Cuti Paterniti: Adakah Ia Bermanfaat? Interview Utusan Malaysia Bersama Saya

Sumber Gambar: Utusan Malaysia
Sumber Gambar: Utusan Malaysia

Utusan Malaysia, 2 April 2022

Saya akui saya bukanlah bapa atau suami yang sempurna. Malah jauh lagi untuk ke arah itu. Tambahan pula ini merupakan pengalaman pertama menimang anak dan rezeki diberikan dua orang cahaya mata serentak. Walaupun begitu, dari awal kandungan isteri sehinggalah anak kembar saya yang kedua discaj dari hospital dan pemeriksaan dan vaksinasi berkala kedua-dua anak, Alhamdulillah sedikit sebanyak saya sebagai suami dan bapa membantu. Dalam konteks interview saya dengan wartawan Utusan Malaysia yang disiarkan hari ini, ia berfokuskan kepada cuti paterniti selama tujuh hari untuk golongan bapa. Adakah ianya bermanfaat? Secara peribadi, berdasarkan pengalaman saya tahun lalu, ianya sangat-sangat bermanfaat. Apatah lagi isteri saya ditahan wad awal sebab saiz salah seorang bayi kami yang kecil. Sepanjang ditahan wad, saya berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) hampir setiap hari untuk menghantar barang keperluan isteri seperti makanan, power bank dan sebagainya. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika itu, saya tidak dibenarkan melawat. Barang-barang diletakkan di bawah berserta nama dan nombor wad isteri dan petugas kesihatan yang akan membawanya naik ke atas. Genap dua minggu isteri di hospital, tanggal 26hb Julai 2021, jam 10 malam, saya menerima panggilan dari HSA yang memaklumkan isteri saya akan melahirkan bayi kembar kami secara emergency caesarean. Tanggal 27hb Julai 2021, jam 2.05 dan 2.07 pagi, kedua-dua anak kami selamat dilahirkan. Bermula 27hb Julai bermulalah cuti paterniti saya.

Hari pertama, saya diminta oleh hospital untuk menghantar diapers dan tisu basah bagi kegunaan anak-anak kami. Saya menghantarnya ke wad special care nursery (SCN) dan ketika itulah saya dapat menatap kedua-dua wajah anak-anak saya buat pertama kali dengan masa yang terhad disebabkan PKP. Hari kedua paterniti, saya diminta hospital untuk mengambil uri untuk dibasuh dan ditanam. Saya tiada pengalaman melakukannya. Jadi saya buat pembacaan dari internet dan bertanyakan kepada mak dan ayah di kampung. Saya mencucinya sehabis baik. Rasa insaf dengan kebesaran Allah ketika membasuh uri dengan dua tali pusat. Kemudian timbul satu lagi masalah iaitu di mana saya nak tanam uri memandangkan saya tinggal di apartment. Alhamdulillah, bapa saudara isteri yang tinggal di Kulai menawarkan tempat untuk ditanam uri berkenaan. Saya redah sahaja ke Kulai walaupun sekatan perjalanan diadakan ketika itu. Hari ketiga, isteri keluar wad tanpa anak-anak. Disebabkan isteri bersalin secara pembedahan, saya perlu mengambil dan membantunya secara berhati-hati dan cermat. Kerusi roda disewa dari pihak hospital. Sebelum pulang ke rumah, isteri dibenarkan melawat anak-anak. Setelah sampai di rumah, segala keperluan isteri saya sudah siapkan termasuklah kapas, air pencuci luka dan banyak lagi. Saya juga memasak masakan orang berpantang seperti sup ikan merah, singgang ikan dan sayur lobak putih. Isteri juga perlu menyuntik Heparin untuk elak daripada darah beku yang sangat bahaya buat isteri. Saya juga turut belajar untuk menyuntik cecair berkenaan di bahagian paha isteri. Selain itu, saya juga membantunya mencuci tempat jahitan pembedahan. Hari keempat, kami dapat panggilan dari HSA memaklumkan bahawa kembar pertama (kakak) terpaksa dipindahkan ke wad neonatal intensive care unit (NICU) kerana lupa bernafas dan perutnya yang kembung. Luluh hati kami mendengarnya. Saya bergegas ke HSA tanpa isteri yang masih lemah untuk mendengar penerangan doktor mengenai perkembangan kembar yang pertama. Doktor meminta kebenaran kami untuk diambil air tulang belakang anak untuk menentukan antibiotik yang sesuai untuk anak supaya kuman tak sampai ke otak. Ini salah satu keputusan paling besar perlu saya buat. Doktor minta saya bawa isteri ke hospital untuk menandatangani consent form. Dengan keadaan isteri yang lemah, saya membantu membawanya ke wad NICU menggunakan kerusi roda.

Hari kelima, seperti biasa saya memasak makanan orang berpantang dan membeli pam susu elektrik untuk isteri. Susu ibu perlu dihantar ke hospital untuk diberikan kepada anak-anak kami yang pramatang. Petang itu juga saya hantar susu ibu, diapers dan tisu basah ke wad SCN (adik) dan wad NICU (kakak). Hari keenam, confinement lady datang ke rumah untuk mengurut isteri. Petang itu, sekali lagi menerima panggilan daripada HSA memaklumkan isteri perlu datang ke wad SCN untuk diambil darah. Ini kerana muka kembar kedua (adik) pucat dan hasil ujian darah, adik kekurangan darah. Maka darah ibu diperlukan untuk mengenalpasti jenis darah yang sesuai dimasukkan ke dalam tubuh adik. Menitis air mata saya melihat adik dalam incubator. Hari ketujuh, macam biasa, saya masakkan makanan isteri sebelum hantar stok susu ibu untuk anak-anak kami di wad. Tamatlah cuti paterniti saya selama tujuh hari. Jadi kalau ditanya adakah cuti paterniti wajar diberikan kepada kaum bapa, jawapan saya memang wajar. Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin apatah lagi dalam konteks saya, pengalaman pertama dan anak-anak pramatang dan isteri melahirkan mereka secara pembedahan. Tambahan pula keluarga saya dan keluarga mertua yang jauh dan sekatan rentas daerah dan negeri dilaksanakan, maka banyak perkara yang kami suami isteri lakukan sendiri.

Speak Your Mind

*