Felda Bumi Bertuah

Sempena Hari Peneroka pada hari ini, 21 Julai 2017, ingin saya kongsikan pengalaman saya ditemubual oleh salah satu akhbar arus perdana satu ketika dahulu.

 

  1. Latar belakang

 

Nama penuh saya ialah Abdul Halim bin Abdullah. Berusia 30 tahun. Dilahirkan di Tangkak, Johor dan dibesarkan di Felda Bukit Rokan Barat, Gemencheh, Negeri Sembilan sejak berusia 3 tahun. Saya menerima pendidikan awal di Tabika KEMAS Felda Bukit Rokan Barat dan Sek. Keb. Felda Bukit Rokan Barat. Selepas memperolehi keputusan baik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), saya melanjutkan pendidikan menengah di Sek. Men. Sains Selangor (SMSS), Kuala Lumpur. Saya mendapat tawaran menyambung pendidikan di sekolah berasrama penuh (SBP) tersebut atas status sebagai murid cemerlang dari kawasan luar bandar dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Saya menghabiskan pendidikan menengah di SMSS sehingga tingkatan lima. Saya kemudiannya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dalam jurusan pendidikan Matematik dan terus menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat sarjana usai sahaja tamat pengajian ijazah sarjana muda. Semasa berada dalam pengajian sarjana, saya menerima dua tawaran pekerjaan serentak iaitu tawaran menjadi seorang guru sekolah menengah dan tawaran bergelar seorang tutor di Fakulti Pendidikan di UTM. Disebabkan semangat berkobar-kobar untuk melanjutkan pengajian setinggi mungkin, saya akhirnya menerima tawaran untuk menjadi seorang tutor. Pada tahun 2007, saya menamatkan pengajian sarjana saya dan ditawarkan jawatan pensyarah pada tahun 2008 di UTM. Pada penghujung tahun 2009, saya melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pendidikan Matematik. Hasil usaha bersungguh-sungguh dan azam yang tinggi, pada pertengahan tahun 2013, saya akhirnya berjaya mengenggam segulung ijazah doktor falsafah beberapa bulan sebelum umur saya mencecah 30 tahun.

Bas mini yang pernah saya naiki satu ketika dahulu

  1. Zaman anak felda di tanah rancangan/ Bagaimana Dr berusaha untuk mencapai kedudukan pada hari ini?

 

Untuk mencapai kedudukan pada hari ini bukanlah perkara yang mudah. Sebelum berpindah ke felda, saya dibesarkan di kampung nenek di Tangkak, Johor. Ketika itu emak, Puan Jamiah bte Yusof, bekerja sebagai guru tadika estet dan ayah, Encik Abdullah Mohd Lani, bekerja sebagai buruh di Singapura. Gaji emak dan ayah hanya cukup menyara kami sekeluarga. Tiada simpanan wang. Kami hanya mampu tumpang berteduh di rumah nenek yang ketika itu turut didiami oleh adik-beradik emak yang lain. Ketika saya berumur tiga tahun, ayah mendapat tawaran untuk menetap di Felda Bukit Rokan Barat di Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, emak saudara saya turut ditawarkan untuk menetap di Felda Jelai 4, Gemas. Tanpa berfikir panjang, emak dan ayah terus bersetuju untuk berpindah ke sana demi kepentingan masa depan kami sekeluarga. Kehidupan felda ketika kami mula-mula masuk iaitu pertengahan tahun 80-an dahulu amatlah sukar. Tiada bekalan air dan elektrik disediakan. Kami mandi di perigi yang disediakan bersama keluarga-keluarga yang lain. Mereka turut berpindah ke situ dari kampung halaman masing-masing. Ada yang datang dari Melaka, Kedah, Kelantan, Selangor dan kebanyakannya datang dari Johor. Sumber elektrik pula datang daripada bateri yang perlu dicaj setiap hujung minggu. Walaupun kemudahan yang disediakan ketika itu amat terhad, kami bersyukur kerana kami masih disediakan tempat tinggal dan ayah mempunyai kerja tetap sebagai penoreh getah. Tidak perlu lagi kami menumpang rumah nenek. Kami juga bersyukur kerana emak masih dapat mengajar tadika untuk anak-anak felda ini. Saya sangat berbangga dengan emak kerana sudah berapa ramai generasi kedua dan generasi ketiga felda yang diajar membaca, menulis dan mengira olehnya sehingga ke hari ini. Hari demi hari, kerajaan beransur-ansur menyediakan kemudahan untuk kami penduduk felda. Rumah-rumah di felda disediakan bekalan air dan elektrik yang sempurna. Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan ialah ketika rumah saya dipasang telefon. Maklumlah ketika itu, ianya dianggap sebagai satu teknologi yang amat canggih dan mengagumkan. Setiap kali ia berdering, pasti saya dengan adik-adik akan berlumba-lumba untuk mengangkat gagang telefon. Banyak pengalaman manis dan pahit yang saya lalui. Kemiskinan, kesukaran dan kesulitan menjadikan saya semakin bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga. Bak kata bekas presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela; Education is the most powerful weapon which you can use to change the world. Memang tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir anak muda felda yang terlibat dalam pelbagai gejala sosial. Tetapi ramai juga yang berjaya.

Rumah masyarakat FELDA satu ketika dahulu

Saya merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Mungkin disebabkan itu, emak bersungguh-sungguh mengajar saya agar saya benar-benar berjaya dalam bidang akademik. Barangkali emak mahu jadikan saya contoh atau role-model kepada adik-adik yang lain. Sebagai guru tadika, emak amat tegas dalam mendidik saya dan adik-adik. Setiap hari ada jadual yang perlu kami adik-beradik patuhi. Kami juga tidak dibenarkan menonton televisyen pada waktu malam. Ayah pula lebih kepada pencari rezeki agar kehidupan kami sekeluarga terurus. Dan mungkin disebabkan tahap pendidikan ayah yang hanya sampai darjah enam, ayah kurang memberi tumpuan kepada pencapaian akademik anak-anaknya dan membiarkan emak memberi tumpuan berkaitan pelajaran kami. Tetapi ayah tidak pernah berkira untuk membelikan kami buku-buku rujukan dan segala keperluan sekolah. Pekan terdekat dengan felda kami ialah Bahau. Salah satu motivasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh ialah janji emak dan ayah untuk membawa saya dan adik-adik makan di restoran makanan segera dan membeli perkakas dan buku di pusat membeli belah di situ sekiranya kami berjaya dalam peperiksaan. Biasanya kami akan menunggu bas di simpang jalan atau sesekali ayah akan menyewa kereta untuk ke pekan Bahau. Selain itu, hampir saban waktu saya melihat kapal terbang melalui ruang udara kawasan felda saya. Boleh dikatakan setiap petang saya akan mengulangkaji pelajaran di bawah pokok sambil memerhatikan kapal terbang yang walaupun nun tinggi di langit, tetapi ianya masih boleh dilihat oleh mata kasar. Setiap kali saya terpandang kapal terbang, setiap kali itulah semangat untuk belajar semakin berkobar-kobar supaya satu hari nanti, saya bukan lagi setakat dapat melihat kapal terbang, tetapi menaikinya.

Basikal yang pernah ditunggang untuk ke sekolah

 

Alhamdulillah, hasil daripada kerja keras dan ketegasan emak dan hasil sokongan ayah, saya dan adik-adik boleh dikatakan cemerlang semasa berada di peringkat sekolah rendah. Setiap tahun, pasti saya akan naik ke pentas untuk menerima hadiah semasa majlis penyampaian hadiah. Saya berjaya mengekalkan prestasi sehinggalah ke peperiksaan terpenting di peringkat sekolah rendah iaitu peperiksaan UPSR. Keputusan UPSR yang cemerlang melayakkan saya menyambung pengajian di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur. Bayangkan saya yang baru berumur 13 tahun yang selama ini tinggal di kampung dan felda ‘tercampak’ di sebuah sekolah menengah di kota metropolitan Kuala Lumpur. Keluarga saya tidak mempunyai kereta pada masa itu. Saya masih ingat ayah menyewa teksi untuk menghantar saya ke sekolah menengah buat pertama kali. Emak pada mulanya agak keberatan untuk melepaskan saya pergi, namun demi masa depan, akhirnya emak merelakan jua. Ketika berada di awal persekolahan, semuanya agak sukar bagi saya terutamanya perasaan rindu berjauhan dengan keluarga. Lama-kelamaan saya mula membiasakan diri menjalani kehidupan seorang pelajar di sekolah tersebut. Setiap sekali dalam sebulan, pasti emak dan adik-adik datang menjenguk saya dengan menaiki bas. Ketika itu, bas mini berwarna pink masih beroperasi. Melihatkan kesungguhan dan kepayahan emak dan ayah yang datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk melawat saya membuatkan saya semakin bersemangat untuk memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam PMR.

 

Ketika di tingkatan empat, saya mengambil jurusan sains tulen. Ini bermakna saya bakal mengambil mata pelajaran Biologi. Faktor utama yang meyebabkan saya memilih jurusan tersebut ialah cita-cita saya yang ingin menjadi seorang doktor perubatan. Kalau orang tanya dah besar nak jadi apa, pasti dengan pantas saya menjawab, nak jadi doktor. Dan kemudian dengan penuh semangat saya menyambung, kalau boleh pakar dalam bidang pembedahan. Bagaimanapun, cita-cita yang saya idamkan sejak di bangku tadika terpaksa dilupakan. Segala impian terkubur apabila menyedari bahawa saya mabuk darah. Kisahnya begini, semasa di tingkatan empat, ketika itu, saya bersama-sama rakan sekelas sedang menjalankan satu eksperimen di makmal Biologi. Kami perlu mencucuk jari masing-masing untuk mendapatkan setitik darah untuk dilihat sel-selnya melalui mikroskop. Usai sahaja saya mencucuk jarum di jari telunjuk, tiba-tiba saya berasa dunia ini berpusing-pusing. Sah, saya mabuk darah. Rakan yang duduk di sebelah saya panik. Namun, saya segera meninggalkan makmal untuk ke tandas. Ketika itu, saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Saya duduk mencangkung dan mendiamkan diri buat seketika. Lama-kelamaan keadaan beransur pulih. Sejak dari insiden itu, saya mula menyedari bahawa saya mabuk darah dan terpaksa melupakan cita-cita untuk bergelar seorang doktor perubatan. Sedangkan setitik darah sudah membuatkan saya pitam, inikan pula kerjaya seorang doktor yang saban hari bergelumang dengan darah. Bagaimanapun, perjuangan sebagai seorang pelajar jurusan sains tulen perlu diteruskan. Sejak itu, saya tekadkan azam di dada, tetapkan cita-cita baru, kalau bukan doktor perubatan, saya mahu menjadi seorang doktor falsafah dalam bidang pendidikan.

 

  1. Dr bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan tetapi tidak kesampaian. Jadi, dengan menjadi pensyarah adakah Dr berpuas hati kerana dapat mendidik anak bangsa dan mungkin membantu lebih ramai anak felda untuk berjaya

 

Saya kini bertugas di Fakulti Pendidikan UTM. Walaupun tidak bergelar doktor perubatan, tetapi doktor falsafah, saya puas. Kerjaya saya sebagai seorang pensyarah bukan hanya memberi kuliah semata-mata tetapi lebih daripada itu. UTM umpamanya telah menggariskan 7P iaitu selain pengajaran, ianya termasuklah penyelidikan, perundingan, penulisan, khidmat masyarakat dan sebagainya. Dalam aspek pengajaran, saya dapat berkongsi ilmu pengetahuan yang ada dengan anak bangsa. Malah saya turut mempelajari sesuatu dari mereka dan saling melengkapi antara satu sama lain. Azam saya untuk menganjurkan khidmat masyarakat yang dilaksanakan di felda-felda yang bertujuan memberi motivasi kepada anak-anak muda felda. Dalam masa yang sama, saya turut memasang impian untuk mendapatkan maklumat dari institusi-institusi tertentu seperti Kolej Komuniti dan sebagainya yang menawarkan pelbagai kemahiran untuk membuka peluang kerjaya untuk golongan belia felda demi kepentingan masa depan mereka. Di universiti juga, ahli akademik berpeluang memohon geran penyelidikan. Siapa tahu, pada masa akan datang, saya dapat menjalankan kajian yang diharapkan dapat membantu pembangunan pendidikan anak-anak felda. Saya tahu saya tidak boleh terlalu ambitious. Ketika ini, saya mungkin masih muda untuk melaksanakan semua itu. Apa yang perlu saya lakukan sekarang ialah menimba seberapa banyak ilmu yang mungkin. Saya turut berharap bahawa, anak-anak felda lebih dikenali dengan kejayaan yang mereka kecapi dan bukannya penglibatan mereka dalam gejala sosial.

 

  1. Memiliki phd pada usia muda, apa kelebihan yang ada pada Dr? 

 

Saya tidak menganggap saya mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan orang lain. Banyak lagi perkara dan ilmu yang perlu saya pelajari. Apatah lagi saya menganggap kehidupan kerjaya saya baru bermula setelah memperolehi Ijazah Doktor Falsafah. Cuma ketika berada dalam pengajian PhD, prinsip hidup saya ialah saya ingin melakukan sesuatu yang lain daripada orang lain. This is not to show that I am the best, but just to be a little bit different from the rest. Apabila saya ingin mencapai sesuatu, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. Selain kesungguhan menjalankan penyelidikan dan menyiapkan penulisan tesis, saya suka berkongsi dapatan kajian dalam pembentangan kertas kerja persidangan. Ilmu yang diperolehi dan diterima perlu dikongsikan bersama orang lain. Tempoh dua tahun berkhidmat di fakulti sebelum melanjutkan pengajian PhD benar-benar memberi pengalaman kepada saya dalam membentangkan kertas-kertas kerja persidangan bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa. Mana tidaknya, dalam tempoh dua tahun tersebut, saya dilatih oleh beberapa orang senior berpangkat professor dan professor madya yang saya anggap mereka sebagai sifu yang banyak memberi tunjuk ajar untuk membentangkan kertas-kertas kerja di dalam mahupun di luar negara. Pengetahuan dan pengalaman tersebut diaplikasikan dan dimanfaatkan semasa saya berada dalam pengajian. Selain membentangkan kertas kerja persidangan di dalam mahupun di luar negara, saya juga suka menulis. Saya turut bersyukur kerana ketika berada dalam pengajian PhD di UKM, saya dibantu oleh penyelia PhD saya. Beliau banyak memberi galakan saya untuk menulis. Alhamdulillah, beberapa artikel saya dalam penyelidikan PhD telah diterima untuk diterbitkan oleh jurnal-jurnal antarabangsa untuk dijadikan rujukan ahli-ahli akademik yang lain. Selain menulis di jurnal, saya turut memulakan langkah untuk menghantar pandangan peribadi ke ruangan-ruangan tertentu dalam beberapa suratkhabar arus perdana. Walaupun tidak mempunyai kolum penulisan tersendiri, saya mengambil peluang dalam ruangan tertentu yang memberi peluang kepada pembaca suratkhabar untuk melontarkan pandangan dan buah fikiran dengan masyarakat. Kehidupan saya semasa bergelar pelajar PhD juga diseimbangkan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Alhamdulillah, ketika berada dalam pengajian, saya berkesempatan menyertai aktiviti kesukarelaan untuk program tusyen dan aktiviti anak-anak rumah bakti di sekitar universiti. Saya percaya sekiranya kita memudahkan urusan orang lain, Allah s.w.t akan memudahkan urusan kita kelak. Sempena majlis konvokesyen UKM pada Oktober lalu, Fakulti Pendidikan UKM telah menganugerahkan saya “Anugerah Graduate On Time Program Doktor Falsafah” dan “Anugerah Penerbitan Terbaik Program Doktor Falsafah”. Kesimpulannya, walau apa bidang sekalipun yang kita ceburi, kita perlu menjiwai kerjaya yang kita pilih. Tiada kerjaya yang tidak pernah medatangkan tekanan kepada kita. Jadi kita sendirilah yang mewarnai laluan kerjaya kita sama ada kerjaya terus menekan kita atau kita sendiri yang mencari jalan bagaimana untuk menikmati alam pekerjaan dan seterusnya mengurangkan tekanan yang dihadapi. Kejayaan ini juga hasil prinsip hidup yang menjadi pegangan hidup saya sejak berada di bangku sekolah lagi iaitu untuk berjaya, kita perlu bermula dengan keazaman yang tinggi. Untuk merealisasikan azam tersebut, kita tidak boleh duduk diam sahaja. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh. Azam dan usaha masih belum cukup sekiranya kita tidak diiringi dengan doa. Jadi apabila ketiga-tiga elemen tersebut cukup, maka bertawakkal lah kepada yang maha satu. In sha Allah pasti kejayaan menjadi milik kita.

 

  1. Apakah nilai-nilai atau ciri-ciri yang perlu ada pada anak felda supaya mereka tidak ketinggalan? 

 

Sejurus tamat tempoh pengajian PhD, saya sempat memberi ceramah motivasi kepada anak-anak felda di Felda Bukit Rokan Barat. Berulang kali saya tekankan kepada mereka bahawa hanya pendidikan yang mampu mengubah nasib kita. Mungkin generasi felda pada hari ini tidak merasai kesusahan yang dialami oleh generasi terdahulu. Tapi itu tidak bermakna mereka perlu bersenang-senangan kerana sampai bila mereka mahu bergantung dengan orang tua. Ketika memberi motivasi tersebut, saya sempat menyentuh peranan anak-anak serta ibu bapa yang hadir dalam aspek pendidikan. Seperti diketahui, di peringkat sekolah rendah, peperiksaan terpenting ialah UPSR. UPSR merupakan kemuncak setelah enam tahun mengharungi alam persekolahan peringkat rendah. Pada pendapat saya, langkah emak yang tegas mendidik saya dan adik-adik ketika kami di bangku sekolah rendah amat tepat.  Ini kerana pada peringkat ini, kanak-kanak belum matang dan belum memahami sepenuhnya apa itu kejayaan, apa gunanya datang ke sekolah dan sebagainya. Jadi ibu bapa perlu lebih tegas untuk mendidik anak-anak semasa mereka di sekolah rendah. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, kegagalan murid di peringkat sekolah menengah biasanya disebabkan keciciran mereka berada di sekolah rendah. Sekiranya mereka ketinggalan semasa berada di sekolah rendah, alam persekolahan menengah akan menjadi lebih sukar. Apatah lagi peringkat persekolahan menengah yang semakin mencabar dari segi kandungan matapelajaran dan juga pergaulan dengan rakan-rakan. Tapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh berubah. Berbalik kepada peperiksaan UPSR, kepada anak-anak felda yang berjaya dalam UPSR, perkara yang paling penting ialah mengekalkan momentum kecemerlangan di peringkat sekolah menengah. UPSR bukanlah segala-galanya. Jauh lagi perjalanan untuk merealisasikan impian mereka. Alangkah sayangnya kejayaan yang baru berputik tidak dapat dikekalkan. Kepada ibu bapa, jangan takut untuk menghantar anak-anak di sekolah-sekolah berasrama. Ini kerana apabila melangkah masuk ke alam menengah, anak-anak mula matang dan memahami sedikit demi sedikit mengapa perlunya belajar bersungguh-sungguh. Apatah lagi pada masa kini, banyak kemudahan yang disediakan kepada anak-anak felda yang berjaya. Antaranya MRSM Felda Kampus Tun Abd Razak Sungkai dan Asrama Semai Bakti Felda. Di sekolah berasrama, anak-anak akan lebih berdisplin dan seterusnya membantu mereka mengekalkan momentum kecemerlangan mereka. Kepada mereka yang kurang berjaya dalam UPSR, gandakan usaha dan yang paling penting ialah jangan sesekali berputus asa. Ketika masuk ke alam sekolah menengah, perhatian ibu bapa terhadap anak-anak terutamanya anak-anak yang pergi ke sekolah harian biasa perlu dilebihkan. Ini kerana pada peringkat ini, anak-anak mula Ini kerana anak-anak sudah masuk ke alam remaja dan cenderung untuk melakukan sesuatu yang baru. Jadi di sini ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka agar tidak melakukan sesuatu yang tidak baik seperti terlibat dalam gejala sosial dan sebagainya. Anak-anak felda yang berada di sekolah menengah pula perlu berani bersaing dengan rakan-rakan lain yang mungkin datang dari keluarga yang senang. Jujur saya katakan, tahap penguasaan bahasa inggeris saya ketika berada di sekolah rendah amat lemah. Saya banyak mempelajari kemahiran menguasai bahasa tersebut ketika berada di sekolah menengah apabila bercampur dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang. Status saya sebagai anak felda sesekali tidak menyekat usaha saya untuk belajar bersungguh-sungguh, malah ianya menjadi pemangkin untuk lebih berjaya daripada yang lain. Di peringkat menengah, anak-anak felda dengan sokongan guru dan ibu bapa mula dapat mengenali kemampuan dan potensi diri mereka. Kebiasaannya anak-anak felda yang memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiada masalah untuk melanjutkan pengajian di menara gading. Malah ada kalangan anak felda yang berjaya dalam SPM mengikuti Program Latihan Kejuruteraan Penyelenggaraan Kapal Terbang yang merupakan hasil kerjasama Felda dengan Malaysia Airlines System (MAS). Bagaimanapun, anak-anak felda yang kurang bernasib baik juga perlu bijak merancang masa depan mereka. Banyak program berkaitan kemahiran boleh diikuti. Yang paling penting ialah jangan cepat berputus asa, teruskan berazam, berusaha, berdoa, dan bertawakkal lah untuk mencapai sesuatu perkara yang baik.

Bergambar di Masjid Putrajaya selepas Majlis Konvokesyen pada tahun 2013

Speak Your Mind

*