Continued from https://people.utm.my/halim/part-2-doing-charity-while-travelling-in-lombok-indonesia/
Continued from https://people.utm.my/halim/part-2-doing-charity-while-travelling-in-lombok-indonesia/
Continued from https://people.utm.my/halim/part-1-doing-charity-while-travelling-in-lombok-indonesia/
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-menikmati-keindahan-musim-bunga-di-jinhae-korea-selatan/
Street food (makanan jalanan) juga boleh didapati di sepanjang laluan tersebut. Malah penulis berkesempatan mengisi perut dengan membeli kebab dan aiskrim yang turut dijual di situ. Tandas juga disediakan sebagai salah satu kemudahan dan memberi keselesaan kepada para pengunjung. Destinasi kedua lawatan ini ialah Stesen Gyeonghwa. Stesen Gyeonghwa, tempat yang terkenal untuk pemandangan rimbunan bunga ceri, adalah sebuah stesen keretapi kecil di Gyeonghwa-dong, Jinhae-gu. Perkhidmatan kereta api masuk dan keluar dari stesen ini telah dihentikan pada tahun 2006. Penulis berjalan melalui trek yang dikelilingi oleh deretan pokok bunga ceri yang menakjubkan. Stesen Gyeonghwa adalah salah satu daripada tempat tumpuan di Jinhae untuk mengambil gambar bunga ceri. Penulis difahamkan kawasan ini sering dipaparkan dalam filem dan drama Korea seperti filem “Boy Goes to Heaven” pada tahun 2005 dan drama “Spring Waltz” pada tahun 2006. Terdapat sebuah gerabak keretapi yang tidak beroperasi lagi di landasan keretapi menambahkan lagi keunikan dan keindahan stesen keretapi yang dipagari oleh pohon bunga ceri. Penulis turut difahamkan bahawa Stesen Gyeonghwa telah disenaraikan oleh Cable News Network (CNN) sebagai salah satu daripada 50 tempat yang indah untuk dilawati di Korea. Hampir satu jam menikmati keindahan kawasan berkenaan, penulis bersama peserta-peserta kemudian menaiki bas untuk pulang semula ke Seoul dengan membawa kenangan terindah musim bunga di Jinhae.
Tamat
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-menikmati-keindahan-musim-bunga-di-jinhae-korea-selatan/
Changwon pula merupakan ibu kota Gyeongsangnam-do, yang terletak di bahagian tenggara Korea Selatan. Changwon adalah bandar ke-9 terpadat di Korea Selatan dengan populasi 1.07 juta penduduk. Penulis tiba di Jinhae dalam pukul 11 pagi. Taklimat diberikan oleh pemandu pelancong mengenai tempat pertemuan serta kawasan yang boleh dilawati. Penulis serta peserta-peserta lawatan yang lain diberi masa selama dua jam untuk destinasi pertama iaitu Sungai Yeojwacheon yang kiri dan kanannya dipenuhi dengan rimbunan pohon ceri. Bunga ceri adalah bunga dari beberapa pokok genus Prunus, manakala ceri Jepun, dari pohon Prunus serrulata, dipanggil sakura di Jepun. Di bahagian tertentu sungai berkenaan yang airnya cetek disediakan jambatan khas untuk pelancong mengambil gambar. Ribuan manusia membanjiri kawasan tersebut kerana festival ini bukanlah berlangsung sepanjang musim. Pohon-pohon ceri hanya mekar pada penghujung bulan Mac sehingga awal April sahaja. Jadi, ribuan pelancong tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati keindahan musim bunga di Jinhae. Sungai Yeojwacheon adalah di mana terletaknya Romance Bridge iaitu jambatan yang terkenal dalam drama Korea yang bertajuk “Romance”. Di sinilah lokasi di mana adegan paling ikonik dari siri itu difilemkan. Jadi tidak hairanlah ramai orang terutamanya pasangan kekasih berpusu-pusu untuk mengambil gambar di jambatan tersebut. Penulis meluangkan masa hampir satu jam setengah menyelusuri laluan di sepanjang sungai yang panjangnya lebih kurang 800 meter tersebut.
Bersambung…
Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk mandi, solat subuh dan mempersiapkan diri untuk menunggu bas yang bakal mengambil peserta untuk dibawa ke Jinhae Gunhangje Festival pada jam 6 pagi di stesen subway Myeongdong di Seoul, Korea Selatan. Perjalanan bakal mengambil masa selama lima jam menaiki bas dari ibu kota Korea Selatan, Seoul ke Jinhae. Terdapat dua cara untuk sampai ke Jinhae dari Seoul iaitu pertama dengan menaiki kereta api KTX yang mengambil masa lebih kurang tiga jam setengah. Walau bagaimanapun, tiada keretapi dari Seoul terus ke Jinhae. Sebaliknya, pengunjung perlu menaiki kereta api Mugungwha di stesen Masan untuk sampai di Jinhae. Disebabkan kesulitan tersebut, saya mengambil keputusan untuk menggunakan agen pelancongan yang diperolehi melalui laman web. Saya membuat tempahan untuk menyertai festival tersebut sejak dari Malaysia lagi. Saya dimaklumkan bahawa festival ini merupakan antara festival yang menarik untuk dikunjungi semasa musim bunga di Korea Selatan. Festival Jinhae Gunhangje adalah perayaan musim bunga terbesar Korea, yang menarik sekurang-kurangnya dua juta pengunjung setiap tahun. Jadi alang-alang saya sedang mengikuti fellowship selama enam bulan di Korea Selatan, pasti peluang keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Bukan setakat saya dari Malaysia sahaja yang menyertai rombongan ini, malah ramai juga peserta dari Indonesia, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Poland, malah rakyat Korea Selatan sendiri. Bayaran yang dikenakan merangkumi tambang bas pergi dan balik serta minum pagi. Perjalanan menggunakan Expressway di Korea Selatan sangat lancar dan sepanjang perjalanan, para peserta diberikan kesempatan untuk ke tandas di kawasan rehat dan rawat sebanyak dua kali. Disebabkan perjalanan bermula pada awal pagi, saya meluangkan sebahagian masa untuk melelapkan mata memandangkan saya sampai di Seoul dari Gwangju sehari sebelum itu. Jinhae adalah sebuah daerah di Changwon City, Korea Selatan. Daerah ini dihubungkan oleh Keretapi Korea, dan terkenal dengan perayaan bunga ceri tahunannya setiap kali musim bunga.
Bersambung…
Jinhae, sebuah tempat yang wajib dilawati ketika musim bunga di Korea. Saya ingat lagi, saya ke sana pada hujung minggu selepas lebih sebulan saya berkelana di bumi Korea Selatan. Gigih naik bas dengan lima jam perjalanan dari Seoul. Nak tahu cerita saya tentang tempat ini, dapatkannya dalam Dewan Siswa pada bulan Oktober 2019.
Pada 22 hingga 25 September 2019 yang lalu, saya telah dijemput untuk menyampaikan kuliah tamu di Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Surabaya dan Malang. Saya bersama seorang lagi pensyarah dari Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Norasykin Mohd Zaid telah berlepas ke Surabaya dari Johor Bahru. Mujur ada penerbangan terus dari Johor Bahru ke Surabaya. Jadi saya tidak perlu transit di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum ke Surabaya. Penerbangan mengambil masa selama dua jam setengah. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, kami dijemput oleh dosen (pensyarah) iaitu Pak Syaiful, Pak Hendro dan Pak Edi. Perjalanan dari Surabaya ke Malang mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dengan jarak kira-kira sejauh 100km. Kota Malang juga mempunyai lapangan terbang yang kecil dengan bilangan penerbangan yang sangat terhad iaitu hanya dua kali penerbangan dari Jakarta. Jadi cara yang paling mudah ialah turun di Surabaya dan menaiki pengangkutan darat untuk ke Malang. Tambahan pula lebuhraya yang baru disiapkan oleh pemerintah Indonesia memudahkan dan melancarkan lagi perjalanan. Sebelum dihantar ke hotel, saya dijamu makan malam di salah sebuah restoran ikan bakar di kota Malang. Hari kedua saya di Universitas Negeri Malang dimulakan dengan pertemuan bersama bapak dekan Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA). Hampir setengah jam bersama bapak dekan, saya mengadakan pertemuan bersama ketua jabatan pendidikan matematik UM. Saya kemudiannya bertemu dengan kumpulan penyelidikan geran kolaborasi antara UTM yang diwakili oleh saya dan UM. Hampir satu jam perbincangan, saya ke dewan kuliah untuk mengikuti kuliah tamu yang disampaikan oleh Dr. Norasykin yang bertajuk trend dalam penyelidikan matematik dalam bidang ICT. Kuliah tamu beliau mengambil masa selama kira-kira dua jam. Setelah berakhirnya kuliah tamu Dr. Norasykin, kami dijamu dengan makanan di dalam kotak yang bagi saya merupakan satu pengalaman yang sangat unik dan menarik. Usai solat, saya bersama Dr. Norasykin dibawa berjalan-jalan di Kampung Warna-Warni yang terletak di tengah-tengah kota Malang. Saya sangat teruja melihat keindahan dan keunikan kampung tersebut. Saya juga berasa kagum melihat penduduk tempatan tinggal di dalam rumah-rumah kecil dan melihatkan kesemuanya dinding rumah tersebut dicat dengan warna yang pelbagai. Hampir satu jam meluangkan masa di Kampung Warna-Warni, saya pulang ke hotel untuk menyiapkan slaid pembentangan kuliah tamu saya. Hari ketiga merupakan hari untuk saya menyampaikan kuliah tamu. Pada sebelah pagi, saya sekali lagi terlibat dalam focus group dalam penyelidikan yang bertajuk “Keterampilan High Order Thinking Matematika Siswa Kelas VII di Malang Berdasarkan Varian Sekolah” selama hampir satu jam. Pada sebelah petang, saya menyampaikan kuliah tamu untuk dua topik yang diberikan yang bertajuk “Seputar Higher Order Thinking Skills” dan “Penulisan Artikel Dalam Jurnal Terindeks”. Saya menyampaikan kuliah tamu selama hampir tiga jam di samping membuka sesi soal jawab bersama para dosen dan mahasiswa. Walaupun agak penat bercakap dan berdiri di hadapan dewan kuliah yang besar selama hampir tiga jam, namun saya berasa seronok dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Dr. Chollis, Pak Hendro, Pak Syaiful, Pak Edi, Heri (pelajar Phd) dan seluruh warga FMIPA Universitas Negeri Malang yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada saya dan Dr. Norasykin sepanjang kami berada di Kota Malang.
Jalan-jalan ke Kota Malang,
Malam harinya melihat bulan,
Kenangan manis akan ku kenang,
Ketemu lagi di masa hadapan.
Saya ambil artikel ini dan ubah suai daripada akhbar Berita Harian bertarikh 6 September 2019 m/s:60. Berikut merupakan tips panduan melancong ke luar negara.
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-catatan-di-gwangju-bandaraya-di-barat-daya-korea-selatan-dengan-keunikan-tersendiri/
Pada hujung minggu ketiga saya di Gwangju, saya mengambil keputusan untuk berkunjung ke Stadium Piala Dunia 2002 dan Culture and Art Center. Kedudukan stadium ini agak jauh dari pusat bandar dan saya menaiki bas henti-henti untuk ke sana. Stadium Piala Dunia Gwangju merupakan salah satu simbol utama bandaraya Gwangju. Apabila diterangi dengan lampu limpah, stadium itu kelihatan seperti kubah bercahaya. Siling dan tiang berbentuk ‘Y’ besar membentuk perkataan ‘Go’, iaitu alat yang digunakan dalam permainan tradisional dari Gwangju, Gossaumnori. Dari aspek binaannya, tempat duduk penonton direkabentuk berdasarkan permainan tradisional rakyat Korea yang dikenali sebagai “kossaum nori”, manakala bumbung melengkung menggambarkan Gunung Mudeung yang sangat terkenal di Gwangju. Stadium yang dibuka secara rasmi pada 13 November 2001 ini boleh memuatkan lebih kurang 40,000 penonton pada satu-satu masa. Stadium ini juga dikenali sebagai ‘Stadium Guus Hiddink’ dalam kalangan masyarakat setempat. Stadium itu dinamakan ‘Stadium Guus Hiddink’ sebagai menghormati jurulatih yang bernama Guus Hiddink yang merupakan jurulatih lagenda bagi pasukan bola sepak kebangsaan Korea selatan. Ini kerana pada Piala Dunia 2002, Guus Hiddink membantu pasukan Korea Selatan menewaskan Sepanyol pada peringkat suku akhir sekaligus mara ke peringkat separuh akhir untuk kali pertama dalam sejarah penglibatan Korea Selatan dalam Piala Dunia. Perlawanan tersebut diadakan di Stadium Piala Dunia Gwangju. Selain itu, semasa Piala Dunia 2002, stadium ini juga menjadi stadium untuk perlawanan-perlawanan yang melibatkan negara China, Costa Rica, Korea, Slovenia dan Sepanyol. Stadium ini juga merupakan stadium rasmi pasukan Gwangju FC dari Liga Bola Sepak Profesional Korea (Liga K). Destinasi terakhir saya pada hujung minggu ketiga ialah Gwangju Culture & Art Centre. Ia merupakan pusat di mana terletaknya bahan pameran dan persembahan yang mewakili dari zaman purba hingga era moden. Pusat ini merupakan kompleks persembahan seni, termasuklah opera, balet, tarian moden, teater dan opera tradisional Korea.
Pengalaman tiga hujung minggu berturut-turut di kota Gwangju menjadikan saya lebih memahami sedikit sebanyak tempat-tempat menarik di Gwangju di samping lebih mengenali masyarakat setempat di kota tersebut.
Tamat
“Always do your best. What you plant now, you will harvest later; duniawi and ukhrawi” Facebook|Instagram|Google Scholar| ResearchGate|
p-halim@utm.my
Lama tak bersiaran di BH. Alhamdulillah, tulisan saya di BH hari ini mengenai kelebihan PBD andai dihayati dan difahami bersama terutamanya oleh ibu bapa. Artikel penuh boleh dibaca melalui pautan berikut https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/11/1326210/pbd-penilaian-berterusan-cungkil-pelbagai-potensi-murid Artikel ini menggunakan afiliasi baharu iaitu Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (Faculty of Educational Sciences and Technology, UTM). Jom like dan follow page […]
I promise this will be my last post about my PhD students’ convocation, which took place yesterday. Thank you for being part of my career journey, through its ups and downs, and for all the things we learned together.I wish you all the best, both professionally and personally, in this world and the hereafter.With that, […]
Copyright © 2024 · News Child Theme on Genesis Framework · WordPress · Log in