal berulang kembali. Alhamdulillah, aku minta emak, ayah dan maklong fokus kepada rukun umrah yang kedua iaitu tawaf mereka dan aku menolak kerusi roda atok untuk kami sama-sama tawaf di tingkat atas dengan anggaran 10-15 minit setiap pusingan dan kesesakan jemaah.
Atok tidak henti-henti berdoa sepanjang kami mengelilingi kaabah. Alhamdulillah, atok selamat mengerjakan umrah wajibnya. Semoga atok dikurniakan umrah yang mabrur. Setiap kali bergerak ke mana-mana, aku membawanya berkerusi roda hatta atok hendak membeli buah tangan untuk mak itam dan keluarganya. Ketika kami melakukan tawaf wada’ atau tawaf ‘selamat tinggal’, aku minta maaf pada atok kalau sepanjang aku membantunya di tanah suci, terdapat sebarang kekasaran yang aku lakukan. Namun atok sebaliknya berdoa yang mana biarlah doa tersebut menjadi rahsia antara aku dan atok.
Tahap kesihatan atok semakin merosot pada tahun 2018 selepas atok terjatuh ke dalam longkang. Sejak dari itu, sedikit demi sedikit keupayaan atok terjejas sehinggalah atok mengalami lupa ingatan. Satu-satunya yang dia mahu berada di sampingnya ialah mak itam yang dipanggilnya mak. Namun, aku bersyukur atok dapat melihat aku mendirikan rumah tangga dan melihat cicit-cicitnya. Keadaan atok menjadi semakin teruk apabila atok didiagnos dengan kanser payudara. Doktor pakar di Hospital Muar tidak boleh berbuat apa-apa kerana faktor umur atok dan implikasi yang lebih teruk sekiranya pembedahan atau kemoterapi dilakukan terhadap atok. Jadi, atok hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang doktor bekalkan.
Sehinggalah pada malam semalam, sewaktu solat maghrib, atok menghembuskan nafas terakhirnya. Mak itam merupakan saksi bagaimana atok menarik nafas dalam dan kemudian nyawanya sudah tiada. Sesungguhnya besar pahala mak itam yang menjaga atok sehingga diberi peluang untuk melihat atok menghembuskan nafasnya yang terakhir di alam dunia ini.
Kepada atokku yang tersayang,
Tamat sudah kesengsaraan atok di alam dunia,
Tiba masanya untuk atok berehat,
Selagi nafas dikandung badan,
Insya-Allah doa akan daku kirimkan,
Selamat jalan duhai atokku ke negeri abadi,
Semoga atok tenang di alam sana.
Al-Fatihah (dibaca)
Embon Binti Saji
1940-2023