Pada 7 Mac 2018 yang lalu, saya telah berkesempatan untuk menghadiri sesi perjumpaan YBhg. Datuk Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bersama staf akademik UTM yang berumur 45 tahun dan ke bawah. Banyak maklumat dan amanat berguna yang telah disampaikan oleh YBhg. Datuk NC kepada staf-staf muda yang bakal menerajui kecemerlangan UTM pada masa hadapan.
Berdasarkan statistik yang disampaikan oleh Datuk NC, sebanyak 52% staf UTM terdiri daripada mereka yang berumur 46 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah itu, 1% merupakan professor, 11% professor madya dan 78% merupakan pensyarah kanan. Paling membanggakan ialah sebanyak 75% staf yang berumur 46 tahun dan ke bawah menerbitkan artikel dalam Scopus mahupun Web of Science (WOS). Manakala daripada keseluruhan penerbitan berindeks UTM, 41% daripadanya disumbangkan oleh staf yang berumur 46 tahun ke bawah. Bilangan staf dalam kategori 46 tahun ke bawah juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam aspek penyelidikan. Ini boleh dilihat dalam peratus staf yang menjadi penyelidik utama geran-geran penyelidikan yang meningkat dari tahun 2014 (51%), 2015 (63%) dan 2016 (75%). Hal ini seterusnya menyaksikan sejumlah RM141 juta jumlah dana penyelidikan diperolehi oleh staf akademik UTM yang berumur bawah 46 tahun. Jumlah ini merupakan 52% daripada jumlah keseluruhan dana penyelidikan yang diterima oleh staf UTM tanpa mengira peringkat umur. Syabas UTM kerana memiliki staf akademik yang berpotensi dan berbakat dalam usaha untuk mewarisi kegemilangan UTM pada masa hadapan.
Sepertimana yang kita maklum, dalam sesebuah organisasi atau institusi, staf adalah agen perubahan. Malcolm Gladwell, seorang jurnalis terkemuka dalam bukunya “The Tipping Point: How Little Things Can Make a Difference Big” menyatakan bahawa kejayaan mana-mana institusi sosial sangat bergantung pada penglibatan manusia dalam institusi tersebut. Mark Zuckerberg, pengasas Facebook berkata bahawa “manusia mempengaruhi manusia. Tiada apa-apa yang dapat mempengaruhi orang lebih daripada cadangan daripada rakan yang dipercayai”. Howard Shultz, mantan CEO Starbucks, berkata dengan jelas “Kami telah membina jenama Starbucks terlebih dahulu dengan orang-orang kami, bukan dengan pengguna. Kerana kami percaya cara terbaik untuk memenuhi dan melampaui jangkaan pelanggan kami adalah untuk mengambil dan melatih orang-orang hebat, kami melabur dalam pengambilan pekerja”. Pengasas Air Asia, Tony Fernandes pula menegaskan pekerja datang nombor satu, pelanggan datang nombor dua. Sekiranya anda mempunyai tenaga kerja yang gembira, mereka akan menjaga pelanggan anda.
Manakala menurut bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, the future belongs to young people with an education and the imagination to create. Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya staf dalam memperkasakan sesebuah institusi dan betapa pentingnya golongan pelapis yang bakal meneruskan kehebatan sesebuah institusi tersebut.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ZLiJvNyt7pI[/embedyt]
Speak Your Mind