I was invited as a speaker at two international conferences conducted at two cities in Sumatra Indonesia recently. The first conference was the 6th South East Asia Design Research International Conference (6th SEA-DR) which was held in Banda Aceh, Sumatra, Indonesia from 27 to 28 June 2018. The conference was organised by Faculty of Teacher Training and Education, Syiah Kuala University with the theme “Inspiring Students to Learn: Fostering Innovative Teaching and Learning of Mathematics, Science and Technology”. I delivered a talk on how to publish articles in international journals in the field of social sciences. As a former a Research Manager who was responsible in coordinating research and publication aspects among academic staffs and students, I had the opportunity to share insights about various aspects on publication such as types of publication, structures of an article, list of potential international good journals and many more. The second conference I attended was the 2nd International Conference on Mathematics and Mathematics Education 2018 (ICM2E) which was held in Padang, West Sumatra, Indonesia on 30th June 2018. The conference was organised by Faculty of Education, Universitas Negeri Padang. With the theme “The Future Trends of Research in Mathematics and Mathematics Education”, I delivered a keynote entitled “The Trend of Research in Mathematics Education in Malaysia”. The presentation covered specifically current issues on research in mathematics education such as Higher Order Thinking Skills (HOTS) and Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) in Malaysia. It is hoped that my participation in these conferences can further strengthen cooperation between UTM and Indonesian universities.
Knowledge Sharing on Mathematics Education Research and Publication at Two Cities in Sumatra, Indonesia
[Bahagian 3] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan
Sambungan dari [Bahagian 1] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan
dan [Bahagian 2] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan
Expo 2017 Astana
Pada hari-hari berikutnya, saya meluangkan sebahagian besar masa di tapak Expo 2017 Astana sama ada sebagai pengunjung pavilion mahupun sebagai peserta Minggu Pendidikan Malaysia yang berlangsung selama seminggu di Pavilion Malaysia. Sebagai peserta di Pavilion Malaysia, saya dijemput sebagai salah seorang penceramah di salah satu slot yang dijadualkan serta bertanggungjawab mempromosikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu tempat penulis berkhidmat. Selain perkongsian ilmu yang saya sampaikan serta ahli-ahli akademik dari institusi yang lain, banyak aktiviti lain yang dirancang oleh penganjur seperti forum, lawatan ke universiti-universiti tempatan seperti Nazarbayev University dan Eurasian National University, dan business matching. Saya juga berkesempatan mengunjungi pavilion Malaysia dan negara-negara lain. Banyak pengetahuan baru khususnya dalam bidang tenaga alternatif yang saya perolehi hasil dari lawatan ke pavilion-pavilion tersebut. Antaranya, semasa mengunjungi pavilion India, saya mendapat tahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Cochin menjadi lapangan terbang berkuasa solar pertama di dunia dan bergantung sepenuhnya dengan tenaga tersebut. Di pavilion Finland saya mendapat tahu bahawa Finland memiliki udara paling bersih di Eropah dan ia juga merupakan negara yang paling stabil di dunia. Manakala di pavilion Pakistan, saya mengetahui bahawa Dewan Nasional Pakistan merupakan satu-satunya parlimen di dunia yang menggunakan tenaga solar. Manakala stesen janakuasa haba solar pertama di dunia terletak di Mesir. Selain mempamerkan bahan pameran sama ada dalam bentuk maujud ataupun digital, terdapat sebilangan pavilion negara yang turut mengadakan persembahan kebudayaan negara masing-masing untuk menarik perhatian pengunjung untuk melawat pavilion mereka.
Salah satunya adalah pavilion Malaysia yang meriah dengan persembahan tarian tradisional melayu, cina, melayu serta bumiputra Sabah dan Sarawak. Tema Pavilion Malaysia adalah “Powering Green Growth”. Sebagai salah satu daripada negara yang mempunyai kawasan berhutan paling banyak di dunia, pengunjung mengalami pengalaman secara maya mengenai tenaga “hijau”pada masa hadapan di pavilion Malaysia. Selain Malaysia, pavilion-pavilion negara lain yang turut menjadi kegemaran penulis termasuklah pavilion Kazakhstan, Jerman, Finland dan Korea Selatan.
Penghargaan
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA), GreenTech Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UTM atas tajaan dan sokongan yang diberikan sebelum dan sepanjang saya berada di bumi Kazakhstan.
[Bahagian 2] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan
Sambungan dari [Bahagian 1] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan
Lawatan Sekitar Bandar Astana
Saya memulakan lawatan di kota Astana pada hari kedua bermula pada pukul 10 pagi. Selepas bersarapan pagi, kami bergerak dengan berjalan kaki menuju ke Menara Bayterek. Ia merupakan simbol bandar Astana yang mana ketika berada di atas, kita dapat menikmati keindahan panorama bandar Astana. Untuk sampai ke menara tersebut, saya melalui Arkib Nasional Kazakhstan yang berbentuk telur burung. Malah ia turut dikenali sebagai The Eggs. Menara Bayterek merupakan sebuah menara peninjau yang berketinggian 105 meter, dan ianya direka untuk mewakili sebatang pokok poplar yang sedang memegang telur emas. Menara tersebut telah direka oleh Norman Foster, yang dibina pada tahun 1997 sebagai simbol ibu negara yang baru. Ruang bawah menara terletaknya gerai jualan tiket dan ruang pameran, dan di situ terletak juga dua buah lif untuk membawa pengunjung ke ruang tinjau. Ruang peninjau berada pada ketinggian 97 m di atas paras bumi, bersamaan dengan tahun 1997, iaitu tahun Astana menjadi ibu negara. Ruang ini terdiri daripada dua tingkat. Saya menikmati keindahan panorama pemandangan 360 darjah kota Astana di tingkat satu. Tingkat kedua pula memerlukan pengunjung menaiki tangga yang disediakan untuk sampai ke situ. Di situ terletaknya cetakan tangan kanan Nursultan Nazarbayev iaitu Presiden Republik Kazakhstan. Tingkat dua tersebut juga berorientasikan arah istana presiden. Setelah hampir satu jam berada di Menara Bayterek, saya bersama ahli kumpulan yang lain dibawa ke kawasan istana presiden yang turut dikenali sebagai Ak Orda Presidential Palace.
Terpandangkan istana yang tersergam indah berkenaan, saya lantas teringatkan Rumah Putih di Washington dan Istana Buckingham di London. Ak Orda yang siap dibina pada tahun 2004 adalah bangunan setinggi empat tingkat yang besar, yang mana setiap dewan mempunyai fungsi, dan di situlah ketua-ketua dari pelbagai negara di dunia berjalan di koridornya. Tingkat pertama merupakan pejabat kakitangan Pentadbiran Presiden. Tingkat dua Ak Orda Palace merupakan kawasan di mana majlis rasmi antarabangsa diadakan. Tingkat tiga menempatkan Dewan Cupola untuk perundingan dengan ketua-ketua negeri, Dewan Kerajaan, Perpustakaan Presiden dan bilik-bilik lain. Semua bahagian di empat tingkat di Ak Orda Palace mempunyai hiasan yang menakjubkan serta dilengkapi dengan perabot mewah. Terletak di tebing kiri Sungai Ishim, Ak Orda Palace merupakan pejabat presiden dan menempatkan kakitangan Pentadbiran Presiden dan bukannya tempat kediaman presiden. Selain itu, saya juga amat kagum dengan keindahan landskap luaran yang terletak di hadapan istana berkenaan. Keindahan kawasan di hadapan Ak Orda ditonjolkan dengan air pancut dan tanaman pelbagai bunga yang berwarna-warni. Ak Orda juga menjadi tempat tumpuan penduduk tempatan dan pengunjung luar untuk merakamkan detik terbenamnya matahari.
Saya kemudian dibawa ke Dataran Kemerdekaan Kazakhstan merupakan kawasan yang luas dengan kiri dan kanan jalan raya sepanjang dataran itu terletaknya monumen yang megah dan air pancut yang indah. Di situlah terletaknya Muzium Nasional Republik Kazakhstan, Palace of Peace and Reconciliation (Piramid) yang unik, masjid Hazret Sultan (masjid kedua terbesar di Asia Tengah), National University of Arts dan Monumen “Kazakh Eli” yang merupakan sebuah monumen dengan burung mitos Samruk di atas yang melambangkan kebebasan, kemakmuran, kekuatan dan pembangunan. Saya kemudiannya menuju ke Muzium Nasional Kazakhstan. Sekali pandang, langsung tidak terfikir dalam minda saya bahawa ianya merupakan sebuah muzium. Keunikan bangunan tersebut pasti menarik perhatian sesiapa yang terpandangkannya. Keindahan dan senibina yang moden membezakannya dengan bangunan muzium yang biasa kita lihat. Kompleks Muzium Nasional Kazakhstan yang unik ini mempunyai keluasan 74,000 meter persegi dan terdiri daripada tujuh blok dengan sembilan tingkat.
Ruang pameran terdiri daripada 14 bilik dengan keluasan lebih dari 14,000 meter persegi. Muzium Nasional Republik Kazakhstan adalah muzium termuda dan terbesar di Asia Tengah. Ia terdiri daripada dewan-dewan yang berikut iaitu Dewan Astana, Dewan Kemerdekaan Kazakhstan, Dewan Emas, Dewan Sejarah Purba dan Abad Pertengahan, Dewan Sejarah, Dewan Etnografi dan Dewan Seni Moden. Menuju ke dewan pameran, saya disambut oleh replika helang emas raksasa yang seolah-olah sedang melonjak ke atas peta negara Kazakhstan. Saya memulakan pengembaraan di muzium berkenaan dengan memasuki Dewan Etnografi yang mempamerkan koleksi artifak yang berkaitan dengan budaya nomad rakyat Kazakhstan satu masa dahulu. Kami kemudiannya menuju ke Dewan Emas (Golden Hall) yang mempamerkan perhiasan emas dan replika dari keranda dan kubur pengebumian Issyk (di mana ‘Golden Man’ ditemui), replika ‘Golden Man’ dan ‘Golden Man’ kedua dari barat Kazakhstan, serta sebuah replika kuda dari makam Berel. ‘Golden Man’ merupakan simbol kebangsaan Kazakhstan dan ketika kuburnya ditemui pada tahun 1969, pahlawan abad ke-3 atau ke-4 itu masih memakai aksesori emas pada seluruh badannya.
Bersambung….
[Bahagian 1] Catatan Kenangan Manis di Kota Astana, Kazakhstan
Pada bulan Ogos tahun 2017, saya telah mengunjungi Astana, Kazakhstan bagi mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke Expo 2017 Astana (Maklumat lanjut di https://expo2017astana.com/en/ dan https://en.wikipedia.org/wiki/Expo_2017). Saya bersama rakan-rakan dari institusi pendidikan yang lain berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat Astana Air untuk berlepas ke Almaty. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Almaty mengambil masa lebih kurang lapan jam. Dari Almaty, saya kemudiannya menaiki pesawat domestik untuk ke Astana dan perjalanan memakan masa selama satu jam setengah. Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Astana lebih kurang jam 1 pagi. Menariknya tentang Lapangan Terbang Antarabangsa ini, ianya pernah diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). Berbalik dengan Expo 2017 Astana, World Expo ini merupakan pameran antarabangsa berskala besar yang diadakan untuk mempamerkan pencapaian negara-negara dari seluruh dunia. Pameran ini mempunyai pelbagai tema dan diadakan di berbagai tempat di dunia. Tahun 2017 ia diadakan di Astana, Kazakhstan bertemakan Future Energy. Lebih dari 100 negara termasuklah Malaysia dan 10 organisasi gergasi antarabangsa mengambil bahagian dalam ekspo tersebut. Sebaik sahaja Astana diumumkan sebagai tuan rumah pada tahun 2012, seluas 25 hektar tanah dirancang untuk pavilion Expo 2017 oleh kerajaan Kazakhstan. Ia adalah pameran dunia pertama yang diadakan di Asia Tengah dan di ruang geopolitik dan budaya pasca Soviet. Pertama kali saya terpandangkan kawasan ekspo, sukar untuk digambarkan perasaan kagum saya terhadap kawasan tersebut. Kawasan tersebut terdiri daripada bangunan dengan senibina yang unik dan moden, dengan pavilion tuan rumah terletak di tengah-tengah kawasan tersebut. Sebagai negara tuan rumah, Kazakhstan adalah satu-satunya negara dengan pavilion sendiri yang berdiri sendiri, berbentuk sfera gergasi yang terletak di pusat pameran. Berdiameter 80 meter dan mempunyai lapan tingkat, ia bakal menjadi bangunan berbentuk sfera terbesar di dunia.
Ibu Negara Termuda di Dunia
Pada tahun 1991, Kazakhstan menjadi negara republik Soviet yang terakhir diisytiharkan kemerdekaan. Enam tahun kemudian, Astana dijadikan ibu negara dan seterusnya merupakan ibu negara paling muda di dunia. Ia menjadi ibu negara Kazakhstan pada tahun 1997 bagi menggantikan ibu negara sebelum ini iaitu Almaty. Secara geografi Astana terletak di utara Kazakhstan dan dihubungkan dengan pengangkutan darat dan udara. Astana, yang bermaksud “ibu negara” ini menerima perubahan nama rasmi pada Mei 1998 dari Aqmola, yang bermaksud “makam putih.” Secara geografinya, keputusan ini menunjukkan bahawa ibu negara Kazakhstan berada di tengah-tengah negara tersebut, berbanding dengan bandar terbesar di Kazakhstan iaitu Almaty. Antara faktor kerajaan Kazakhstan memutuskan untuk memindahkan ibu kota ke Astana dari Almaty yang terletak di tenggara negara tersebut adalah terdedahnya kawasan Almaty dengan ancaman gempa bumi yang kerap berlaku di situ dan kedudukannya yang terlalu hampir dengan sempadan negara China. Presiden Kazakhstan juga berharap langkah itu akan meningkatkan ekonomi di wilayah utara negara tersebut di samping dapat mengagihkan kekayaan negara secara sama rata ke seluruh pelusuk negara. Sejak ia menjadi ibukota negara, bilangan penduduk Astana meningkat dari tahun ke tahun. Bancian pada tahun 2017 menunjukkan bilangan penduduk Astana melebihi angka satu juta sekaligus menjadikannya bandar kedua terbesar di Kazakhstan, di belakang Almaty. Selain menjadi ibu negara termuda di dunia, Astana turut merupakan ibu kota kedua paling sejuk kedua di dunia selepas Ulaanbaatar di Mongolia yang mana kedudukan ini dahulunya dipegang oleh ibu kota Kanada, Ottawa sebelum Astana menjadi ibu negara.
Bersambung….
10 Perkara Menarik Sepanjang Saya Menyertai Persidangan di Singapura
Picture source: http://math.nie.edu.sg/pme41/
Saya baru sahaja menghadiri 41st Annual Meeting of the International Group for the Psychology of Mathematics Education (PME 41) di Singapura yang mengumpulkan ahli akademik dan penyelidik dalam bidang pendidikan matematik dari seluruh dunia. Persidangan ini menjadi platform kepada ahli akademik untuk berkongsi hasil penyelidikan dan pandangan khususnya dalam bidang pendidikan matematik.
Berikut saya kongsikan beberapa pengalaman menarik sepanjang saya menghadiri persidangan di Singapura.
Early Researcher Day (ERD)
ERD diadakan sehari sebelum persidangan berlangsung. Tujuan ERD adalah untuk menyediakan penyelidik yang baru memulakan kerjaya dengan peluang untuk mengembangkan kemahiran penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang, mewujudkan hubungan baru, membina rangkaian antara mereka untuk persidangan PME pada masa akan datang, dan bertemu dan bekerjasama dengan pakar dan ahli akademik yang prominent dari seluruh dunia khususnya dalam bidang Pendidikan Matematik.
Salah satu program ERD yang saya sertai
gambar: koleksi peribadi
Excursions
Excursions ataupun lawatan merupakan salah satu program yang dimasukkan dalam tentatif persidangan tersebut. Sebelum persidangan bermula, peserta telah diemailkan senarai pakej lawatan yang ada untuk dibuat pilihan. Tidak dapat dinafikan, Singapura mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi. Justeru program ini antara aktiviti yang dinanti-nantikan oleh setiap peserta.
Makan Tengahari Dalam Bentuk Bento Box
Makan tengahari disediakan dalam bentuk Box. Mudah dan efisyen sebenarnya. Tiada isu kekurangan mahupun bekalan makanan yang berlebihan. Terdapat tiga pilihan makanan yang disediakan iaitu Halal, Vegetarian dan Kosher.
gambar: koleksi peribadi
Tiada Sijil Disediakan
Satu lagi perkara menarik mengenai persidangan ini ialah, tiada sijil disediakan. Peserta-peserta persidangan ini yang kebanyakannya dari luar negara tidak mengharapkan diberikan sijil. Malah tiada siapa dari mereka yang meminta sijil penyertaan. Tujuan utama mereka menyertai persidangan tersebut adalah untuk mendapatkan ilmu, berkongsi ilmu, memberikan pandangan dan menyuarakan persoalan. Mereka dahagakan ilmu. Boleh saya katakan semua bilik sesi selari penuh dihadiri oleh peserta walaupun terdapat 16 bilik sesi selari yang diadakan serentak.
gambar: koleksi peribadi
Pengumuman Yang Sangat Detail
Pengumuman sentiasa diberikan dari semasa ke semasa. Ini termasuklah perubahan jadual, perubahan tempat, kehilangan barang dan sebagainya. Kadang-kadang terlalu banyak informasi yang diberikan dalam satu-satu masa. Jadi tidak hairanlah ramai peserta yang mengambil gambar untuk dibaca semula sekiranya ada maklumat yang tertinggal.
Pengumuman di papan kenyataan
gambar: koleksi peribadi
Pengumuman di dalam dewan
gambar: koleksi peribadi
Bekas Air
Pihak penganjur awal-awal sudah memaklumkan bahawa tiada air akan disediakan. Peserta dibekalkan dengan bekas air semasa pendaftaran dan terdapat beberapa water cooler di kaki-kaki lima. Jadi bekas yang dibekalkan dapat digunakan untuk mengisi air water cooler tersebut. Pada pandangan saya, langkah ini sangat efisyen dan menjimatkan kos.
First Timer’ Meeting
Persidangan ini turut menyediakan sesi kepada peserta-peserta yang pertama kali menyertai persidangan tersebut. Tujuannya untuk berkenalan di samping meningkatkan jaringan dalam kalangan peserta dari pelbagai negara.
Belanja selfie satu
gambar: koleksi peribadi
Respons Kepada Keynote Address
Sepanjang saya menyertai mana-mana persidangan sebelum ini, belum pernah saya menyaksikan adanya slot respons oleh seseorang yang sama levelnya dengan keynote speaker. Inilah kali pertama saya menyertai persidangan yang menyelitkan slot respons kepada keynote speaker. Respon ini bukanlah sesi soal jawab daripada peserta, tetapi respons oleh tokoh yang setaraf dengan keynote speaker.
gambar: koleksi peribadi
On Time
Rakyat Singapura sememangnya terkenal dengan budaya ketepatan masa dan mereka mengharapkan perkara yang sama dengan orang lain. Budaya tersebut dipraktikkan dalam persidangan ini. Semuanya dijalankan secara on-time sama ada masa bermula, ataupun tamat. Disebabkan itu, perjalanan persidangan tersebut berjalan dengan sangat lancar.
Menghargai Kajian
Ahli-ahli akademik dari luar negara sangat menghargai kajian-kajian yang dibentangkan di sesi selari. Tidak kiralah sama ada kajian tersebut hanya melibatkan sampel yang kecil, statistik yang ringkas mahupun kajian yang hanya berskala kecil. Komen-komen dan pandangan yang diberikan sangat positif dan membina. Tiada menyalahkan pembentang mahupun tidak mencari kesilapan pembentang. Sepanjang pemerhatian saya, pandangan yang diberikan lebih terarah kepada kandungan kajian yang dikongsikan, dan mereka cuba bandingkan sekiranya kajian tersebut dijalankan dalam konteks negara mereka. Saya turut mengambil kesempatan bertanya soalan serta berkongsi pandangan dalam setiap sesi selari yang saya sertai.
Bersama peserta dari Malaysia, Dr. Chew (USM) dan Dr. Leong (UM)
Tag Peserta
Jalan-jalan di Nanyang Technological University (NTU). No.11 university in the world, and No.1 university in Asia.
Meneroka Keindahan Bumi Seoul
Menerima perkhabaran gembira sebagai salah seorang pemenang anugerah di Korea Inventor Award Festival (KIAF) 2016 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini menjadi batu loncatan kepada penulis untuk menjejakkan kaki buat pertama kali di negara yang terkenal dengan K-Pop tersebut. Tanpa berfikir panjang, penulis mula menempah tiket penerbangan ke Seoul dari Kuala Lumpur, dan mengambil keputusan untuk berlepas balik ke tanahair dari Busan. Penulis membuat beberapa persiapan awal memandangkan penulis bakal ke sana berseorangan. Catatan travelog di internet dan buku-buku berbentuk travelog dibaca bagi mendapatkan maklumat dan gambaran awal mengenai tempat-tempat yang wajib dilawati apabila berada di kedua-dua bandaraya tersebut. Tentatif perjalanan mula dirancang. Malah penulis turut menghubungi Korea Tourism Organisastion di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat tambahan. Penulis berkesempatan menyertai satu soal selidik yang disediakan oleh organisasi tersebut untuk mendapatkan kad T-Money, peta laluan keretapi bawah tanah (subway) bandaraya Seoul dan pamplet tempat-tempat menarik serta daerah-daerah yang terdapat di Korea Selatan. Kad T-Money berfungsi seperti kad Touch N Go yang digunakan di Malaysia. Ia digunakan untuk memudahkan pengguna menggunakan pengangkutan awam di Seoul dan bandar-bandar utama di Korea. Ini termasuklah bas, subway dan teksi. Menariknya, dengan kad T-Money, pengguna pengangkutan awam tersebut dikenakan bayaran yang lebih murah berbanding harga tiket yang dibeli di kaunter. Berdasarkan pembacaan, penulis turut menempah hotel penginapan yang berdekatan dengan stesen-stesen subway bagi memudahkan pergerakan penulis. Penulis sengaja menempah penerbangan malam dari Kuala Lumpur untuk tiba di bumi Korea pada waktu siang. Tambahan pula, penulis dapat menjelajah tempat-tempat menarik di Seoul seawal hari pertama selepas menyimpan beg di hotel. Tibalah hari yang dinanti-nantikan. Segala pengetahuan dan maklumat bakal diterjemahkan kepada praktikal. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, penulis berasa kagum dengan kebersihan lapangan terbang tersebut. Tidak hairanlah mengapa lapangan terbang tersebut diiktiraf sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia. Malah terdapat panggung wayang di lapangan terbang ini. Selepas mengambil bagasi, penulis terus menuju ke salah sebuah kaunter untuk mengambil poket WIFI yang telah disewa dan ditempah dari Malaysia. Berdasarkan pengalaman penulis yang berkunjung ke Tokyo pada penghujung tahun 2015, poket WIFI yang boleh dibawa ke mana-mana ini sangat membantu penulis berkenaan aspek navigasi ke tempat-tempat menarik. Tambahan pula, aplikasi yang dimuat turun ke telefon pintar memerlukan internet untuk berfungsi. Penulis kemudian ke aras bawah lapangan terbang untuk ke stesen subway bagi menaiki keretapi menuju ke tempat penginapan. Kad T-Money yang dibawa dari tanahair kemudian diisi dengan nilai yang mencukupi menggunakan mesin yang disediakan. Tidak susah untuk menggunakan mesin tersebut berikutan pilihan arahan dalam bahasa inggeris yang disediakan. Memandangkan penulis tiba awal di hotel, bagasi yang dibawa ditinggalkan di hotel sebelum penulis menuju ke destinasi yang pertama iaitu tidak lain dan tidak bukan, Namdaemun Market. Namdaemun Market ini merupakan pasar yang terkenal dengan jualan cenderamata bukan sahaja kepada pelancong asing malah penduduk tempatan. Penulis hampir sesat mengelilingi pasar tersebut dek kesesakan pengunjung di kedai-kedai yang terdapat di pelbagai jalan dan simpang. Penulis mengambil kesempatan membeli keychain, fridge magnet dan poskad sebagai tanda kenangan apabila pulang ke tanahair nanti. Destinasi seterusnya ialah Lotte World Tower. Menara ini merupakan bangunan yang tertinggi di Korea Selatan. Tujuan utama penulis ke sini adalah untuk berkunjung ke cafe Hard Rock yang menjadi tempat wajib yang penulis kunjungi apabila berada di luar negara. Cafe tersebut terletak di Plaza Lotte World iaitu pusat membeli belah yang serba moden. Lotte merupakan syarikat perniagaan multinasional yang kelapan terbesar di Korea Selatan dan beribu pejabat di Korea Selatan dan Jepun. Syarikat ini menguruskan pelbagai industri pembuatan gula-gula, minuman, hotel, makanan segera, peruncitan, perkhidmatan kewangan, bahan kimia, elektronik, IT, pembinaan, penerbitan dan hiburan. Justeru tidak hairanlah kalau kita ke Korea Selatan, hotel, restoran makanan segera dan pusat membeli belah Lotte mudah didapati di mana-mana. Penulis turut membeli beberapa alat kosmetik di Face Shop yang ditempah oleh sahabat-sahabat kaum hawa di Malaysia di plaza tersebut. Menurut mereka, harga yang ditawarkan di Korea Selatan jauh lebih murah berbanding harga di Malaysia untuk produk yang sama. Rakyat Korea Selatan amat mementingkan penampilan. Justeru tidak hairanlah mengapa Korea terkenal sebagai salah sebuah negara pengeksport utama barangan kosmetik di dunia. Penulis kemudiannya pulang ke hotel.
Selepas mengharungi hari pertama di Kota Seoul, pada pandangan penulis, untuk memudahkan pergerakan kita di kota metropolitan Seoul menggunakan keretapi bawah tanah, kita perlu membuat sedikit ulangkaji mengenai destinasi yang mahu kita tujui. Kita perlu tahu bagaimana tempat-tempat tersebut boleh diakses menggunakan subway dan apakah stesen subway yang paling dekat dengan tempat tersebut. Kemudian di kita perlu tahu apakah nombor jalan keluar dari stesen untuk menghubungkan stesen tersebut dengan tempat yang ingin kita kunjungi. Contohnya untuk ke Plaza Lotte, pintu keluar ke sana dari stesen subway Jamsil ialah pintu 4. Biasanya terdapat papan tanda yang menunjukkan nombor pintu keluar ke tempat-tempat yang terkenal dan selalu dikunjungi oleh pelancong, dan kita harus peka dengan pintu-pintu keluar tersebut. Terdapat 9 laluan dalam sistem subway di Seoul dengan jumlah jarak 331.5 km menghubungkan sebanyak 311 buah stesen menjadikannya sistem laluan keretapi bawah tanah keempat paling banyak stesen di dunia selepas New York, Shang Hai dan Beijing. Hari kedua di ibu negara Seoul dimulakan dengan melawat istana yang terkenal di sana iaitu istana Gyeongbokgung. Di Seoul terdapat banyak istana yang dipelihara bagi menarik kedatangan pelancong. Bagaimanapun, Istana Gyeongbokgung merupakan istana terbesar dan paling kerap dikunjungi berbanding istana-istana yang lain. Istana ini telah dibina pada tahun 1395 oleh Dinasti Joseon. Nama Gyeongbokgung membawa maksud dinasti baru akan sangat diberkati dan makmur. Hampir dua jam penulis meluangkan masa berjalan kaki mengelilingi kawasan istana yang berkeluasan 410,000 meter persegi. Istana Gyeongbokgung turut menempatkan Muzium Kebangsaan Istana Korea, namun disebabkan kekangan masa, penulis tidak berkesempatan memasuki muzium tersebut. Kemudian penulis menaiki Line 6 untuk ke Stadium Piala Dunia Seoul. Stadium ini amat mudah dituju menggunakan Line tersebut kerana apabila keluar sahaja dari pintu stesen subway tersebut, terdapat eskalator untuk ke stadium berkenaan. Pada hari tersebut, stadium berkenaan dipenuhi oleh rakyat jelata yang barangkali mahu menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan tempatan iaitu Seoul Football Club yang beraksi di stadium itu. Walaupun Korea Selatan telah lama menganjurkan Piala Dunia iaitu pada tahun 2002, penulis mengambil kesempatan untuk melihat sendiri stadium yang pernah mencatat sejarah tersebut. Selain berfungsi sebagai tempat sukan bola sepak dan acara sukan lain dilangsungkan, ruang legar stadium semasa hari tersebut menjadi tempat program-program kesukanan lain dijalankan. Malah penulis juga kagum apabila aras bawah stadium menempatkan sebuah pusat membeli belah dan terdapat panggung wayang di situ. Jadi tidak hairanlah stadium tersebut sentiasa dibanjiri oleh pengunjung.
Setelah hampir satu jam meluangkan masa di situ, penulis menuju ke Itaewon bagi menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar. Itaewon merupakan sebuah daerah yang menempatkan masjid yang terbesar di Korea Selatan iaitu Seoul Central Mosque. Pengunjung dinasihatkan untuk membuat sedikit pengetahuan untuk menuju ke masjid tersebut. Ini kerana berdasarkan pengalaman penulis, terdapat beberapa simpang yang sedikit mengelirukan. Tambahan pula, tiada papan tanda untuk menuju ke situ. Penulis berkesempatan menemui rakyat Malaysia yang kebetulan mahu menunaikan solat di situ. Masjid Itaewon ini sememangnya menjadi destinasi wajib bagi pengunjung beragama islam khususnya dari Malaysia. Di samping menunaikan solat di masjid tersebut, restoran-restoran dan kedai-kedai runcit makanan halal amat mudah didapati di situ. Memandangkan perut yang sudah kelaparan, penulis mencuba nasi dan ayam tandoori di salah sebuah restoran di situ. Setelah kekenyangan, penulis meneruskan perjalanan ke Seoul Tower. Menara ini menjadi ikon simbolik bandaraya Seoul. Percaya atau tidak, dari Stesen Myeong-dong, penulis berjalan kaki menuju ke puncak bukit di mana terletaknya menara tersebut. Kita boleh melihat panorama bandaraya Seoul apabila berada di atas bukit tersebut. Bagaimanapun, disebabkan Seoul kini sedang berada di permulaan musim sejuk, pemandangannya tidak begitu menarik dan kelam. Justeru penulis mengambil keputusan untuk hanya berada di kawasan perkarangan menara dan tidak membeli tiket untuk naik ke ruang meninjau di atas menara tersebut. Akibat keletihan mendaki bukit yang jaraknya hampir 1.5 km, penulis menaiki bas awam untuk turun dari bukit tersebut. Bas menurunkan penulis di stesyen Myeong-dong sebelum penulis menaiki subway Line 4, 6 dan 5 untuk balik ke hotel penginapan. Selepas menunaikan solat maghrib dan isyak, penulis sempat menaiki subway Line 5 untuk ke Yeouinaru yang terletak berhampiran hotel penginapan penulis. Di Yeouinaru, penulis menikmati keindahan kota Seoul pada waktu malam di tebing sungai Han yang merupakan antara sungai terpenting di Seoul. Penulis memulakan hari ketiga dengan bersiar-siar di Yeouido Park; sebuah taman yang terletak di tengah-tengah kotaraya Seoul. Memandangkan ketika ini Seoul sedang mengalami musim sejuk, tidak ramai penduduk tempatan yang beriadah di situ. Pokok-pokok bunga juga mulai kering dan daun-daun sudah bertaburan. Taman ini dikatakan terkenal dengan penduduk tempatan yang menunggang basikal dan skateboard di situ. Penulis amat kagum dengan kebersihan dan keindahan taman tersebut yang dijaga rapi oleh kerajaan tempatan. Terdapat kolam, wakaf dan landskap yang memukau. Di situ penulis berkesempatan merasai odeng iaitu kepingan fish cake yang direndam dalam sup kosong yang sedap dinikmati ketika musim sejuk. Usai bersiar-siar di Taman Yeouido, penulis bergerak menuju ke Hongik University. Penulis sebenarnya bukanlah penggemar drama Korea. Satu-satunya drama Korea yang berjaya ditonton penulis hingga ke episode terakhir ialah The 1st Coffee Prince lakonan aktor Gong Yoo dan aktres Yoon Eun-hye mengenai sepasang kekasih yang membuka kedai kopi. Disebabkan minat yang mendalam terhadap kopi dan drama berkenaan, penulis mengambil kesempatan ke kawasan Hongik University untuk mencuba kopi di kedai kopi yang menjadi lokasi penggambaran drama tersebut. Berdasarkan pembacaan penulis, kedai tersebut dikatakan masih beroperasi. Bagaimanapun, penulis agak kecewa kerana setibanya di situ, kedai tersebut sudah ditutup tetapi bangunan kedai tersebut dipelihara sebagai kawasan tarikan pelancong. Seoul sememangnya terkenal dengan kedai-kedai kopi yang mudah didapati di mana-mana. Malah kedai kopi francais terkenal Starbucks boleh didapati di mana-mana. Seoul dikatakan mempunyai bilangan kedai kopi tersebut paling tinggi berbanding dengan kotaraya-kotaraya lain du dunia. Selain jenama antarabangsa seperti Coffee Beans, Angel-in-us dan Starbuck, kedai kopi jenama tempatan turut memenuhi lot-lot bangunan di sekitar Seoul. Penulis kemudian menuju ke stesen Myeong-dong untuk berjalan kaki ke stesen kereta kabel Namsan. Dari situ penulis menaiki kereta kabel untuk ke Bukit Namsan. Hanya satu kereta kabel yang bergerak pada satu-satu masa untuk menuju ke Bukit tersebut dan bergerak turun. Pengunjung disajikan dengan panorama kotaraya metropolitan Seoul sepanjang berada dalam menaiki kereta kabel dalam perjalanan naik dan turun. Sebelum pulang ke hotel untuk bersiap sedia untuk majlis anugerah di Korea Inventor Award Festival, penulis sempat ke Myeong-dong. Kawasan ini merupakan syurga membeli belah barangan kosmetik. Selain kosmetik, butik-butik fesyen tempatan dan antarabangsa, kasut, aksesori telefon dan kedai-kedai makanan juga boleh didapati di sepanjang kawasan ini. Myeong-dong dikatakan tersenarai sebagai jalan membeli-belah kesembilan paling mahal di dunia. Oleh kerana Myeong-dong merupakan salah satu destinasi utama yang wajib dikunjungi pengunjung, ia menjadi salah satu tempat berhentinya bas Seoul City yang menjadi pengangkutan rasmi membawa pelancong mengelilingi kotaraya Seoul. Disebabkan deretan kedai di kawasan ini sesak dengan pengunjung, penulis hanya sempat singgah di beberapa kedai dan membeli sedikit barangan seperti facial mask dan krim pembersih muka. Penulis kemudiannya menuju ke hotel penginapan untuk bersiap menghadiri majlis Korea Invention Award Festival (KIAF) 2016.
Menikmati Keindahan Kota Pelabuhan Busan
Penulis sengaja mengambil KTX dari Seoul untuk ke Busan. Berdasarkan pembacaan, sebenarnya terdapat beberapa cara untuk ke Busan. Pertamanya, melalui pengangkutan udara menggunakan syarikat penerbangan domestik seperti Air Busan, Asiana Airline dan sebagainya. Pilihan kedua ialah dengan menaiki bas ekspres yang mengambil masa selama 4 jam. Dan pilihan ketiga ialah dengan menaiki keretapi iaitu sama ada menggunakan KTX atau Mugunghwa. KTX (Gyeongbu Line) yang dinaiki penulis merupakan keretapi laju. Ia bergerak dari Seoul dan berhenti di stesen Gwangmyeong, Cheonan, Daejeon, East Daegu, Milyang dan Gupo sebelum sampai ke stesen Busan. Perjalanan mengambil masa dalam dua jam setengah, berbanding Mugunghwa yang berhenti di banyak stesen dan mengambil masa selama lima jam setengah untuk tiba di Busan. Disebabkan risiko untuk kehabisan tiket KTX sekiranya dibeli di kaunter amat tinggi, penulis awal-awal lagi telah membuat tempahan secara atas talian di Malaysia. Borang pengesahan tempahan dicetak dan ditukar kepada tiket di kaunter setibanya di Stesen Seoul. Beberapa maklumat penting yang tertera pada tiket KTX perlu difahami supaya kita tidak tersesat dan seterusnya ketinggalan keretapi. Bagaimanapun pekerja-pekerja yang berada di situ sangat membantu meskipun menghadapi kesukaran berbahasa inggeris. Penulis tiba di Busan lebih kurang pada pukul 12.30 tengahari setelah bergerak dari stesen Seoul pada pukul 10.00 pagi. Busan merupakan bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul dan terletak di kawasan paling hujung tenggara semenanjung Korea. Kota Metropolitan Busan, yang juga dikenali sebagai Pusan merupakan kota pelabuhan dengan jumlah populasi penduduk sekitar 3.6 juta penduduk. Busan pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 2002 dan juga sebagai salah satu tuan rumah untuk Piala Dunia pada tahun yang sama. Setibanya di stesen Busan, penulis menuju ke stesen subway yang terletak sedikit keluar dari stesen Busan. Sepertimana di Seoul, penulis hanya meletakkan bagasi di hotel berikutan setibanya penulis di situ, jam belum menunjukkan pukul dua. Rakyat Korea Selatan sememangnya terkenal dengan sikapnya yang menepati waktu. Penulis mula menuju ke stesen subway yang terletak berhampiran hotel untuk ke destinasi yang pertama iaitu Pantai Haeundae yang merupakan kawasan pantai terbesar dan antara yang tercantik di Korea Selatan. Kawasan ini amat terkenal dalam kalangan rakyat Korea Selatan dan dikatakan pada musim panas, hampir separuh rakyat Korea akan pergi ke Busan untuk bermandi manda di pantai-pantai yang terdapat di situ. Tujuan utama penulis ke pantai tersebut ialah untuk ke café Hard Rock yang sememangnya menjadi destinasi wajib penulis apabila berkunjung ke luar negara. Setibanya penulis di stesen Haeundae dengan berpandukan aplikasi penunjuk arah yang dimuatturun di telefon pintar dan dengan bantuan internet menggunakan poket WIFI yang disewa, penulis berjalan kaki dalam 800 meter sebelum tiba di café tersebut. Setelah membeli t-shirt, penulis menuju ke kawasan pantai yang terletak tidak jauh dari café tersebut. Disebabkan ketika ini Korea Selatan sedang mengalami permulaan musim sejuk, tidak ramai pengunjung yang berada di kawasan pantai. Sambil minum kopi panas, penulis berjalan menikmati keindahan pantai tersebut.
Hampir setengah jam berada di pantai berkenaan, penulis kemudiannya menuju ke Akuarium Busan yang juga terletak di kawasan berkenaan. Akuarium Busan yang juga dikenali sebagai Sea Life Busan Aquarium merupakan akuarium terbesar di Korea Selatan. Ia menempatkan kira-kira 250 spesies dan hampir 35,000 haiwan marin untuk dipamerkan kepada pengunjung. Penulis amat kagum dengan keindahan dan kecanggihan akuarium tersebut yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri. Antara pameran haiwan marin yang menarik perhatian penulis ialah penguin yang mana itulah kali pertama penulis melihat dengan mata sendiri, memerang, ikan piranha dan banyak lagi. Setelah hampir satu jam berada di akuarium bawah tanah tersebut, penulis bergerak balik menuju ke stesen subway. Dalam perjalanan tersebut, sempat juga penulis singgah di pasar Haeundae untuk meneroka keunikan yang terdapat di pasar tersebut. Sesuai dengan kedudukan Busan sebagai kota pelabuhan, hasil tangkapan laut segar seperti ketam, udang, ikan dan sebagainya dijual di pasar-pasar tersebut. Malah yang menjadi perhatian penulis ialah hampir setiap kedai menjual belut segar yang masih hidup di akuarium. Tidak hairanlah mengapa kedai-kedai makanan sushi pasti menjadikan belut sebagai salah satu hidangan pada sushi tersebut. Jam ketika itu menunjukkan pukul 5 petang dan hari semakin gelap kerana waktu sianag adalah lebih pendek berbanding malam pada musim sejuk. Walaupun gelap, penduduk Busan masih aktif bergerak sama ada baru balik bekerja, membeli belah mahupun berhibur. Penulis kemudiannya menaiki subway untuk ke stesen Jagalchi melalui Line 1 untuk menuju ke Pasar Gukje. Kalau di Seoul, pasar Namdaemun terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara dengan kedai-kedai menjual cenderamata, di Busan, pasar Gukje merupakan tempat tumpuan pelancong. Berdasarkan pemerhatian penulis, barangan yang dijual di kedua-dua pasar adalah lebih kurang sama. Penulis berkesempatan membeli sedikit cenderahati seperti keychain, fridge magnet, t-shirt dan poskad untuk dibawa pulang ke tanahair. Disebabkan pasar ini boleh didapati melalui banyak simpang dan jalan, penulis hampir sesat untuk menuju balik ke stesen Jagalchi untuk kembali ke hotel penginapan. Hari kedua penulis di Busan dimulakan dengan lawatan ke Perkampungan Budaya Gamcheon (Gamcheon Culture Village). Perkampungan ini turut dikenali sebagai Santorini Korea dan juga Korea Machu Pichu. Tidak kurang juga yang menggelarnya sebagai perkampungan lego dek bentuk rumah-rumah di situ seperti kotak yang berwarna-warni. Kawasan ini bermula sebagai tempat perlindungan pelarian perang Korea pada awal tahun 50-an. Lama-kelamaan, pelarian kemudian tinggal dan menetap di kawasan ini. Populasi penduduk kemudian berkembang sehingga lebih 4000 orang dan terdapat lebih kurang 800 buah rumah di perkampungan tersebut. Berpandukan maklumat daripada pamplet yang diperolehi daripada pejabat Korea Tourism Organization di Kuala Lumpur, penulis tidak menghadapi kesukaran untuk menuju ke kawasan perkampungan yang terletak di atas dan lereng bukit.
Selepas keluar dari stesen Toseong, penulis menaiki bas untuk ke atas bukit di mana terletaknya perkampungan tersebut. Penulis sudah terpukau dengan keindahan perkampungan seawal turun dari bas di perkarangan kampung tersebut. Penulis membeli peta jalan yang dijual di situ untuk memandu perjalanan penulis meneroka keindahan kampung tersebut. Selain pemandangan indah perkampungan berwarna-warni di lereng-lereng bukit, seni lukis dan mural yang terdapat di dinding-dinding tepi laluan amat memukau dan menarik perhatian pengunjung. Kedai-kedai kopi, makanan ringan dan cenderahati yang barangkali dijual oleh penduduk kampung tersebut turut boleh didapati di laluan perkampungan Gamcheon. Setelah puas bergambar dan menikmati panorama kawasan tersebut, penulis kemudiannya mengambil bas yang sama menuruni bukit untuk menuju ke stesen Toseong. Destinasi kedua penulis ialah mercu ikonik kotaraya Busan iaitu Menara Busan. Untuk ke Menara Busan, penulis menaiki Line 1 dan berhenti di stesen Nampo dan keluar melalui pintu 1. Menara Busan merupakan simbol bandaraya Busan yang berdiri 69 meter dari paras laut dan berketinggian 120 meter dan dibina pada tahun 1973. Walaupun menara ini tidak berfungsi sebagai menara televisyen ataupun radio sebagaimana menara-menara yang lain, ianya merupakan tempat terbaik untuk menikmati keindahan kotaraya Busan. Penulis menghabiskan masa lebih kurang setengah jam mengelilingi ruang tinjau di atas menara untuk melihat keindahan Busan. Betullah kata orang, kota-kota pelabuhan sememangnya indah, apatah lagi dengan lautan yang membiru dan pantai yang memutih melengkapkan lagi kesempurnaan kota-kota tersebut termasuklah Busan. Kelihatan juga kapal-kapal yang berlabuh di perairan pelabuhan Busan menjadikan kotaraya tersebut begitu dinamik. Dalam perjalanan menuju semula ke stesen Nampo, penulis sempat berjalan di sekitar Taman Yongdusan yang ditanam dengan 70 spesis pokok. Selain menempatkan Menara Busan, taman ini turut terdapatnya patung Laksamana Yi Sun-sin yang merupakan pahlawan nasional Korea semasa era peperangan dengan Jepun pada zaman Dinasti Joseon. Selepas meronda kawasan taman tersebut, perut mula kelaparan. Penulis kemudiannya menuju ke Dusil di mana terletaknya Masjid Al-Fatah yang merupakan satu-satunya masjid yang terletak di Busan. Masjid ni merupakan masjid yang kedua dibina di Korea Selatan dan didirikan pada tahun 1980. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan muslim di sekitar Busan, malah muslim dari Daegu, Ulsan, Gyeongsangnam-do dan Gyeongsangbuk-do turut berkunjung ke masjid tersebut. Sebelum menunaikan solat di situ, penulis mengisi perut di sebuah kedai makanan Turki iaitu Cappadocia Turkish Kebab House yang terletak tidak jauh dari masjid Al-Falah. Penulis balik semula ke stesen Dusin untuk menaiki Line 1 sebelum turun di stesen Pusan National University. Sebagai ahli akademik yang berkhidmat di universiti, lawatan ke Busan ini rasanya tidak lengkap sekiranya tidak singgah di mana-mana universiti di Korea Selatan. Apatah lagi, penulis belum pernah menjejakkan kaki di universiti di situ. Justeru, penulis mengambil keputusan untuk merasai sendiri pengalaman berada di Pusan National University. Universiti tersebut merupakan salah satu universiti terbaik di Korea Selatan. Kawasan universiti tersebut sangat luas dan penulis meluangkan lebih kurang satu jam menikmati suasana kampus berkenaan. Menariknya, sebuah pusat membeli belah di pintu masuk universiti tersebut di samping kawasan membeli-belah yang terletak di hadapan kampus universiti merupakan salah sebuah kawasan membeli-belah terbesar di Busan selain Seomyeon dan Gwangbokdong. Penulis kemudiannya menaiki Line 1, Line 3 dan akhirnya Line 2 untuk ke stesen Gwangan. Dari situ, penulis berjalan kaki menuju ke Gwangalli beach yang merupakan salah satu kawasan pantai yang terkenal di Busan. Sekitar kawasan pantai ini adalah lorong-lorong yang menempatkan restoran, kedai-kedai kopi dan kelab malam. Penulis sempat membeli kopi panas untuk diminum sambil berjalan di atas pasir untuk menikmati keindahan pantai berkenaan. Selain menjadi tempat peranginan dan hiburan, kawasan ini juga terkenal dalam kalangan pengunjung yang ingin melihat Gwangandaegyo Bridge atau lebih dikenali sebagai Jambatan Diamond. Jambatan dengan panjang 7.4 km ini menghubungkan Haeundae-gu dengan Suyeong-gu dan merupakan jambatan terbesar di atas lautan di Korea. Jambatan ini dilengkapi dengan cahaya lampu-lampu LED yang mempamerkan cahaya yang menakjubkan, dan ianya dikatakan berubah setiap hari dan setiap musim. Dalam perjalanan pulang ke hotel, penulis sempat singgah sekali lagi di Gukye Market untuk membeli-belah buat kali terakhir di kota Busan sebelum pulang ke tanahair keesokan pagi.
13 Pengalaman Menarik Sepanjang Saya Berada di Dubai dan Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE)
Ketika saya menghasilkan tulisan ini, saya sedang berada dalam penerbangan balik dari Dubai ke Kuala Lumpur. Ya, saya merupakan seorang insan yang memang tidak boleh melelapkan mata dalam kapal terbang hatta penat macam mana sekalipun. Justeru saya mengambil kesempatan untuk mencatatkan sedikit pengalaman untuk dikongsikan bersama. Boleh saya katakan tujuan saya ke UAE untuk membentangkan kertas kerja persidangan kali sangat berjaya, apatah lagi pembentangan saya menerima maklumbalas yang positif daripada pengerusi serta peserta-peserta yang lain. Orang kata sambil menyelam minum air. Saya meluangkan 6 hari termasuk 2 hari persidangan di negara UAE yang juga dikenali sebagai Emirates. Berikut dikongsikan 13 fakta menarik sepanjang saya berada di sana. Suka saya ingatkan, pandangan ini adalah berdasarkan perspektif saya dan ianya mungkin tidak sama dengan pandangan orang lain. Selamat membaca!
13 pengalaman menarik sepanjang saya berada di Dubai dan Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE)
- Waktu di Dubai adalah 4 jam lewat berbanding di Malaysia. Saya berlepas pada pukul 10.30 pagi dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan terus ke Dubai yang mengambil masa lebih kurang 7 jam. Saya tiba di Dubai pada pukul 1.30 petang waktu Dubai sedangkan waktu sebenar di Kuala Lumpur ialah 5.30 petang. Pada pukul 5.30 petang waktu Dubai, saya sudah mengantuk walaupun ketika itu hari masih siang. Inilah yang dinamakan jetlag. Jadi, usai menunaikan solat jamak qasar isyak ke maghrib kira-kira pukul 6.20 petang, apa lagi, tutup langsir, tutup lampu, pasang aircond dan zzzzzzzzz. Rasanya adalah dalam 10 jam saya tidur dari malam, eh silap, dari petang ke pagi keesokan harinya.
- Sejujurnya hari saya di Dubai bermula pada hari kedua. Destinasi pertama tidak lain dan tidak bukan ialah Burj Khalifa iaitu struktur binaan manusia tertinggi di dunia. Untuk ke sana, saya menaiki metro. Lebih kurang macam sistem MRT dan monorel di Kuala Lumpur. Hujung minggu di UAE adalah hari Jumaat dan Sabtu. Kebetulan hari tersebut ialah hari Sabtu. Jadi apa lagi, bersesak-sesaklah saya menaiki metro tersebut. Sebelum ini saya pernah menaiki subway di Tokyo dan Seoul dan saya okay. Tapi di Dubai, walaupun sistem metronya tidak sekompleks sistem subway di Tokyo mahupun Seoul, entah kenapa setiap kali saya menaiki metro saya sakit kepala. Mungkin salah satu sebabnya ialah pelbagai bau-bauan yang datangnya dari umat manusia dalam metro tersebut. Mujur saya bawa panadol ke mana-mana.
- Saya tidak pernah melihat mana-mana tempat di dunia ini yang ‘mengumpulkan’ penduduk dari seluruh dunia di satu kawasan melainkan di Dubai. Sejujurnya saya tidak dapat membezakan antara rakyat tempatan dengan rakyat asing. Kedudukan Dubai yang strategik di tengah-tengah peta dunia menjadikannya tempat tumpuan masyarakat dari seluruh dunia. Buat pengetahuan semua, UAE mempunyai jumlah penduduk seramai 9.2 juta, di mana hanya sekitar 1.4 juta adalah warga tempatan. Baki 7.8 juta adalah ekspatriat (merujuk kepada mana-mana orang atau golongan yang hidup di negara-negara lain di mana ianya disebabkan kebolehan serta sumbangannya). Ini bermaksud lebih 80% daripada penduduk UAE terdiri daripada ekspatriat. Majoriti rakyat tempatan tidak tinggal di Dubai.
- Dubai turut memiliki syarikat penerbangan rasminya sendiri iaitu Emirates. Ini merupakan kali pertama saya menaiki syarikat penerbangan tersebut. Syarikat penerbangan tersebut turut memainkan peranan ‘mengumpulkan’ masyarakat dunia di Dubai tidak kiralah dalam kalangan ekspatriat mahupun pelancong. Emirates adalah syarikat penerbangan terbesar di Timur Tengah, dan mempunyai operasi penerbangan lebih 3,600 seminggu dari habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai memiliki tiga terminal yang mana Terminal 3 difokuskan hanya untuk syarikat penerbangan Emirates. Emirates menghubungkan lebih daripada 154 bandar di 81 buah negara di enam benua. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sangat terkenal sehingga terdapat siri dokumentari iaitu Ultimate Airport Dubai yang ditayangkan di saluran National Geographic. Rancangan tersebut sudah memasuki musim ketiga.
- Soalan favorite penduduk di Dubai kepada pelancong ialah ‘where are you from?’. Selalunya apabila saya diajukan soalan berikut, saya tidak terus menjawab, sebaliknya saya akan membalas ‘can you guess where I am from?’. Menariknya, sepanjang saya di sana, tiada seorang pun yang dapat meneka dengan tepat. Dan tambah menarik lagi, kebanyakan tekaannya ialah korea (terasa seperti pelakon Korea pulak). Tambah menarik lagi, terdapat pelancong dari Korea Selatan yang kita ketahui tidak fasih berbahasa inggeris bertanya jalan dalam bahasa korea kepada saya. Manalah saya tahu. Jadi saya jawab ‘Annyeonghaseyo’ sahaja. Tekaan lain termasuklah Jepun dan Filipina. Dan pengalaman paling kelakar ialah seorang pemandu teksi terkejut apabila mengatakan saya muslim dari Malaysia dan beliau bertanya sama ada saya originally muslim atau converted to muslim. Sabar aje lah!
- Selain memiliki bangunan tertinggi di dunia, Dubai turut mempunyai antara hotel termahal di dunia iaitu Burj Al Arab. Bangunan tersebut terletak agak jauh dari stesyen metro, justeru saya menaiki perkhidmatan Uber untuk ke sana. Sedihnya, pengunjung tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sekiranya tidak membuat sebarang tempahan di hotel berkenaan sama ada tempahan penginapan, mahupun makan tengahari. Jadi atas belas ihsan pemandu Uber tersebut untuk menunggu saya, saya turun sebentar dalam masa lebih kurang 2 minit semata-mata untuk mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan.
- Dubai mempunyai dua kawasan yang memiliki banyak pencakar langit yang menarik dan unik iaitu di kawasan Burj Khalifa dan satu lagi di kawasan Dubai Marina. Masjid juga mudah didapati di mana-mana sekitara bandar mahupun pinggir bandar. Setiap masjid yang saya lihat kesemuanya cantik dan unik. Azan turut berkumandang di pusat membeli belah dan lapangan terbang.
- Alang-alang sudah berada di negara UAE dan tak tahu entah bila boleh datang ke sini lagi, saya mengambil kesempatan dengan peluang yang ada untuk ke Abu Dhabi yang juga merupakan ibu negeri UAE. Saya menempah kenderaan hotel tempat saya menginap untuk ke Abu Dhabi yang perjalanannya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Lebih kurang jaraknya dari Johor Bahru ke Tangkak. Sepanjang perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi yang dihubungkan melalui lebuhraya yang lurus dan selesa, saya disajikan dengan pemandangan kawasan perindustrian dan padang pasir. Teknologi tol di lebuhraya-lebuhraya di Dubai sangat moden dan terkehadapan. Tidak seperti sistem tol di Malaysia yang mempunyai pondok tol di permulaan dan pengakhiran sesuatu destinasi, sistem tol di Dubai dipanggil Salik (bermaksud “yang jelas dan bergerak”). Ia berasaskan teknologi RFID, yang mana bayaran akan ditolak secara automatik apabila kenderaan melalui pintu-pintu tol tertentu.
- Di Abu Dhabi, saya melawat beberapa tempat yang terkenal yang saya kenalpasti melalui pembacaan di internet. Antaranya Masjid Sheikh Zayed Grand yang merupakan masjid terbesar di UAE. Menariknya reka bentuk dan pembinaan Masjid Sheikh Zayed menggunakan kepakaran dan bahan-bahan dari banyak negara termasuk dari negara kita. Saya juga pergi ke Emirates Palace yang merupakan hotel mewah di Abu Dhabi, menikmati keindahan pemandangan pencakar langit Abu Dhabi dari Marina Mall sebelum ke Ferrari World.
- Perbezaan antara Dubai dan Abu Dhabi dari perspektif saya ialah; i)Dubai memiliki ramai ekspatriat, manakala saya mendapati lebih mudah menjumpai penduduk tempatan di Abu Dhabi, ii)Dubai sangat sesak dengan manusia, tetapi keadaan lebih tenang di Abu Dhabi, iii)Dubai mempunyai sistem pengangkutan metro, tetapi tiada perkhidmatan sedemikian di Abu Dhabi, iv)saya dapat melihat kawasan perumahan rakyat UAE seperti rumah teres, banglo dan sebagainya di Abu Dhabi, tetapi di Dubai saya hanya dapat melihat apartment dan kondominium, v)Abu Dhabi masih mengekalkan ciri tradisional, manakala Dubai pesat sebagai pusat perdagangan, vi)Abu Dhabi merupakan pusat pentadbiran dan kawasan utama perindustrian minyak, manakala Dubai lebih kepada pusat komersialisasi dan pelancongan, vii)Dubai mempunyai lebih banyak bangunan pencakar langit berbanding Abu Dhabi.
- Seperti Emirates yang merupakan syarikat penerbangan rasmi Dubai, Abu Dhabi turut memiliki syarikat penerbangannya sendiri iaitu Etihad. Berdasarkan Skytrax, Etihad merupakan satu daripada sembilan syarikat penerbangan yang bertaraf lima bintang. Dan tahukah anda, terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang berkerja sebagai juruterbang untuk syarikat penerbangan tersebut. Bangga! Manakala menurut statistik pada tahun 2010, sebanyak kira-kira enam ribu rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di UAE terutamanya di Dubai.
- Ketika berjalan-jalan di kotaraya Dubai, saya terpandang sebuah kereta yang macam biasa dilihat, iaitu kereta Persona. Bangga kerana di sebalik beribu-ribu kereta berjenama Lexus, Toyota, Honda dan Mercedes di atas jalan raya di kotaraya Dubai, terselit juga kereta nasional negara. Selain itu, syarikat makanan segera yang berasal dari Malaysia iaitu Marrybrown juga boleh didapati di pusat-pusat membeli-belah di sini. Bercakap mengenai makanan segera, saya kerap kali membeli makanan segera untuk menjimatkan kos. Seperti biasa, terdapat tiga saiz iaitu small, regular dan large. Betullah kata orang, orang arab ni memang suka makan dengan saiz yang besar. Pertama kali beli saiz L, ya ampun, saiznya amat besar. Seolah-olah saiz small mereka menyamai saiz large di Malaysia.
- Pada waktu petang, kesesakan berlaku sebanyak dua kali di Dubai dan Abu Dhabi. Pertama pada pukul 2.30 petang disebabkan kakitangan awam bekerja dari pukul 7.30 am hingga 2.30 pm (best betul jadi gomen di UAE) dan sekali lagi trafik pada pukul 5 iaitu dari staf sektor swasta yang bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Menikmati Keindahan Kota Bandung
Ini merupakan kali kedua penulis berkunjung ke kota Bandung, Indonesia. Ketika kali pertama berkunjung pada tahun 2012, penulis tidak berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat menarik di kota tersebut disebabkan jadual persidangan antarabangsa yang padat. Kali ini, penulis sengaja memanjangkan tempoh lawatan ke sana walaupun tujuan utama penulis sekali lagi untuk membentangkan kertas kerja persidangan anjuran salah sebuah universiti di sana. Alasannya, bukan selalu dapat berkunjung ke negara orang. Jadi kesempatan dan peluang yang ada perlulah digunakan dengan sebaiknya. Penulis tiba di kota Bandung, yang juga merupakan ibu kota Provinsi Jawa Barat, pada sebelah petang. Sengaja penulis menginap di hotel berdekatan dengan Pasar Baru yang merupakan syurga membeli-belah di kota Bandung bagi memudahkan penulis membelikan barangan tempahan teman-teman di Malaysia. Setelah masuk ke dalam bilik hotel, penulis berjalan kaki menuju ke masjid terbesar di kota Bandung iaitu Masjid Raya Bandung. Masjid yang dahulunya pernah dikenali sebagai Masjid Agung Bandung hanya terletak kira-kira 600 meter dari tempat penginapan penulis. Sepanjang berjalan kaki ke sana, penulis disajikan dengan kesesakan lalu lintas di bandar tersebut yang merupakan bandaraya ketiga terpadat di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya. Kedai-kedai makan bergerak yang menjual pelbagai makanan tradisi Indonesia seperti bakso, sup memenuhi ruang tepi jalan-jalan turut menambahkan lagi kesesakan jalan raya. Begitu juga dengan pengamen (penghibur jalanan) yang memenuhi kiri dan kanan jalan. Terpandangkan mereka, penulis teringat akan seorang penyanyi cilik Indonesia yang terkenal dengan lagu “Aku Yang Dulu” iaitu Tegar yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengamen. Setibanya di Masjid Raya Bandung, penulis kagum dengan keindahan masjid yang boleh memuatkan 12,000 hingga 14,000 jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini mempunyai menara berkembar yang boleh dinaiki pengunjung untuk melihat pemandangan kota Bandung. Bagaimanapun, penulis tidak berkesempatan untuk menaiki menara tersebut kerana ianya hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad. Di hadapan masjid tersebut terdapat taman yang ditanam rumput sintetik untuk pengunjung berkumpul. Setelah menziarahi masjid, dalam perjalanan balik ke tempat penginapan, penulis singgah di Pasar Baru Bandung (Pasar Baru Trade Centre). Tidak keterlaluan sekiranya penulis katakan bahawa Pasar Baru ini merupakan tempat utama yang wajib dikunjungi oleh setiap pengunjung ke kota Bandung. Tidak sah rasanya kalau ke Bandung tidak ke Pasar Baru. Kedudukannya juga amat strategik iaitu di tengah-tengah kotaraya dan boleh ditujui menggunakan pelbagai jenis pengangkutan seperti bas, teksi dan angkut. Pasar Baru terdiri dari lapan tingkat dan di dalamnya terdapat ribuan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan terutamanya tekstil. Penulis hanya mencuci mata pada hari pertama dan sesekali mencuba untuk tawar-menawar dengan peniaga-peniaga di situ. Penulis teringat satu tips yang diberikan oleh teman yang pernah berkunjung ke situ sebelum ini iaitu, sekiranya kita hendak membeli sesuatu barang, pastikan kita berusaha untuk menawar harga yang ditawarkan oleh penjual. Sekiranya harga telah dimuktamadkan, jangan tergesa-gesa untuk membelinya, kerana kita pasti akan menyesal apabila menemui kedai-kedai lain di pasar tersebut yang menawarkan barang yang sama dengan harga yang jauh lebih murah. Jadi penulis hanya memcuci mata pada hari pertama.
Setelah kepenatan berjalan dan kelaparan, penulis pergi ke tingkat enam Pasar Baru tersebut kerana di situlah terletaknya kedai makan. Penulis teringin mencuba nasi ayam penyet yang sebelum ini hanya dirasai di Malaysia. Penulis ingin berkongsi pengalaman sekiranya ingin makan di mana-mana kedai makan di sini, pastikan kita bertanyakan harga makanan terlebih dahulu kerana kebanyakan peniaga kedai makan di pasar tersebut tidak meletakkan tanda harga. Ini kerana sekiranya peniaga tahu kita bukan berasal dari Indonesia, kebarangkalian untuk kita dikenakan harga yang mahal agak tinggi. Setelah tamat membentangkan kertas kerja persidangan pada hari berikutnya, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki ke Kawah Putih yang terletak di Ciwidey, iaitu kira-kira 50 km dari kota Bandung. Kawah Putih yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong merupakan sebuah tasik yang terbentuk akibat dari letusan Gunung Patuha. Untuk sampai ke situ, penulis menaiki teksi yang perjalanannya mengambil masa hampir dua jam. Sepanjang mendaki ke sana, penulis menikmati keindahan sawah padi yang menghijau, ladang teh dan strawberi di lereng-lereng bukit. Di kiri dan kanan jalan menuju ke puncak juga terdapatnya rumah-rumah penduduk serta pokok-pokok buluh ditanam di lereng-lereng bukit bagi mengelak dari berlakunya tanah runtuh. Apabila difikirkan kembali, tidak hairanlah mengapa Bandung sangat popular dengan alat muzik angklung yang diperbuat daripada buluh. Setibanya di perkarangan tasik tersebut, kelihatan beberapa penduduk tempatan yang menjual topeng penutup hidung bagi mengelak menghidu bau belerang yang kuat dari tasik tersebut. Penulis menuruni tangga yang disediakan ke tasik tersebut, dan sangat kagum apabila terpandang tasik yang putih kehijauan dengan asap-asap yang keluar dari tasik tersebut. Air tasik tersebut juga dikatakan dapat berubah warna mengikut kadar belerang yang terkandung, suhu dan cuaca di kawasan tersebut. Penulis mengambil masa hampir setengah jam menikmati keindahan tasik tersebut. Dalam perjalanan menuruni kawasan Ciwidey di mana terletaknya Kawah Putih, penulis singgah menjamu selera di salah sebuah kedai makan yang terletak di situ. Buat pertama kali dalam hidup, penulis mencuba satu makanan yang dikenali sebagai “Ayam Brengsek”. Nama menu tersebut kedengaran seperti tidak manis, tetapi ia hanyalah gelaran semata-mata. Perkataan “Brengsek” hanya untuk mengekspresi sesuatu yang luar biasa. Ayam brengsek merupakan masakan ayam kampung yang digoreng dan kemudiannya diselaputi dengan lada hijau.
Setelah kekenyangan, penulis menyambung perjalanan ke kota Bandung. Memandangkan penulis tiba pada lewat petang, jalan-jalan masuk ke bandar sangat macet (sesak). Penulis sempat singgah di Toko Tiga yang merupakan gudang pakaian berasaskan jeans. Hari berikutnya, penulis ke Saung Angklung Udjo untuk menikmati persembahan angklung. Kawasan ini dinamakan bersempena dengan individu yang bertanggungjawab memartabatkan alat muzik tradisional Indonesia ini sehingga diiktiraf oleh UNESCO pada tahun 2010 sebagai alat muzik warisan dunia. Persembahan angklung di situ diadakan setiap hari, tetapi hanya bermula pada pukul 3.30 petang dan mengambil masa selama dua jam. Sepanjang berada di situ, penonton akan dihiburkan dengan sembilan jenis persembahan berasaskan angklung dengan tema yang berbeza. Antaranya “Anglung Massal Nusantara” yang memaparkan persembahan tarian tradisional, pakaian adat serta lagu-lagu dari pelbagai daerah di Indonesia dengan berlatarbelakangkan muzik angklung. Selain itu, terdapat juga aktiviti pembelajaran angklung oleh penonton secara interaktif bersama penghibur-penghibur di situ. Sebelum pulang, penulis sempat membeli sebuah mini angklung sebagai tanda kenang-kenangan. Pada hari kedua terakhir, penulis bercadang untuk meluangkan separuh hari di Pasar Baru. Tetapi kali ini penulis menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong yang memang dikhaskan untuk membantu pengunjung di pasar tersebut. Antara kelebihan menggunakan perkhidmatan tersebut ialah kita tidak lagi pening kepala untuk mendapatkan kedai yang menawarkan harga murah untuk kain sulam, telekung, keychain, t-shirt, fridge magnet, kain batik dan sebagainya. Selain masa dapat dijimatkan, pemandu pelancong tersebut juga ditugaskan untuk membantu kita membawa barang-barang yang telah dibeli. Di sebelah petang, penulis ke Trans Studio Bandung. Kawasan taman tema ini sangat luas dan bersambung dengan sebuah pusat membeli belah iaitu Trans Studio Mall dan sebuah hotel iaitu The Trans Luxury Hotel. Di kawasan taman itu juga terletaknya sebuah masjid yang tersergam indah iaitu Masjid Agung Trans Studio. Tiket masuk ke Trans Studio ialah 170,000 rupiah atau bersamaan dengan lebih kurang RM50. Kawasan-kawasan permainan di dalam taman tema tersebut ditempatkan mengikut tema seperti Studio Central, The Lost City, Magic Corner dan sebagainya. Penulis berkesempatan mencuba Dunlop Trans Car Racing, Sibolang The Rides, Super Heroes 4D The Rides dan Science Center di kawasan Studio Central, Jelajah dan Sky Pirates di kawasan The Lost City dan Dunia Lain di kawasan Magic Corner. Malah buat pertama kali dalam hidup, penulis melihat sendiri ikan yang paling digeruni iaitu ikan piranha di situ.
Memandangkan tiket kapal terbang pulang ke Malaysia pada hari terakhir di sana pada sebelah tengahari, penulis tidak berkesempatan ke mana-mana pada hari tersebut. Apatah lagi, penduduk tempatan memaklumkan bahawa jalan-jalan di kota Bandung akan mengalami kesesakan luar biasa pada hujung minggu. Justeru, selepas bersarapan pagi, penulis terus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara untuk berangkat pulang ke Johor Bahru. Selain Bandung, penulis pernah ke Jakarta, Jogjakarta, Pekan Baru dan Tanjungpinang. Kata orang “Jauh Berjalan, Luas Pengalaman”, penulis berharap dapat berkunjung lagi ke kota-kota lain di Indonesia pada masa hadapan.
Memori Terindah di Kanazawa dan Tokyo, Jepun
Sempena penganjuran persidangan “IEEE 7th International Conference on Engineering Education (ICEED 2015)” yang diadakan di Hotel Kanazawa dan Kanazawa Technical College (KTC), Kanazawa, Jepun baru-baru ini, penulis mengambil peluang keemasan tersebut untuk menjejakkan kaki buat pertama kali ke negara matahari terbit itu. Persiapan rapi terhadap beberapa perkara dilakukan sebelum berangkat memandangkan penulis bakal pergi berseorangan. Antaranya aspek pengangkutan, perkhidmatan internet, makanan halal dan penginapan. Dalam aspek pengangkutan, seperti kita semua sedia maklum, Jepun merupakan antara negara yang memiliki sistem pengangkutan terbaik di dunia. Siapa yang tidak kenal dengan shinkansen (keretapi peluru) yang menjadi kebanggaan mereka. Atas nasihat seorang rakan yang pernah berkunjung ke sana, penulis menempah pas JR (Japan Rail Pass) yang sememangnya dikhaskan kepada pelawat dari luar negara. Pas ini hanya boleh dibeli di negara asal pengunjung dan tidak boleh dibeli di Jepun. Ianya sah untuk perjalanan dalam semua bentuk pengangkutan yang disediakan oleh kumpulan JR di negara Jepun. Selain memudahkan pergerakan pelancong dari satu tempat ke tempat lain, kos penggunaannya juga jauh lebih murah berbanding pembelian secara terus di kaunter JR. Bagaimanapun sebelum menaiki keretapi peluru, pengguna perlu peka dengan masa serta nombor platform gerabak keretapi serta tempat duduk. Penulis menggunakan pas JR ini seawal berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita untuk menuju ke Tokyo Station dengan menaiki Narita Ekspres (NeX) yang merupakan salah satu rangkaian JR. Perjalanan mengambil masa selama satu jam. Setibanya di Tokyo Station, penulis mula terasa kesibukan stesyen yang merupakan stesyen keretapi tersibuk di Jepun kerana ia merupakan tempat tumpuan penumpang yang menuju ke pelbagai destinasi di sekitar Tokyo. Penulis kemudiannya menaiki Hokuriku Shinkansen, menghubungkan Tokyo ke Kanazawa yang mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Sepanjang perjalanan penulis disajikan dengan keindahan negara yang ketika ini sedang mengalami pertukaran musim luruh ke musim sejuk. Setibanya di Kanazawa yang juga merupakan ibu negeri wilayah Ishikawa, mercu tanda di stesyen Kanazawa yang dinamakan Tsuzumimon tersergam indah menyambut kehadiran pengunjung ke bandar Kanazawa. Menurut seorang rakan yang sedang mengikuti pengajian di Ishikawa Technical College, mercu tanda itu dibangunkan selepas kerajaan Jepun memanjangkan laluan keretapi peluru dari Toyama di Wilayah Toyama ke Kanazawa yang operasinya bermula pada 14 Mac 2015. Ianya sedikit sebanyak bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke ibu negeri Ishikawa tersebut.
Di hari pertama di Kanazawa, penulis tidak berkesempatan mengunjungi ke mana-mana tempat menarik di sana dek keletihan menempuh perjalanan yang panjang. Tambahan pula, hari mulai gelap menjelang jam lima petang waktu tempatan. Bagaimanapun, penulis berkesempatan mengunjungi kedai-kedai berhampiran tempat penginapan. Ketika ini, banyak kedai pakaian mula menjual pakaian panas berikutan musim sejuk yang bakal datang tidak lama lagi. Hari kedua di Kanazawa merupakan hari pertama persidangan ICEED2015 yang berlangsung di Hotel Kanazawa yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan penulis. Penulis meluangkan masa di sebelah petang dengan mengunjungi pasar Omi-cho yang sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing. Setibanya di situ, penulis sungguh kagum dengan persekitarannya yang sememangnya berbeza dengan pasar basah yang kita semua sedia maklum. Lantainya yang kering dan bersih, serta tiada kedengaran hiruk pikuk sama ada dari penjual mahupun pembeli. Semua urusan jual beli berlaku dalam proses yang amat tenang. Kanazawa sememangnya terkenal dengan makanan laut. Jadi pelbagai makanan laut terutamanya ketam dengan saiz yang besar dijual di pasar tersebut.
Penulis kemudiannya berjalan kaki menuju ke Nomura-ke (rumah Samurai Nomura) dengan berpandukan aplikasi penunjuk arah yang dimuat naik di telefon pintar. Sengaja penulis memilih untuk berjalan kaki bagi lebih mengenali budaya masyarakat setempat di samping menikmati keunikan cara hidup penduduk Jepun khususnya di Kanazawa. Rumah Samurai Nomura memaparkan cara hidup dan artifak semasa era samurai dahulu. Ianya turut dihiasi dengan sebuah kebun yang cantik. Malah sebuah bilik minum teh turut dikhaskan untuk pengunjung yang ingin merasai sendiri cara hidup samurai satu ketika dahulu. Di sebelah malam pada hari pertama, penulis bersama peserta persidangan ICEED2015 menikmati makan malam di tingkat teratas di Hotel Kanazawa dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah bandar Kanazawa pada waktu malam. Hari kedua persidangan belangsung di Kanazawa Technical College kerana hotel penuh berikutan penganjuran The 1st Kanazawa Marathon (Kanazawa Marathon 2015) yang berlangsung di sana. Ia merupakan satu lagi acara yang diadakan di sini bagi memperkenalkan Kanazawa sebagai satu lagi bandar di Jepun yang menarik untuk dikunjungi. Di sebelah petang, penulis menaiki bas untuk ke Myoryuji Temple atau lebih dikenali sebagai Ninjadera (Ninja Temple) yang terletak di daerah Teramachi, iaitu di bahagian selatan Kanazawa. Kuil ini sebenarnya tiada kaitan dengan ninja, tetapi ianya dinamakan ninja disebabkan ia mempunyai banyak bilik pertahanan yang mengelirukan musuh dan boleh memberi amaran kepada istana Kanazawa sekiranya berlaku serangan. Ianya dilengkapi dengan terowong tersembunyi, bilik rahsia, perangkap, serta koridor dan tangga. Dengan bayaran masuk sebanyak 800 yen, masa yang diambil untuk mendengar taklimat dalam bahasa Jepun (penulis diberikan buku penerangan dalam bahasa melayu) dan lawatan sekitar kuil adalah selama 40 minit. Sebelum pulang ke hotel, penulis berkesempatan ke daerah Nishi Chaya. Ia merupakan salah satu daripada tiga daerah Geisha di Kanazawa. Geisha merupakan penghibur wanita tradisional di Jepun yang mempersembahkan pelbagai jenis hiburan seni tradisional Jepun dan mereka bukanlah pelacur seperti yang disalahanggap oleh sesetengah orang. Di sepanjang jalan di daerah ini, penulis dapat lihat banyak dua tingkat rumah chaya kayu yang menarik di kiri dan kanan jalan.
Kata orang tidak sah kalau datang ke Jepun tetapi tidak ke Tokyo. Justeru, penulis mengambil keputusan untuk berkunjung ke Tokyo selama dua hari satu malam sebelum pulang ke Malaysia. Pada hari ketiga, penulis bertolak awal pagi dari Kanazawa ke Tokyo dengan menaiki shinkansen. Dari stesyen Tokyo, penulis ke Bakurocho, iaitu kawasan di mana hotel penulis terletak. Dari Bakurocho, penulis berjalan kaki ke Asakusabashi, satu daerah yang terkenal dengan pelbagai kedai barang-barang borong. Walaupun terdapat Asakusa Line yang boleh menghubungkan Asakusabashi ke Asasuka, penulis mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Asakusa. Asakusa sememangnya sangat terkenal dalam kalangan pelancong asing dan tempatan. Tarikan utama Asakusa adalah Sensoji, kuil Buddha yang sangat popular, yang dibina pada abad ke-7. Sebelum sampai ke Kuil Sensoji, penulis memasuki pintu Kaminarimon yang dibina lebih daripada 1000 tahun yang lalu, yang merupakan simbol Asakusa. Penulis kemudiannya menyelusuri jalan membeli-belah Nakasime sepanjang 250 meter sebelum tiba di kuil tersebut. Penulis berkesempatan membeli pelbagai cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia di jalan tersebut. Selepas penat membeli belah, penulis singgah berehat untuk mengisi perut di salah sebuah kedai makan halal yang terletak tidak jauh dari jalan Nakasime. Penulis kemudiannya menaiki JR Chuo/Sobu Line untuk ke Akihabara atau lebih dikenali sebagai Bandar Elektrik Akihabara. Disebabkan ketibaan penulis menjelang waktu malam, penulis disambut dengan pancaran cahaya yang terang benderang dari bangunan-bangunan di kawasan tersebut seolah-olah berada di pesta cahaya. Akihabara merupakan kawasan tumpuan membeli-belah untuk permainan video, anime, manga, dan barangan komputer. Beratus-ratus kedai-kedai elektronik, kamera, televisyen, telefon bimbit, alat elektronik dan peralatan rumah juga terdapat di sepanjang jalan di Akihabara.
Hari terakhir di kota metropolitan terbesar di dunia itu, penulis berkunjung ke Tokyo Skytree yang merupakan mercu tanda utama kota Tokyo. Berketinggian 634 meter, ia merupakan menara tertinggi di dunia dan struktur kedua tertinggi di dunia di belakang Burj Khalifa di Dubai. Perkarangan Menara Skytree, iaitu Skytree Town merupakan pusat membeli belah. Konsepnya seperti pusat membeli belah Suria di Menara Kembar Petronas. Ruang tinjau yang dinamakan Tembo Deck berada pada ketinggian 350 meter dan pengunjung perlu membayar sebanyak 2,060 yen (dewasa). Pengunjung perlu menaiki Tembo Shuttle, iaitu lif muatan 40 orang terpantas di Jepun yang membawa pengunjung ke atas dalam masa 50 saat. Penulis sungguh teruja menikmati pemandangan kota Tokyo yang sangat padat dari aras ini. Pengunjung turut diberi peluang untuk ke lantai 450 meter untuk menikmati “laluan angkasa” sepanjang 110 meter yang dinamakan Tembo Galleria. Bagaimanapun caj tambahan dikenakan untuk naik ke aras tersebut.
Sepanjang lima hari berada di Jepun, banyak perkara yang dipelajari penulis tentang rakyat negara tersebut. Mereka memiliki sifat suka menolong yang kuat. Walaupun tidak fasih berbahasa inggeris, mereka akan sedaya upaya membantu kita terutamanya pelancong asing. Penulis teringat semasa di Kanazawa, ketika ingin menuju ke pasar Omi-cho, penulis bertanyakan jalan kepada dua orang penduduk tempatan yang sedang berjalan. Mereka bersungguh-sungguh membantu menunjuk arah sehingga sanggup mengekori penulis hingga sampai ke destinasi sebelum mereka berpatah balik menuju ke tempat tuju mereka. Sikap beratur sebelum menaiki kenderaan sama ada bas atau keretapi juga amat mengkagumkan penulis. Beberapa kali juga penulis terlihat anak-anak muda yang mempelawa tempat duduk mereka kepada orang tua yang berdiri dalam bas dan keretapi. Rakyat Jepun amat menjaga kebersihan. Amat jarang penulis melihat tong-tong sampah di kawasan bandar. Rakyat Jepun juga amat bangga dengan entiti negara mereka. Lihat sahaja papan tanda, arahan dan sebagainya, semuanya dalam bahasa ibunda mereka. Bukan untuk mengagung-agungkan mereka, tetapi penulis dapat merasai sendiri pengalaman tersebut dan melihat dengan mata sendiri. Penulis berharap dapat berkunjung ke kota-kota lain di Jepun pada masa akan datang.