Happy Ending Tirai Tahun 2017

Sepanjang bergelar ahli akademik sejak tahun 2006, tahun 2017 ini boleh saya katakan tahun yang paling produktif dalam kerjaya saya. Perasaannya, penat tapi saya puas. Alhamdulillah, tahun 2017 sangat meriah dengan penerbitan artikel dalam jurnal dan prosiding berindeks scopus yang berjumlah 25 artikel. Artikel-artikel ini merupakan hasil tulisan saya, pelajar-pelajar saya serta rakan-rakan seangkatan di UTM mahupun universiti awam yang lain. Alhamdulillah, jumlah artikel dalam jurnal/prosiding berindeks scopus saya sehingga penghujung tahun 2017 ialah sebanyak 46 artikel. Tahun 2017 juga mencatatkan hasil tulisan saya yang ke-62 di suratkhabar sejak saya menulis di mana-mana ruangan akhbar seperti Forum dan Komentar pada tahun 2011. Sepanjang hidup di muka bumi Allah s.w.t ini juga, tahun 2017 menyaksikan saya paling kerap ke luar negara. Opss.. bukan untuk bercuti, tetapi untuk bekerja. Pada awal tahun 2017, saya ke Dubai dan Abu Dhabi di UAE untuk membentangkan satu kertas kerja persidangan di sana dan Alhamdulillah, kertas kerja saya dipilih sebagai kertas persidangan terbaik. Pada bulan Mac saya ke Bangkok Thailand untuk menyertai satu lawatan Akademik ke Rajamangala University of Technology Thanyaburi (RMUTT) Thailand dan bulan April ke Vietnam bagi menguruskan Surat Kerjasama antara Fakulti Pendidikan UTM dengan Phu Yen University, bulan Mei ke Banjarmasin dan Makassar di Indonesia bagi memenuhi jemputan sebagai keynote speaker di dua buah universiti di sana sebelum terbang ke Astana Kazakhstan pada bulan Ogos sebagai invited speaker di sana. Pembentangan di persidangan sentiasa menjadi platform kepada saya untuk berkongsi hasil kajian di samping menimba sebanyak mungkin ilmu dari ahli-ahli akademik yang lain. Sehubungan itu, saya telah menghadiri satu persidangan di Singapura pada bulan Julai dan satu lagi persidangan di Hong Kong baru-baru ini. Secara keseluruhannya, sebanyak tujuh negara telah saya kunjungi. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Hasil lawatan ke negara-negara tersebut, sempat jua saya tulis dan terbitkan empat buah travelog dalam tahun 2017 ini yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa dan majalah Backpackerz. Alhamdulillah, hari ini di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, saya diberikan Awards for Publication Excellence untuk kategori Young Scientist (25-34 tahun) dalam bidang Social Sciences & Humanity. Ya, ini merupakan satu kisah gembira sempena berlabuhnya tirai jendela 2017, tetapi apa yang lebih penting, semoga ini akan menjadi pemangkin untuk menjelmakan kisah-kisah kejayaan di tahun-tahun mendatang, insha Allah.

Speak Your Mind

*