Niat di hati pada mulanya ingin sahaja saya membelok ke kiri, meletakkan sijil dan plag Majlis Gemala Citra 2025, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) yang berlangsung petang 8hb Disember 2025, di KSL Hotel and Resort, di ofis saya di kampus UTM. Namun entah mengapa, saya terus memandu pulang, seolah-olah hati sendiri memilih jalan itu tanpa ragu.
Saya ingin menunjukkan kepada anak-anak dan ibu mereka, walaupun mereka belum benar-benar mengerti, bahawa babah mereka bekerja keras, mencari rezeki untuk mereka, demi keberkatan hidup di dunia, apatah lagi di akhirat.
Hakikatnya, sejak Selasa minggu lalu babah mereka dilanda batuk yang tidak kunjung reda. Hampir sahaja tidak dapat hadir ke majlis itu setelah ahli farmasi menasihati saya supaya berjumpa doktor sehari sebelumnya. Namun digagahkan juga diri, makan ubat, berehat seadanya, dan hadir demi menghadiri majlis setahun sekali yang lebih bermakna pada tahun ini kerana merupakan penganjuran julung kali oleh FEST setelah kembali berstatus fakulti.
Terima kasih kepada Allah s.w.t, para juri pemilih, isteri, anak-anak, emak, ayah, dan semua yang menyokong saya secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya hanya Allah jua yang mampu membalasnya.





























