Kalau pergi travel ke luar negara bersama saya pasti menyesal. Haha. Nak tahu kenapa? Sebab salah satu must-visit place saya ialah universiti . Kalau saya ke Singapura pasti akan singgah ke National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU). Saya pernah berkolaborasi membuat penyelidikan di Melbourne dan saya melawat Melbourne University, RMIT University, La Trobe University dan Swinburne University of Technology. Kalau berkunjung ke Bandung, saya akan melawat Institut Teknologi Bandung (ITB) dan kalau ke Jogjakarta, pasti akan bergambar kenang-kenangan di Universitas Gadjah Mada (UGM) dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY). Pernah sekali ke Hong Kong, dan sudah pasti The University Of Hong Kong menjadi salah satu destinasi.
Semasa di Korea Selatan, Alhamdulillah, banyak universiti ternama di sana saya kunjungi; Seoul National University, Korea University, Yonsei University dan Ewha Womans University. Kalau di Busan, saya ke Pusan National University. Pernah sekali saya ke Pulau Jeju dan Jeju National University indah sekali. Walau apa pun, universiti tempat saya berkelana selama enam bulan sentiasa terpahat di hati iaitu Chonnam National University.
Apa yang menariknya tentang universiti-universiti di Korea Selatan, Singapura, Australia dan Hong Kong ini ialah, kedai kopi terletak di merata-rata di dalam kampus terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan seperti perpustakaan. Budaya mengopi (bukan membawang ya) dalam kampus sudah menjadi budaya mereka terutama di negara-negara empat musim. Seronok melihat aktiviti akademik dalam kampus di kedai kopi.
Buat pengetahuan alumni UTM, kedai kopi (baca: gourmet coffee which is generally made from 100% Arabica beans, giving the brewed coffee a full body, fine aroma, and rich flavor) kini boleh didapati di kampus UTM Johor Bahru. Yang terbaru terletak betul-betul di bawah Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) iaitu kedai He & She Coffee. Semasa zaman saya bergelar mahasiswa pra-siswazah suatu ketika dahulu, ruang tersebut merupakan study room 24 jam. Sangat meriah ketika itu dengan mahasiswa terutamanya ketika musim peperiksaan. Semoga dengan adanya kedai kopi ini, kemeriahan tersebut dapat dikembalikan.
Saya baca tentang satu artikel berkaitan kopi dan budaya ilmu di universiti. Saya tertarik dengan kenyataan seorang professor. “Coffee is such a keystone that many scholars do much of their thinking and writing in coffee houses. The number of times I have seen Starbucks thanked in dissertation acknowledgments is second only to moms. Coffee houses supply endless caffeine, free Wi-Fi, and enough social noise and ambiance to minimize the isolation of academic work”.
Semalam (28/2/2023) berkesempatan buat pertama kali ke kedai kopi tersebut. Semalam pula seharian hujan. Pekena secawan kopi panas tadi memang nikmatnya tak terkata. Nanti nak bawa orang rumah dating kat situ. Barulah betul He & She!